Di riwayatkan daripada Abdurrahman bin Auf r.a., beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Thalhah bin Ubaidillah di syurga, Zubair bin Awwan di syurga, Abdurrahman bin Auf di syurga, Sa'ad bin Zaid bin Amru bin Naufail di syurga, dan Abu Ubaidah bin Jarrah di syurga."
Betapa istimewanya mereka apabila Nabi Muhammad SAW sendiri yang menjamin mereka masuk ke dalam syurga.
Mereka inilah di antara yang tanpa ragu menerima Islam dan mempertahankan Islam dengan segala apa perkara yang dikurniakan Allah SWT. Berada bersama sewaktu getirnya Rasulullah SAW menyebarkan Islam dan mengembangkan sayap Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ada juga yang menjadikan badan sendiri sebagai perisai untuk nabi tercinta, menyertai hampir semua peperangan bersama nabi, cacat anggota badan, gugur syahid, menjadi mangsa fitnah, dan ada juga tanpa rasa bakhil, menyedekahkan seluruh harta ke jalan Allah SWT.
Dan selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, ada di antara mereka menyebarkan Islam ke setiap pelusok dunia termasuklah China. Memerangi golongan murtad dan yang tidak mahu membayar zakat.
Walaupun dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW, mereka langsung tiada sifat sombong, bongkak, takbur, riak, ujub dan bermegah diri, malah mereka terus zuhud dan sentiasa berusaha menambah amal ibadah mereka.
Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan.
Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005.
Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.
Terbaik. Bacaan ringan yg amat sesuai utk semua golongan. Ada sedikit kelainan dalam gaya bahasa kali ini . Ini adalah kerana melibatkan dua orang penulis.