APA KATA PENJAJAH INGGERIS DAHULU TENTANG SIKAP & PERWATAKAN BANGSA MELAYU KITA?
Baca buku sejarah sebegini, perlu dengan minda yang lapang & terbuka. Jika tidak kena dengan cara, boleh mendidih juga darah sepanjang menyelusurinya 🤭
Kita baca untuk mengambil pengajaran. Mengambil teladan. Untuk memperbaiki.
Suka atau tidak, beginilah kehidupan nenek moyang kita dahulu. Inilah sejarah kita. Bangsa Melayu di Tanah Melayu ketika era pendudukan British sekitar 1880an hingga 1900an, dari pandangan salah seorang pegawai kolonialnya yang ditugaskan disini.
Terpancar jelas perjuangan pasca Perang Salib, perjuangan 3G di mata Swettenham ini. 'Gold, Glory & Gospel'nya. Berasa bertanggungjawab untuk 'mentamadunkan' bangsa yang terpencil ini.
Bab permulaan mengenai sifat, sikap & personaliti orang Melayu (lelaki, perempuan, kanak-kanak, muda & tua) amat menarik untuk dibaca. Bab sikap & perangai orang kita, berkenaan sifat amuk, suka melatah, serta kepercayaan tahyul juga secara terperinci beliau kisahkan.
Jawatan tinggi beliau juga membolehkan beliau selalu berurusan dengan kerabat diraja, terutamanya kerabat diraja Perak & Selangor. Banyak perincian mengenai kehidupan raja & kerabat pada era itu diceritakan. Bagaimana mereka berhibur, beriadah, menghabiskan masa lapang. Perincian mengenai susunatur istana dengan hiasan dan gemerlapannya, fungsi setiap ruangnya, protokol istana yang biasa dipraktikkan juga amat menarik untuk dibaca.
Apa yang pasti, tidak kira raja mahupun rakyat biasa, sifat boros itu tetap sama serupa.
Antara catatan penting dari buku ini adalah berkaitan perincian kes pembunuhan Residen British di Perak pada tahun 1875, J.W.W. Birch di Pasir Salak, dan bagaimana Swettenham cuba melarikan diri sejurus kejadian itu terjadi. Begitu juga dengan sejarah Perang Klang di antara Raja Mahdi dengan Yap Ah Loy, kapitan Cina yang dikatakan sebagai pembuka kota ibu negara kita kini, Kuala Lumpur.
Buku ini diakhiri dengan bab khas yang menceritakan keindahan alam Tanah Melayu ini dari pandangan mata beliau sendiri setelah berlama-lama menginap disini. Tetap memukau, tetap misteri disebalik segalanya.
Tamat pembacaan buku ini, satu kesimpulan dapat saya nukilkan. Setelah satu abad lebih berlalu sejak catatan ini dibuat, kita perlu banyak bersyukur sebenarnya, atas segala kemajuan yang telah kita kecapi kini dari segala segi. Dari sudut pembangunan negara bangsa, dari segi fizikalnya, dan yang lebih penting lagi, sikap & cara pemikiran orang kita. Walaupun tidak dinafikan, banyak lagi yang masih boleh diperbaiki.
Itulah pentingnya menghadami buku-buku sebegini. Buat kita bangga dengan susur-galur kita, disamping memperbaiki segala kelemahan kita.
Kerana adat & adab kita tidak semuanya boleh terluahkan dengan kata-kata. Selalunya hanya dapat kita telusuri dari pengalaman diri bercampur dengan komuniti, mahupun dari catatan sang penglipur lara dengan sebatang penanya 😊
"Kerana dengan sejarah masa lalu, kita lebih mengenali diri kita masa kini"