Jump to ratings and reviews
Rate this book

Pesan Hamka kepada Pendidik

Rate this book
Sejak pulang dari Kembara Menjejak Buya Hamka, Saudara Muhammad Shah konsisten menulis status ibrah pendidikan yang berinspirasi dari kisah Buya Hamka di media sosial. Beliau merupakan seorang Eksekutif di Petronas yang juga aktif terlibat dalam aktiviti pendidikan dengan membangun tadika & sekolah rendah Islam di Seremban. Beliau menulis dalam perjalanan ke tempat kerjanya ketika menaiki komuter dan bas dari Seremban ke KLCC.

Penulisannya bersifat santai, namun tetap ilmiah dengan bersandarkan rujukan yang baik. Justeru perbahasan buku ini sesuai untuk bacaan umum sebagai inspirasi untuk membangun peribadi berbudi tidak sekadar kepada pendidik seperti guru, bahkan juga untuk ibu bapa, dan generasi anak muda.

Paperback

First published April 1, 2017

17 people are currently reading
125 people want to read

About the author

Muhammad Shah Ahmad Nor

2 books1 follower

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
70 (53%)
4 stars
46 (34%)
3 stars
13 (9%)
2 stars
1 (<1%)
1 star
2 (1%)
Displaying 1 - 30 of 37 reviews
Profile Image for Aiza Idris (biblio_mom).
622 reviews211 followers
March 28, 2021
Buku ini memampatkan pesanan-pesanan berupa teguran, nasihat dan cadangan dari HAMKA kepada pendidik. Bila menyebut tentang pendidik, seorang pendidik tidak terhad kepada guru-guru di sekolah sahaja kerana ibu bapa seharusnya menjadi pendidik pertama anak-anak semenjak lahir, dan rumah adalah madrasah pertama bagi mereka.

Berbekalkan kecintaan penulis terhadap dunia pendidikan, beliau berjaya mengumpulkan dan menggunakan kisah-kisah hidup HAMKA sedari kecil, untuk dijadikan contoh tauladan pada pembaca dalam memahami proses pembelajaran dan pendidikan yang sesuai supaya mudah diaplikasikan pada anak-anak atau pelajar. Sirah Nabi serta para sahabat Baginda turut digunakan bersesuaian dengan setiap topik yang dibawakan.

Walaupun buku ini tentang dunia pendidikan, ianya langsung tidak memberatkan. Bagi seseorang yang berada diluar bidang pendidikan institusi sekolah seperti saya, buku ini begitu mudah dibaca dan difahami kerana bahasanya yang cukup santai. Penyusunan isinya juga cukup berstruktur. Saya suka dengan metodologi pengajaran dan pembelajaran yang diperjuangkan oleh HAMKA kerana ianya selaras dengan kaedah masa kini. Meskipun tidak semuanya digunapakai oleh semua sekolah, tapi ianya telah diperkenalkan sejak beberapa tahun yang lepas seperti KBAT dan mendidik tanpa kekasaran.

Bagi seorang ibu dan surirumah seperti saya, banyak yang telah saya pelajari dari buku ini. Banyak juga harapan saya pada warga pendidik di sekolah untuk mereka terapkan ke dalam diri dan kaedah pengajaran masing-masing.
Profile Image for Siqahiqa.
594 reviews106 followers
September 22, 2019
Sejarah menyaksikan betapa pendidikan merupakan asas kepada sebuah perubahan dan islah. Nabi saw tidak memulakan perjuangan dengan pedang, tetapi dengan pendidikan. Dan inilah teladan utama yang diambil oleh mereka yang cintakan Islam. Hamka seorang pejuang kebenaran Islam dan sangat mendalam cintanya kepada ilmu dan umat. Sebuah cinta yang lahir daripada keimanan.

Hamka seorang yang berperibadian hebat dan sentiasa memaafkan kezaliman orang terhadapnya. Hamka dituduh sebagai pembelot negara lantas dipenjara tanpa bicara. Namun penjara sekalipun tidak melemahkan Hamka dalam perjuangan. Di kala orang lain mungkin kecewa atas fitnah yang berlaku, Hamka tenang menerima semuanya dan masa yang dilalui dalam penjara digunakan Hamka sebaiknya untuk menyiapkan manuskrip Tafsir al-Azhar. Tidak pernah sekali pun Hamka membuang masa.

Sekalipun buku ini bukan secara terus ditulis oleh Hamka, penulis bijak dalam menyatukan kisah sejarah Islam dan kisah Hamka dalam menerangkan pesanan dalam pendidikan. Banyak mutiara-mutiara nasihat dan kisah hidup Hamka yang boleh dijadikan teladan. Penulis juga turut mengemukakan cadangan yang boleh dipraktikkan oleh para pendidik lantas memberikan motivasi buat mereka untuk terus berjuang dalam pendidikan.

Buku ini sangat menarik. Penceritaan lebih kepada bidang pendidikan namun topik yang dibincangkan adalah topik umum dan boleh diguna pakai oleh semua. Buku ini sesuai untuk pendidik khususnya, namun kita semua adalah pendidik untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya. Maka, aku rekomen buku ini untuk semua. Bagi mereka yang belum mengenali Hamka, aku turut cadangkan buku ini sebagai permulaan mengenali Hamka.

Buat semua pendidik, “Bebanmu akan semakin berat. Jiwamu harus kuat. Tetapi aku percaya langkahmu akan berjaya. Kuatkan peribadimu. Jangan berikan hidupmu kepada suasana. Hiduplah kerana keimanan dan kepercayaanmu.” - Hamka. Selamat berjuang para pendidik.

Quotes:
“Menulislah bukan semata-mata untuk mereka. Tetapi lebih utama adalah untuk dirimu sendiri.”

“Janganlah dibenci diri kerana naik turunnya motivasimu. Hanya ia perlu diuruskan dengan sebaiknya.”

Rating: 4/5 🌟
Terima kasih Jejak Tarbiah kerana memberi buku ini sebagai pertukaran untuk ulasan buku.

instagram.com/siriusiqa


Profile Image for Nur Othman.
Author 4 books6 followers
August 10, 2017
KEBUNTUAN TERJAWAB AKHIRNYA!

Saat Rusydi buntu mahu menulis laporan kisah lawatan ilmiahnya di Jepun, datang ayahnya yang disayangi & dihormati untuk membuka segala pintu kebuntuannya.

Kata Buya Hamka:

"Mengaranglah dulu dengan ILHAM. Kemudian baru engkau lengkapi dengan bahan bacaanmu. Bila terlalu bergantung dengan buku, laporanmu itu TIDAK HIDUP nantinya."
.
.
Sebuah buku yang sangat menarik.
Walaupun perbahasannya lebih terarah kepada kehidupan sebagai seorang pendidik, ada banyak sudut yang boleh digunakan & dipraktikkan oleh golongan yang bukan di dalam bidang ini.

Sungguhpun begitu, setiap daripada kita adalah seorang pendidik. Jika bukan kepada orang lain, ianya untuk diri sendiri.

HAMKA belajar dengan mengajar. Setiap detik hidupnya diisi dengan perjuangan untuk melahirkan generasi pendidik yang terbaik.

Sampai sekarang, karya penulisannya relevan kerana apa?

Kerana beliau merupakan manusia yang berfikiran jauh ke hadapan. Mahu melihat masyarakatnya tidak hidup dalam kebodohan & kebuntuan.

Sampai saat kematiannya, kata anaknya Rusydi, dalam pembaringannya, jari jemarinya masih bergerak menulis kalimah Allah.

Begitu cintanya beliau kepada ilmu!

Allah.

Tahniah kepada penulis buku ini, bro Muhammad Shah Ahmad Nor. Sungguh, banyak saya belajar terutamanya berkaitan sudut pandang yang berbeza dari pendidik kepada anak-anak didiknya.

Tahniah @jejaktarbiah kerana menerbitkan sebuah buku yang begitu menginspirasikan!

Salam Sayang,
NMO
Selesai Membaca
09.08.2017

#NMOReview #PesanHamkakepadaPendidik #HAMKA #ShowOffReading #JejakTarbiah #Goodreads
Profile Image for Shahrul AhLami.
188 reviews13 followers
October 30, 2017
Pesan Hamka kepada Pendidik. Muhammad Shah Ahmad Nor. Jejak Tarbiah. 2017.

1) Buku ini memang sedap untuk kau baca. Percayalah !

2) Apa yang menarik tentang buku ini ? Banyak perkara menarik & bermanfaat yang boleh kau ambil daripada buku ini.

3) Di dalam buku ini, menghimpunkan status-status ibrah pendidikan yang berinspirasi dari kisah Buya Hamka.

4) Pada mulanya, himpunan status-status itu ditulis & dikongsi oleh penulis hanya di dalam whatsapp group. Yang lebih menarik lagi, penulis menulis ketika di dalam bas @ komuter semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

5) Bila bercakap tentang pendidik, mesti kebanyakan daripada kita beranggapan bahawa pendidik itu hanyalah mereka yang bergelar guru. Kita silap. Sebenarnya, setiap daripada kita juga adalah pendidik walaupun kita bukanlah mereka yang berkhidmat sebagai guru. Kita adalah pendidik kepada diri kita sendiri.

6) Aku teringat kata-kata cikgu waktu zaman sekolah dulu. " Bantulah diri untuk membantu orang lain."

7) Aku nak tambah sikit. " Didiklah diri kita untuk mendidik orang lain."

8) Di dalam buku ini juga kau akan menemui mutiara-mutiara kata daripada Buya Hamka.

9) Kenal akan keindahan dan sanggup menyatakan keindahan itu kepada orang lain adalah bahagia.

10) Kalau kau nak tahu lebih lagi, kau kena baca sendiri buku ini. Kau takkan rugi bila baca buku ini. Selamat membaca !

#duniaBOOKku📚
#alonalonjanjikelakon
#breatheNread
#jejaktarbiah
#2017readingchallenge
[ LIMApuluhENAM ]
Profile Image for Muhammad Fitri.
152 reviews7 followers
July 20, 2017
Tahniah abang shah.Buku ini bukanlah secara terus HAMKA berpesan kepada pendidik.Ia merupakan ibrah dari kisah,sejarah dan tulisan HAMKA yang dapat diadaptasi kepada para pendidik hari ini.Terdapat juga beberapa idea dan cadangan penulis kepada pendidik untuk menghidupkan roh perjuangan pendidikan keterbatasan yang ada.Tulisan yang menggali sedikit sejarah pendidk ummah rasulullah dan buya HAMKA untuk diambil pengajaran.Dan paling penting buku ini adalah motivasi kepada para pendidik yang berjuang bermatian-matian demi memastikan generasi manusia terus hidup dengan penuh sifat kemanusiaan (Bukan tuhan,bukan binatang dan bukan robot).Seterusnya menuju kepada kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.Selamat berjuang para pendidik.
Profile Image for Syahiran Ramli.
221 reviews14 followers
November 16, 2017
Pesan Hamka Kepada Pendidik merupakan sebuah buku tulisan Muhammad Shah Ahmad Nor yang menjadikan Hamka sebagai sumber inspirasi dalam mendidik seseorang. Buku yang diterbitkan oleh Jejak Tarbiah ini terkandung 40 pesanan ringkas yang mana penulis cuba mengaitkan antara hubungan pendidik dan anak didik sebagai suatu pertalian yang penting dalam sistem pendidikan. Pendidik itu bukanlah hanya termaktub yang bergelar ‘guru’ sahaja, bahkan ia menjadi satu tanggungjawab semua dalam memastikan setiap anak didik itu memiliki peribadi yang baik.

Setiap daripada kita terutamanya golongan ibubapa menginginkan yang terbaik buat anak-anak. Hati kecil mereka pasti akan terselit sebuah harapan yang mahukan anak-anak ini mampu menghadiahkan suatu bentuk kebahagiaan buat diri mereka apabila anak-anak ini menjadi dewasa kelak. Begitulah juga buat Haji Abdul Karim Amrullah (HAKA) iaitu bapa kepada Abdul Malik (HAMKA) yang mahukan Hamka mengikuti jejak langkahnya sebagai seorang ulama’. Sesuatu matlamat yang hendak dicapai itu bukanlah hanya bermain di bibir sahaja, sudah tentu memerlukan tindakan susulan. Hamka telah dihantar ayahnya untuk menuntut ilmu di pelbagai pusat pendidikan dan seterusnya mengharapkan Hamka meneruskan pembelajarannya di Mekah.

Hamka untuk menjadi Hamka yang kita kenali sekarang bukanlah satu jalan yang mudah. Ia memakan satu tempoh yang panjang dan berliku dan proses ini tidak akan terhenti selagi mana roh dikandung badan. Seperti kanak-kanak kebiasaan, Hamka semasa kecil tidak kurang nakalnya. Sering kali melarikan diri ketika disuruh untuk mempelajari al-Quran dengan mengikut bapa saudaranya menangkap ikan, ‘berlakon’ menjadi doktor sehingga menyebabkan kanak-kanak yang lain habis dilukainya dan pelbagai lagi karenah nakal Hamka sewaktu kecil. Halangan-halangan sebegini sudah semestinya menjadi satu kelaziman buat pendidik. Apa yang penting adalah bagaimana seorang pendidik itu dalam menangani dan menyesuaikan diri ketika menghadapi karenah sebegini.

Secara keseluruhannya buku yang terkandung 232 halaman ini boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada warga pendidik tidak kira siapa sekalipun dalam memastikan lahirnya generasi yang berkualiti. Sekalipun buku ini bukan ditulis oleh Hamka, bagi yang tidak pernah membaca mana-mana tulisan Hamka maka buku ini sangatlah bagus untuk menjadi permulaan mengenalinya.
Profile Image for SITI NURBAITI MOHAMED.
82 reviews20 followers
August 24, 2019
Sebagai seorang guru novis, saya terhutang budi dengan penulis buku ini. Saya banyak belajar dengan situasi di sekolah dan buku inilah yang menjadi peneman serta panduan untuk saya lebih positif dengan cabaran perguruan. Jangan mudah mengalah dengan situasi. Redha, sabar dan bangun dengan lebih kreatif.
Profile Image for Norziati.
Author 9 books84 followers
September 9, 2017
Sama ada tulisan Hamka atau kisah hidup Hamka, kedua-duanya dilihat dari satu aspek lain yang boleh menjadi pedoman kepada pendidik. Ini boleh dikatakan satu pendekatan yang menarik. Penulis berjaya melihat dari sisi yang cukup baik bagi pendidik menerapkan kaedah terbaik kepada anak didiknya.
Profile Image for anahashim17.
90 reviews15 followers
October 15, 2023
Alhamdulillah selesai lagi membaca sebuah buku. Kenangan pulang daripada mendaki Gunung Rinjani, Lombok Indonesia menggerakkan diri pembaca untuk membeli karya berkaitan Hamka. Ingin mengenali lebih lanjut susuk tubuh HAMKA yang kerap kali dibanggakan oleh rakyat Indonesia apatah lagi Malaysia.

Kali ini pilihan pembaca kepada genre topik pendidik. Entah mengapa,rasanya perlu untuk pembaca meletakkan dirinya sebagai seorang pendidik setelah hampir setahun bekerja di hospital pengajar. Adakalanya pembaca perlu membawa pelajar untuk berjumpa pesakit, memberi didikan yang terbaik kepada pelajar, maka terdetiklah pembaca untuk memahami jiwa pendidik yang bukan mudah tugasnya, malah lebih berat daripada apa yang dibayangkan.

HAMKA juga dipilih sebagai pendidik setelah pembaca menonton Buya Hamka di Netflix dan mengenali watak beliau daripada kisahnya yang dimainkan di layar Netflix.

Oh ya, sebab itu ramai indonesia mula merantau di usia yang muda

Banyak kata-kata hikmah yang boleh dipelajari daripada karya terbitan penulis Muhammad Shah. Moga pembaca juga berpeluang untuk menerbitkan buku sendiri bergenrekan dietetik, yang dekat dengan hati pembaca.

Terima kasih.
Profile Image for Syuhadah Ainin.
20 reviews9 followers
May 18, 2020

“Dalam melaksanakan tugasnya sebagai khalifah, manusia juga memerlukan pendidikan yang bersifat material. Hanya dengan kedua-duanya (pengajian iman dan material) manusia mampu melaksanakan tugas sebagai khalifah dengan sempurna.”
-Tafsir Al-Azhar

Sepanjang membaca buku ini, saya membuat kesimpulan bahawa:

1. Pendidikan yang berkualiti adalah pendidikan yang mengutamakan kepentingan akhlak (budi) dalam setiap perkara.

- Mana mungkin kita mampu mencorak pelajar, kalau nilai akhlak tak diterapkan dahulu, kan?

2. Pendidik haruslah kreatif mencorak pendidikan yang kondusif

- Contohnya, dalam menerapkan unsur KBAT. Jangan dibiarkan anak didik kita hanya taklid buta semata-mata. Takut tersontot pada usia dewasa.

3. Pendidik tidak harus menyerahkan diri pada suasana

- Letakkan visi dan misi yang jelas dalam dunia pendidikan ini

4. Sarana guru dan ibubapa amat penting dalam mencorak sistem pendidikan yang berkualiti

- Ambillah contoh pendekatan Kuliyatul Mubaligheen dan Pesantren Buya Hamka di Maninjau. Sinergi antara kedua-dua pihak, berjaya melahirkan anak didik yang diharapkan

5. Pendidikan merupakan solusi panjang buat mengatasi kebejatan ummah.

Sangat dicadangkan kepada para ibu bapa dan pendidik tercinta 😊

5/5
Profile Image for Maisarah Mohd.
Author 1 book42 followers
August 25, 2018
Pada awalnya saya sangka buku ini tentu berat isi kandungannya, rupanya setelah menamatkan bacaan, betapa cepat masa telah berlalu... Sekurang-kurangnya inilah yang saya rasakan. Betapa buku ini dekat di jiwa saya... Saya bukan seorang guru, tapi saya seorang pelajar. Masih belajar dan akan terus belajar. Buku ini sungguhpun ditulis untuk para pendidik atau guru, tapi ia sangat bermanfaat buat ibu bapa dan para pelajar juga.

Kalau kita bukan pendidik buat orang lain, kita adalah pendidik buat diri sendiri.
Profile Image for Muhammad Zulhilmi.
41 reviews5 followers
August 8, 2018
Buku ini bukanlah tulisan dari HAMKA tapi penulis menjadikan kehidupan HAMKA sebagai pengajaran untuk pembaca. Buku ini ibarat nasihat-nasihat kepada pendidik-pendidik di luar sana. Amat sesuai untuk bakal-bakal cikgu yang akan melaporkan diri ke sekolah-sekolah.
Profile Image for Norsamila Samsudin.
Author 9 books49 followers
February 28, 2021
Judul buku: Pesan HAMKA Kepada Pendidik
Penulis: Muhammad Shah Ahmad Nor
Penerbit: JT Books PLT / Jejak Tarbiah
Tahun terbit / Cetakan: 2021 / Cetakan ketiga
Jumlah muka surat: 224
Harga: RM28.00
Tarikh baca: 14 Feb 2021 ~ 22 Feb 2021
Pengulas: Norsamila Samsudin

Resensi buku:
Sebuah buku inspirasi kisah HAMKA oleh Muhammad Shah Ahmad Nor, salah seorang peserta Kembara Menjejak Buya HAMKA, anjuran Komuniti Jejak Tarbiah. ‘Pesan HAMKA Kepada Pendidik’, bukan sahaja bercerita tentang ‘pesanan’, tetapi isinya banyak bercerita juga tentang kehidupan HAMKA semenjak kecil sehinggalah di saat kematian memanggil. Kisah yang dicatat, lalu ditulis semula dalam bentuk inspirasi sebuah kisah. Cerita lisan yang kini menjadi tulisan. Turut terselit kisah tokoh besar yang lain seperti B.J Habibie. Juga kisah-kisah di zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat Baginda. Malah, penulis turut menyelitkan beberapa situasi yang dihadapi oleh para pendidik masa kini dalam berdepan dengan kerenah anak didik, ibu bapa dan pentadbir.

Ulasan buku:
Sewaktu awal pembacaan, saya sudah jatuh hati dengan garapan penulis. Mungkin kerana inspirasi terhadap tokoh besar (Buya HAMKA), telah membuatkan penulisan penulis ini berentak indah dengan bahasa mudah.

Membaca buku inilah, baru saya tahu bahawa ‘HAMKA’ itu adalah akronim daripada nama ‘Haji Abdul Malik Karim Amrullah’, iaitu nama penuh, HAMKA. Abdul Malik, namanya. Sementara, Karim Amrullah itu nama ayahnya, yang kemudian ayahnya itu, dikenali sebagai Haji Rasul. Allahuakbar, selama ini saya hanya pandai menyebut ‘HAMKA’, tanpa mengenal nama sebenar tokoh besar ini.

Di dalam buku inilah, saya mula mengenali HAMKA. Tidak disangka yang HAMKA seorang anak nakal, yang pernah ponteng sekolah kerana bosan dengan kaedah penghafalan yang ditekankan oleh pendidik di zamannya. HAMKA kecil sudah pandai memberontak dan mengkritik sistem pendidikan. Cuma, cara beliau terlihat mentah seiring usia dan sepanas darah muda.

Saya juga agak terkejut bila didedahkan dengan kenyataan yang HAMKA ketika di zaman remajanya berhadapan dengan perceraian orang tuanya. Jiwa mudanya mulai memberontak. Dari sini, kita boleh lihat bahawa kehidupan tokoh hebat juga, sama seperti kehidupan orang-orang biasa. Tidak lari daripada diuji dengan ujian berat. Tetapi, pengakhirannya, dia tetap berjaya menghidupkan jiwanya, tumbuh menjadi seorang tokoh besar agama.

Ujian bukan halangan bagi dia meneruskan rasa cinta kepada ilmu dan menyebarkannya.

Saya menjadi termotivasi bila membaca pendirian HAMKA yang memilih pendidikan sebagai satu jalan pelaburan akhiratnya. Jauh sungguh fokus HAMKA. Dan, bila seseorang memilih akhirat sebagai fokus, maka segala yang berkait dengan keuntungan, dipandang kurang nilai. Kerana itulah, HAMKA telah menubuhkan sebuah sekolah yang pendidikannya bersifat gratis atau percuma.

Penubuhan sekolah ini juga adalah usaha HAMKA dan keluarganya untuk mencipta satu sistem pendidikan mengikut acuan HAMKA. Beliau pernah berasa bosan dengan cara pengajaran lama - penghafalan, kepatuhan tanpa diberi ruang menyuarakan pendapat.

Semenjak pengajaran ayahnya, Haji Rasul lagi, mereka telah mengubah sistem pendidikan. Haji Rasul sendiri membuka peluang kepada para pelajarnya untuk menegur jika dia sebagai pendidik ada kesilapan. Malah, diberi kelonggaran dan peluang kepada pelajar-pelajarnya untuk memberi pendapat dan mengenengahkan hujah, membantah hujah-hujahnya dengan bukti ilmu.

Bagi ayah HAMKA, Haji Rasul, penghujahan pelajar dengan guru, bukan melanggar adab; sebaliknya satu perkara untuk memperteguh ilmu guru dan kefahaman pelajar. Seorang pendidik mengutamakan kebenaran, berbanding ego seorang pendidik.

Memang tercalar ego pendidik bila dicabar berhujah untuk ilmunya. Tetapi, jika seorang pendidik itu melihat kritikan dan teguran itu datangnya daripada Allah, hati akan lebih lapang. Kritikan pelajar, Allah datangkan sebagai cara Allah mendidik hati pendidik agar menjadi lebih terbuka dan merendah diri terhadap perkara ilmu.

Saya suka, bila di setiap bab, ada ayat yang membuatkan hati saya tersentap. Tercabar rasanya bila matlamat hidup kita sebagai hamba Tuhan, dicuit. Hati yang layu segera segar. Ayat ini, ‘Orang yang tidak ada apa-apa, tidak boleh memberi apa-apa’. Benar. Jadi, bagaimana untuk memberi? Kita perlu ada ilmu. Saya bertanya kepada diri saya, ilmu apakah yang boleh saya kongsikan dengan orang lain sebagai bekalan akhirat? Ada yang sedikit, tetapi jika asyik itu sahaja yang dikongsikan, tentu menjadi muak.

Sungguh, hidup ini perlu ditambah ilmunya. Bukan hanya berpuas hati dengan apa yang ada. Tua pada umur, tidak tua pada pencarian ilmu – dunia apatah lagi akhirat.

Pendidik bukan hanya guru dan ibu bapa. Tetapi, pendidik itu adalah sesiapa jua yang ingin mencambah ilmu yang dia ada, sebelum menjalankan tugas mendidik. Kita semua adalah pendidik. Kita perlu bersedia dengan perubahan sistem pendidikan yang kian mencabar. Jika tidak punya anak didik, kita masih boleh mendidik diri sendiri.

Hal ini mengingatkan saya kepada sistem pendidikan negara kita pada waktu sekarang. PDPR – Pendidikan dan Pembelajaran di Rumah. Rata-rata, ramai yang tertekan. Bukan hanya pelajar, tetapi juga guru dan ibu bapa. Sistem baru yang memberikan kejutan budaya. Malah, terkejut juga poket ibu dan ayah.

Semua yang baru itu memang sukar. Tetapi, bila membaca buku ini, hati rasa terpujuk. Ia mungkin bukan solusi kepada keseluruhan masalah pendidikan kita, tetapi pada saya ia membuka mata tentang apa yang perlu kita buat dan apa yang perlu kita, redha.

Pada muka surat 10, penulis ada menulis,
‘… pendidikan itu ada ruang ilmunya yang tersendiri. Bahkan ia perlu sentiasa dikemas kini dengan perubahan semasa dan mendekati jiwa insani.’

Saya tertarik pada perkataan ‘kemas kini’. Ya, jika kita masih mempertahankan sistem pendidikan lama sebagaimana zaman kita dahulu, kita akan tertekan untuk mengajar (tidak kira sama ada kita ini adalah guru, atau ibu bapa).

‘Kemas kini’ bermakna, bersedia dan bersikap terbuka untuk mendalami ilmu baru. Jika ia berkait dengan teknologi, dan kita sejenis yang buta IT, kita tetap kena bersedia untuk mempelajarinya demi kesinambungan pembelajaran kepada generasi masa hadapan.

Pendidikan pada HAMKA, tidak hanya terhad mengajar secara lisan. HAMKA juga melakukannya melalui penulisan. Penulisan yang mendidik generasi zaman berzaman bila buku-buku beliau dicetak kembali.

Malah, HAMKA sendiri mendidik hatinya melalui pembacaan semula hasil tulisan sendiri. Pada ketika itu, beliau sedang rusuh hati dan hampir berniat membunuh diri, bila dipenjara dan melalui fitnah demi fitnah. HAMKA telah menyelak kembali bukunya ‘Tasawuf Moden’ yang isinya tentang ujian-ujian hidup. Lalu, beliau bangkit dan redha dengan apa yang Allah telah aturkan untuknya.

Jujur saya kata, ia sebuah naskhah motivasi. Bacalah. Ada banyak isi yang mencelikkan mata hati. Insya-Allah, mendekatkan juga kita kepada Ilahi.

#pesanhamkakepadapendidik
#HAMKA
#muhammadshahahmadnor
#jejaktarbiah
#malaysiamembaca
#klwbc
#PPM2021
#JomBaca
#letsreadandreviewwithPPM
#resensibuku
#ulasanbuku
#booktuber
#booktubeMy
#booktubeMalaysia
#norsamilasamsudin
Profile Image for farratiq.
47 reviews7 followers
June 8, 2021
Apa kekuatan buku ini?

Kekuatannya ialah gabungan dua isi utama yang dikupas oleh penulis.

Pertama, kisah Buya Hamka.
Kedua, kisah zaman Nabi dan para sahabat.

Saya suka baca/dengar nasihat yang begini kerana bagi nasihatnya adalah nasihat yang berasas, bukan membuta tuli. Pesanan yang akan mengajak pembaca/pendengar berfikir untuk menyelesaikan masalah mengikut kesesuaian keadaan. Kadang-kadang kita suka dengar cerita hidup orang tapi tak tahu macam mana nak ambil iktibar bagi digunakan dalam kehidupan sendiri.

Haa. Buku ini dah tolong ambilkan iktibarnya, tinggal nak baca je.

Ayat yang paling saya suka dalam buku ini ialah “Jangan sesekali menyerahkan hidupmu kepada cabaran sekeliling. Ingatkan kembali niat ketika langkah pertama memilih jalan mendidik ini.” (Pesan Hamka kepada Pendidik, halaman 155)

Ayat, atau boleh saya katakan bab yang sangat sesuai dengan suasana pendidikan sekarang. Benar, buku ini ditulis sebelum pandemik Covid-19 ini berlaku, tetapi nasihat daripada kehidupan Buya Hamka serta teladan daripada kisah zaman Nabi dahulu sebenarnya banyak memberikan panduan kepada kita. Ya, panduan, bukannya jawapan. Harus dibezakan dua perkara ini.

Mengajar dalam suasana sekarang ini, jujur katakan, letih mental dan emosi. Acap kali ternampak hantaran daripada pelajar tak kira dari sekolah menengah hinggalah ke universiti, membuatkan hati juga terasa letih. Mereka hampir lemas, seperti pendidiknya juga hampir lemas.

Nasihat dalam buku ini sedikit sebanyak mengajak pendidik untuk berfikir semula tentang tanggungjawab kita, serta diingatkan semula tentang keindahan tuaian di akhir nanti. Waktu letih, kadang-kadang memang sukar untuk mencari cara untuk terus berharap. Pilihan untuk berhenti atau putus asa itu kedengaran lebih mudah.

4 bintang sebab gaya penulisan boleh diperbaiki lagi.
Profile Image for Syawal Ameron.
202 reviews2 followers
January 8, 2020
"...Kesemua pendidik pernah menjadi anak didik pada suatu ketika dahulu:

Renungkan sebentar apakah kenangan yang tidak dapat anda lupakan semasa anda menjadi anak murid?

Andai dikenang peristiwa dirotan ditengking kerana lambat memahami subjek apakah perasaan yang timbul di hati? Pasti akan timbul satu bibit kemarahan di hati kita lebih menyedihkan apabila minat kita kepada sesuatu subjek boleh luntur kerana sikap keras kita.

Andai dikenang pula para guru yang penyayang, tidak lokek untuk memuji sentiasa mendorong andai kita kurang motivasi apakah perasaan yang timbul di hati?

Pasti akan timbul suatu kerinduan pada sosok guru tersebut. Bahkan hati kecil ini mungkin berdoa untuk kesejahteraan para guru mithali ini.

Dan ingatlah setiap anak murid kita pada hari ini sedang membina kenangan bersama kita. Mereka akan meningkat dewasa dan memori itu akan kekal dalam hidup mereka.

Persoalannya, kenangan apakah yang kita mahukan bersama pelajar kita?..."

Pesan HAMKA pada pendidik.
Profile Image for Luqman.
26 reviews2 followers
March 29, 2020
Naskhah 'Pesan Hamka Kepada Pendidik' ditulis oleh seorang eksekutif muda bidang Kejuruteraan Kimia. Dari sudut berbeza, mengagumkan saya apabila ada anak muda dari bidang yang yang berbeza tetapi menginspirasikan Buya Hamka.

Tulisannya ini menunjukkan penulis membaca banyak karya Buya Hamka sekaligus menunjukkan minatnya terhadap tokoh ulama nusantara itu.

Perkara penting dalam naskhah setebal 232 halaman ini seolah-olah huraian penulis terhadap pesanan-pesanan yang dikutip dari pelbagai karya besar Buya Hamka dan diterjemahkan dengan cerita-cerita semasa.

Tahniah buat penulis dan penerbit. Selamat membaca.
Profile Image for Khairul Amirin.
17 reviews1 follower
December 13, 2019
Buku yang memberi guide bagaimana untuk menjadi seorang guru yang berji2a pendidik, bukan hanya pengajar. Kerana dua istilah itu sangat berbeza.
Profile Image for Shahirah.
15 reviews3 followers
January 2, 2023
Selesai membaca karya Pesan Hamka kepada Pendidik terbitan daripada Jejak Tarbiah telah menyuntik ke dalam jiwa agar menjadi guru yang berjiwa pendidik yang mendidik dengan penuh cinta bukan sekadar menjadi guru atas tuntutan kerja semata.

Buku ini memampatkan mengenai pesanan, nasihat dan cadangan HAMKA kepada mereka yang bergelar pendidik. Buku ini juga mengisahkan secara ringkas perjalanan pendidikan yang dilalui oleh HAMKA dari kecil sehingga dewasa, HAMKA juga mempunyai kisah kenakalan sewaktu kanak-kanak namun disebabkan didikan oleh murabbi yang mendidik dengan cinta, tadabbur daripada alam, pengalaman hidup dan pengembaraan yang dilakukan oleh HAMKA sewaktu usia muda lagi telah menjadikan HAMKA seorang ulama, ahli politik dan pendidik yang disegani di nusantara.

Jika ditanya buku ini wajib dibaca oleh siapa, saya sarankan buku ini ditelusuri oleh semua golongan dan tidak semestinya khusus kepada golongan pendidik dan ibu bapa sahaja kerana HAMKA berpesan “setiap daripada kita adalah pendidik walaupun kita bukanlah berkhidmat sebagai guru. Kita adalah pendidik kepada diri kita sendiri”. Huraian setiap bab daripada penulis disusun dengan sangat rapi merangkumi kisah perjuangan HAMKA dalam pendidikan, dikaitkan dengan sistem pendidikan pada masa kini, disertakan kata-kata hikmah HAMKA dan kisah-kisah yang bagus untuk direnungi agar menjadi pendidik yang terbaik.

Akhir kata, wahai yang bergelar pendidik, didiklah anak didikmu mencintai ilmu. Namun, jangan dilupakan dirimu sendiri untuk direnung, mengapa aku mendidik? Kerana tanpa cinta mendidik, hampir mustahil untuk melahirkan anak didik yang mencintai ilmu. Semoga kita menjadi pendidik yang mendidik dengan penuh cinta.
Profile Image for Fatini Zulkifli.
433 reviews40 followers
April 25, 2025
Saya sebagai guru di sekolah menengah berasa buku ini 'kering' dan membosankan. Sayang sangat sebab HAMKA ialah sosok ulama yang disegani. Saya telah baca beberapa novel HAMKA dan sangat menyukai karya-karya beliau. Ia menjadi pemangkin kepada minat untuk mengetahui idea-idea HAMKA tentang bidang pendidikan. Setelah melabur RM28, saya berperang dengan diri sendiri selama lebih sebulan untuk menghabiskannya.

Penulisan penulis tidak engaging. Isinya pula agak bersimpang-siur. Memanglah ada bahagian "Kandungan" untuk dijadikan kompas sepajang pembacaan. Tetapi ia tidak membantu sebab bahasanya too stiff, feel flat and mechanical. Mohon penulis banyakkan baca buku Ustaz Hazrizal Abdul Jamil dan Cikgu Fadhli Salleh untuk belajar mengolah cerita dunia pendidikan dengan menarik.

Saya rasa penulis bukanlah orang yang tepat untuk menulis tentang bidang pendidikan kerana penulis bukan seorang guru di sekolah. Tidak seharusnya seorang yang bukan ahli menulis tentang bidang di luar kepakarannya. Jadilah guru untuk setahun di sekolah saya. Hadaplah pelbagai ragam murid seperti melakukan gangguan seksual, mencuri, pukul, melakukan ugutan rog*l terhadap rakan perempuan, rokok, curi duit, hantar kertas kosong tanpa usaha dan enggan belajar. Dalam masa yang sama, perlu menghadap birokrasi, kokurikulum, pertandingan, rungutan ibu bapa, bawa murid bertanding, hias kelas, pencerapan dan handle 35 murid dalam satu masa.

Selepas kumpul puluhan tahun pengalaman menjadi guru, barulah boleh kaitkan dengan falsafah HAMKA. Ustaz Hazrizal Abdul Jamil dan Cikgu Fadhli Salleh orang yang tepat untuk menulis perihal ini.
Profile Image for Aisyahreads.
2 reviews
May 4, 2023
Membaca penulisan buku ini, membuatkan saya merenungi dan merefleksi setiap tindakan dan cara yang saya gunakan setiap hari untuk mendidik dan mengajar kanak-kanak di sekolah. Kata penulis, “pandulah cinta anak didikmu agar mencintai ilmu lebih dari dirimu.” Banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam diri ini, agar bukan sahaja menjadi pengajar malah pendidik.

Hakikatnya, meskipun para guru tugasnya mengajar, namun peranan guru itu amat besar dan luas dari aspek itu dalam membaiki kelompongan besar dalam nilai akhlak generasi pada masa kini.

Pesan penulis juga, pendidik harus selalu menuntut ilmu sepertimana kecintaan Buya HAMKA kepada ilmu. Dengan perubahan zaman, sebegitu jugalah ilmu pendidikan kita perlu berevolusi dan diperbaharui agar pedagogi pembelajaran itu relevan dengan perkembangan zaman dan suasana.

Kupasan buku yang sangat ringan namun padat dengan teguran dan cadangan kepada para pendidik. Diselangi dengan kisah pada zaman Nabi, para sahabat dan juga kisah ulama, kisah HAMKA sendiri dan dikaitkan dengan keadaan semasa pembelajaran di Malaysia. Penulis juga mencatatkan petikan-petikan yang terdapat dari karya-karya HAMKA, membuatkan saya ingin menerokai dan membaca karya penulisan HAMKA yang lain.

Buat para pendidik, teruskan perjuangan dalam pendidikanmu hingga ke akhirnya.

“Pendidikan ialah penyelesaian jangka panjang buat kebejatan ummah. Mungkin juga sang pendidik tidak sempat melihat hasil didikannya di “sini”, tetapi yang lebih penting adalah di “sana” iaitu akhirat.”

#pesanhamkakepadapendidik
Profile Image for Amira Nadhirah.
46 reviews1 follower
October 4, 2021
Buku ni dibeli dan sampai tepat pada masanya, alhamdulillah :)

Buat diri ini yang baru melangkah ke alam pendidikan, memang semua masalah-masalah yang diceritakan penulis dalam buku ini, dirasai dan dialami. Saya fikir hanya saya yang terlalu lemah dan gagal, tak mampu melakukan tugas ini sebaiknya. Sentiasa ada kesalahan dan kekurangan dalam pembawakan. Namun, rupanya ia adalah lumrah setiap pendidik. Bahkan itulah sunatullah kehidupan dalam membimbing manusia ke arah kebaikan.

Selitan sirah-sirah zaman nabi dan sahabat, kisah-kisah hamk an kisah-kisah contoh seterusnya cadangan penyelesaian tentang cara menghadapi kebuntuan, amat membantu menyedarkan saya semula, bahawa sememangnya tugas ini tak mampu saya pikul sendiri. Kehidupan kita juga begitu, tak harus bersandarkan diri sendiri, kerana kita ada Pencipta kita. Dia yang mengatur segalanya :’)

Kadang-kadang tekanan kerja ,membuatkan manusia lupa tentang hakikat yang satu itu.

Buat mereka yang hampir berputus asa,
Sebagai pendidik,
Sebagai ibu bapa,
Sebagai pendakwah,
Sebagai khalifah buat diri jua,

karya ini buat anda.
Profile Image for Syaa Fauzi.
2 reviews
January 8, 2022
Pertama kali membacanya pada tahun 2019. Sengaja diulang baca sekali lagi sebelum sesi persekolahan bermula pada minggu depan. Memilih untuk mencari buku motivasi buat seorang pendidik yang adakalanya hanyut dibawa arus PdPR & keletihan dengan tugasan lain melebihi tugasan mengajar.

Terima kasih untuk nasihat & pesanan allayarham Buya Hamka buat kami para pendidik. Buat penulis juga, terima kasih atas analogi yang mudah difahami. Setiap akhir topik juga diselitkan doa & kata-kata semangat untuk para pendidik kekal melangkah dengan tegap.

Hanya dengan semangat perjuangan yang tinggi, seorang pendidik sentiasa bersedia memperbaiki diri. Pendidik akan bersedia diajar & belajar. Sentiasa bersedia memberikan yang terbaik untuk anak didiknya, kerana mereka tahu, mendidik ini hasil besarnya bukan segera. Pendidikan adalah solusi jangka panjang tentang permasalahan ummah.
Profile Image for siso.sofy.
254 reviews4 followers
November 12, 2021
“Hidup ini bukanlah suatu jalan datar dan ditaburi bunga semata-mata melainkan adakalanya disirami air mata dan darah…..” Buya Hamka

Jalan dalam dunia pendidikan ini tak mudah namun dengan niat yang betul dan iltizam untuk mendidik generasi jadi generasi yang terbaik, ianya pasti membuahkan hasil yang terbaik.

Kumpulan nasihat dan refleksi untuk pendidik dalam buku ini sangat sesuai dengan situasi pendidikan kita pada hari ini. Belajar dari semangat dan inspirasi Hamka yang benar-benar menjiwai karakter pendidik.

Tugas pendidikan adalah tugas yang sangat berat, namun ilmu yang dibekalkan dan menjadi amal yang baik adalah salah satu dari tiga amal yang tidak putus selepas kita mati. Mengajar itu juga adalah sebuah proses pembelajaran. Alhamdulillah
51 reviews
February 27, 2023
Menyoroti kisah hidup Pak Hamka di setiap bab dalam buku ini yang diselangi dengan situasi semasa pendidik sangat menginsafkan. Seolah-olah berkelana untuk berkenalan dengan jiwa pendidik Nusantara ini nyata menjadikan pembaca tertunggu-tunggu untuk bab berikutnya. Kisah sirah Rasulullah dan para sahabat yang disandarkan pada situasi nyata menjentik jiwa untuk lebih berfikir dan berdamai dengan lelahnya menjalani hidup yang berliku.

Jujur, olahan kisah, nasihat dan laras bahasa yang sesuai untuk pencinta ilmu membuatkan jiwa ini bagai bumi yang tandus disirami air hujan. Pendidikan bukanlah sekadar hal sehari dua bahkan ia amat diperlukan di sepanjang jalan hidup. Very recommended if you are in need of inspiration and motivation to be more sincere to be the educator of this generation.
Profile Image for Hidayah Fauzi.
177 reviews3 followers
November 3, 2021
Buku yang sangat baik untuk dibaca. Bukan kepada guru sahaja tetapi kepada ibubapa yang digelar pendidik ketika anak2 masih kecil.

Buku yang menyentuh kenapa, bagaimana dan untuk apa kita berkerja sebagai pendidik. Satu ayat yang saya suka daripada buku ini bilamana penulis memberitahu kita sendiri perlu ada visi sebelum memulakan visi pada anak2.

Kagum pada penulis dan isteri. Semoga kita semua dapat membaca, menghayati dan mengamalkan apa yang baik daripada buku ini. Kita semua. Kerana mendidik bukanlah semata tugas seorang guru dan ibubapa.

Pernah dengar pepatah bahasa Inggeris, "it takes a village to raise a child."
Profile Image for Mawarni My.
2 reviews
April 18, 2018
Saya suka relatasi antara setiap sub-bahagian. Bagaimana ibrah yang boleh diambil dari perjuangan terdahulu RSAW, para sahabat, para hukamak dan Buya Hamka sendiri untuk para pendidik dalam menghidupkan roh perjuangan pendidikan pada masa kini. Saya kira buku ini sangat bermanfaat buat semua, khasnya para pendidik. Moga-moga ilmu yang disampaikan benar-benar terkesan dan melekat dalam jiwa kita semua. InsyaAllah. Selamat berjuang, wahai pendidik!
Profile Image for Farah Mohd Noor.
31 reviews65 followers
May 22, 2018
Recommended kepada para guru khususnya, banyak mutiara-mutiara yg boleh dikutip dan diamalkan seterusnya dijadikan kekuatan sepanjang perjalanan mendidik anak murid.

Ibu bapa juga boleh mendapat manfaat dari buku ni, menariknya buku ni ada diceritakan seerah dan juga cerita pengajaran, kemudian dikupas oleh penulis dengan buah fikirannya sendiri, membuatkan penulisan lebih santai dan mudah utk kita garap nilai nilai pengajaran yg ingin diketengahkan oleh penulis.
Profile Image for Naili Husna.
9 reviews
January 9, 2023
Motivasi untuk pendidik dari kacamata HAMKA.

Selepas baca buku ini, saya sampai kepada kesimpulan bahawa sebenarnya kita semua adalah seorang pendidik. Semua orang ada tanggungjawab mendidik tu. Pendidik bukan hanya guru sekolah, guru kolej, guru tuisyen dan pelbagai nama formal lain. Ibubapa di rumah adalah pendidik sejati.

Yang nak tumbuhkan kesedaran mendidik tu, boleh mula dengan buku ini.
Profile Image for Nursyafiqah Wai.
112 reviews3 followers
April 6, 2020
Alhamdulillah berjaya menghabiskan buku ini. Bukan sedikit tetapi banyak perkongsian dan nasihat di dalamnya. Buku ini wajib dibaca terutama oleh pendidik agar sentiasa berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam bidang pendidikan. Kisah hidup buya Hamka yang dikongsikan juga bisa menginspirasikan para pendidik mahupun ibu bapa dalam mendepani cabaran mendidik masa kini.
Profile Image for Niena Aniesza.
195 reviews7 followers
May 13, 2018
Buku yang menghimpunkan pengalaman dan perjuangan Hamka dalam pendidikan.

Menjadi pendidik itu bukan mudah, patah lagi dengan cabaran masa kini.

Kuncinya adalah ikhlas. Dan perlu sentiasa berpandangan jauh.
Displaying 1 - 30 of 37 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.