Dilahirkan sebagai Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkelulusan Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Setelah lulus Ijazah Sarjana, S. Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ ATMA. Jawatan terakhirnya yang disandang ialah profesor madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai pensyarah kontrak di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999).
S. Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja. Antaranya ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1976), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003). Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian. Selain menulis cerpen dan novel, S. Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa). Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam ujana kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003). (Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka)
Watak Faris mengelirukan saya pada mulanya. Adakah dia seorang imposter? Perfectionist? Atau sekadar lelaki yang 'wajib kahwin'? Ternyata dia seorang seniman utuh jiwanya tentang kecantikan dan keindahan.
Begitulah lelaki, mencintai kemolekan wanita itu tidak dapat dihindari. Seksaan godaan tiga wanita yang hadir dapat menulaskan impiannya pula.
Jujur saya pusing mata dengan sikap mudah terangsang Faris. Tapi itu yang disiapkan oleh SN S. Othman Kelantan. Meletakkan pengertian seni dimata seorang bergelar seniman. Tidak untuk tidak berkata tidak pada hakiki kecantikan wanita.
Agak menggagau tatkala elemen politik dimasukkan. Tiba-tiba dan terbawa-bawa. Ada lompong antara Samad, Agus dan Siti Saleha. Apa yang terjadi? Pengakhiran memuaskan namun kurang kuat.
Saya suka tema pengertian seni itu apa? Ia kehidupan, sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Buruk atau indah dimata kita. Mungkin sebaliknya pada orang lain. Hanya sebuah kejujuran.
Faris, seorang pelukis yang sering 'menjerit' tentang kerja seninya, tentang dia yang berpegang kepada nilai seni lukisannya dihadapkan dengan pelbagai godaan dan dugaan. Faris tewas, tapi kerja seninya telah menyelamatkan dirinya. Kemudian Faris digoda (diduga) lagi. Untuk mengelakkan godaan-godaan ini, Faris membawa diri ke sebuah kampung yang damai. Namun godaan datang lagi dalam bentuk Saleha.
Apakah Faris masih mampu memisahkan dirinya antara seni dan nafsu?
*Sebuah novel menjentik kesedaran tentang hakikat seni itu apa.