Fahaman Wahabi muncul di Arab Saudi oleh Syeikh Muhamad bin Abd al-Wahab, seorang ulama pada kurun ke-18M. Fahaman ini mendapat reaksi yang pelbagai di negara ini. Ada yang menerima dan ada yang menolak fahaman ini daripada dimasukkan dalam golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah.
Namun, berdasarkan keputusan JAKIM, fahaman Wahabi termasuk dalam golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah dan bukan ajaran sesat. Cuma ia tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana berlakunya pertembungan dengan fahaman arus perdana yang dipegang oleh umat Islam di negara ini iaitu Ahli al-Sunah wa al-Jamaah manhaj Asya‘irah dan Maturidiyyah.
Pelabelan Wahabi pula merupakan satu penyakit yang muncul akhir-akhir ini dalam kalangan umat Islam di negara ini. Ia bukan sahaja dikaitkan dengan orang yang mempelajari bidang hadith dan beraliran salaf, malah kepada sesiapa sahaja yang berbeza pendapat dengan seseorang yang menentang pelopor ajaran sesat, segala jenis khurafat dan tahyul itu sendiri.
Antara perkara menarik yang dibincangkan dalam buku ini:
1. Pendedahan pandangan dan fatwa negeri Pahang, Perak, Sabah, Negeri Sembilan dan Johor terhadap fahaman Wahabi.
2. Adakah mufti, ahli akademik dan pendakwah yang dilabel Wahabi itu benar benar berfahaman Wahabi mengikut ciri-ciri yang diperincikan dalam fatwa negeri-negeri yang mengharamkan?
3. Analisis lengkap terhadap ciri-ciri yang dikaitkan kepada mereka yang dilabel Wahabi? Benarkah mereka Wahabi ataupun sebaliknya?
Prof. Dr. Basri Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari berasal dari kuala Terengganu.
Pendidikan:
- Ijazah di Universiti Al-Azhar (Pengajian Islam dan Bahasa Arab)
- MA di Universiti Malaysia (Undang-undang Keluarga Islam)
- PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (Syari’ah)
---
Jawatan:
- Profesor di Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya [dipinjamkan dari Pusat Pengajian Syariah, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, UNIsZA, Terengganu]
- Ketua Kluster Al Quran, As Sunnah & Pendidikan Islam di UIM.
- Ahli Senat UIM
- Ketua Program Sarjana Muda Pengurusan Fatwa UIM
- Ahli Jawatankuasa Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM)
- Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis
- Ahli Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Perlis
- Pemegang Kerusi Jamalullail, Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya
Wahabi boleh menjadi pengikut, gerakan, fahaman, serta label atau persepsi. Wahabi umumnya boleh merujuk kepada: 1. Gerakan dan fahaman Wahabi yang muncul di Arab Saudi oleh Syeikh Muhamad bin Abd al-Wahab dalam abad ke-18 yang banyak menentang amalan khurafat dan meminta umat menjauhi syirik (uluhiyyah, rububiyyah, iradah dan ketaatan). 2. Kumpulan Wahabi yang ekstrim ganas Wahabi setara ISI dan Al-Qaeda. 3. Kumpulan Wahabi yang sesatkan golongan yang dianggap berbuat bid’ah termasuk mengutuk ulama yang tidak hanya berpegang kepada hadis sahih juga mengecam yang mengaji Tauhid menerusi metodologi Sifat 20. 4. Pelabelan Wahabi yang dianggap tidak konkrit kepada kumpulan dan individu tertentu, yang kadang kala agak sinonim dengan golongan Salafi dan Kaum Muda.
Menurut fatwa JAKIM, fahaman Wahabi termasuk dalam golongan Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah dan bukan ajaran sesat. Ini selari dengan pandangan Prof Dr Wahbah az-Zuhaili, ulama Syria yang terkenal dengan Tafsir al-Munir dan Fiqih Islam Wa Adillatuhu.
Bagaimanapun aliran ini dilihat tidak selari dengan Ahli al-Sunah wa al-Jamaah manhaj Asya’irah dan Maturidiyyah seperti di Johor, Pahang, Perak, Sabah dan Negeri Sembilan (pernah berlaku fenomena sembahyang Jumaat berasingan sekitar 1950-an di Kuala Pilah).
Prof. Dr. Basri Ibrahim al-Azhari turut membuat kajian kes pelabelan Wahabi ke atas individu seperti Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Dr Hapiz Mahaiyadin (pengarang buku Ini Mazhabku: Bagaimana Saya Beriltizam dengan Mazhab) dan Ustaz Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir (pengarang buku Aku Bukan Wahabi).
Dr MAZA juga mendapat label Wahabi dengan dikatakan terbabit dengan 25 ciri. 5 yang teratas ialah bilangan rakaat solat Tarawih, solat Witir, bacaan khusus antara solat Tarawih, seruan untuk selain solat fardu dan bacaan basmalah dalam solat.
Seterusnya, 22 ciri yang dikaitkan kepada yang dilabel Wahabi dikupas oleh pengarang. 3 yang teratas ialah menolak aliran Asya’irah dan Maturidiyyah, berpegang kepada Tauhid 3 dan memahami nas sifat Allah berdasarkan zahir yang layak bagi-Nya dan tidak menyerupai sesuatu. Menolak Wahdatul Wujud dan ajaran Batiniah juga dianggap Wahabi.
Akhir kalam, umat wajar minimumkan polemik dan konflik sesama sendiri. Konflik dengan musuh Tuhan yang menzalimi umat sepatutnya dibesarkan dan dijadikan agenda utama. Secara tersirat, buku ini meminta agar umat tidak bertabiat untuk semudahnya melabel orang lain lalu membencinya, sambil memanjangkan senarai panjang asatizah dan aktivis Wahabi.
Penulis berjaya merungkai tajuk buku ini dengan jiwa yang besar dan adil. setiap satu isu, penulis akan mengemukakan pendapat dari semua aliran dan merumuskannya dengan harmoni.