Hikayat 'Alfu Lailah Walailah' atau Hikayat Seribu Satu Malam yang termashyur di seluruh dunia dengan nama Arabian Night, berasal dari Parsi berupa ceria-cerita dongeng yang terpisah antara satu dengan lain.
Antonio Galland menterjemahkannya ke dalam bahasa Perancis dari tahun 1704 hingga tahun 1717 dan inilah kali pertama hikayat ini menjadi bacaan orang-orang Barat. Dari terjemahan Galland inilah tersebar ke seluruh Eropah dan Amerika, menjadi bacaan paling masyhur kerana fantasinya yang amat kaya dan dijadikan klasik dunia yang terbesar.
Stendhal (Marie Henri Beyle 1783-1842), seorang pengarang Perancis, berkata tentang naskah ini, 'Aku lebih suka sekiranya Tuhan menghapuskan dari ingatanku segala cerita-cerita-cerita terkandung dalam Alfu Lailah Walailah, supaya aku dapat mengulang lagi membaca dan menikmati kelazatannya sekali lagi.'
Sepanjang kandungan naskah ini dari malam pertama hingga ke malam yang ke seribu satu, penuh jalinan cerita berbingkai dan berlapis yang diceritakan oleh Shahar Zad kepada suaminya, Raja Shah Riar, Raja Negeri Samarkand. Ceritanya penuh peristiwa yang mengkagumkan, hingga Raja Shah Riar yang sudah mengorbankan beratus orang gadis setelah mengahwininya hanya satu malam sahaja, tidak dapat membunuh Shahar Zad yang bijak bercerita ini, dan akhirnya dijadikan permaisuri.
Walaupun buku ini cuma memilih beberapa buah kisah atas faktor untuk semua peringkat umur, saya sangat-sangat menikmati semua kisah yang dibukukan. Tidak sama ya membaca kisah ini semasa bangku sekolah dan sekarang. Pandangan kita sedikit berbeza. Terima kasih!