Dalam rentang 2 tahun ini kematian menjadi jiran yang sering kita intai pergerakannya dalam diam. Ketakutan, kesedihan, risau, dan marah mengalir dalam urat-urat di tubuh sehingga di suatu ketika setiap kita menerima sepenuhnya bahawa tiada seorang pun yang terselamat dari ujian ini, dan dari kekecewaan ini kita meringis, memandang satu sama lain dengan prasangka & berwaspada.
Kumpulan sajak ini dikerjakan dalam suasana yang aneh dengan perasaan serta renungan yang kelabu dan tak menentu, mungkin naskah ini sekadar merakam dan mencatat kekacauan yang peribadi tanpa mengharapkan apa apa untuk menjelma untuk menjadi sesuatu yang boleh dibualkan atau mungkin, dibantai.
Maka dengan rendah hati dipersembahkan sebuah zine kumpulan sajak yang diberi judul Ringis. Hampir seluruh bahagian naskah ini dikerjakan dengan tangan, dari kulitnya yang dicetak saring sehingga ke jahitan jilidnya kecuali isinya yang merupakan cetakan komputer.
Tapi hanya 87 naskah bertanda nombor mampu disediakan kali ini.
Bersama setiap naskah ini juga turut diselitkan sekeping poster dicetak saring berukuran 175 x 230mm yang juga bertanda nombor.
Sebelum membaca kumpulan sajak ini, perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari maksud ringis di PRPM DBP. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ringis membawa maksud menyeringai, perbuatan geronyot muka (kerana kesakitan dll); atau bermuka masam (kerana kecewa dll). Maksud tajuk perlu diketahui agar gambaran awal sajak yang ditulis dapat ditangkap tatkala menyelak halaman pertama. Terasa ada beza dalam koleksi ini jika dibanding dengan koleksi terdahulu, namun ia sudah pasti kerana faktor usia, pengalaman dan faktor lain yang boleh jadi merubah perspektif dan mendewasa. Terlepas juga rindu untuk membaca buah tangan Karl Agan.