Sisi Berakhlak Yang Hilang adalah perspektif Ustaz Hasrizal menekun karya Stephen Covey - The 7 Habits of Highly Effective Peoples
📚 9 pelajaran penting dari SAYH
1. Akhlak = Tindak balas spontan (autopilot).
“Akhlak itu satu sifat yang tertanam dalam diri, yang mana daripada sifat itu munculnya perbuatan-perbuatan yang berlaku dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses akal ataupun pertimbangan.” - Imam Al Ghazali
Jika kita perlu berfikir untuk melakukan sesuatu kebaikan, maka ia belum lagi sampai ke tahap akhlak.
2. Akhlak tidak ditentukan cuaca sekeliling
“Aku bukan takboleh cakap baik-baik, lemah lembut, tapi dah memang aku dibesarkan dengan cara kasar.
“Saya faham kena jadi seoarng suami yang baik, tapi tula. Isteri saya susah nak dengar cakap saya.”
“Susah nak jadi pekerja yang komited kalau semua rakan sekerja pun asyik curi tulang.”
Muslim yang sejati akan berusaha secara proaktif mengambil tanggungjawab atas diri sendiri dengan memperbaiki akhlak; bukan menyalahkan orang lain atas kelemahan diri sendiri.
3. Mula dengan gambaran paling akhir.
Destinasi impian setiap Muslim tentulah ingin menghuni Syurga, berdampingan dengan Nabi, sahabat dan mereka yang berjuang menyampaikan risalah agama sepanjang zaman.
Pelajari dan renungkan perjalanan kehidupan mereka yang menghuni Syurga. Bandingkan pula dengan kehidupan kita hari ini.
Jadi sebelum berbuat sesuatu, fikirkan dahulu kesan dan akibatnya. Ia akan menambah saham pahala untuk masuk syurga atau menambah beban dosan untuk dihumban ke neraka.
4. Letak yang utama sebagai prioriti.
Seorang kanak-kanak diminta untuk memuatkan pelbagai saiz batu ke dalam sebuah kantung guni.
Pada mulanya kanak-kanak tersebut memasukkan pasir, kemudian batu-batu kecil dan terakhir batu yang besar.
Malangnya tak semua batu-batu besar dapat dimasukkan. Ada yang terpaksa ‘dikorbankan’, ditinggalkan.
Begitulah analogi prioriti dalam kehidupan kita, bila kita dahulukan perkara kecil, pasti ada keutamaan yang terpaksa kita tinggalkan.
Jika dimasukkan batu-batu besar dahulu, batu kecil dan pasir tentu boleh ‘diatur’ supaya dapat muat ke dalam kantung tersebut.
5. Berinteraksi dengan orang yang kita suka mudah, tapi akhlak yang sebenar adalah kita mampu berinteraksi dengan orang yang kita tak suka dengan baik.
4 tahap membalas kejahatan dengan kebaikan (dari Surah Fussilat)
- Menyayangi orang yang menganiaya
- Berbuat baik kepada yang menganiaya
- Mencegah diri daripada membalas
- Bertindak membalas melalui cara yang betul
6. Memahami sebelum difahami
Cuba dengar untuk faham bukan mendengar untuk memberi respon.
Jika Nabi SAW mengambil pendekatan pendekatan untuk memberi respon, sudah pasti pemuda yang datang meminta izin berzina terus ‘dihukum hudud’ pada ketika itu juga.
Tetapi baginda dengan hikmahnya berjaya ‘menjawab’ permintaan pemuda tersebut.
7. Memahami setiap dari kita saling memerlukan.
Hakikatnya sepinggan nasi berlauk yang kita beli di kedai makan adalah satu hasil sinergi puluhan manusia; tukang masak, penternak ayam, nelayan, petani dan entah siapa-siapa lagi!
Setiap manusia bersinergi untuk memberi manfaat.
4 Asas dalam memahami sinergi
- Meraikan perbezaan
- Bekerja berkumpulan
- Berfikiran terbuka
- Mencari jalan lebih baik
8. Sentiasa mengasah ‘gergaji’
Ambil masa untuk berhenti seketika dari rutin seharian untuk asah & perbaiki kemahiran.
Pemuda A gergaji balak selama sejam kemudian berhenti untuk asah gergaji.
Pembuda B gergaji balak berterusan & tidak berhenti kerana mengatakan tiada masa untuk berhenti rehat.
Sudahnya pemuda A lebih awal siapkan tugasan gergaji balak berbanding pemuda B.
9. Menuntut hak lebih mudah dari tunaikan tanggungjawab
Kita mahu dilayan baik oleh pasangan, keluarga & rakan tetapi jarang kita mulakan dahulu memberi yang terbaik.
Sebagai isteri dia patut layan aku begini.
Sebagai anak dia patut hormat aku begitu.