Misteri platform di Stesen Sentral yang selalu jadi tumpuan sebahagian manusia untuk bunuh diri dan Alfi terperangkap di sini sewaktu mencari sahabat baiknya, Gerard yang sedang diburu beberapa lelaki yang tak dikenali kerana hutang. Cuma ada dua cara untuk Alfi keluar; dengan token The Property of Paradox yang cuma muncul pada waktunya, atau nyawa yang melayang dihempas tren yang menuju ke platform.
Ada beberapa hal yang aku tak berapa gemar pada buku ini walaupun aku suka dengan tema misteri dalam latar realis dan magisnya. Idea dan misteri PLATFORM sudah bagus namun penulisan, eksposisi naratif dan perkembangan wataknya kurang kemas dan perinci bagi aku. Efisiensi plotnya lemah dan serabut-- antara masalah percintaan Alfi-Leeya, Gerard dengan konflik keluarganya, insiden kemalangan yang ragut nyawa Fariez dan Ean, Thomas dan Shelly yang misterius, hubungkait kisah Marzuki dan Fit, Lily yang juga terperangkap, tentang Melissa dan Dylan, juga Jimmy(?). Terlalu banyak subplot yang diisi untuk panjangkan cerita dengan watak yang datang dan pergi, perbualan yang tak perlu dan janggal terutama selitan Bahasa Inggeris yang tiba-tiba, juga babak-babak yang distruktur pendek dan sering bertukar.
Prolognya dengan dua watak yang cuma muncul semula di tengah cerita, babak imbas semula juga diselang-seli dengan garis masa dalam bab dengan angka roman yang menurun agak mengganggu penceritaan semasa. Walaupun aku suka sisipan isu psikologi berkaitan trauma dan kebimbangan bawah sedar pada watak Alfi, namun perwatakannya agak 'kekok' dan bila dia macam hilang arah di platform, aku pun sama hilang arah dengan kisah Alfi dan alur tuju plot. Eksplorasi dan garapan emosi Alfi juga minimal jadi kesan trauma atau perasaan bimbangnya tak menyerlah sangat pada aku.
Sisi surealnya aku suka dan tiga bab akhirnya agak sentimental dan kemas narasinya berbanding bab-bab terdahulu. Walaupun masih tersisa misteri pada epilog, pengakhirannya menjawab segala persoalan terutama pada watak Alfi dan Lily. 2.5 bintang!
Tahniah untuk PLATFORM terpilih antara pemenang untuk Sayembara FIXI Musim 3!