Pada mulanya saya fikirkan buku ini tentang seputar pengikut media sosial saja, rupanya silap! Diskusi buku ini lebih luas dan komprehensif meliputi segenap aspek berkaitan hal-hal pengikut, sirah dan juga ibrah daripada kisah terdahulu.
Awalnya, buku ini banyak mengupas ibrah surah al-kahfi dan renungan di sebalik 4 kisah utamanya iaitu kisah:
1. Pemuda Kahfi
2. Pemilik dua kebun
3. Nabi Musa & Nabi Khadir
4. Zulqarnain
Mengapa surah ini dibincangkan? Surah ini adalah buat perlindungan diri daripada pelbagai fitnah, kekeliruan agama dan bermacam lagi serangan yang merosakkan di akhir zaman ini.
Selain membaca peringatan dan pesanan hikmah di dalam buku ini, dapat juga serba sedikit mentadabbur beberapa ayat surah al-Kahfi melalui penjelasan makna serta bagaimana ia boleh dikaitkan dengan kehidupan kita.
Buku ini banyak menyorot kisah-kisah daripada al-Quran, dan bagaimana kita boleh mengambil iktibar daripadanya. Sangat banyak pesanan yang bertepatan dengan hakikat hidup kita pada zaman ini. Antaranya, perlunya kita menjadi muslim yang berpegang pada prinsip yang jelas dan utuh, bukan berpegang pada isu, kerana dengannya kita tak mudah terpengaruh dengan apa jua situasi. Biarpun kita seorang diri mahupun membawa keputusan 'tidak popular', sentiasalah setia dengan kebenaran.
Suka untuk saya kongsikan pesanan mengenai asbab & musabab. Apa saja yang kita peroleh contohnya ilmu agama daripada para solehin. Mereka adalah asbab sahaja, usah dipuja sehingga melupakan musabab iaitu hakikat Allah lah yang memberi ilmu. Konsep ini terpakai dalam segala perkara kerana segala pujian atas kemuliaan, kehebatan dan kekayaan seharusnya dikembalikan kepada Allah.
Bacaan yang baik di era penuh fitnah ini. Pesanan yang dibincangkan adalah berlandaskan al-Quran, yang peringatannya sentiasa relevan dan merentas zaman.