Bahagian 1: Tulislah Cerita, Jiwa Lentur, Akal Akur
Cerita sentiasa mempengaruhi manusia, baik jalan kiri atau pun kanan. Bagaimana kita dapat membangunkan cerita yang membawa kepada jiwa yang lentur dan akal yang akur? Dalam bahagian ini, penulis membawa pengalaman yang dapat dijadikan rangka fikir dan rangka kerja dalam pengkisahan baik berbentuk fiksyen, kembara dan kisah hidup.
Bahagian 2: Menggali, Menyusun Teladan dan Hikmah dalam Penulisan Kisah Hidup
Kisah hidup akan mati sebagai laporan semata-mata jika tidak disilangkan bersama hikmah dan pengetahuan yang datang bersama. Penulis memberikan panduan bagaimana merangka kisah hidup yang membentuk nilai menggunakan bahan pembacaan dan pengamatan yang datang bersama.
Bahagian 3: Menulis menggunakan 4 Kuadran Diri
Bagaimana menulis menggunakan kuadran modal diri? Untuk topik ini, kita akan melihat bagaimana modal diri sendiri boleh digunakan sebagai asas bagi menghasilkan penulisan persuasif yang dapat mendekati pembaca dan relevan. Sesuatu yang relevan akan bertahan lebih lama, menjangkaui tempoh yang kita jangkakan.
Pahrol Mohamad Juoi memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh dan kemudian ke sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah. Walaupun berkelulusan dalam bidang Teknologi Makanan UiTM, namun sejak 1985 lagi beliau telah bergiat dalam bidang penulisan khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986 hingga 1995.
Pernah menjadi Ko-kaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dengan bidang penulisan. Sejak itu hingga kini, komitmennya dalam penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis.
Selain itu juga beliau aktif menulis lirik-lirik nasyid bagi kumpulan nasyid Tanah Air seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, Saujana, Mestica, Firdaus, Saffone, Nowseeheart dan lain-lain. Antara lirik nasyidnya yang popular ialah Sumayyah, Suci Sekeping Hati, Mendamba Kasih, Siti Khadijah, Cinta Zainab, Setanggi Kasih, Zinnirah, Umar Al Khattab, Salehuddin Al Ayubi, Ratu Syahadah dan lain-lain lagi. Beliau juga menghasilkan skrip bagi rancangan TV antaranya Raudhah (ASTRO). Menjadi Pengacara dalam rancangan Islam di RTM.
Kini beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan.
Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.
Jika kita menulis bermula dengan emosi, suntinglah dengan rasional. Barulah muncul penulisan memelihara diri. Buku yang bagus untuk mereka yang mahu menjadi penulis.
Tetapi jika buku teknik penulisan canggih atau resepi laku keras yang anda cari, buku ini bukan untuk anda.
Ditulis oleh 3 orang pengkarya prolifik: Hsarizal Abdul Jamil, Pahrol Muhd Juoi & Zamri Mohd. Buku ini lebih banyak menjawab persoalan tentang KENAPA kita menulis ketimbang BAGAIMANA kita menulis. Terbahagi kepada 3 bab utama, mewakili 3 penulis berbeza
Bahagian 1: Tulislah Cerita, Jiwa Lentur, Akal Akur
Cerita sentiasa mempengaruhi manusia, Bagaimana kita dapat membangunkan cerita yang membawa kepada jiwa yang lentur dan akal yang akur? Sama ada fiksyen, kembara dan kisah hidup.
Bahagian 2: Menggali, Menyusun Teladan dan Hikmah dalam Penulisan Kisah Hidup
Kisah hidup akan mati sebagai laporan semata-mata jika tidak disilangkan bersama hikmah dan pengetahuan yang datang bersama. Selain orang lain, penulis juga menulis untuk dirinya sendiri.
Bahagian 3: Menulis menggunakan 4 Kuadran Diri
Walau 2 bab pertama banyak menyentuh soal KENAPA menulis, bab ini berkongsi BAGAIMANA mula menulis. Model penulisan yang dibina dari bacaan & pengalaman ini sesuai untuk penulis baru.
Hendak 1000 daya, tak hendak 1000 dalih. Untuk menjadi seorang penulis, benda pertama & paling utama yang anda perlu buat adalah MENULIS. Memang tiada cara lain dah. Kalau anda tidak mencatat di kertas (atau menaip di komputer), segala cerita dan ilmu itu sekadar arkib di memori.
Aku paling suka poin Tuan Zamri bahawa "Penulis ada kurator." Dengan lambakan kata-kata, cerita dan berita di dunia, penulis ada kurator yang menyusun perkongsian terbaik untuk pembaca. Masa kita terhadap 24 jam, kita tak mungkin mampu semua benda atas dunia.
Maka penulislah pengurus kepada kesibukan masa pembaca. Kurator yang tahu cerita apa dengan persembahan seperti apa yang sesuai untuk audiens masing-masing. Dan paling penting, yang ditulis dari hati akan sampai ke hati.
Walaupun terdapat beberapa input baharu yang mampu dicerap mengenai tujuan dan teknik penulisan dalam buku ini, buku ini masih tidak dapat menandingi keenakan buku Karya Nan Indah oleh Faisal Tehrani, Dari Salina ke Langit Petang oleh A. Samad Said dan rihlah penulisan Shahnon Ahmad dalam Weltanschauungnya.
Beberapa inti yang disampaikan seperti peri penting memartabatkan persuratan Melayu lama pula tidak diikat kemas dan bersifat rojak antara klasik dan kontemporari. Pembaca yang benar-benar ingin menekuni peri penting memartabatkan persuratan Melayu lama dan bahasa Melayu boleh menelaah karya Prof. al-Attas dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu.
Gabungan cetusan hati tiga penulis yang saya hormati termasuk guru penulisan saya, Tuan Zamri Mohamad. Saya membaca karya-karya mereka dan sentiasa ada ibrah yang melekat di minda. Naskah ini mudah difahami dan menggunakan laras bahasa yang mendekatkan hati. Rasa semangat ingin menyelesaikan penulisan sendiri. Tiga gaya dan tiga topik berbeza ke arah tujuan yang sama dengan pelbagai formula. Cuma bagi muka surat berwarna kelabu, saya ingin cadangkan agar menggunakan font berwarna agar lebih terang bagi pembaca.
Buku panduan menulis tetapi tidak terlalu teknikal. Lebih kepada inspirasi menulis yang disampaikan oleh tiga penulis prolifik tanah air.
Perkara paling menarik tentang buku ini saya kira adalah persembahan tipografinya yang minimalis, segar dan seronok untuk dibaca. Sedar-sedar, eh, dah habis baca pun buku setebal 328 muka surat ini. Sangat sesuai dibaca lagi-lagi bagi pembaca yang sibuk dengan tugasan hakiki.
Intipatinya bersahaja, berbicara tentang penulisan sebagai satu medium dakwah, tentang pentingnya untuk kita berhati-hati dalam menulis agar tidak terlalu menyinggung perasaan pembaca, juga mengenai panduan kuadran 4 penulis yang boleh digunapakai oleh semua orang.
Bahagian akhir buku ini lebih banyak memfokuskan kepada manuskrip persuratan Melayu. Tentang kayanya sumber manuskrip oleh nenek moyang kita dan peri pentingnya untuk meneruskan legasi mengumpul dan menyampaikan mesej kepada khalayak pembaca.
Saya juga agak tertarik dengan kaedah formula alam, iaitu mengambil apa jua objek alam di sekeliling, mengambil ciri-ciri yang ada padanya, dan mengembangkannya menjadi suatu penulisan yang indah.
Tepat jam 9:14 PM tadi, saya telah berjaya menamatkan ‘Menulis Dari Hati Biar Sampai Ke Hati, merupakan bacaan ketiga saya bagi tahun 2022. Alhamdulillah, minda terasa puas kekenyangan seusai menyantap bait-bait garapan tiga orang panelis yang dikira cukup ‘makan garam’ dalam dunia penulisan ini. Insyaallah dengan segala hikmah yang telah saya petik sepanjang bersiar di taman ini(buku ini), akan saya semai agar buahnya kelak dapat pula mengeyangkan pembaca yang lain. Terima kasih buat @ustazpahrolmohamadjuoi, @iamhasrizal dan saudara Zamri Mohammad di atas penghasilan karya yang cukup bermanfaat ini.
Ps: saya gunakan ‘formula alam’ untuk tulis resensi ringkas ni, sebuah formula menulis yang baru saya dapati dari buku ini. Oleh itu, saya mohon maaf kepada rakan pembaca sekalian jika ayat saya kedengaran sedikit aneh dan merepek😝
"Apabila kita bercakap tentang penulisan, mestilah wujud perbuatan menulis, peralatan menulis dan tulisan yang mana akhirnya menjadi buku." - Hasrizal Abdul Jamil, halaman 75.
Nama Ustaz Pahrol dan Ustaz Hasrizal memang tidak asing sebab memang baca buku tulisan mereka sejak sekolah menengah.
Tentang Cinta, Nota Fikir untuk Zikir, Mukmin Profesional, Secangkir Teh Pengubat Letih, Di Hamparan Shamrock etc.
Mungkin ini kali pertama baca buku tulisan saudara Zamri Mohamad. Banyak sangat ilmu dan teknik menulis yang tak pernah dipelajari pun sebelum ni.
Buku ni sangat sesuai untuk yang nak mula menulis dan nak memahami dari sudut seorang penulis.
Tak mampu jadi seorang penulis, jadilah seorang yang suka membaca tulisan orang lain.
Buku yang amat baik daripada 3 orang penulis terkenal negara, sesuai dibaca oleh pemula dalam dunia penulisan dan mereka yang baru berjinak-jinak menulis. Buku ini dibahagi kepada tiga segmen, pertama perkongsian daripada Ustaz Pahrol, kedua daripada Ustaz Hasrizal dan ketiga daripada Tuan Zamri. Perkongsian dalam dua segmen pertama lebih kepada tujuan menulis dan menyelami intipati seorang penulis itu sendiri. Kandungan bersifat umum dan bertujuan menguatkan asas dan jati diri seseorang penulis itu sendiri. Perkongsian Tuan Zamri lebih teknikal dan membantu dari segi teknik menulis. Kaedah kuadran modal diri merupakan teknik yang tidak asing bagi mereka yang mengikuti Sekolah Penulisan Ramadan. Sebuah buku yang amat bermanfaat kepada penulis. Jika ada satu cadangan penambahbaikan yang boleh saya utarakan ialah kurangkan rekaan dalam buku yang boleh menjadi terlalu semak dan melambatkan pembacaan.
Baca buku ini ibarat sedang mendengar seorang ayah menasihati anak-anaknya.
Kebetulan saya baca buku ni di saat rasa minat menulis itu hampir mahu terkubur. Ternampak buku ni di PBAKL 2022, jadi saya tergerak hati untuk membelinya. Sejujurnya, minat menulis telah 90-95% hilang dalam jiwa saya akibat sesuatu perkara terjadi. Apabila saya baca buku panduan ini, saya rasa terpujuk dan rasa sebak, lagi-lagi apabila terbaca setiap nasihat lembut daripada tiga penulis yang saya kagumi.
Untaian nasihat ketiga-tiga penulis sangat-sangat mengubati kerinduan saya untuk menulis. Segala tips yang mereka berikan telah buatkan saya ingin cuba menulis kembali. Ada cuba sedikit demi sedikit tips yang mereka tuliskan, dan alhamdulillah saya dapat buat biarpun perkembangannya hanya 10%.
Terima kasih buat penulis-penulis buku ini. Anda telah mencambahkan kembali minat menulis saya. InsyaAllah, kita perlahan-lahan tumbuh semula.
Menulis dari Hati Biar Sampai ke Hati — Ustaz Pahrol, Ustaz Hasrizal & Zamri Mohamad
Buku ini sesuai sangat untuk yang nak mula menulis tapi selalu overthinking… rasa tak cukup bagus, takut orang tak suka, atau asyik banding dengan penulis lain.
Melalui tiga penulis dengan gaya berbeza, buku ini berkongsi pengalaman, tips dan cara pandang tentang dunia penulisan — dari nak mula, nak kekalkan momentum, sampai faham tujuan sebenar menulis.
Apa yang saya dapat? Buku ini bukan sekadar ajar teknik, tapi betulkan mindset. Rasa “tak layak menulis” tu perlahan-lahan hilang bila baca. Kadang kita berhenti bukan sebab tak boleh… tapi sebab terlalu banyak negative thinking.
Kenapa buku ini bermanfaat? ✨ Sesuai untuk beginner ✨ Ada panduan + motivasi ✨ Bantu bina keyakinan untuk mula menulis
Kesimpulan: Kalau rasa nak menulis tapi selalu ragu-ragu, buku ini macam “tolakan lembut” untuk mula. Tulis saja… dari hati.