Siang hari 31 Ogos 1957, laungan keramat “Merdeka” tujuh kali menggegarkan lapangan Stadium Merdeka: Peristiwa bersejarah pemasyhuran kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu itu dihadiri sekitar 20 ribu orang, namun hanya, satu susuk paling menjadi tumpuan: Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.
Banyak buku telah meriwayatkan kehidupan Tunku, tetapi boleh dikatakan tiada yang mengumpulkan kisah beliau secara lebih menyeluruh berbanding buku ini. Kelana panjang Tunku sebelum dan selepas Merdeka ditata dengan cermat oleh pengarangnya—bermula dari seorang putera raja yang gemar berbuat nakal dan bermain dengan rakan-rakannya di luar di istana sehingga hari-hari terakhir beliau sebagai negarawan terbilang yang dihormati dan disanjung di seluruh dunia.
Perjalanan dan liku-liku Tunku selepas tamat Barrister-at-Law di Britain dan mula berkhidmat sebagai kakitangan awam di Kedah, sehingga Tunku terpaksa bekerja semula selepas meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia pertama penuh dengan onak dan ranjau yang kadang-kadang membuatkan Tunku sedih dan terkilan. Dalam sejarah, Tunku lah satu-satunya PM yang menjadi miskin selepas meletakkan jawatan. Tidak seperti PM lain yang mampu hidup dan berehat dengan limpahan hasil menjadi menerajui negara. Segala jasa dan kebaikan Tunku kepada rakyat selama ini dilupakan oleh sesetengah golongan sehingga melarang pihak media membuat liputan tentang Tunku selepas bersara. Seperti coretan dalam buku ini yang mengatakan ‘UMNO memiliki sejarah yang panjang sebagai parti yang singkat ingatannya dalam soal menghargai dan mengenang jasa serta pengorbanan para pemimpinnya yang terdahulu
Buku ini amat mudah untuk dibaca kerana susunan bab dan tajuk yang membantu proses pembacaan tidak bosan namun ada beberapa cerita yang berulang-ulang. Buku ini langsung tidak ada kesalahan ejaan.
4.5 🌟 untuk Tunku: Kelana Penuh Cinta
"Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya seorang miskin dan semasa saya bersara, saya bahkan lagi miskin” sedangkan sebagai Perdana Menteri beliau boleh menjadikan dirinya kaya, “jika saya mahu, tapi nanti kerajaan saya jadi rosak dan rakyat jadi miskin. Jadi biarlah saya jadi miskin dan lihat kerajaan kita bersih dan negara kita kaya” – Tunku Abdul Rahman Putra.
Sebuah usaha kajian yang wajar dipuji. Hasil pembacaan ini, saya mendapat beberapa maklumat baru dan semestinya sudut pandangan berbeza berbanding sebelum ini. Saya mengharapkan banyak pendedahan pengalaman Tunku semasa menjawat jawatan Pegawai Daerah Langkawi, malangnya tidak sejauh seperti yang saya harapkan. Walau bagaimanapun, kita seharusnya bersetuju bahawa penulis sudah cuba mempotretkan Tunku meletakkan sebaik-baik mungkin mengikut urutan masa dan kejadian.