Hadith Sifat adalah istilah untuk setiap hadith yang secara zahirnya menggambarkan seolah-olah tuhan memiliki sifat-sifat makhluk. Hadith-hadith tersebut misalnya menyebutkan bahawa tuhan turun ke langit dunia setiap malam. Tuhan juga tertawa, berjalan, dan menerima sedekah dengan tapak tangan-Nya. Bagaimana Hadith Sifat sepatutnya difahami telah mencetuskan polemik akidah terpenting dalam sejarah teologi Islam dan melahirkan beberapa aliran seperti Mujassimah, Jahmiyyah, Hanabilah, dan Asha'irah. Polemik ini berterusan pada abad moden seiring kemunculan pemikiran Salafi yang berusaha membawa pembaharuan akidah ke tengah majoriti umat Islam yang berpegang kepada teologi Ash'ari dan Maturidi.
Buku yang berada di tangan anda ini memaparkan kronologi polemik Hadith Sifat sejak abad 2/8 hingga hari ini disertai kajian yang menganalisis aspek-aspek sosiopolitik yang berkaitan dengannya. Buku ini turut membahas kepelbagaian sikap yang dizahirkan oleh ahli hadith dalam menerima dan menolak takwil. Penerbitan buku ini disasarkan kepada semua peminat ilmu Hadith yang berminat mendapatkan perspektif baru, ilmiah, dan objektif berkenaan topik penting ini, sekali gus ditujukan sebagai peletak batu asas bagi penyelidikan yang lebih mendalam.
Buku yang tiba-tiba laku keras di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tempoh hari impak ulasan Ustaz Hapiz Kodiang sampai terpaksa pesan melalui Shopee. Status ringkas itu nampaknya tidak berlebihan kerana buku ini sekiranya ditelaah, rasanya akan menyelesaikan separuh daripada pertelingkahan hadis sifat/mutasyabihat di media sosial.
Dengan sorotan mengikut kronologi daripada zaman sebelum dan ketika mihnah (ujian) Khalq al-Quran yang masyhur hinggalah masa kini, buku ini menjelaskan secara terperinci bagaimana pertentangan, pertelingkahan dan perbezaan pandangan antara Muktazilah dengan dokongan penguasa daripada Abbasiyah dengan majoriti ulama yang kesannya menyebabkan tinggal dua ulama tetap menzahirkan keqadiman al-Quran, iaitu Imam Ahmad Ibnu Hanbal dan Muhammad Ibnu Nuh al-Jundisaburi bermazhab Shafie yang meninggal dunia akibat penyeksaan dilakukan.
Begitu juga buku ini turut menghidangkan pertembungan ulama Hanabilah yang memikul ‘beban sejarah’ zaman mihnah itu, mengambil sikap keras terhadap pendekatan semi-rasionalistik dibawa ahli kalam dan ulama mengikuti aliran Al-Ash’ari hingga sebahagiannya terbabas kepada ranah yang sama sekali bercanggah dengan sikap salafussoleh terhadap ayat atau hadis sifat, iaitu mushabbihah dan mujassimah atau menggunakan pendekatan yang tidak pernah disebut oleh sahabat serta tabi’in, sekaligus barangkali menjadi ironi kerana dakwaan mengikut golongan terdahulu.
Pertembungan ini berterusan selepas itu tetapi sekiranya selepas mihnah, golongan Hanabilah memperoleh dokongan penguasa, seiring perubahan khilafah dan kerajaan selepas itu, ulama Al-Asha’irah dan Al-Maturidiah pula disokong pemerintah termasuk Kerajaan Saljuq dan Turki Uthmaniyah kemudiannya.
Hanya sahaja pada era Uthmani, hubungan kedua-dua golongan itu diharmonikan dan tidak mencetuskan pertelingkahan hebat seperti zaman sebelumnya tetapi perubahan kekuasaan di dunia Islam dengan kejatuhan Uthmani menyebabkan perbincangan dan pertelingkahan ayat dan hadis sifat ini menjadi semakin meruncing hingga ke zaman kita yang menyaksikan ia dibawa secara bebas dan bahaya di media sosial hingga membawa kepada tuduhan jahil, bidaah dan kafir.
Tambah menarik pada buku ini adalah setiap fasa dibincangkan pengarang, ia akan disertakan sorotan lebih terperinci kepada beberapa tokoh yang menjadikan kita lebih memahami titik perbezaan dan garis persamaan tetapi dikelabui oleh pelbagai faktor lain.
Harus diingatkan juga, buku ini turut menekankan betapa pertembungan dua pandangan ini tidaklah tepat untuk dikatakan sebagai ahli hadis lawan ahli kalam kerana dalam kalangan Al-Asha’irah dan Al-Maturidiah juga dikategorikan sebagai ahli hadis. Begitu juga dengan pendekatan tafwid yang dimutlakkan sebagai pendekatan salafussoleh juga tidaklah tepat kerana sahabat, tabi’in dan pengikut mereka juga menggunakan kaedah takwil.
Saya kira buku ini wajib dibaca oleh setiap orang yang pernah dan sedang berinteraksi dengan sebarang wacana atau perdebatan mengenai ayat dan hadis sifat ini yang tidak menguasai tradisi ilmu dan tidak boleh berbahasa Arab. Saya percaya sekiranya buku ini dibaca dan diikuti dengan rasa rendah diri, maka mereka yang berbuat demikian tidak akan terjerumus ke dalam kancah perdebatan silam yang panjang dan bahaya, sebaliknya menyerahkannya kepada ahli ilmu yang benar-benar menguasai pelbagai bidang.
Buku ini mendedahkan sejarah polemik tafsiran hadith sifat Allah sejak dahulu sampai sekarang. Penulis memaparkan sebab-sebab berlakunya polemik tersebut serta menyenaraikan nama-nama ulama yang terlibat dengan.
Cukup menarik untuk diketahui kerana polemik ini masih belum selesai pada hari ini. Bahkan kadang-kadang ia menjadi provikasi pihak-pihak tertentu untuk dilihat sebagai menjuarai polemik ini.