Kajian berkenaan fiqh mentaati pemerintah ini lahir bagi menjawab dakwaan sebahagian golongan yang menyeru kepada ketaatan berbentuk penyerahan secara mutlak kepada pemerintah sehingga ke tahap mengharamkan apa-apa jua bentuk bangkangan terhadap para pemerintah - walau seteruk mana sekalipun kesesatan, kezaliman dan jenayah yang dilakukan. Dalam konteks tersebut, karya ini hadir bagi menjelaskan konsep ketaatan sebenar menurut kaca mata syarak hasil penelitian secara terus terhadap nas-nas al-Quran dan Sunnah dan disokong oleh pandangan para ulama yang memahaminya selaras dengan objektif dan prinsip syarak. Dalam bahasa ringkas, karangan ini berusaha untuk menjernihkan kekeliruan tentang isu ketaatan kepada pemerintah dan membetulkan penyalahgunaannya sehingga menyebabkan tindakan normalisasi kediktatoran.
Buku yang amat sesuai dibaca pada masa kini dengan situasi kepimpinan politik yang haru-biru dan menimbulkan pertelingkahan dalam kalangan ahli masyarakat. Penulis berkongsi asal usul, cabang pemikiran dan penjelasan mengenai kepimpinan dalam Islam. Menurut penulis, “Polisi pemerintahan Islam adalah tertakluk kepada maslahah yang umum dan utama berbanding yang lain. Maka tidak dapat tidak ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam sebahagian golongan. Dalam hal ini sekalipun, ketaatan adalah diwajibkan.“
Mula membaca buku ini pada tarikh 23 Ogos 2022, hari yang sama mantan Perdana Menteri ke-6 Malaysia disumbatkan ke mahkamah atas salah laku dalam kes SRC. Pada mulanya, melihat akan tajuk sahaja sudah mengujakan kerana ia berkisarkan seputar isu masyarakat sekeliling yang senantiasa taksub dengan pemimpin-pemimpin sehingga menyebabkan taat dan patuh secara membuta tuli.
Buku ini pada asasnya merupakan satu panduan yang lengkap kerana ia menjawab berbagai persoalan mengenai cabang-cabang pemikiran mengenai keperluan akan mentataati pemimpin dan lain-lain. Malah, tidak keterlaluan untuk meletakkan buku yang dikarang oleh Syeikh Ahmad Al-Raysuni yang ini untuk dijadikan satu manual kepada masyarakat majmuk akan keperluan untuk mentaati dan batasan yang digariskan oleh agama Islam untuk mentaati mereka.
Malah, kekuatan naratif dan idea utama yang digagaskan oleh Syeikh Ahmad Al-Raysuni ini dikuatkan lagi dengan melampirkan bukti-bukti daripada nas Al-Quran dan Hadith. Bukan itu sahaja, nukilan dan kata-kata daripada ulama melalui pelbagai kitab memacu kekuatan gagasan idea Syeikh Ahmad. Bahkan, dikemukakan cerita akan teguran Saidina Umar Al-Khattab R.A yang menegur Saidina Muawiyyah akan perbuatannya yang menyuruh rakyatnya beratur untuk memasuki bagi berjumpa dengan beliau.
Secara keseluruhannya, terjemahan buku ini sedap dan tidak memerlukan perkataan-perkataan jargon bagi mengungkapkan terjemahan yang bombastik. Akhir kata, buku ini diperlukan bagi dibaca oleh masyarakat kita pada hari ini bagi tidak menunduk kepada kuasa ditaktor dan drakonian. Dan, tidak menjadi ‘walaun’ atau patuh secara membabi buta.
Buku ini penting bagi membuka mata rakyat untuk mengenali pemerintah jenis apa yang perlu kita taati. Bukan sewenang-wenangnya mengikut arahan tanpa wujud persoalan tentang kewibawaan pemerintahan tersebut.