Pahrol Mohamad Juoi memulakan pengajian di sekolah kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh dan kemudian ke sekolah Menengah Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah. Walaupun berkelulusan dalam bidang Teknologi Makanan UiTM, namun sejak 1985 lagi beliau telah bergiat dalam bidang penulisan khususnya dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam. Ini dibuktikan dengan komitmennya sebagai wartawan, pengarang dan akhirnya Ketua Pengarang kepada beberapa buah majalah bercorak Islam sejak tahun 1986 hingga 1995.
Pernah menjadi Ko-kaunselor Yayasan Nurul Yaqeen pada tahun 1997/98, namun minat sebenarnya tetap dengan bidang penulisan. Sejak itu hingga kini, komitmennya dalam penulisan diteruskan dengan menjadi kolumnis kepada beberapa buah majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Falsafah, Minda, majalah I dan Anis.
Selain itu juga beliau aktif menulis lirik-lirik nasyid bagi kumpulan nasyid Tanah Air seperti Hijjaz, Rabbani, Raihan, Inteam, UNIC, Saujana, Mestica, Firdaus, Saffone, Nowseeheart dan lain-lain. Antara lirik nasyidnya yang popular ialah Sumayyah, Suci Sekeping Hati, Mendamba Kasih, Siti Khadijah, Cinta Zainab, Setanggi Kasih, Zinnirah, Umar Al Khattab, Salehuddin Al Ayubi, Ratu Syahadah dan lain-lain lagi. Beliau juga menghasilkan skrip bagi rancangan TV antaranya Raudhah (ASTRO). Menjadi Pengacara dalam rancangan Islam di RTM.
Kini beliau adalah Pengarah dan Penyelidikan Modul merangkap Pengurus besar Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding dan latihan yang terlibat dalam program latihan bagi agensi-agensi kerajaan, badan-badan korporat dan syarikat-syarikat swasta. Pengalamannya menjelajah negara-negara ASEAN, Uzbekistan, Pakistan, Turki, Jepun, China, Jordan dan Mesir menambah kematangannya dalam bidang penulisan dan latihan.
Hingga kini beliau telah menulis beberapa buah buku dari pelbagai genre penulisan. Antaranya: Melawan Arus (antologi cerpen), Jendela Hati (antologi Sajak), Turki: Iktibar Sebuah Empayar (kembara), Ideologi Kamal Ataturk dan kesannya terhadap Turki (politik), Tentang Cinta (remaja), Dua hati Satu Rasa, Untukmu yang Tersayang, Dilema Melayu-Islam: Kurang Fikir atau Kurang Zikir. Terkini, beliau juga adalah ketua editor majalah SOLUSI keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd.
Jarang saya mahu membaca bahagian mukadimah. Entah bagaimana, saya terbacanya kerana tertarik dengan cara ustaz mengulas makna di sebalik tajuk "Seperti Air yang Mengalir".
Terdapat dua segmen dalam buku ini. Segmen pertama adalah segmen Lembah-lembah Memori, iaitu segmen rangkapan pengalaman hidup beliau. Ada lima untaian memori yang dikongsikan. Agak tersentuh hati dengan cara beliau menceritakan kisah ayahnya yang menjadi tonggak utama beliau mahu menjadi penulis. Bait-bait kata arwah bapanya mengusik jiwa, lagi-lagi apabila berpesan, "Apabila bapa sudah tiada, tengok-tengokkanlah abang kamu..." Pesanan ini sangat dekat di jiwa saya, jadi setiap emosi dan penyampaian lahiriah penulis dalam tajuk ini benar-benar membantu saya memahami intipati pesanan unik sebegitu.
Saya paling teruja sewaktu membaca pengalaman penulis tinggal duduk di ISA Kamunting selama 2 tahun. Cara beliau mengaut hikmah dan mendekatkan diri dengan insan-insan di sana sudah cukup menjelaskan keindahan hikmah dalam sesuatu ujian. Saya banyak belajar erti penerimaan dan taqawwuf melalui pengalaman ini. Sungguh, ia suatu pengalaman pembacaan pertama yang saya rasa sangat berpuas hati.
Segmen kedua adalah Kolam-kolam Nurani, iaitu segmen perkongsian ilmu penulis tentang kedamaian, kemaafan, keindahan bersabar, kemanisan bersedekah, kebaikan istighfar dan cara mengaut hikmah sebanyak-banyaknya tanpa rasa terbeban. Ada banyak cara yang dikongsikan, seiring juga dengan beberapa potongan ayat al-Quran dan hadith sebagai panduan untuk percayakan diri. Sejujurnya segmen ini sangat membantu saya permudahkan perjalanan yang saya tempuh.
Orang lain mungkin akan berkata, ini buku "self-healing". Bagi saya, ini adalah buku mencari jalan. Mencari jalan yang masih tidak tahu apakah yang ingin dicari dan tercari-cari.
Seperti Air yang Mengalir. Bila sebut air, apa yang terfikir dalam fikiran masing masing? Air yang mengalir memberi kebaikan untuk semua makhluk berbanding air bertakung. Air tidak mengalir ke tempat lebih tinggi, tetapi sifat air ialah mengalir ke tempat yang lebih rendah. Kalau jernih airnya, jernihlah di sekelilingnya, begitu juga sebaliknya.
Buku ini mengandungi catatan penuh makna yang terselit pengajaran daripada setiap patah kata yang ditulis. Bagaimana untuk menjadi seperti air yang mengalir? Memberi manfaat untuk semua tidak mengira waktu dan ketika. Hidup adalah sebuah perjuangan. Jika kita memilih untuk menjadi seperti air mengalir dengan memperbaiki diri, berani menghadapi cabaran, banyakkan memberi, memaafkan, dan seribu satu kebaikan lain, percayalah ketenangan akan sentiasa mengiringi kita.
Teringat kata kata penulis, kalau sayang diri sendiri perbaikilah diri sendiri. Bagaimana pula cara nak sayang diri sendiri? Antaranya belajar untuk menjadi manusia yang mampu memberi kebaikan walau sekecil kecil kebaikan. Berjuang untuk memperbaiki diri kerana perubahan tidak terjadi dalam masa singkat. Banyakkan bersabar dan tidak mudah marah. Kesusahan tidak menjadi alasan untuk kita berbuat baik.
Dan apa yang paling penting adalah kesediaan kita untuk belajar daripada kesilapan dengan memperbaiki diri agar tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama. Setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi. Hanya terserah kepada kita bagaimana cara kita memandang kehidupan. Jangan lupa untuk teruskan berdoa agar Allah menetapkan kita di jalan kebaikan yang kita pilih.
Tajuk 𝘚𝘦𝘱𝘦𝘳𝘵𝘪 𝘈𝘪𝘳 𝘠𝘢𝘯𝘨 𝘔𝘦𝘯𝘨𝘢𝘭𝘪𝘳 diambil sempena dengan sifat air yang mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Maka, dengan analogi air yang mengalir ini, Ustaz Pahrol menyamakan sifat ilmu yang hanya akan mengalir ke individu yang merendahkan diri kerana darjat ilmu itu sendiri yang berada di kedudukan yang atas. - Buku ini merupakan himpunan anekdot yang terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian yang pertama, Ustaz Pahrol muatkan dengan kisah hidupnya sewaktu kecil bersama ibu dan ayah beliau. Bahagian yang kedua menampilkan beberapa sirah dan kisah tabiin dan beberapa yang lain. Sehubungan dengan itu, sesuailah kalau hendak saya katakan bahawa pembaca perlu membuka minda dan hati, bagi membolehkan 'air' yakni pengajaran daripada kisah-kisah tersebut mengalir sampai ke pembaca. - Bacaan kali ini merupakan titik perkenalan saya dengan penulisan Ustaz Pahrol. MashaAllah lembut sungguh bahasa beliau. Kalau rasa macam perlukan pujukan menghadapi dunia yang penuh pancaroba ni, saya sarankan, cubalah baca. Inshaallah. - Akhir kata, buku ini secara tidak langsung mendidik saya untuk mengamati hal-hal kehidupan yang kecil-kecil. Rugi rasanya andai tidak diperdalam satu per satu. Di samping kenangan, adanya hikmah. - Antara yang berbekas menjadi peringatan:
Saya mengetahui figura ustaz Pahrol Mohamad Juoi menerusi buku Beduk Diketuk. Suka benar baca buku itu sampai saya boleh ingat nama ustaz. Waktu tu masih berjinak-jinak membaca buku berunsur keagamaan, masih sekolah menengah.
Mungkin kerana pilihan kata-kata ustaz yang ‘dekat’, mudah, mesra namun tegas yang menjadi daya penarik untuk saya yang masih remaja ketika itu.
Terbayang-bayang perasaannya ketika membaca buku ini. Entah kenapa, bab ‘Ayah, Aku Rindu Marahmu!’ buat mata rasa panas. Memang lemah sikit bila ada bab mak ayah ni.
Pengajaran yang saya dapati dalam buku ini ialah perbaikilah diri sendiri. Dalam apa-apa jua keadaan dan waktu, sentiasalah memilih untuk berada dalam situasi belajar terutamanya daripada pengalaman hidup yang pahit. Ustaz ajak kita jadi air yang mengalir, mesti bergerak, mesti belajar, mesti sentiasa perbaiki diri, mesti menjadi ‘tangan yang di atas’, barulah kita tidak mati sebelum waktunya.
Perkara ni sukar. 说起来容易,做起来难。Tapi lebih baik mencuba, daripada jadi air keruh tak berguna.
Lembut nada penulisan seperti lembutnya air yang mengalir. Ada beberapa bab yang saya amat suka: Hidup sesingkat masa antara iqamah dengan takbiratul ihram, Cita-cita Besar akan mengecilkan masalah, Tukar Masalah Jadi Peluang dan Hadapi Kekuatan, Capai Impian Yang Besar.
Kali terakhir membaca karya Ustaz Pahrol adalah ketika zaman belajar di UIA. Hampir 13 tahun yang lepas. Ya, saya adalah antara peminat tegar hasil penulisan ustaz. Gaya dan lenggok bahasanya bagai seorang ayah yang menasihati anak-anaknya. Tentang kehidupan, tentang cinta, tentang dunia pekerjaan, tentang keikhlasan, dan sebagainya.
Dan setelah 13 tahun, Seperti Air Mengalir adalah karya ustaz yang seterusnya yang dibaca. Masih sama. Intipatinya, gaya bahasanya - kekal sama. Yang berbeza hanyalah pengisian daripada buku ini. Seawal muqaddimah, ustaz berpesan supaya kita menjadi orang yang berilmu, orang yang sentiasa menuntut ilmu, dan beramal dengan ilmu.
Bahagian pertama buku ini, ustaz menceritakan tentang pengalaman beliau bersama keluarga. Kisah bapanya yang menjadi inspirasi beliau untuk menjadi penulis, kisah ibunya yang sentiasa lembut, pengalaman hidupnya menuju dewasa yang penuh dengan cabaran. Yang paling menyentuh hati adalah apabila ustaz menjadi salah seorang tahanan ISA. Bagaimana ustaz menghadapi saat-saat getir itu dan menukarkannya menjadi momen yang bermanfaat untuk beliau sepanjang dalam tahanan.
Bahagian kedua buku ini, ustaz berkongsi tentang kelebihan bersedekah, cara mengatasi kesedihan, bersedia menghadapi kematian, sentiasa memperbaiki diri, nilai sebuah kemaafan, konsep tawakkal yang benar, besarkan cita-cita dan banyak lagi. Ini adalah antara perkara-perkara yang selalu kita hadapai dalam hidup, dilema yang sentiasa membuatkan kita terdiam dan terduduk, antara membuat pilihan yang disukai Allah atau pilihan diri.
Sebuah buku yang baik yang kita perlukan..terutamanya apabila kita perlukan nasihat dan kata-kata semangat daripada insan yang bergelar seorang ayah. Ayah merupakan insan yang paling jarang berbicara, namun..kita tahu bahawa kata-katanya sangat berbisa dan menusuk ke dada. Pesanan dan nasihat yang sangat bermakna untuk kita menjalani kehidupan penuh warna.
Seperti Air Yang Mengalir” tulisan Ustaz Pahrol Mohammad Juoi adalah sebuah buku yang membawa pembaca selami perspektif yang berbeza tentang kehidupan dan agama. Ustaz Pahrol dengan bijak mengaitkan konsep kehidupan yang tenang dan harmoni dengan prinsip-prinsip Islam sambil menggunakan metafora air yang mengalir sebagai simbol ketenangan, keikhlasan, dan penerimaan takdir.
Salah satu kekuatan utama buku ini adalah bagaimana ia membuka minda pembaca untuk melihat kehidupan dari sudut pandang yang lebih mendalam dan positif. Ustaz Pahrol dalam buku ini, menyampaikan mesej-mesej spiritual dengan penuh hikmah, mengajak kita merenung makna kehidupan, hubungan dengan Tuhan, dan peranan kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.
Namun, dari segi gaya penulisan, pada pendapat saya, ada sedikit kekurangan. Cara penyampaian yang agak statik dan kurang bervariasi menjadikan sesetengah bahagian terasa lambat dan berulang. Walaupun isi kandungannya sangat bermakna, pendekatan bahasa yang lebih dinamik mungkin dapat menjadikan pembacaan lebih menarik dan mudah dihayati.
Secara keseluruhannya, “Seperti Air Yang Mengalir” tetap merupakan sebuah karya yang baik untuk mereka yang mencari ketenangan jiwa dan panduan hidup berlandaskan agama.
Membaca buku ini seperti dalam perjalanan mendidik rohani. Satu yang sangat saya suka dengan penulis, tulisannya sentiasa sampai dan mendidik hati ini. Antara topik yang berbekas di hati ini ialah "Berdoa dan Berusaha Sebaik Mungkin", "Hadapi Ketakutan Capai Impian yang Besar", "Kerana Allah Membantu" dan "Belajar daripada Sekolah Kesilapan". Buku ini bukan sahaja mengajak pembaca menjadi hamba Allah yang baik, tetapi juga mengajak pembaca menjadi khalifah Allah yang baik dalam memakmurkan kehidupan di dunia. Hanya dengan itu peranan manusia dapat dilunaskan dengan sebaik-baiknya.
Ma Sha Allah la buku ustaz pahrol tak pernah tak berhikmah.
Antara part yang paling saya suka bab ustaz menceritakan serba sedikit tentang arwah ayah dan ibu nya. Sangat menyentuh hati. Saya rasa, jarang ustaz menceritakan kisah peribadi di dalam buku buku nya.
Kalau ada pun, mungkin buku ni salah satu daripadanya. Dan kisah ustaz di tahanan ISA.
Dan bab bab yang lain. Setiap permasalahan dalam hidup yang ustaz ajar untuk kembali kepada Allah. Dan beberapa teguran kepada para daie. dan bermacam macam.
Tulisan yang macam tajuknya, flows like a river. Sangat smooth dari satu ayat ke ayat yg lain. Cuma mungkin ada topik/chapter yg saya rasa berulang. Isi juga mungkin lebih kurang sama. Apa pun, banyak yg saya belajar tentang kehidupan dlm buku ni.
Quite hard to finish at first, tapi berjaya juga habiskan. Akan reread beberapa helaian yg deep gila dan relatable.
Buku terbaik tahun ni. Penulisan Ustaz Pahrol seperti biasa tak pernah mengecewakan. Buku ustaz selalu menyentuh hati mungkin perkataan yang ustaz guna. Buku ni ustaz kongsikan kisah, sirah dan pengalaman ustaz yang sarat dengan pengajaran. Banyak sangat mutiara kata yang saya boleh ambil. Bagi yang suka baca buku buku yang memujuk hati dan memberi semangat, saya sangat recommend buku ni.
Buku yang mengajar kita kembali ke hakiki sebagai hamba. Berusaha untuk menjadi hamba yang balik ke pangkal jalan. Sentiasa berusaha untuk hidup di landasan sebagai umat Islam.
Hidup ini umpama air yang mengalir dari tempat yang tinggi menuju ke tempat yang lebih rendah sifatnya. Alirannya juga perlu baik agar air tidak bertakung hanya di satu tempat dalam masa yang agak lama. Hal ini kerana, air yang mengalir akan sentiasa bersih dan jernih. Begitulah juga dengan kehidupan manusia perlu setiasa belajar dan mencari ilmu agar hati dan jiwanya sentiasa bersih dan tenang.
Ilmu yang dimiliki bukanlah untuk membangga diri tetapi menjadikan kita seorang yang merendah diri. Bak kata imam Syafie
“Semakin aku belajar, semakin banyak yang aku tidak ketahui”
Orang-orang yang berilmu itu sifatnya berani, berkeyakinan tinggi, hormat-menghormati dan tidak mengalah akan apa jua mehnah dan ujian serta jiwanya besar. Memandang sesuatu ujian itu sebagai peluang dan terus mengorak langkah tanpa penat lelah.
Kolam-kolam nurani yang diolah oleh penulis, umpama panduan dan tunjuk ajar menjadi seorang yang Seperti Air yang Mengalir, tenang dan bersih. Banyak perkongsian dan kata-kata yang boleh diambil dijadikan sebagai pedoman. Selain itu, setiap perkara yang berlaku dihadapan kita, baik mahupun buruk ada sesuatu yang Allah mahu tunjuk dan ambil pengajaran tentangnya.
Bait-bait kata yang dinukilkan dalam buku ini sungguh menyentuh hati dan seakan-akan memujuk jiwa-jiwa yang sedang keresahan. Salah satu perkara yang begitu mengesankan bagi saya ialah saranan penulis untuk mencoretkan penulisan tentang kenangan manis atau jasa seorang ayah dalam kehidupan kita. Selain itu, sering kali ketika saya sedang membaca topik-topik yang dibincangkan oleh penulis, saya sebenarnya sedang mengalami situasi yang sama, seolah-olah buku ini hadir sebagai peneman yang dapat mengungkapkan segala isi hati yang tidak terluah.
Baca mukadimah pun dah best, apatah lagi bilamana pembaca mula membelek sehelai demi sehelai muka surat. Buku ni terbahagi kepada 2, pertama di bawah tajuk besar Lembah-lembah memori yang mengumpulkan memori ust dengan kedua ibubapanya. Baca 3 tajuk terawal, air mata tak berhenti mengalir.. Tajuk kedua pula Kolam-kolam Nurani. Ia lebih kepada nasihat, teguran dan pesanan kepada kita semua.
Banyak belajar dari buku ni. Ust laa khusunya. Lagi2 bila ust mengatakan kita sebagai manusia ni adalah hamba dan khalifah.