Western Law is Islamic Siri "Isu Semasa Dalam Risalah" ini lahir dari lubuk peristiwa, perkembangan semasa di seluruh dunia yang merunsingkan, yang acapkali berkait dengan agama dan penafsiran yang gelap terhadap agama. Siri ini cuba menampilkan sisi-sisi yang cerah dalam agama. Ia cuba menyelak seluas mungkin dimensi kemanusiaan risalah agama. Sambil itu ia tetap menyedari bahawa agama bukanlah faktor utama yang melahirkan rush zaman ini. Sebaliknya, agama, oleh mereka yang bingung, digalang sebagai potensi untuk merebakkan kerusuhan.
Baru aku tahu, rupanya naskhah nipis yang aku telaah ini, adalah olahan dari Mun'im Sirry. Ini dinyatakan di hujung naskhah.
Dan berkali-kali juga disebutkan dengan amanah, bahawa tidak mencukupi hanya berpandukan hanya risalah/naskhah nipis ini untuk memahami maudu' persoalan yang dibincangkan. Ini harus kita tabik.
Nama Abdullahi Ahmed Naim, sekali lagi dikumandangkan. Bukunya itu diharamkan di Malaysia, tetapi telah diterbitkan oleh IRF dan sebelum itu oleh MEGC. Aku ada kedua-duanya. Akan baca selepas ini.
Aku setuju apa yang diutarakan, iaitu sememangnya feqh ialah bikinan para ulama' yang menyusun dan mengatur (sekaligus mencatur, terutama dalam bab politik). Dan kita pada hari ini (maksud kita, ialah terutama golongan puritan, fundamentalis, literalis) selalu alergik pada Barat, demokrasi, hak asasi manusia. Kerana kononnya Islam tidak bertitahkan hal yang itu. Islam ialah hanyasanya titah-titah yang terkandung dalam Qur'an (dan juga hadith). Adapun selain dari itu, bukan Islam, bukan dari Tuhan, bukan dari Allah.
Tetapi ajaibnya ialah, bila kita tengok Jepun itu bersih, Jepun itu teratur, tanpa semena-mena, terkeluar dari mulut kita secara spontan,
tengok Jepun itu melaksanakan Islam. Jepun itu buat Islam lah tu.
Kita secara tidak malu, lupakan apa yang kita sebut di awal, lupakan fakta bahawa Islam di Jepun sangat minoriti.