Buku ini membawa pembaca menilai kehidupan bersosial melalui suluhan Surah Al-Hujurat. Mengapa Surah Al-Hujurat penting? Kerana ianya terkandung persoalan untuk mengembalikan kualiti seorang Muslim.
Topik dalam Surah Al-Hujurat ialah topik yang relevan kepada orang yang ada kesedaran untuk menambah baik kualiti interaksi dirinya. Apatah lagi kualiti-kualiti yang digariskan itu adalah apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. Maka buku ini bermanfaat untuk para pembaca menilai kualiti diri dalam kehidupan sosial sebelum diri kita sendiri dinilai di hadapan Allah SWT.
Kamar-Kamar Budi merumuskan perbahasan tentang AKHLAK melalui Surah al-Hujurat. Surah al-Hujurat itu digelar sebagai surah AKHLAK kerana ia mentertibkan tingkah laku kita sebagai hamba Allah. Ia menasihati kita tentang bagaimana mengelola niat, tujuan, sangkaan dan tindakan peribadi, serta interaksi sesama anggota masyarakat, agar kebaikan yang dipegang sebagai nilai sepakat itu duduk di dalam kerangka AKHLAK.
Hasrizal holds a Bachelor of Sharia (Honours) from Mu’tah University, Jordan (2001). He is the Director of Education at Khalifah Education Foundation which operates Khalifah Model Schools in Malaysia. An educator and learning designer, blogger, and author, advocate children-centered learning, parenting, and domestic policy.
Hasrizal succeeded in bookwriting after his AKU TERIMA NIKAHNYA (2008) became one of the National Best Sellers. He proceeded with many more books, such as BERCINTA SAMPAI KE SYURGA (2009), MURABBI CINTA (2010), RINDU BAU POHON TIN (2009), SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH (2010), TRANSFORMASI RAMADAN (2011), EDISI ISTIMEWA AKU TERIMA NIKAHNYA – Trilogy (2012), DI HAMPARAN SHAMROCK KUSERU NAMA-MU (2012), ERTI HIDUP PADA MEMBERI (2013), TAK KENAL MAKA TAK CINTA (2014), MENALAR MAKNA DIRI: KEMBARA MENJEJAK IMAM BIRGIVI (2014), SETIA DENGAN KEBENARAN (2017), REVIVING THE SPIRIT OF RAMADAN: BEYOND DO'S AND DON'TS (2017), HIKMAH & KARAKTER (2018), JALAN SEHALA (2019), RISALAH #MALAYSIA MEMBACA (2019 co-author), SENI BERFIKIR YANG HILANG (2020), TRANSFORMASI RAMADAN 2.0 (2020), DIARI ABAH (2020), MÄ OON RIZAL (2020), ERTI BERAGAMA YANG HILANG (2021), MENULIS DARI HATI BIAR SAMPAI KE HATI (2021), KAMAR-KAMAR BUDI (2021), KEMBARA MENALAR DIRI: LEGASI IMAM BIRGIVI (2021), SISI BERAKHLAK YANG HILANG (2022), BERAGAMA YANG KEHILANGAN TUHAN (2023) and PEDAGOGI RAMADAN (2023)
“KAMAR-KAMAR BUDI” YANG MENGEMBALIKAN CINTAKU PADA SURAH YUSUF
Alhamdulillah, diberikan kesempatan membaca karya ustaz Hasrizal bertajuk “Kamar Kamar Budi ; Iktibar Akhlak dan Etika Sosial Daripada Surah al-Hujurat” terbitan Abideen Press.
Saya memilih untuk membaca hingga tamat “Kamar-Kamar Budi” (KKB) kerana gaya penulisan yang membumikan tadabbur ayat hingga kelihatan mengena dengan permasalahan semasa merupakan gaya penulisan yang saya sedang pelajari dan mengambil inspirasi.
Hampir 30 % pertama dari buku 175 halaman ini dimulakan penulis dengan menjelaskan “a big why” masyarakat kepada surah ini iaitu perihal “buah” kepada keislaman seseorang, akhlak !
Pendekatan mengemukakan perspektif sebegini penting agar pembaca jelas idea utama yang menyebabkan surah itu diturunkan.
1. Lama Belajar Agama Bukan Penentu Mengamalkan Agama
Salah satu perkara saya temui dari surah al-Hujurat menerusi sentuhan ustaz Hasrizal ini ialah wujudnya hubungan yang indah dengan surah Yusuf. Kedua-dua surah sememangnya boleh ditemukan satu tema yang sama iaitu pembentukan akhlak dan perubahan sikap.
Walaupun penulis tidaklah mengulas apa-apa mengenai surah Yusuf dalam karya ini, entah mengapa membaca karya ini, terus mengingatkan saya pada suasana “beragama” kalangan sepuluh orang anak-anak Nabi Yaaqub عليه السلام .
Ikhwah Yusuf paling lama membesar dalam rumah seorang Rasul berbanding Yusuf عليه السلام dan adiknya sendiri. Lalu kita pasti menjangkakan banyak hal-hal keagamaan mereka pelajari dari ayahanda mereka.
Namun begitu, satu persatu al-Quran merakamkan sikap buruk mereka kepada ayah dan adik mereka. Paparan itu bertujuan mengingatkan kita bahawa suasana yang dikatakan “islamik” itu, belum tentu pun melahirkan peribadi yang benar-benar mengamalkan Islam dalam seluruh perkataan dan perbuatannya.
Barangkali inilah yang dimaksudkan penulis pada halaman 32 ;
“Ibadah terperangkap dalam orientasi fiqh semata-mata. Dibahaskan apa hukumnya, syarat sah, rukun, fardhu dan seumpamanya. Tetapi bagaimanakah solat itu menjadikan seseorang itu baik ? Topik sebegini ketika ini seakan hilang dari mendapat tumpuan perhatian.”
2. Tanggalkan Sikap Badwi Yang Jahiliah
Beberapa kali al-Quran merakamkan ikhwah Yusuf bersumpah dengan nama Allah seperti pada ayat 85, tetapi rupanya sumpah itu hanya tampalan bersifat keagamaan mereka untuk menutup sikap biadap terhadap ayah mereka.
“Tanpa suluhan wahyu, mungkin kita berterusan mempertahan kekasaran, mencarut dan memaki hamun dengan alasan orang negeri ini memang begitu, ini biasalah di negeri tersebut.” (Halaman 12 KKB)
Kerana masalah sikap seperti inilah - dikuatkan lagi dengan inspirasi wahyu - Yusuf mendidik abang-abangnya sehingga berakhir dengan penghijrahan mereka sekeluarga ke Mesir.
Di Mesirlah, ikhwah Yusuf memulakan kehidupan baru, meninggalkan kehidupan badwi itu sendiri sebagaimana diisyaratkan dari ayat 100 surah Yusuf. Kehidupan badwi sebagaimana yang diperjelaskan penulis pada halaman 14 ialah kehidupan nomad di padang pasir yang belum terbiasa dengan peradaban dan sopan santun pergaulan dalam bersosial.
Di sinilah wujudnya persamaan sikap badwi pada ikhwah Yusuf dengan sikap badwi yang hadir lalu bercakap kasar dengan Nabi SAW sehingga turunnya surah al-Hujurat.
Penghijrahan ikhwah Yusuf ini bukanlah sekadar untuk membantu mereka mengelakkan kebuluran di tujuh tahun kedua, bahkan Nabi Yusuf mahu menggunakan suasana baru di Mesir ini untuk mendidik ikhwahnya agar benar-benar menjadi “sebelas bintang cerah”.
Sujud keinsafan ikhwah Yusuf sebelum ini mesti disusuli dengan satu program “tarbiyah” yang intensif seumpama gagasan surah al-Hujurat, berhenti bertikam lidah, menyimpan dendam, memutuskan silaturrahim dan sindir menyindir.
3. Tidak Selamanya Puak Kita Betul
Mesir pada waktu kehadiran ikhwah Yusuf sudah dikenali sebagai pusat tamadun dan tumpuan perdagangan empayar-empayar dunia sehingga surah Yusuf menyebut dua kali kalimah “Mesir”. Import dan eksport kebudayaan bahkan keagamaan menjadi dengan sangat agresif.
Kehadiran ikhwah Yusuf dari Palestin ke Mesir akan membuka ruang mereka belajar menghargai perbezaan sesama manusia dan berhenti bersikap “wa nahnu usbah” iaitu puak kita sentiasa betul dan puak lain sentiasa salah.
“Tiada lagi alasan aku orang negeri sekian-sekian, keturunan aku semua macam ini, engkau cara engkau dan aku cara aku, dakwaan-dakwaan yang menjadikan manusia bermusuhan. Sedangkan perbezaan itu sumber kreativiti, kemajuan dan kekayaan, asalkan kita mendatanginya dengan maksud kenal mengenal, dan berlumba menambah takwa” (Halaman iii KKB)
“Perbezaan bukan punca masalah, tetapi perbezaan adalah sumber kemajuan selagi mana perbezaan itu diletakkan dalam konteks لِتَعَارَفُوا . Pemikiran terbuka (open mindedness) kita mestilah didahului dengan adanya rujukan akhlak, moral of reference dan di sinilah peranan agama yang dijelmakan dalam 12 ayat pertama surah al Hujurat.” (Halaman 158-159 KKB)
4. Pemikiran “Step By Step” Dalam Perubahan
Membaca karya ini juga, saya menemui jawapan pada persoalan mengapa agaknya panjang benar babak Yusuf mentarbiah abang-abangnya, jauh lebih panjang dari ucapan dakwah mana-mana anbiya’ dalam al-Quran.
Terperinci seni tarbiah Yusuf hingga hampir separuh dari kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran itu sendiri, seharusnya disambut baik oleh kita yang hidup di zaman yang sukakan ilmu bersifat “tips”, “teknik” iaitu memberi perincian atau “step-by-step” untuk berubah, bukan hanya sekadar berkata “berubahlah” tanpa membuktikan komitmen membantu dan membimbing. Di sinilah penulis ada menyuarakan sesuatu yang membuka fikiran saya khususnya untuk kekal dalam dunia latihan dan kefasilitatoran.
“Cabaran yang ada dalam tradisi pendidikan Islam ialah kaya dengan konsep konsep yang tepat tetapi tidak jelas tekniknya secara praktikal. Sedangkan untuk memberikan satu satu teknik, kita akan menghadapi cabaran lain pula iaitu keperluan mengintegrasikan ilmu Islam dengan disiplin ilmu-ilmu yang lain.” (Halaman 21 KKB)
Nabi Yusuf tidak sekadar berkata “berubahlah” wahai ikhwahku, bahkan baginda telah menyusun kaedah dan membentuk modus operandi yang rapi dan teliti untuk “menyambut” setiap kehadiran ikhwahnya ke Mesir. Bahkan “step-by-step” itu menjadi ayat al-Quran agar ia diibrahkan untuk kaum beriman.
Kehadiran ikhwah kali pertama, pendekatan A diambil.
Kehadiran kali kedua, pendekatan B diambil.
Kehadiran kali ketiga, pendekatan C diambil.
Hingga kali keempat ikhwah hadir ke Mesir, ada sahaja kejutan dilakukan Yusuf, hinggalah “speechless” ikhwah hanya dapat dijelmakan dalam sujud yang penuh airmata.
Kebetulan isteri saya ada berkongsi satu buku di Kindlenya bertajuk “Atomic Habits” karangan James Clear. Penulis ada menyatakan mengenai tidak cukup memberi motivasi agar berubah, berubah dan berubah jika perincian kaedah dan sistem yang boleh membantu perubahan tersebut.
“All big things come from small beginnings. The seed of every habit is a single, tiny decision. Prevailing wisdom claims that the best way to achieve what we want in life is to set spesific, actionable goals. For many years, this was how I approached my habits, too. Eventually, I began to realize that my results had very little to do with the goals I set and nearly everything to do with the system I followed. Goals are about the result you want to achieve. System are about the processes that lead to those results. A handful of problems arise when you spend too much time thinking about your goals and not enough time designing your systems.”
5. Agenda “Berhalus” Dalam Bicara
Seperkara yang menjadi perhatian saya dalam “Kamar-Kamar Budi” ini juga ialah agenda “berhalus” dalam surah al-Kahfi iaitu ayat 19 pada kalimah وَلْيَتَلَطَّفْ .
Masyarakat kita mungkin lebih berminat dengan isu “kenapa kalimah ini dimerahkan”. Dikatakan juga ia kalimah paling tengah dalam al-Quran jika diambil kira seluruh kalimah dari surah al Fatihah hingga al-Nas.
Apapun perbincangan, asasnya ialah penulis telah menutup dengan baik bahagian pertama buku ini dengan menghubungkan surah al-Hujurat dengan sikap pemuda-pemuda al Kahfi agar “berhalus” dalam tutur bicara, sensitif dengan perkataan yang dilafazkan apabila berinteraksi dengan manusia.
Jika dengan bukan Muslim pun pemuda al Kahfi meminta agar sangat beringat, tidak dapat dibayangkan jika mereka hidup pada waktu ini dan berada negeri majoriti muslim seperti kita, pastinya lebih lebih lagi mereka akan memberi perhatian kepada agenda “lathif” ini.
Bahkan, bukankah itu sifat Allah al-Lathif itulah disebut oleh Yusuf sendiri pada ayat 100 ? Setiap tindakan Allah kepada hamba-Nya seperti Nabi Yusuf memang “berhalus”, tepat pada keperluan emosi dan psikologi yang menimpa Yusuf, tidak kelihatan depan mata apa yang hadir namun dapat dirasakan kedamaian jiwa dengan apa yang berlaku.
6. Mengurus Populariti
Surah Yusuf berakhir dengan sikap Nabi Yusuf yang tidak tenggelam dengan populariti dirinya sebagai penguasa tertinggi di Mesir. Al Quran menggambarkan baginda tidak pun terpedaya dengan habuan keduniaan di Mesir dalam dua situasi ;
Pertama, baginda kekal fokus pada mentarbiah abang-abangnya. Baginda menggunakan kelebihan kuasa untuk mencetuskan taubat dalam hati-hati ikhwahnya, bukan kuasa itu digunakan untuk menjaga poket dan periuk nasi sendiri, jauh sekali dari menjaga krono atau membalas dendam.
Kedua, baginda telah berdoa agar Allah mewafatkannya kelak sebagai muslim dan menggabungkannya dengan orang soleh di alam barzakh nanti.
Surah al-Hujurat turun - sama seperti surah al Nashr - telah turun selepas pembukaan Makkah yang menyaksikan fenomena “afwajan” dengan ramainya kaum Arab memeluk Islam. Surah al-Hujurat mendidik Nabi SAW dan para sahabat agar tidak tenggelam dengan nikmat kemenangan dan lambakan “followers” sehingga terlupa tanggungjawab yang lebih besar iaitu membimbing mereka mengenal Tuhan.
Pendakwah janganlah terpedaya dengan pujian dan sokongan pengikut yang ramai sehingga tidak sedar adanya dari kalangan mereka itu pengikut yang boleh merosakkan pendakwah itu sendiri atau merosakkan imej agama itu sendiri kerana kejahilan untuk membezakan antara yang benar dan yang salah.
“Kita sedang diuji. Siapa yang berjaya dengan agama mengubah kebiasaannya, dengan agama memimpin keinginannya, dan dengan agama membantu meluruskan keterlanjurannya, maka orang inilah yang disasarkan penghujung ayat 3 (أُولَئِكَ الَّذِينَ امْتَحَنَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ لِلتَّقْوَى لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَأَجْرٌ عَظِيمٌ)” (halaman 75 KKB)
7. Andai Rasulullah Ada Di Sisi
Akhir sekali, yang paling menyentuh hati saya ialah ketika penulis berkongsi syarahan tadabburnya pada ayat 7 surah al-Hujurat. Penulis menyebut dengan ringkas sahaja, namun saya melihat besar impaknya.
Ayat 7 berbicara mengenai “kehadiran” Rasulullah ke dalam diri ummat ini (وَاعْلَمُوا أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ اللَّهِ). Kisah Ibnu Abbas RA dan para sultan Uthmaniyyah ketika menerima surat surat dari Makkah dan Madinah benar-benar mengajar kita sikap orang sebelum kita yang beruswah, bukan sekadar berqudwahkan Rasulullah SAW selepas kewafatan.
“Haruslah sentiasa diingat bahawa bersama perjuangan memperbaik akhlak ini adanya Rasulullah. Maka seteruk mana pun persekitaran sosial orang Islam, kita tidak akan menjadi orang tidak berpanduan. Rasulullah memang sudah tiada. Rasulullah sudah wafat. Kita perlu terima hakikat ini. Yang tinggal hanya sunnah Baginda. Kalau difikirkan kenapa etika sosial kita amat teruk kini ? Mungkin jawapannya ialah kerana Rasulullah sudah semakin tidak ada dalam kehidupan kita” (halaman 105 KKB)
Wallahu a’lam
Syaari Ab Rahman Bukit Besar, Kedah 28 Jamadil Akhir 1443 H
Menarik apabila penulis menekankan bahawa walaupun Surah al-Hujurat tidak mempunyai fadilat khusus seperti surah2 lain, tetapi surah ini berdiri di atas fungsi sendiri dengan menekankan aspek etika sosial. Buku ini mengupas surah ini secara terperinci yang diturunkan kerana lahirnya kepelbagaian budaya selepas pembukaan Kota Mekah. Sebagai 'kompas moral', Surah al-Hujurat menjadi antara surah yang penting bagi menjadi panduan hidup bermasyarakat dan cakna akan solusi bagi menambah baik pengurusan sosial.
Buku yang sangat penting untuk dibaca. Olahan penulis berkaitan surah al-Hujurat dan dikaitakan dengan etika, akhlak bersosial dunia hari ini cukup penting untuk dibaca, diperhalusi dan diubah bermula dari diri sendiri dan masyarakat.
Perintah Allah pada surah al-Hujurat:-
Taat dan patuh kepada Allah dan Rasul Tidak meninggikan suara dalam berbicara Mengutamakan perintah Allah dan Rasul daripada kehendak diri sendiri Menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan berita-berita fasiq, Tidak sarkastik atau menyindir orang yang ada disekeliling kita, Menjauhkan diri daripada dzhon, Tidak label melabel, Tidak mengumpat, Berhati-hati dengan perbuatan yang boleh menimbulkan kerosakan, Dalam berinteraksdi sedar apakah perkataan dan perbuatan yang kita pilih.
Moga saya dapat aplikasikan semua ilmu yang didapati. Aameen
Buku ini boleh digunakan sebagai rujukan ketika melakukan tadabbur surah al-Hujurat. Ia juga meluaskan perspektif saya untuk menjadi Muslim yg mukmin, dan bukan sekadar muslim di IC. Terima kasih penulis kerana berjaya mendekatkan saya dengan kalam Allah. Sesuai dibaca oleh semua orang Islam dalam pada kita ingin memperbaiki cara berinteraksi dengan manusia lain, seperti yang telah digariskan oleh Allah.
Taddabur kali ini lebih kepada menegur diri sendiri. Ada bibit emosi apabila kita mula faham mengapa ayat ini diturunkan perkaitan dengan hadis nabi. Mengapa Al Hujurat bermaksud kamar, ini kerana ada peristiwa seorang badwi yang kasar memanggil nabi dari luar, nabi tidak menyahut apabila badwi memberitahu elok elok dengan kelembutan baru nabi menyahut dengan berkata begitu juga dengan Allah. Berlaku perselisihan faham antara Umar dan Abu Bakar, maka mereka meinggi suara di depan nabi, lalu diturunkan agar tidak meninggi suara. Ada ayat mengatakan agar menyemak atau tabayyun dahulu jangan terburu buru kelak kita yang rugi mengenai peristiwa Bani Mustaliq kononya ingin melakukan serangan padahal tidak berlaku. Larangan Allah agar tidak sarkastik dalam memberi teguran dan memberi gelaran buruk, hal ini sukar untuk aku sendiri rupanya Allah menyuruh agar kita straight forward dan tidak menyindir satu sama lain. Maka kita haruslah sedar dan berhati hati kerana teguran dari surah ini. Jangan kita apabila sudah mengimani dengan mudah berkata kita sudah cukup iman kerana iman ini perlu diuji, akhlak kamu akan teruji. Hujung ayat menyedarkan kita agar tidak mengungkit kebajikan dan berimana ialah perbuatan yang membatalkan nilai pilihan kita.
Karya Kamar-kamar Budi merumuskan tentang perbahasan dalam kerangka ‘Akhlak’ berpandukan Surah al-Hujurat, tuntutan daripada Ilahi.
Surah ini juga dinamakan oleh para ulama sebagai Surah Akhlak kerana surah ini dapat dijadikan sebagai panduan dalam mentertibkan tingkah laku kita, ia menasihati kita bagaimana mengelola niat, tujuan dan tindakan peribadi dalam berinteraksi sesama insan yang lain dalam kehidupan seharian.
Surah al-Hujurat yang terdiri daripada 18 ayat ini sarat dengan mesej dalam pembentukan karakter individu yang boleh diaplikasikan dalam etika sosial sebagai garis panduan bermasyarakat.
Menarik apabila penulis memulakan topik ini dengan menjelaskan ‘a big why’ tentang keperluan individu dan masyarakat mengenai akhlak dan etika sosial. Membuatkan diri ini sering bertanya sendiri, apakah fungsi agama jika akhlak gagal dihasilkan.
Apabila berbicara soal memperbaiki diri, suka untuk saya beri satu analogi ini. Kita perlu banyak melihat cermin berbanding menjenguk ke luar tingkap kerana ketika melihat ke luar tingkap, kita akan melihat orang lain tetapi apabila kita mengubah pandangan kita ke arah cermin yang kita akan nampak ialah diri sendiri. Karakter dan akhlak diri sendiri ini yang lebih utama untuk diubah dan diperbaiki agar menjadikan kita muslim yang berkualiti.
Saya teringat kata-kata pensyarah saya sewaktu di dalam kuliah pada minggu lepas, beliau memetik kata-kata daripada Imam al-Ghazali iaitu “Pengertian dan tujuan pendidikan Islam iaitu pendidikan yang berupaya dan bertujuan dalam proses pembentukan insan dan karakternya.”
Kiranya adab dan akhlak ini adalah dalam kawalan diri kita dalam keadaan apa sekalipun. Saya terfikir, harta yang paling berharga dan terjamin adalah akal dan hati kita. Harta yang lain lebih-lebih lagi makhluk atau bentuk material boleh diambil Tuhan pada bila-bila masa. Jadi, perkara yang perlu kita lebih tumpukan adalah dengan memperkayakan akal dengan ilmu dan memperbaiki diri dengan akhlak terpuji. Kerana jika kelak kita tidak mempunyai apa, kita masih mempunyai ilmu dan akhlak yang murni. Sebuah legasi yang dapat membina insan dan peribadi.
Terima kasih Ustaz Hasrizal dan pihak penerbit di atas karya yang amat bermanfaat ini.
Let me start by stating that im the last person worthy to give advices and ilmu of the topic considering the limited of knowledge i have, and as a weak servant i am to him.
Salam ramadan, i would like to share what ive learned from this book and it was quite a valuable content.
Buku ini menceritakan tentang tafsir surah al-hujurat yang didalami daripada aspek etika dan akhlak seorang insan. Ada kalanya, kita melihat kelakuan orang islam di Malaysia yang tidak sepadan dengan akhlak yang sepatutnya dipamerkan oleh seseorang yang menganut agama islam. Jadi, hairan sekali apabila kita melihat etika orang putih di negara barat yang bertatasusila dalam setiap perkara walaupun kadang mereka dikenali dengan amalan mereka yang suka memabukkan diri dengan arak. Sebenarnya saya tidak perlu memikir jauh untuk melihat kemerosotan akhlak dan etika sosial ini. Saya tidak perlu melihat contoh daripada negara lain atau orang barat kerana saya sendiri masih memerlukan penambahbaikan yang ketara bagi meningkatkan nilai akhlak islamiah dalam kehidupan saya sendiri. Kehidupan saya sendiri dipenuhi dengan penyakit sosial yang telah dinormalisasikan seterusnya membawa kepada kekeliruan dalam membezakan garis diantara perkara yang sahih dan perkara yang mungkar. Oleh itu, buku ini telah membuka ruang untuk saya reflek kembali permasalahan akhlak dan etika yang sering dipandang remeh. Salah satu ketakutan saya adalah jika ilmu dan kesedaran yang saya rasai sekarang bersifat sementara kerana saya yakin, tanpa kesedaran kepentingan beretika dalam diri, membawa diri yang lemah ini ke dunia yang kasar mampu merobek diri untuk terbawa mengikuti ayunan kelam dunia.
Tujuan saya mengeluarkan sedikit ilmu yang telah diperoleh adalah bukan untuk berlagak pandai, atau menunjukkan yang saya ini seorang yang baik, tetapi sebab terbesarnya adalah untuk dijadikan rujukan buat diri saya yang mudah terpesong dan sering memerlukan cita untuk melawan arus dunia. Saya berharap sedikit pengisian yang saya keluarkan ini juga memberikan kesedaran kepada kita semua untuk memperbaiki akhlak kita dengan meninggalkan “racun-racun sosial” yang dijadikan budaya masyarakat melayu.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Mari berkenalan dengan Surah Al-Hujurat, surah ke 49 mengandungi 18 ayat.
Buku ini menerangkan ibrah daripada surah ini sebagai panduan akhlak dan etika sosial.
InsyaAllah, kupasan yang mudah difahami dan sangat-sangat bermanfaat. Ada situasi yang relevan zaman kini diselitkan.
''Cukupkah kita menjadi muslim, tetapi akhlak kita tidak seperti orang yang ada Tuhan?'' 😫ms 163
Bagaikan sniper menembak tepat di hati saya. Al-Quran telah lama memberitahu kita panduan akhlak bagi mengelakkan penyakit hati dan hal yang lebih teruk lagi.
Seperti biasa penulis dapat menangkap hati untuk membaca buku ini dengan bahasa yang menarik dan mudah. Bahasanya tidak rendah sehingga boleh menghilangkan mood dan tidak tinggi sehingga mendatangkan rasa berat untuk menghabiskan bacaan. Analoginya juga jelas.
Sebelum ini biasanya hanya ayat 13 surah Hujurat yang dipopularkan terutama dalam sesi Ta’aruf. Rupanya setiap ayat itu membawa banyak pengajaran dalam etika sosial. Wajarnya ayat-ayat ini dibincangkan dalam sesi usrah dan tazkirah.
Terima kasih kepada Ustaz Hasrizal yang menulis dan mengupas ayat-ayat dari Surah Hujurat ini. Buku ini telah memberi satu dimensi baru kepada saya untuk muhasabah diri dan selanjutnya memperbaiki.