Setiap daripada kita memasang impian dan mempunyai visi dalam kehidupan. Bagi mencapainya, kita memerlukan satu panduan yang berstruktur dan berpandu bagi mengoptimumkan penggunaan masa, tenaga dan wang. Perancangan merupakan antara perkara yang penting bagi memastikan keberjayaan sesuatu matlamat. Buku ini memberikan panduan bagaimana untuk mengenal diri, merancang pelan tindakan, mendepani cabaran, membuat penilaian dan seterusnya mencapai matlamat yang disasarkan.
Buku ini kecil sahaja, ringan, dan diterbitkan dengan susun atur yang kemas. Ia ditulis dengan bahasa yang mudah dibaca tanpa "mengebom" pembaca dengan jargon-jargon yang susah difahami. Ia juga tidak hanya membahaskan teori tetapi menggariskan langkah-langkah yang praktikal dalam merancang kejayaan.
Perbahasan awalnya mengajak pembaca mencari tujuan hidup. Saya kira ini merupakan soalan falsafah asas bagi manusia, untuk manusia itu melaksanakan fungsinya, dia perlu tahu tujuan hidupnya. Proses mencari tujuan hidup ini mungkin memakan masa yang lama, bahkan ada manusia yang mencari tujuan hidup seluruh hidupnya hingga dia sendiri terlupa untuk hidup. Namun jika kita berjaya menjumpai tujuan hidup kita, kita tahu kemana arah tuju kita, kita akan mudah menempuh cabaran-cabaran yang datang.
Bak kata Nietzsche “He who has a why to live for can bear almost any how.”
Kebanyakan manusia menjumpai tujuan hidup yang dapat memanfaatkan orang lain. Ini juga pernah ditulis oleh ahli psikologi seperti Angela Duckworth yang mengkaji psikologi kejayaan. Sesuatu tujuan atau matlamat itu, jika digabungkan dengan sumbangan untuk memberi manfaat kepada manusia akan menjadikan matlamat itu lebih bermakna. Apabila kita bermanfaat untuk orang lain kita merasakan bahawa apa yang kita buat itu ada makna yang lebih besar, lebih besar dari diri kita sendiri.
Quote kegemaran saya dalam naskah ini adalah pada mukasurat ke 40:
"Perjalanan mengenali diri sendiri untuk memahami diri dengan lebih dekat dan menyayangi diri. Ini salah satu hasil daripada merenung diri, emosi, perasaan dan kemahuan. Tiada wang yang boleh dikenakan terhadap kegembiraan yang datang dari dalam, yang datangnya daripada proses mengenali diri sendiri".
Keghairahan kita untuk mengejar aspek-aspek kehidupan dunia, terutamanya ketika dunia sekarang dijalari teknologi yang membawa falsafah "cepat itu bagus" kadang-kadang merenggut jiwa kita. Kita tak punya masa untuk duduk berfikir, termenung, berdialog dengan diri sendiri, dan berusaha memahami diri. Kita sebuk terkejar kesana-kemari hingga akhirnya yang tinggal hanyalah beberapa nafas akhir, tetapi segala peluang yang mungkin kita boleh realisasikan sudah terlepas dari tangan.
Saya juga tertarik dengan sudut praktikal buku ini. Dalam merancang kejayaan kita perlu mencari "rakan akauntibiliti". Iaitu rakan yang mana kita boleh berkongsi dengan mereka perancangan kita, dan rakan ini akan sering bertanya dan mengambil tahu perihal progress perancangan kita. Mereka merupakan pengimbang apabila kita malas atau terleka. Praktikal rakan akauntibiliti ini bagi saya sangat penting, ia membuatkan saya teringat akan ucapan Ted Talk "Refusing to Settle" oleh Adam Poswolsky yang menceritakan bagaimana rakannya yang hari-hari bertanya kepadanya adakah dia sudah melaksanakan perancangannya, hinggalah dia melaksanakan rancangannya dan mengubah kehidupannya. Jadi jangan pandang enteng, jenis kawan yang anda pilih.
Tahniah diucapkan kepada penulis atas naskah ini, semoga dari buku ini kita dapat melihat lahirnya banyak kejayaan di bumi tercinta kita ini!
Sejujurnya, saya bukan pembaca tegar buku bukan fiksyen, apatah lagi genre self help (pembangunan diri). Sebab saya rasa, "Aku dah tau kot benda ini" atau "Aku rasa hidup aku sekarang macam ok."
Dan saya yakin, sentimen sama juga dirasai oleh sebilangan bukuwan yang lain.
Sehinggalah saya mencapai usia pertengahan 20-an ini. Quarter life crisis. Persoalan & kerisauan yang tak pernah saya ambil serius selama ini satu per satu mula mengetuk diri. Benar, dengan fiksyen, kita boleh melarikan diri ke satu ruang fantasi: eskapisme. Dalam fiksyen, kita bebas. Dalam fiksyen, kita berehat.
Tetapi saya satu masa, saya rasa, "sampai bila aku nak larikan diri?". Saya percaya, cara paling realistik untuk selesaikan masalah adalah dengan kita berdepan dengan masalah itu. Kenali ia, tahu apa puncanya & bekerjalah dari sana.
Dan persoalan paling besar yang menghantui generasi usia 25-30 tahun adalah "Apa yang aku tengah buat ini?"
Viktoria adalah buku yang baik untuk membantu kita mencari jawapan kepada persoalan besar itu. Sebab seperti klise filem, kadang² jawapan itu ada depan mata pun.
𝒊𝒕 𝒉𝒂𝒔 𝒂𝒍𝒘𝒂𝒚𝒔 𝒃𝒆𝒆𝒏 𝒕𝒉𝒆𝒓𝒆
Kita sahaja yang selalu lihat ke luar sampai terlupa untuk menjenguk apa di dalam.
Terima kasih kak @ehnathasia22 untuk naskhah yang SANGAT tepat waktu ini.
Saya percaya, buku akan sentiasa mencari pembacanya, dan kali ini; Viktoria menemui saya.
Ada beberapa perkara yang baru dipelajari dan ada beberapa perkara yang sudah aku tahu. Ada juga beberapa perkara yang aku amalkan. Sebagai manusia, kita mudah terlupa dan buku ini boleh dibaca berulang-ulang kali sebagai peringatan agar hala tuju matlamat kita lebih tersusun.
Baca buku ni dari awal sampai akhir, dalam hati aku "Ya Allah tersusunnya ayat penulis ni". Mengenali sis Emmy hanya melalui media sosial, di mana beliau aktif berkongsi ilmu dan perihal buku. Beginilah peribadinya, kemas, tersusun, bijak orangnya.
Aku suka buku ni pertamanya, sebab dia kecil. Font sedang tapi seronok mata membaca. Dia rasa macam baca buku motivasi yang kecil tapi compact dan padat dengan point² yang ingin diutarakan.
Aku suka cara penulis kongsi ilmu atau isi-isi penting dengan letakkan isi penting dan kemudian tonjolkan bersama contoh yang ringkas, mudah difahami dan berkait rapat dengan kehidupan seharian.
Oh btw untuk peringatan aku nanti: Victoria menurut Mitos Roman: Dewi Kejayaan
Banyak jugak aku tab buku ni. Antara ayat yang aku suka:
"Perbezaan antara kerja, karier dan tujuan terletak pada persepsi anda terhadap tugas tersebut. Anda mungkin melakukan tugas yang sama dengan orang lain di sekeliling anda, namun anda mempunyai pengalaman yang berbeza disebabkan persepsi tersebut."
Dalam buku "Grit: The Power of Passion and Perseverance", penulis Angela Duck ada berkongsi mengenai sebuah kisah:
Tiga orang penurap bata ditanyakan soalan: "Apa yang anda sedang lakukan?"
Yang pertama menjawab, "Saya sedang menyusun bata."
Yang kedua menjawab, "Saya sedang membina sebuah gereja."
Dan yang ketiga menjawab, "Saya sedang membina rumah beribadat untuk Tuhan."
Penurap pertama mempunyai kerja. Penurap kedua mempunyai karier. Penurap ketiga mempunyai tujuan.
Buku ini nipis dan kecil sahaja, tetapi telah berjaya menghimpunkan beberapa perkara penting dan asas berkaitan pengurusan. Jika anda rasa malas untuk membaca buku-buku ‘self help’ terutama dari negara Barat yang pelbagai dan mahukan tips yang ringkas dan mudah, buku ini adalah untuk anda.
Sejujurnya saya sudah tak ingat berapa bulan masa yang saya ambil hanya untuk menghabiskan buku kecil dan nipis ini. Ini kerana buku ini adalah buku ‘handbag’ saya selama beberapa bulan, buku yang saya baca pada waktu senggang dan juga bila saya letih buat kerja. Saya juga lambat menghabiskan buku ini kerana masih mengalami ‘reading slump’ yang teruk.
Buku ini mahu membantu kita dalam aspek pengurusan diri, dari meletakkan matlamat hinggalah kepada proses pantau dan nilai. Dalam buku ini juga terhimpun pelbagai konsep dan tips pengurusan yang diambil daripada pelbagai buku bersifat ‘self help’ yang lain yang sangat membantu kita tanpa perlu kita membaca semua buku-buku itu.
Dalam buku ini saya sangat tertarik dengan sebuah kisah yang diambil daripada buku “Grit: The Power of Passion and Perseverance” berkaitan memaknai kerja, karier dan tujuan. Selalu kita dengar tentang ini, tetapi saya sangat suka cerita ini yang terus dapat memberikan gambaran jelas tentang bagaimana persepsi dan cara pandang kita terhadap apa yang kita lakukan akan memberi perbezaan antara kerja, karier dan tujuan.
Selain itu saya juga sangat suka dengan konsep Rakan Akauntabiliti dan juga kaedah 5 minit yang dikongsi. Ini antara perkara yang melekat dalam kepala saya untuk diamalkan selepas membaca buku ini.
Terima kasih untuk penulis yang memang seorang pembaca tegar kerana telah membantu ramai orang dapat membaca pelbagai buku dalam satu buku.
Salah satu bacaan motivasi yang sarat dengan tips dan praktikaliti demi mencapai matlamat yang diinginkan.
Buku Victoria ini persis membaca buku bantu diri dan motivasi dari Barat tetapi dalam edisi Bahasa Melayu. Syabas diucapkan kepada penulis dan juga rumah penerbit tempatan yang berjaya menerbitkan buku motivasi sehebat ini.
Bagi saya, buku ini sangat sesuai untuk sesiapa yang ingin merancang matlamat dengan teliti dan berstrategi. Juga sesuai untuk pemula yang ingin berjinak-jinak membaca buku bergenre motivasi.
Tips serta contoh situasi yang diberikan oleh penulis sangat jelas untuk memahamkan pembaca mengenai kaedah yang dicadangkan.
Walaupun buku ini bagus kandungannya tetapi tidak memberi nilai tambah kepada saya dan kepada golongan yang biasa membaca genre motivasi dan bantu diri.
Victoria: Rahsia Kemenangan Yang Dilupakan oleh Emmy Hermina Nathasia. ⚔️
Buku yang diulang baca ∞ kali. Di klinik, kedai mamak, kedai car wash, di meja mahupun katil. Peneman sejak saya menerima buku ini daripada penulis sendiri. 😁
Apa yang saya katakan kepada beliau di laman twitter ketika ditanya buku apa yang diinginkan, saya menjawab "Victoria: Rahsia Kemenangan Yang Dilupakan.
Dalam fasa mencari diri. Harap dapat menemui serpihan yang 'hilang' melalui buku ini. Semoga ada rezeki. 🌷"
Alhamdulillah atas segala rezeki yang Allah kurniakan. 🥰
Setelah habis baca buku ini buat kali pertama (tanpa tabbing, highlighting, reflections and etc), lama saya tenung ayat 'Rahsia Kemenangan Yang Dilupakan' yang tertera di kulit buku.
"Apa yang telah aku lupakan?" detik hati saya. Untuk pembacaan kali yang seterusnya, saya bertindak untuk melihat kembali sejarah kehidupan saya dan kaitkan dengan setiap bab yang dikemukakan.
Soalan di ruangan aktiviti dan setiap topik saya cuba jawab sebaiknya. Banyak soalan yang ditanya yang hanya diri kita sendiri dapat menjawabnya. Banyak juga jawapan yang diperoleh dari setiap persoalan yang bermain di minda saya ketika pembacaan.
Sejujurnya, ketika diselidik kembali setiap bab yang disusun rapi oleh penulis, saya telah belajarnya di universiti tanpa saya sedar ketika membaca. 😅
Dari bab 'Penetapan Matlamat' sehingga bab 'Pantau dan Nilai' dan 'Penutup' - yang membezakannya hanyalah isi buku ini bercerita tentang matlamat kehidupan dan apa yang saya belajar ialah tentang 'Nutrition Care Process (NCP)'. Akronim ADIME (Assessment, Diagnosis, Intervention, Monitoring, Evaluation) merupakan asas bagi kami pelajar kesihatan. Ada persamaan bukan? 😅
Di bab 'Pantau dan Nilai' juga telah saya temui dalam kehidupan saya. Ketika habis sebuah majlis, mesyuarat 'post-mortem' akan diadakan. Soalan yang dilontarkan untuk penambah baikan akan dibincangkan. Untuk diri sendiri, muhasabah.
Pengurusan diri, pembelajaran, organisasi dan persatuan - antara perkaitan yang saya hubungkan melalui pembacaan.
"Oh, ini yang telah aku lupakan." sedar saya akhirnya setelah menemui serpihan diri yang 'hilang'. ☺
Perancang Teliti atau Perancang Santai?Antara ilmu baru yang saya dapat dari pembacaan. Saya pernah menjadi kedua-duanya. Anda yang mana satu? Kenalah dapatkan buku ini! 🤭
Ilmu baru yang saya terapkan dalam kehidupan saya ialah teknik 'habit stacking' yang diperkenalkan oleh James Clear dikongsikan oleh penulis di dalam buku ini.
Apa itu 'habit stacking'? Dapatkan Victoria: Rahsia Kemenangan Yang Dilupakan untuk mengetahui lebih lanjut.
Segala pujian buat Yang Esa. Terima kasih buat penulis dan penerbitan kerana menghasilkan buku yang bermanfaat. 🌷#highlyrecommended
Buku-buku motivasi adalah genre yang paling saya minati sejak dari bangku sekolah menengah sehingga lah ke alam universiti. Namun sekarang ianya tidak menjadi pilihan kerana memikirkan diri sudah cukup termotivasi dengan pelbagai tips dan petua-petua dari pelbagai aspek. Minat bacaan telah beralih arah ke genre yang lain. Persepsi saya pada buku-buku motivasi adalah perkongsian kepelbagaian cara untuk meraih sesuatu atau mencapai sesuatu yang diklasifikasikan sebagai KEJAYAAN.
Namun, apabila membaca karya ini, saya berpendapat bahawa buku kecik ini sangat praktikal. Tips yang dikongsikan sangat mudah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Penulis menjelaskan dengan mudah bagaimana ingin mancapai sesuatu matlamat dan penjelasan beliau membuatkan matlamat yang ingin dicapai itu bukanlah sesukar yang kita fikirkan. Contohnya ialah penulis mengklasifikan matlamat kepada 3 kategori, iaitu matlamat jangka pendek, matlamat jangka sederhana dan matlamat jangka panjang. Kategori ini akan memberi bayangan kepada minda kita dan memudahkan kita untuk merangka matlamat yang kita idamkan dengan cara yang realistik dan dalam capaian kita untuk meraihnya. Penulis juga berkongsi satu kaedah bagaimana kita ingin merangka matlamat yang jelas pada kita iaitu kaedah SMARTY.
Selain daripada tips, penulis juga berkongsikan antara halangan dan cabaran yang perlu kita lalui dalam menetapkan matlamat. Dan sesuatu yang sangat memberi kesan di jiwa dan diri saya ialah sikap bertangguh. Inilah antara masalah terbesar saya dalam melunaskan sesuatu kerja. Ketika diri dalam keadaan baik dan stabil, semua kerja mampu diselesaikan. Namun, ketika dalam keadaan yang stress dan bebanan kerja yang bertimbun, saya akan lebih cenderung untuk bertangguh dan memberi kesan kepada susunan kerja yang lain. Benar apa yang penulis terangkan, diri sendiri adalah halangan terbesar dalam kita mencapai sesuatu matlamat. Perkongsian penulis tidak terhenti di situ, masalah yang di'highlight'kan disusuli dengan beberapa penyelasaian atau solusi yang baik, sangat praktikal dan saya berminat dengan kaedah Five Minute Miracle.
"All successful people have a goal. No one can get anywhere unless he knows where he wants to go and what he wants to be or do". - Norman Vincent Peale
Andai kalian masih tercari-cari tujuan hidup, apa yang mahu dilakukan dalam hidup, apa yang ingin dicapai, sukar untuk menetapkan matlamat hidup...buku ini untuk anda!
Ada tak rasa teringin nak baca buku motivasi diri yang ringan dan santai? Tak terlalu poyo dan skema? Jujur aku sarankan baca buku ni. VICTORIA adalah sebuah buku motivasi diri tulisan E.H. Nathasia di mana penulis berkongsi cara dan teknik-teknik berjaya dalam hidup yang bukan sahaja berpaksikan wang dan harta, malah lebih kepada kejayaan diri dan kehidupan yang lebih baik dengan mencapai impian.
Buku ini sebenarnya boleh sahaja dihabiskan dalam beberapa jam, tapi aku habiskan dalam beberapa hari kerana terpaksa ambil masa dan berhenti sekejap untuk merenung kembali akan kerjaya aku dan pilihan dalam kehidupan yang serba singkat dan penuh pancaroba ini. Dalam kata lain, buku ni bagaikan memberi jentikan dan teguran juga kepada aku.
Aku boleh sarakan kalian juga baca buku ni sebab cara penulisannya yang rileks dan bersahaja, setiap tip dan teknik diberikan contoh dan saranan yang mudah untuk dihadam, setiap topik disusun mengikut atur cara yang membina dan bukannya rambang, setiap topik pula ada sub-topik yang membincangkan lagi tentang cara dan bagaimana nak laksanakan misi dan visi untuk berjaya dan sebagainya. Itulah aku katakan tadi, buku ni bukan saja kongsikan tip nak berjaya, malah tip-tip nak ada kerjaya yang lebih baik, mencapai target, kehidupan yang teratur, struktur perancangan hidup dan lain-lain.
Juga yang paling penting, bila dah mula baca, pastikan kalian sediakan buku nota dan pen, atau boleh juga sticker penanda sebab terlalu banyak perkongsian yang bermanfaat di dalam buku ni yang pastinya akan dirujuk dan diambil sebagai point penting.
Sejujurnya, buku ini memang ada menberi serba sedikit ilmu tambahan kepada aku dalam pengurusan diri, hidup dan juga simpanan kewangan. Selain itu juga, buku ini berjaya membuatkan aku ada target dan perancangan yang lebih teliti dalam pengurusan minat dan kerjaya.
Akhir kata dari aku, aku sangat sarankan buku ini bagi mereka yang mencari tip-tip untuk berjaya dan motivasi diri dalam pembacaan ringan dan santai. Terima kasih kepada pihak penerbit diatas pemberian buku ini untuk tujuan ulasan yang jujur.
Sebuah genre motivasi ‘self help’ atau pembangunan diri yang saya kira, diulas secara ilmiah. Justeru mendepani pelbagai suasana getir di tahun yang sudah, saya memilih buku ini sebagai salah satu panduan untuk kerangka semula keperluan, gaya hidup dan kecapaian diri serta keluarga. Topik-topik dibincangkan secara tuntasnya bertujuan menjemput pembaca mempraktikkan nilai-nilai tambahan diri untuk memaknai kehidupan. Antara saranan penting untuk dijadikan panduan dalam usaha mencapai kejayaan:
1. Matlamat jangka pendek yang disokong rutin harian adalah inspirasi untuk mencapai matlamat jangka panjang. 2. Tetapkan prioriti dalam menyusun matlamat. 3. Tiga konsep mengenal pasti matlamat; semangat (tapi saya lebih gemar guna istilah ‘minat’), kemahiran dan keuntungan. 4. Catat perancangan dan tetapkan ‘dateline’ untuk capai matlamat.
Pada saya, ‘Viktoria’ sebagai judul yang dikatakan dewi kejayaan menurut penulis, adalah sebuah simbolisme bagi wanita berjaya. Selaras dengan kecenderungan saya, jua wanita-wanita pada masa kini yang punyai kesedaran untuk membina kredibiliti dalam apa jua bidang. Pun begitu, buku ini tidaklah sama sekali rigid buat kaum hawa semata, sebaliknya sesuai sebagai bacaan khalayak umum. Ada satu peringatan menarik yang saya gemari dalam naskhah ini; iaitu pentingnya menyemat ke dalam personaliti diri akan tindak-tindak yang menyumbang manfaat kepada orang lain. Demikian, tahniah buat Sis Emmy atas penyumbangan penulisan ini.
Saya jarang baca buku motivasi sebab slalunya rasa diri dah ada target, goal, impian dan matlamat. Tapi sebab sifat malas dan suka bertangguh menjadi pengahalang utama. Antara sebab malas nak baca sebab faham, sifat ni dulu perlu dibuang dari dalam diri. Haha. Dan kali terakhir baca buku ni masa sekolah menengah.
Dan mula berminat membaca buku viktoria kerana fikir takkan memang taknak baca buku motivasi sampai bila2. Jdi, saya pilih buku motivasi yang nipis dan santai.
Dan memang tak dapat menafikan buku ni memang bagus dan santai. Tak terlalu 'memaksa' pembaca. Dan faham macam mana sikap seorang manusia. Belajar banyak perkara.
Secara ringkas, buku ini mendedahkan diri anda kepada kepentingan mengetahui siapa anda, beza anda dan orang lain (kualiti), matlamat anda dan cara mencapainya. Selain itu, mengenali cabaran mencapai matlamat serta cara memantau dan menilai progress kita. Dan walla. Insyallah kita boleh berjaya mencapainya.
Antara buku yang paling lama saya ambil masa untuk membaca sehingga selesai. Dari 18/04/22 - 06/07/22 😂.
Sebuah buku yang menyasarkan individu yang mahukan perubahan dalam hidup dan memerlukan tunjuk ajar, menurut pendapat saya.
Sebab utama saya membeli dan membaca buku ini adalah kerana mahu mencari semangat yang hilang ketika kehilangan arwah opah dan arwah bos pada tahun 2020. Segala impian yang saya rancangkan hilang begitu sahaja. Sedangkan saya seorang yang penuh dengan impian dan bersemangat
Setelah membaca buku ini, saya mula memahami dimana saya perlu bertanggungjawab dan menerima kesan yang berlaku atas pilihan saya.
Terima kasih Puan Emmy. Sekarang saya tau apa yang saya nak dan kembali mengatur langkah untuk kehidupan, kerjaya dan emosi.
Buku ini sangat berterus terang kepada pembaca tentang pentingnya matlamat, visi dan misi dalam hidup.
Penulis menyenaraikan langkah praktikal kepada pembaca bagaimana untuk mengenali tujuan/matlamat.
Bahasa yang digunakan sangat jelas dan mudah difahami.
Saya sangat mengesyorkan buku ini utk dibaca oleh golongan remaja/dewasa supaya lebih arif dan peka dengan matlamat yang ingin dicapai dan tidak hanyut dalam khayalan semata mata tanpa mengambil tindakan sewajarnya.
Penulis ada juga menegaskan bahawa kita sentiasa boleh mencuba lagi/starting over dalam mencapai impian dan mempungai mimpi yg baru/berubah- rubah bukanlah suatu masalah malah selagi hidup, keperluan akan sentiasa berbeza-beza mengikut keadaan.
Buku ini juga bagus dijadikan hadiah kepada adik2 yg bersekolah.
Menetapkan matlamat itu proses menuju kejayaan. Begitu juga perancangan pelan tindakan. Gagal merancang ibarat kita gagal seluruhnya. Mengenali penulis dari bengkel yang kami hadiri bersama dan juga dia seorang pembaca tegar, saya terus merujuk senarai bacaan di hujung buku. Inti pati buku-buku yang disenaraikan digarap dengan baik dalam karyanya. Contoh-contoh dalam karya ini dekat dengan diri kita.
Bacaan yang bermanfaat dalam bahasa yang mudah. Terpulang pada pembaca untuk melangkah mengikut jejak Victoria Si Dewi Impian menuju kejayaan.
Buku motivasi yg bagus. Penulis menggunakan ayat ayat yg difahami. Saya paling suka bab Personaliti. Buku ini byk membuatkan saya terfikir tentang matlamat kehidupan. Sesuai utk golongan pelajar dan juga golongan yg bekerja. Adulting is hard, read this book.
Tidak ingat entah bila kali terakhir aku membaca buku motivasi, atau bantu diri. Aku ada beberapa buah buku motivasi yang masih cantik tersusun di atas tangga buku. Apabila penulis mula mempromosikan buku ini, aku tahu aku perlu beri sokongan. Cubaan pertama dan kedua membaca, aku terhenti pada soalan ini;
"𝙈𝙚𝙣𝙜𝙖𝙥𝙖 𝙖𝙣𝙙𝙖 𝙗𝙚𝙧𝙖𝙙𝙖 𝙙𝙞 𝙙𝙪𝙣𝙞𝙖 𝙞𝙣𝙞?"
Aku rasa tertampar. Aku yang pada waktu itu, memang sedang bergelut dengan diri sendiri, berfikir mana hala tuju hidup, is this all of me? Hanya ini sahajakah diri aku? Seorang Domestic Engineer sepenuh masa. Jadi aku berhenti membaca. 😆
Ogos lalu aku cuba sekali lagi, kali ini aku lebih bersedia. Sambil membaca, sambil otak aku ligat menjawab soalan, menetap matlamat, dan merangka strategi - pada matlamat jangka pendek, aku tuliskan kawal pemakanan dan berjemur setiap hari. Ringkas, tapi tak mengapa, itu matlamat aku, jadi suka hati aku. Semestinya matlamat untuk misi Trash Hero juga aku tulis. Seronoknya tulisan penulis ini santai, senang difahami, dan ringkas. Aku suka bahagian aktiviti pada sesetengah bab. Yang paling aku suka, semestinya relevan dan 'relatable'. Walaupun hanya seorang Domestic Engineer, aku boleh guna pakai kaedah, tips, dan konsep yang penulis ajarkan.
Jadi, kalau kalian mencari buku motivasi, atau sedang tercari-cari cara menyusun dan mencapai matlamat, ataupun terasa hidup seperti tiada arah tuju, aku sarankan kalian baca buku ni. Ringkas tapi padat, boleh dihabiskan dalam sekali bacaan. Sangat sesuai untuk pelajar, golongan bekerjaya, dan juga Domestic Goddess.