Kitab at-Tibyan fi Adab Hamalah al-Qur’an merupakan salah satu karya Imam al-Nawawi yang menyentuh perihal al-Quran, dari sudut: Kelebihan al-Quran, adab membaca dan menghafalnya, hukum hakam berkaitan al-Quran dan lain-lain. Seharusnya seorang Muslim perlu mengetahui bagaimana caranya untuk kita berinteraksi dengan Kalamullah. Al-Quran bukan sahaja berfungsi sebagai panduan hidup manusia, tetapi ia mestilah dipelihara dan dihormati dengan cara terbaik kerana tindakan ini melambangkan adab kita bersama Allah Taala.
Karya yang dihasilkan oleh Imam al-Nawawi ini dilihat sebagai sebuah tulisan yang ringkas tetapi padat untuk tatapan para pembaca. Tambahan pula, kepakarannya dalam bidang feqah juga telah membuatkannya tersusun dalam bentuk yang mudah difahami daripada sejumlah perincian yang begitu panjang lebar. Sebab itulah, kitab karangan beliau ini menjadi pilihan utama kepada umat Islam di dunia sebagai suatu permulaan dalam menjinakkan dan mendekatkan hati mereka terhadap al-Quran. Mudah-mudahan kitab at-Tibyan fi Adab Hamalah al-Qur’an yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dengan nama Adab Pembaca al-Quran ini menjadi santapan awal bagi rohani sebelum memburu ketenangan dengan ayat-ayat Allah Taala.
Buku ini membincangkan adab-adab yang perlu diamalkan oleh pembaca dan pengajar Al-Quran. Buku ini mengandungi sebanyak 9 bab mengenai Al-Quran seperti kelebihan membacanya, keistimewaan menjadi penghafalnya, adab-adab guru, penghafal dan pembaca Al-Quran, himpunan ayat dan surah yang sunat dibaca mengikut waktu dan keadaan tertentu serta hukum sujud tilawah, menulis, memegang dan menjual Al-Quran. Semua ini telah dihimpunkan oleh seorang faqih dan muhaddis mazhab Syafi'i iaitu Imam Al-Nawawi (m.676H).
Di dalam buku ini juga, penerbit menitipkan sekali biografi ringkas pengarang, metode penterjemahan buku dan istilah mazhab Syafi'i yang digunakan oleh Imam Al-Nawawi seperti Qaul Qadim & Qaul Jadid, Al-Azhar & Al-Zahir dan lain-lain. Pengarang memetik ayat-ayat Al-Quran, hadis Rasulullah, atsar para sahabat dan tabi'in, pandangan imam & ulama mazhab terutama mazhab Syafi'i untuk mendokong segala kenyataan beliau mengenai adab-adab terhadap Al-Quran yang dijaga oleh Allah s.w.t.