Jump to ratings and reviews
Rate this book

Kembara Darus Senawi 1963

Rate this book
Kembara Darus Senawi adalah coretan pengembaraan ilmu Ustaz Darus Senawi pada tahun akhir 60-an dan awal 70-an. Siapa yang suka buku sirah yang diterjemah daripada Bahasa Arab pasti kenal dengan individu ini. Beliau adalah penterjemah buku Rahiq Makhtum dan Fiqh Sirah.

Pengembaraan Ustaz Darus Senawi bermula apabila beliau mahu pergi ke Mesir. Cita-citanya untuk menuntut ilmu Sastera Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar. Disebabkan duit tidak mencukupi untuk menaiki kapal terbang, beliau memilih untuk menaiki kapal laut. Bersesak beramai-ramai dengan penumpang kapal yang lain, hingga bekalan makanan kehabisan sedangkan kapal masih jauh di tengah lautan.

Apabila kapal berlabuh di India, beliau terkandas pula di situ. Beliau terpaksa menumpang teduh dengan sebuah keluarga tempatan. Selepas empat bulan di sana, beliau hampir mati akal. Dapatkah beliau sampai ke Mesir?

Dapatkan buku ini di pasaran!

224 pages, Paperback

First published January 1, 2021

4 people are currently reading
15 people want to read

About the author

Darus Senawi

10 books7 followers
Dilahirkan di Perlis, Malaysia. Ustaz Darus Senawi yang merupakan seorang pakar Bahasa Arab kelulusan Universiti Al-Azhar ini banyak menterjemahkan karya-karya terkenal ke Bahasa Melayu seperti Ar-Raheeq Al-Makhtum karya Syeikh Sofiyyur Rahman Al-Mubarakfuri . Fiqh Sirah karya Sa'id Ramadan Al Buti, Kisah Nabi Muhammad S.A.W karya Fethullah Gulen dan banyak lagi.

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
28 (60%)
4 stars
15 (32%)
3 stars
3 (6%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 18 of 18 reviews
Profile Image for Zaghol .
1,115 reviews
February 13, 2021
Aku kurang berminat beli buku2 travelog, adalah aku beli buku Khairul Jamain dan What's Up Turks? sebab aku minat saluran youtube mereka.

Bila aku nampak iklan FB buku ni, aku tertarik dengan nama "Darus Senawi" sebab bunyi macam otai yang berpengalaman (haha), bila baca je sinopsis buku, memang! Memang aku kena beli buku ni sebab aku sangat berminat nak baca kisah seorang ustaz yang mengembara demi ilmu berbanding orang biasa yang kurang pengisian rohaninya yang asyik memuji awek negara mana paling lawa.

Jadi, setelah tamat pembacaan. Rasa kurang puas sebab kalau boleh nak panjang lagi. Penulis beritahu banyak lagi yang boleh dikongsikan cuma beliau memilih peristiwa yang penting2 sahaja, bayangkan penulis berkelana selama 7 tahun, takkanlah setebal 200 mukasurat sahaja? Harap ada sambungan.

Antara perkara menarik yang penulis kongsikan adalah budaya orang mesir yang kasar, memang kelakar. Nak tahu budaya2 negara lain yang menarik kena beli buku ni.

Penulis juga menyatakan antara banyak negara yang dia pergi, orang jerman paling baik sekali. Buat penulis berfikir kembali adakah tindakan Adolf Hitler itu betul? Adakah orang jerman hanyalah sekumpulan bangsa eropah yang baik hati yang cuma dipijak2 oleh Yahudi dari segi ekonomi lalu bangkit menghapuskan mereka, penulis juga berkata bahawa tindakan Hitler itu tetap salah dari agama islam cuma jerman telah kalah perang dan tidak dapatlah kita menikmati kisah sebenar kerana menurut penulis semua sejarah holocaust telah dikawal oleh Yahudi, bangsa yang banyak melakukan kerosakan sejak zaman nabi2 lagi tidak harus dipercayai langsung kata2 mereka. Penulis juga telah baca Mein Kampf karya Hitler untuk memahami sisi orang yang paling dibenci dalam sejarah ini. Menarik!

Buat peminat buku, anda pasti menyukai buku ini kerana penulis banyak menceritakan kecintaan beliau terhadap sastera dan beliau ada berkongsi nama2 penulis kegemaran beliau, saya senaraikan nama2 penulis tersebut di bawah tapi, jika ingin tahu ulasan Ustaz Darus tentang kenapa dia minat penulis2 ni boleh dapatkan buku ni:

1. SYEIKH MUSTAFA AL MANFALUTY
2. JURJI ZAIDAN
3. TAHA HUSAIN
4. SYEIKH MUHAMMAD AL-GHAZALI
5. TAUFIQ HAKIM
6. NAJIB MAHFUZ
7. YUSUF AL SIBAIE
8. MAHMOUD AL-AQQAD
9. IHSAN ABDUL QUDUS
10.IBN KHALDUN
11.ARNOLD TOYNBEE
12. QISSAH AL-ADAB FI AL-A'LAM
13. ANIS MANSOOR (HALUAN KIRI - WUJUDIYYAH, EXISTENSIALISME)
14. SYED QUTB
15. SYEKH ABDEL HAMID KESYK
16. DR MUHAMMAD AL-BAHIY

Buku ini sangat-sangatlah berbaloi untuk dimiliki jadi segeralah dapatkan selagi masih ada di pasaran.
Profile Image for Najibah Bakar.
Author 9 books351 followers
March 1, 2021
"Aku berkongsi dalam buku ini dengan matlamat supaya anak-anak generasi sekarang tidak mengharapkan ibu bapa atau institusi kewangan untuk melanjutkan pelajaran. Seharusnya, sebuah azam dan tekad itulah yang mengatasi segala-galanya. Biarkan azam itu yang mewarnai wawasan seseorang dalam apa-apa usaha khusus ketika berjuang melanjutkan pelajaran."

Benar sekali, buku ini telah berjaya mengangkat sebuah kisah keazaman menuntut ilmu. Keazaman begini hakikatnya kian pudar ditelan gaya hidup semasa, terutama dalam kalangan remaja yang begitu ralit dan terpesona dibuai hal-hal fatamorgana, sedangkan usia remajalah sepatutnya menjadi usia paling ghairah untuk menuntut ilmu. Pertama kerana remaja mindanya masih cergas dan badannya masih kuat. Kedua kerana remaja belum memikul tanggungjawab yang sukar seperti mencari nafkah dan membesarkan keluarga yang menyusutkan masa mencari ilmu yang berharga.

Dalam zaman serba mahu cepat sekarang, orang yang dianggap paling berjaya dan pintar ialah mereka yang paling tahu menjana wang tanpa perlu menghabiskan waktu lama untuk belajar, malahan ibu bapa sekarang ada yang berprinsip, "Apa gunanya belajar lama-lama di universiti (atau di mana-mana pun) jika duit habis tetapi apabila keluar nanti nak dapat kerja pun susah?" Maka, lebih baiklah anak-anak tahu mencari duit, biar ilmu secuit. Bahaya sekali pemikiran seperti ini!

Kata pengarang, Darus Senawi, "Bagi aku, pengembaraan dalam mencari ilmu seperti menuntut rahmah dan barakah daripada Allah SWT."

Inilah inti sebuah perjalanan ilmu – demi "rahmah dan barakah daripada Allah". Manusia itu akan berubah apabila rohaninya, atau dalamannya, atau spiritualnya berubah. Daripada ilmu dan kefahaman yang meresap ke dalam diri, baharulah manusia akan berubah keseluruhannya. Ilmu yang mengubah perspektif hidup seseorang. Bertitik tolak daripada keyakinan ini, maka seorang pemuda Malaysia sanggup menaiki kapal laut pada tahun 1960-an menuju ke bumi Mesir dan Universiti al-Azhar, walaupun sekadar menjadi penumpang di tepi tangga kapal.

Besarnya tawakal seorang pemuda ini, apabila orang yang diharapkan menyambutnya di India tidak muncul, beliau menyerahkan nasibnya kepada Allah. Maka Allahlah yang melorongkan jalan untuknya. Bacalah buku ini seterusnya untuk mengetahui susah peritnya selama empat bulan di India, sebelum diselamatkan seseorang dan dapat meneruskan perjalanan ke Mesir. Tempat tujuan asalnya.

Saksikan pula Mesir menyambut Darus Senawi, yang kemudiannya telah menggunakan segala peluang yang ada untuk meluaskan pergaulan serta pembacaan di sana. Sungguh, matahari Mesir telah mencerahkan ufuk fikirnya. Sekali lagi, dalam perjalanan pulang, beliau menjadi pengembara yang cekal dan berani, cuma kali ini beliau ada bekalan yang lebih bermakna iaitu ilmu yang telah beliau kutip di Universiti al-Azhar.

Sebagai peminat karya travelog yang bersifat pengembaraan ilmu (antara judul berharga yang terdapat dalam koleksi ialah Rihlah Ilmiah: dari Neomodernisme ke Islamisasi Ilmu Kontemporer, Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London dan Aku Ingin Kembara Lagi), karya al-Fadhil Ustaz Darus Senawi ini sangat menghiburkan dan ditulis secara santai tetapi tetap menggugah. Meskipun ada kesilapan editorial di sana sini, semua itu tidaklah terlalu mengganggu pembacaan.
Profile Image for Syed Fathi.
Author 18 books95 followers
February 17, 2021
Buku ini pada saya merupakan sebuah karya kembara legenda, unik, malah mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai "magikal". Itulah kuasa buku seperti yang dikatakan Carl Sagan, mampu membawa kita mengembara ke masa lalu. Karya ini legenda dalam pelbagai level. Pertamanya, ia merupakan coretan berharga, kisah pengembaraan orang dahulu, bagaimana orang dahulu punya kisah Euro Trip. Sisi ini sangat berharga kerana bagi saya orang-orang lama menyimpan pelbagai permata sejarah, dan permata itu hanya boleh kita temui jika mereka bertinta.

Yang kedua, ia mendedahkan sisi Ustaz Darus yang tidak diketahui sebelum ini. Saya kenal beliau hanya sekadar sebagai penterjemah, saya ada membaca Kitab Fiqh Seerah karangan Said Ramadhan Al-Buti yang diterjemah oleh Ustaz Darus semasa saya mengaji di St. Petersburg, Rusia, naskah ini memberikan saya sisi manusiawi pada penterjemah yang saya kenal itu.

Yang ketiga, buku ini membuatkan saya berasa takjub, dan mungkin sedikit cemburu dengan kesungguhan beliau mengembara dan bersusah payah untuk mencari ilmu. Beliau meredah lautan (secara literal) untuk mengejar cita-cita yang tersemat dalam jiwanya. Sanggup mengetepikan perasaan malu, perasaan rendah diri, perasaan tidak cukup, untuk keluar mengembara, melihat dunia dan menggali ilmu.

Benarlah tulisan beliau, bahawa dengan kembara, dengan menuntut ilmu, bersusah payah, kita akan menjadi insan yang lain. Pengembaraan, pembelajaran, pembacaan mengubah cara kita berfikir, cara kita berperspektif, juga cara kita memahami dunia dan segala isinya. Saya sendiri tidak dapat bayangkan pemikiran saya sekiranya saya sendiri tidak pernah kembara.

Bercakap perihal kembara, buku ini menjawab satu persoalan minda saya. Apakah barang keperluan yang paling penting untuk dibawa kembara? Buku nota dan pen! Dalam bingkisan kembara ini Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau akan duduk menulis dalam kembaranya, malah ada ketika penanya dicopet, segera dia membeli pena baru. Catatan kembaranya lengkap, dengan peristiwa, tarikh, juga nama watak. Sekali lagi ia membuat saya cemburu, saya ada juga mencoret sedikit kisah kembara saya dahulu disana sini, tetapi tidak selengkap Ustaz Darus. Alangkah bagusnya jika buku ini keluar dan saya baca ketika saya masih mentah remaja!

Dalam buku ini juga disebut dengan ringkas bagaimana Ustaz Darus bertemu semula dengan Ustaz Dahlan Mohd Zain sebagai tenaga pengajar di Madrasah Mashoor, Pulau Pinang. Mereka mengaji bersama sebelum itu di Madrasah Alawiyah.

Buku ini juga pada saya merupakan satu tinta yang jujur, Ustaz Darus menceritakan perihal bagaimana ketika terkandas di India, beliau dihimpit dengan kesusahan yang berat, sehingga terpaksa menumpang rumah di kampung setinggan bersama keluarga miskin Bombay. Kesusahan itu begitu menghimpit sehingga dia hampir hilang kepercayaan pada Allah dan ingin menukar agama. Namun akhirnya akidah beliau ditakdirkan selamat, kisahnya? Kena baca sendiri dalam buku ini.

Bingkisan ini juga secara tidak langsung memperbaharui kepercayaan saya pada institusi pendidikan Islam. Pelbagai kritikan dilemparkan pada institusi pendidikan Islam hari ini, antaranya bersifat kapitalis. Namun dalam buku ini saya kagum, bagaimana seorang anak kampung yang sebelum ini hanya bertukang dengan sebilah parang menangkap ikan keli di sawah, diberi biasiswa oleh Waqaf Al-Azhar sehingga mampu menjadi seorang intelektual yang menguasai sastera Arab. Walaupun keilmuan Islam sering diperlekeh kerana ketinggalan dari sudut teknologi dengan keilmuan Barat, namun melalui naskah ini, bagi saya secara peribadi, Universiti Al-Azhar yang berumur 1,000 tahun itu besar sumbangannya pada keilmuan juga pembinaan umat, dan tidak salah untuk dibanggakan.

Ketika Ustaz Darus menceritakan bagaimana beliau membeli kitab Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun untuk mencari semula frasa "Kezaliman petanda kepada keruntuhan tamadun" saya teringat pengalaman peribadi saya sendiri. Bagaimana setelah pulang ke Malaysia, saya membeli dan membaca buku Adam Smith, The Wealth of Nations setebal 1,264 muka surat, hanya untuk mencari semula frasa "the invisible hand" yang pernah disyarahkan oleh pensyarah ekonomi saya di universiti dahulu.

Buku ini sangat menyeronokkan untuk dibaca, saya sedikit sedih apabila habis dibaca dan menutupnya, alangkah baiknya jika ia disambung seratus mukasurat lagi! Buku ini bukan buku travelog tipikal, ia memperkenalkan banyak tokoh sastera Islam seperti Omar Khayyam, Imaduddin Asfahani, Taha Husain dan banyak lagi, sesuai dengan kepakaran beliau dalam sastera Arab.

Dalam penutupnya, Ustaz Darus menekankan bahawa untuk mencari ilmu, kita tidak seharusnya bergantung pada ibu bapa atau institusi kewangan, sebaliknya ia perlu didalangi azam, tekad, dan wawasan yang yang kuat. Penutup ini sangat mengesani hati saya. Saya ada duduk bersembang bersama isteri di meja makan, usia 30-40 tahun ini saya hendak cuba untuk menghabiskan sarjana. Manakala 40-50 tahun mahu cuba menghabiskan pengajian kedoktoran. Buku ini memberi suntikan semangat baru dalam diri ini, mungkin sudah tiba masanya saya kembara mencari ilmu semula.
Profile Image for Nadia.
110 reviews53 followers
March 13, 2021
Ini adalah buku travelog, coretan pengembaraan ilmu Ustaz Mohd Darus Senawi yang ingin menuntut ilmu di Al-Azhar, Mesir pada akhir 60-an dan awal 70-an. Buat yang tidak mengenali, beliau adalah penterjermah buku -buku bahasa Arab seperti Fiqh Sirah dan Rahiq Makhtum.
.
Akibat kekurangan wang, beliau memilih untuk menaiki kapal laut. Apabila kapal berlabuh di India, beliau terkandas pula di situ selama 4 bulan! Beliau terpaksa menumpang dengan sebuah keluarga tempatan di sana. Apabila tamat belajar dan ingin menyambung pelajaran di Kanada, beliau terkandas pula di Belanda. Banyak lagi cabaran dan cebisan ilmu yang dikutip sepanjang pengembaraan beliau ini.
.
Apapon bacaan yang ringan dan mudah. Biasa-biasa sahaja, mungkin patut tambah lebih banyak input, lagipula kembara ini sudah berpuluh tahun yang lalu, dan dibantu penulisannya oleh Izzat Ibrahim, jadi agak kurang rencahnya mungkin. Tapi masih banyak ilmu boleh diambil dari segi kegigihan beliau menuntut ilmu👍🏻 3.5/5⭐
Profile Image for Nur Aqilah.
11 reviews1 follower
September 3, 2023
Pengalaman hidup yang menginspirasikan!

Walaupun berdepan dengan pelbagai kesusahan dan ketidaktentuan sepanjang pengembaraannya, Ustaz Darus Senawi tetap tekad untuk meneruskan cita-citanya menuntut ilmu di luar negara. Terselit juga dalam buku ini, ilmu-ilmu mengenai sastera arab, sejarah dan ketamadunan manusia, dan kisah-kisah budaya setempat yang bermacam ragam. Yang membuatkan saya teruja, melalui penceritaan buku ini saya dapat menyelami dan menelusuri suasana kehidupan di pelbagai negara timur dan barat pada zaman sekitar tahun 1960 hingga 70an.

Antara petikan nasihat dalam buku ini yang saya boleh kutip;
1. Untuk melanjutkan pelajaran, tidak perlu mengharapkan ibu bapa atau institusi kewangan. Biarkan azam itu yang mewarnai wawasan seseorang dalam apa-apa usaha khusus ketika berjuang melanjutkan pelajaran.
2. Bersusah payahlah, sesungguhnya keenakan hidup itu pada kepayahan. Kehidupan yang selesa dan bersenang-lenang tanpa cabaran akan menjadikan sebuah masyarakat kurang daya tahan dan lemah.
3. Terasa hidup ini macam dipenuhi kebetulan. Hakikatnya semua itu adalah dalam suratan takdir Allah.

Akhir kata, saya kagum dengan kegigihan Ustaz Darus mencatat perjalanan hidupnya sehingga boleh membukukan kisah ini dengan begitu teliti.
Profile Image for Nur Ilyani.
4 reviews1 follower
October 3, 2021
| Kembara Darus Senawi

Saya telah disahkan positif COVID setelah kembalinya dari wad bersalin baru-baru ini. https://www.facebook.com/1564121539/p... . Walaupun simptoms sangat minimal, menjadi pesakit COVID itu punya cabaran tersendiri. Perasaan runsing tetap ada walaupun kita seringkali optimis dengan keadaan kita.

Apa yang saya lakukan agar kekal sihat & tenang? Selain bersama bayi Taariq yang menjadi penghibur hati, rupanya masa yang banyak tersebut saya dapat isi dengan membaca buku-buku yang saya telah letakkan dalam "wishing list" sebelum ini. Kehidupan sebagai seorang pelajar peringkat kepakaran dalam masa yang sama menjadi penjawat awam serta seorang ibu & isteri, saya perlu mencuri masa untuk membaca buku yang saya minati.

Namun Allah telah memberikan banyak masa kepada saya ketika tempoh kuarantin untuk membaca sebanyak mana buku yang sebelum ini saya seolah-olah terkejar-kejar dengan masa.

Saya pernah membuat satu ulasan berkenaan buku "Ibu Melayu Mengelilingi Dunia" http://momenbuku.org/2020/07/01/ibu-m... dan secara jelas saya menyatakan jika ada, saya mahu membaca catatan kembara para ulama pula.

AlhamdulilLah, saya terjumpa buku ini. Buku Catatan "Kembara Darus Senawi" ini merupakan sebuah buku novel autobiografi yang menceritakan "perjalanan" menuntut ilmu dan hikmah kehidupan seorang anak desa yang bernama Ustaz Darus Senawi. Latar masa buku ini ialah sekitar tahun 1963 hingga 1970.

Untuk pengetahuan semua, sesiapa yang gemar membaca buku sirah yang diterjemah daripada Bahasa Arab ke Bahasa Melayu, semestinya pernah terbaca nama beliau. Ya, beliaulah penterjemah kitab Rahiq Makhtum dan Fiqh Sirah.

Dalam buku ini, beliau memulakan penceritaan dengan tahun-tahun awal beliau mendapat pendidikan di kampung kemudian ke sekolah yang lebih tinggi sehinggakan beliau jatuh cinta dengan Bahasa Arab. Kecintaan beliau kepada sastera Arab menyebabkan beliau nekad untuk menyambung pelajaran ke universiti Al Azhar, Mesir. Sebagai seorang pelajar aliran Ugama Arab, saya memahami bagaimana kecintaan terhadap bahasa itu bermula. Seperti Ust Darus, saya juga meminati subjek mutala'ah (مطالعة/pemahaman / comprehension) dalam Bahasa Arab. Kepuasan itu tiada tandingannya apabila kita mampu membaca & memahami petikan-petikan Bahasa Arab beserta menikmati keindahan lenggok bahasanya. Itu belum lagi kita berbicara tentang keindahan mukjizat Al Quran. SubhanAllah. Saya pernah punya cita-cita menjadi seorang Ustazah dan ingin menyambung pengajian ke Kuwait suatu ketika dahulu setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMRU (tingkatan 2), namun saya sendiri tidak pasti kenapa saya ambil sains tulen setelah itu & end up menjadi seorang doktor. 😂 AlhamdulilLah A'la kulli hal, setiap perkara ada hikmahnya. Saya bersyukur setelah itu direzekikan Allah menumpang teduh & menimba ilmu di Darul Qur'an, JAKIM.

Berbalik pada cerita Ust Darus, beliau berusaha mengumpul dana untuk ke Mesir. Dana beliau jauh dari mencukupi untuk menaiki kapal terbang. Nekad, beliau memilih untuk kembara dengan kapal laut. Tidak sukar untuk menjejak perjalanan kapal laut yang beliau naiki kerana saya sudah pun membaca coretan perhentian-perhentian daripada buku Ibu Melayu Mengelilingi Dunia.

Antara babak yang mengharukan dalam buku ini ialah, bagaimana Ust Darus terkandas di India. 4 bulan beliau berada di India dan selama itulah beliau menumpang teduh dengan keluarga tempatan. Tidak dapat kita bayangkan betapa baiknya rakyat tempatan memberi perlindungan kepada orang asing yang hanya menyatakan dia sedang dalam perjalanan menuntut ilmu. SubhanAllah. Antara satu perkara yang menghibakan juga apabila masalah yang dihadapi untuk ke Mesir datang bertimpa-timpa dan jalan ke sana seolah-olah dilihat kelam kerana lamanya masa beliau terkandas, terbit di hati beliau akan ketidakyakinan terhadap bantuan Allah. Namun, rupa-rupanya pengalaman selama 4 bulan di India telah membantunya membentuk dirinya menjadi manusia yang lebih baik. AlhamdulilLah.

Seterusnya, kita bakal dibuai dengan cerita-cerita susah payah para penuntut ilmu di Mesir, adat resam & budaya masyarakat Mesir dan bagaimana Ust Darus memanfaatkan sepenuhnya masa beliau di sana untuk menguasai Bahasa Al Qur'an ini.

Setelah pengajian beliau tamat, beliau bercadang menyambung pelajaran di Kanada, namun takdir Allah Ta'ala, beliau terkandas pula di Belanda. Beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia melalui jalan darat menelusuri benua Eropah dari Belanda hingga ke Greece, kemudian masuk ke Turki, Iran & Pakistan. Seterusnya berlaku pergolakan di Myanmar menyebabkan beliau membatalkan hasrat ke Myanmar dan terus menaiki kapal terbang pulang ke Malaysia.

Ketika itu orang mungkin tidak kenal apa itu kembara "backpacker", Ust Darus sudah pun terlebih dahulu mengembara ala-ala backpacker.

Buku ini sangat sesuai dibaca oleh para penuntut ilmu. Bagaimana sukarnya untuk mendapatkan secangkir ilmu pada zaman dahulu. Menyebabkan saya terasa kerdil dengan kesungguhan ulama-ulama terdahulu. Insha Allah sahabat-sahabat semua tidak rugi memiliki buku ini. Tidak tebal & tidak terlalu nipis dengan 209 muka surat. Saya kira peminat novel autobiografi mampu menghabiskannya dalam masa satu hari sahaja. Insha Allah.

Selamat mengembara!
Profile Image for Syed Shahrom Wafa.
273 reviews16 followers
April 26, 2024
NAIK KAPAL LAUT SEHELAI SEPINGGANG DEMI SECEBIS ILMU.

Kisah benar sebuah pengembaraan demi secebis ilmu. Walau bagaimana cara pun, jika ada keinginan, pasti akan cuba diusahakan.

Tidak dapat naik kapal terbang, naik kapal laut. Walau cuma tidur di bawah tangga di dek kapal, malah hingga terpaksa meminta simpati buat mengalas perut di atas sana.

Hendak ke Kaherah Mesir, namun tersangkut di Bombay India selama 4 bulan pula. Terpaksa menumpang bersama keluarga tempatan di perumahan setinggan mereka. Hampir dipukul & dibaling batu kerana disalah anggap sebagai pencuri. Sangat sesak ujian buat penulis, sehingga beliau pernah tergerak hati untuk menukar agama disana. Nauzubillah.

"Manusia yang tenggelam dalam air dan kelemasan akan memegang apa saja yang dihulurkan kepadanya, walaupun sebatang kayu berduri".

Namun jika sudah ditakdirkan itu rezeki kita, pasti tidak akan kemana. Penulis dapat juga menjejakkan kaki di Mesir akhirnya. Tercapai juga impian utama beliau keluar berkelana dari bumi Malaysia, untuk menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar di Mesir sana.

Kisah beliau sepanjang di Kaherah ini kemudiannya, boleh ditelusuri bagaimana ghairahnya penulis dalam minatnya terhadap sastera, buku dan ilmu, lebih-lebih lagi berkaitan kesusasteraan Arab. Banyak bab penulisannya berkisarkan ini. Segala tokoh, buku, aliran pemikiran dan sebagainya diperihalkan serba ringkas, memberikan kepada kita gambaran bagaimana karya mahu pun tokoh ini mempengaruhi seterusnya membentuk minat penulis terhadap bidang sastera.

Dapat juga kita telusuri bagaimana kehidupan seorang pelajar & perantau anak Melayu di Mesir sekitar tahun 1960an. Sememangnya jauh berbeza jika dibandingkan dengan pelajar kita yang berkelana ke sana di zaman ini.

Tamat belajar, kembara beliau seterusnya ke Belanda juga banyak memberikan input. Bagaimana cara hidup orang Belanda 'Go Dutch' sangat kontra dengan cara kita. Bagaimana terhutang budinya Belanda dengan Indonesia, negara yang dijajah mereka sebelum itu.

Perjalanan pulang ke tanah air dengan berkereta api menyelusuri banyak negara Eropah (Belanda, Jerman, Switzerland, Itali, Yugoslavia yang kini Serbia, dan Greek), ke Turki, membawa ke Iran & Pakistan juga tidak kurang menariknya. Dapat kita telusuri secara ringkas gambaran kota-kota besar di sepanjang laluan trek kereta api itu di tahun 60an.

Buku ini diakhiri dengan kisah ringkas sejurus beliau kembali ke kampungnya di Perlis. Dan bagaimana kemudiannya beliau berjaya mendapatkan jawatan dambaan beliau dalam pengkhususan yang membuatkan beliau sanggup bersusah-payah ke Mesir sebelum itu, iaitu dalam bidang kesusasteraan Arab.

Banyak juga ilmu hidup yang boleh dipelajari dari buku ini. Cara mengubati sengatan ikan keli. Bagaimana untuk membuat jerat ikan di sawah. Dan apakah cara lama kerja-kerja sepanjang proses menanam & menuai padi. Ilmu kemahiran hidup & ilmu am yang berguna.

Sebagai kesimpulan dari karya hebat ini, saya nukilkan kata-kata Imam Shafie mengenai peri-pentingnya untuk kita keluar mengembara. Dipetik dari buku ini juga.

"Berkelanalah, nanti ketemui pengganti kepada orang yang kamu berpisah dengannya. Bersusah payahlah, sesungguhnya keenakan hidup itu pada kepayahan. Aku dapati air bertakung itu menjadi busuk, seandainya ia mengalir air menjadi elok dan jika tidak mengalir, ia tidak menjadi elok".


#malaysiamembaca2024
#malaysiamembaca
Profile Image for Eisya.
66 reviews5 followers
April 4, 2022
Buku ini merupakan travelog Ustaz Darus Senawi tentang pengembaraannya menuntut ilmu ke bumi Mesir sehinggalah tamat pengajian dan pulang ke tanah air. Untuk makluman, Ustaz Darus Senawi merupakan penterjemah buku Rahiq Makhtum dan Fiqh Sirah.

Tabiat Ustaz Darus Senawi yang sentiasa mendapatkan sekecil-kecil peluang untuk melalui ceruk serta pengalaman ditimpa badai sewaktu perjalanan membuatkan catatan kembara ini menjadi bertambah-tambah unik. Disebabkan kekangan kewangan, beliau melalui jalan darat dan tidak disangka-sangka, terkandas pula di India! Menumpang kawasan setinggan di India yang maha daif selama 4 bulan bukanlah sebuah kehidupan yang mudah. Sungguh pengalaman tersebut telah berjaya membina kemahiran serta kekuatan bagi episod kembara yang seterusnya.

Petikan kata "Penuntut ilmu itu adalah penuntut rahmat Allah" oleh Abdul Halim yang merupakan saudara kepada Ustaz Darus Senawi memberikan kesan signifikan untuk terus bersabar dalam menempuh ujian menuntut ilmu. Berbekalkan tawakal, dengan izin Allah kesusahan yang Ustaz Darus Senawi tempuh sering kali disertakan bersama bantuan. Bahkan, bantuan tersebut adalah dari mereka yang baru sahaja beliau temui.

Sepanjang mengamati catatan ini, Ustaz Darus Senawi turut menceritakan budaya masyarakat Arab yang bagi saya sangat menarik dan ada sebahagiannya yang wajar dijadikan contoh teladan. Tak kurang juga kebaikan penghulur bantuan di pelbagai negara yang beliau lawati. Mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera Arab, Ustaz Darus Senawi turut menceritakan buku-buku Arab yang beliau baca sejak dari zaman persekolahan dan turut serta juga, karya Pak Hamka. Di samping catatan kembara, saya juga kagum dengan didikan keibubapaan yang ibu kepada Ustaz Darus Senawi berikan serta keperibadiannya yang tekun menuntut ilmu.
Profile Image for Ummi Athirah.
9 reviews
April 6, 2021
MashaAllah best sangat buku ni, membaca kisah orang yang hidup pada zaman dahulu, zaman layar hitam putih tapi mampu menjelajahi dunia hanya dengan sedikit wang ringgit sebagai bekalan. Apa yang saya suka dari buku ini ialah kerana cerita dalam buku ini merupakan kisah benar. Sangat terinspirasi dengan semangat cintakan ilmu dari ustaz Darus sehingga pelbagai rintangan yang sukar saya rasa untuk ramai orang tempuhi tapi ustaz berjaya bahkan itu yang menjadi gula bagi buku ini, suatu pengalaman yang tak semua orang dapat. Di samping itu, melihat pada suasana penceritaan membuatkan benar-benar merasai keadaan di tempat tersebut meski diri sendiri pun tidak pernah menjejaki atau melihat tempat berkenaan tapi dengan gaya penceritaan pembaca juga dapat merasai suasana penduduk tempatan di tempat persinggahan ustaz. Bagi yang ingin mencari motivasi atau bangkit dari cita-citanya yang pudar, bacalah buku ini untuk melihat bagaimana orang yang berjaya menggapai dan jelas dengan apa yang dia mahu dalam hidup. Meski selepas ustaz pulang Malaysia lain ujiannya namun pengalaman menjelajahi pelbagai tempat di bumi yang luas ini amat berharga.
3 reviews
June 21, 2021
Perjalanan yang sangat bermakna buat beliau. Mahal sekali semua kisah dalam pengembaraan beliau. Siapa sangka, tiba-tiba akan tersangkut di India, dalam keadaan tiada duit untuk kelangsungan hidup.
Siapa sangka, ada orang yang akan bantu dia pergi juga ke Mesir selepas itu.

Itulah istimewanya sebuah kepercayaan, tawakal tinggi kepada Allah dalam usaha menuntut ilmu. Ini satu sifat yang harus dicontohi. Hasil sabar, doa dan usaha, akhirnya beliau berjaya capai apa yang diidamkan. Rindu Mesir & seisinya. Sama sahaja mesir, dulu mahupun sekarang 😂.

Walaupun kisah pengalaman beliau bukan dituliskan secara total, tetapi cukup menginsafkan saya bahkan beberapa keadaan dalam buku itu turut saya alaminya sekarang, keadaan tersebut berjaya disampaikan dengan baik dan bahasa yang mudah difahami, membuatkan saya tidak keseorangan menghadapi situasi itu.

Terima kasih atas kisah pengembaraan Ustaz Darus Senawi yang begitu memberi pengajaran, penuh hikmah.

Terima kasih juga yang menghadiahkan buku ini kepada saya, you know who you are 😁.
Profile Image for Hanis Afifah.
99 reviews6 followers
May 18, 2024
Travelog yang penuh dengan ibrah dan inspirasi. Daripada travelog ini, saya belajar erti hidup susah, kesungguhan menuntut ilmu, dan nilai kesyukuran yang mendalam.

Semoga Allah berkati Ustaz Darus Senawi selalu.
3 reviews
February 26, 2022
Buku yang bercakap tentang tawakal tinggi sama Tuhan tanpa terang-terangan. Read in between the lines and we can see a pattern there, put high tawakal in Allah. Berkelana untuk menuntut ilmu dalam keadaan semuanya serba terbatas, duit terutamanya. Pengalaman yang sangat mahal untuk seseorang lalui pada usia yang sangat muda.

Buku ni ajar, kita tak perlu tunggu selesa untuk dapat semuanya. Mahu belajar, silakan, walaupun penuh dengan keterbatasan. Mahu mengembara, teruskan. Dan kamu akan jumpa penuh kebaikan dan pertolongan di setiap titik perjalanan.

Allah akan sentiasa bersama hambanya. Kesusahan yang kita lalui hakikatnya mengajar kita untuk bergantung dan berharap cuma pada Dia

Segala risau-risau kita itu, Allah akan bantu.

Buku ni jauh dari sekadar rasa best lihat tempat-tempat yang Ust Darus lawati.
Buku ni, sebagai bacaan inspirasi untuk orang yang ingin membuat langkah besar dalam hidup tetapi perlu berhadapan dengan ketidakselesaan di sana sini.

Profile Image for Dibaca.
20 reviews
March 27, 2022
Kuat tekad dan azam ustaz darus untuk mencapai impian belajar di universiti al Azhar mesir. Kalau kira halangan, terlalu banyak halangan boleh diambil untuk dijadikan alasan. Tidak cukup duit semestinya, terkandas di India, bekalan makanan yang cukup2 dan sebagainya tapi tidak langsung memadamkan impian yang dipasang.

Pengembaraan ustaz menuntut ilmu sendirian dengan segala kepayahan dan tidak mengharapkan kewangan dari ibu bapa, truly inspiring!

Huraian ustaz darus ke setiap tempat tak terlalu detail. Hanya sekadar beberapa peristiwa menarik yang beliau lalui di tempat itu. Kalau dibukukan awal, mesti banyak boleh dihuraikan.
Profile Image for Muhammad Nu’man.
18 reviews
March 25, 2022
Kisah Ustaz Darus Senawi, merantau mencari Ilmu. Sorang-sorang ke Mesir, duduk kat India berbulan-bulan.

Sebenarnya habis ja baca buku ni, belum rasa apa-apa yang menarik, tapi lepas Aku diuji dengan duduk sorang-sorang xda kawan.. perghh dalam buku ni..

Ustaz Darus pun kata ada bahagian yang dipotong dalam penulisan Beliau.. mungkin takut buku terlalu panjang.
Profile Image for Nabilah Hassan.
23 reviews7 followers
July 7, 2022
buku yang menceritakan kisah UDS ketika zaman muda beliau mengembara ke india dan mesir. satu kisah yang cukup menginspirasikan generasi muda islam pada hari ini untuk berani keluar dari comfort zone untuk menghadapi pelbagai kehidupan yang serba mencabar. survival skills itu yang membuatkan beliau mampu thabat dalam jalan juang hingga ke hari ini hatta telah mencecah umur 80an
Profile Image for Muhamad Haliff.
4 reviews
January 18, 2026
Membaca buku Kembara Darus Senawi ini seolah-olah membawa saya menaiki mesin masa ke zaman belakang iaitu ke 90an. Ustaz Darus Senawi ini menceritakan kembali pengalamannya mengembara mencari ilmu ke Mesir. Bermula dari beliau bersekolah rendah ke menengah dan mahu ke sekolah pondok tapi dihalang oleh ibunya, hinggalah sehingga beliau penyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir.

Kisah beliau semasa mula untuk mengembara ke Mesir apabila beliau menaiki kapal State Of Madras. Perjalanan kapal pada mulanya mengambil masa tiga hari, tetapi dek cuaca yang tidak mengizinkan perjalanan beliau bertambah kepada enam hari. Disebabkan beliau jangka hanya tiga hari perjalanan ke Madras beliau membawa stok makanan untuk tiga hari iaitu stok biskut kering dan jem durian. Hinggakan beliau kehabisan makanan dan terpaksa bertebal muka untuk makan bersama keluarga orang lain di atas kapal tanpa dipelawa.

Saya tidak lupa juga kisah ketika beliau terkandas di India selama 4 bulan. Beliau terpaksa tinggal bersama seorang keluarga India beragama Islam. Pelbagai peristiwa dihadapinya yang menjelaskan keadaan sosial dan budaya India seperti pada dinding rumah tumpangan warga India yang ditumpanginya dilekatkan najis lembu, peristiwa beliau dibaling batu kerana disangka pencuri dan peristiwa dimana beliau bersalah makan percuma di sebuah restoran akibat olah adik pemilik rumah tumpangannya. Dan pada akhirnya beliau berjumpa dengan sahabatnya dan membawanya keluar dari India untuk ke Mesir.

Semangatnya Ustaz Darus Senawi semasa belia remajanya untuk menuntut ilmu sehingga semua rintangan dihadapi tidak diendahkan. Kata-kata sahabat beliau "Penuntut ilmu itu penuntut rahmat Allah", membuatkan saya untuk terus menjadi penuntut ilmu sepanjang hayat agar sentiasa berada didalam rahmat Allah SWT. Pada akhirnya beliau menceritakankan pengalamannya pengembara untuk pulang ke Malaysia melalui jalan darat dari Belanda iaitu tempat beliau bekerja mencari wang untuk menyambung pelajaran ke Kanada tetapi terhalang kerana tidak diberi Visa. Beliau melalui pelbagai negara eropah untuk ke Pakistan supaya dapat melihat suasana keadaan negara lain sebelum terbang ke Malaysia.

Akhir kalam, buku ini bagus untuk dibaca oleh penuntut ilmu agar tidak mudah patah semangat untuk menuntut ilmu walau apa pun rintangan dan halangan yang dihadapi. Dengan berbekalkan keazaman dan semangat yang tinggi boleh membuatkan kita berjaya dalam apa jau perkara yang kita mahukan.
Profile Image for Khairul Ikhwan.
38 reviews8 followers
February 12, 2024
Buku kedua untuk tahun 2024. Buku kedua tentang travelog di Mesir.

Tapi belum pernah jejak lagi ke Mesir walaupun dulu belajar di Jordan. Haha.

Menariknya buku ini adalah unsur-unsur sejarah yang mungkin sudah tidak ditemui lagi hari ini. Bermusafir dengan menaiki kapal laut, terkandas di negara orang dan merentasi pelbagai negara dengan menaiki kereta api adalah antara pengalaman berharga penulis yang mungkin tidak dilakukan lagi oleh sesiapa di zaman kini.
Displaying 1 - 18 of 18 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.