'KRISIS' ini membawakan kisah benar mengenai pengalaman yang mendebarkan yang sukar dibayangkan oleh pembaca; dari letupan kereta akibat kemalangan, bas masuk gaung ketika pesta hantu lapar, mayat radioaktif, pesawat yang hampir kehabisan oksigen menjadi wad rawatan rapi, berunding dengan penagih dadah, kecemasan di puncak Gunung Everest dan lain-lain situasi yang menggemparkan.
Dalam keadaan cemas itu ada juga saat lucu dan dramatik, namun berakhir dengan selamat dan sempurna. Semoga pembaca mendapat inspirasi daripada kisah-kisah ini untuk berfikir secara rasional dan kreatif apabila berada dalam situasi genting.
KRISIS. Setiap Degup Jantung Ada Cerita. Penulis :Dr Alzamani Mohammad Idrose
Seolah-olah menonton drama ER bila membaca penulisan Dr Alzamani. Bezanya, di ER kita disajikan cerita berlatar belakang Jabatan Kecemasan & Kemalangan tetapi buku ini penuh warna warni kerana ianya tidak terbatas di hospital. Malam mungkin beliau bertugas di Istana Negara, awal pagi esoknya terbang ke Sabah membawa pesakit. Ada peristiwa tentang penderaan domestik, ada pula tentang peristiwa letupan bom di Bukit Bintang. Penuh dengan drama!
Seorang doktor bukan hanya perlu mempunyai ilmu sebagai perawat. Dia juga perlukan ciri-ciri dapat bekerja di bawah tekanan. Tidak dapat saya bayangkan tahap stress bekerja menyelamatkan nyawa. Berbicara dengan penculik yang di bawah pengaruh dadah sambil pisau dihunus ke arah seorang kanak-kanak. Menyelesaikan 'puzzle' bagaimana perlu membawa jenazah seorang pesakit yang penuh radioaktif pulang ke kampung untuk disemadikan tanpa merisikokan orang ramai. Menyelamatkan mangsa kemalangan di lebuhraya tanpa peralatan yang cukup. Cemas!
Tugas seorang doktor bukan hanya merawat tetapi juga membantu memberikan semangat kepada pesakit dan keluarga untuk pulih. Ada juga cerita Dr Bubble, doktor badut yang membawa senyuman kepada kanak-kanak yang menderita. (Boleh lawati fb Red Bubbles untuk sama-sama memberi keceriaan kepada kanak-kanak yang sakit). Bak kata Dr Alzamani kepada mangsa gempa bumi di Iraq; 'Even in the driest desert, date trees still grow. Even in the driest desert, love still blossoms'.
Wah! Rugi andai buku ini tidak dibaca. Apatah lagi di masa para perawat ramai tidak diberi penghormatan yang sepatutnya. Bacalah dan hadamkan apa yang berlaku di sebalik tabir sebuah hospital.
Saya telah membaca buku ini lebih dari dua kali dan setiap kali saya ulang baca, masih terasa adrenalin mengalir laju. Masih terasa sayu. Masih terasa bersyukur di atas kehidupan yang Allah kurniakan.
May Allah bless all the doctors profusely especially the one who are near & dear to my heart. Aamiin.
Cabaran dan pengalaman hidup seorang doktor perubatan kecemasan. Sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan, harus pantas merangka strategi dan bijak membuat keputusan.
Tak pernah berlaku tak bermakna takkan berlaku. Walaupun hampir tidak mungkin akan berlaku, tetap perlu bersedia jika ia benar-benar berlaku.
Hasil pembacaan naskhah ini: saya baru faham cara gas saraf berfungsi, bagaimana pasukan petugas berkomunikasi apabila menangani bencana, tatacara pengurusan mayat radioaktif, memindahkan pesakit kritikal dengan pesawat tentera.