BUNGA PERANG Anggerik dan Cempaka, dua seteru dalam satu perguruan rahsia yang berkembang dalam diam, jauh di pedalaman Malaysia Timur. Dilatih keras sejak dari kecil oleh Ember, seorang wanita tua keturunan pahlawan yang berasal dari Filipina. Mereka berdua adalah gadis bersemangat pahlawan yang tidak gentar akan apa sahaja ancaman dan cabaran. Mereka bersaing demi menunjukkan siapa yang paling hebat dan siapa yang dapat mempersembahkan pengorbanan yang paling tinggi untuk perguruan. Pemenangnya hanya satu, kerana Dato’ Syukor tidak memilih yang kedua untuk programnya.
KESAKSAMAAN Era 2000, Malaysia mengalami pergolakan politik yang rancak. Di ambang pilihanraya umum yang ke-11, setiap parti politik berusaha mencatur bidak demi mendapatkan kemenangan sekaligus mandat memerintah negara. Syed Hassan disebut-sebut sebagai bakal perdana menteri dengan kemaraan gabungan parti politiknya yang bergerak begitu gagah menguasai sokongan rakyat. Kekuatan pimpinan dan gabungan parti-parti politiknya mula diintai dan ditagih parti-parti lain demi kelebihan masing-masing. Dengan bantuan Zahir, rakan dan seterunya dalam dunia politik, Syed Hassan berusaha untuk menjatuhkan musuhnya demi kelangsungan karier politiknya. Dalam masa yang sama, Syed Hassan tidak sedar akan ular yang sedang menyusur di bawah tikar. Dia tidak sedar akan ancaman yang mendatang secara senyap dan sunyi yang akan mematuk bila tiba detiknya. Jaafar adalah seorang politikus yang agresif dan pro-aktif, dia akan lakukan apa sahaja untuk Kesaksamaan. Apa sahaja.