Sewaktu menuntut ilmu di Qasr al-Aini dahulu, subjek psikologi (ilm al-nafs) merupakan subjek yang dinanti-nantikan kerana ia adalah sekelumit kecil subjek sains sosial (selain subjek kesihatan awam) yang ada berbanding timbunan subjek “hard science” lain yang lebih memerlukan kepada ribuan hafalan teori. Sains sosial (soft science) seperti ilmu psikologi ini, sifatnya cenderung kepada persoalan “mengapa?” manakala “hard science” seperti ilmu anatomi, fisiologi, mikrobiologi, parasitologi dan farmakologi cenderung kepada persoalan “bagaimana?”.
Sayang seribu kali sayang, silibus yang digunakan itu bersifat “dry” dan hampir tiada profesor universiti mampu untuk berinteraksi dengan teori-teori Barat ini dan menghuraikannya secara lumat dari perspektif pandangan alam Islam. Aspek etika yang diselitkan pada penghujung silibus juga tidak diberikan penekanan sewajarnya malahan kelihatan sekadar mencukupkan silibus (Maka, buku Abu Bakr al-Razi, Fazlur Rahman, Roy Porter, Peter Pormann dan Foucault menjadi bacaan tambahan luar kuliah pada waktu itu).
Buku Dilema Ahli Psikologi Islam (The Dilemma of Muslim Psychologists) ini merupakan sebuah cubaan Islamisasi ilmu psikologi moden oleh ahli psikologi kelahiran Sudan, Prof. Malik Badri. Beliau terhutang budi dan sedikit sebanyak menggunakan kerangka al-Maududi, Syed Qutb, Muhammad Qutb dan Maryam Jameelah dalam projeknya ini.
Dalam buku ini, penulis cuba meruntuhkan teori “behaviourism” oleh B. F. Skinner dan teori “psychoanalysis” oleh Sigmund Freud yang bersifat “reductionist” kerana korpus perbahasannya terlalu bergantung kepada aspek fizikal (id, oedipus, libido, totem and taboo) sahaja berbanding konsep psikospiritual Islam yang merangkumi aspek fizikal dan spiritual.
Penulis memulakan perbahasan dengan membedah satu per satu permasalahan dalam idea yang digagaskan oleh pengasas psikologi Barat, Sigmund Freud kerana ia menjadi rujukan utama dalam peradaban Barat hatta dalam dalam negara Islam sendiri. Penulis menyifatkan ahli psikologi Muslim yang menelan bulat-bulat teori psikologi Barat yang bersifat kulitan ini sebagai golongan yang terjerat dalam “lubang biawak”.
Hal ini kerana, setelah era Freud, muncul beberapa ahli psikologi Barat lain seperti anak murid Freud sendiri iaitu Carl Gustav Jung yang pada awalnya perlu mengambil alih kerusi psikoanalisis Freud, lalu pada akhirnya membuat keputusan untuk membawa alirannya yang tersendiri, psikologi analitikal setelah menyedari kepentingan aspek spiritual dalam ilmu psikologi.
Tokoh selepasnya, Victor E. Frankl dengan karya autobiografinya “Man’s Search for Meaning” turut menyedari peri penting aspek ruhani ini dalam menyelesaikan krisis kewujudan dalam diri setiap insan lalu Victor mengasaskan teori “logotherapy” hasil pengalaman pahitnya di kem Nazi ketika peristiwa Holocaust.
Bertitik tolak dari sinilah, Prof. Malik Badri menyatakan kebimbangan terhadap sebahagian golongan ahli psikologi Muslim yang masih menerima kerangka psikologi Barat secara bulat-bulat tanpa mampu melihat dari sudut spiritual dan menjalinkannya dalam dunia praktikal.
Penulis menceritakan bagaimana beliau pernah dirujuk oleh jabatan neuropsikiatri di Hospital Rabat dengan pelbagai penyakit seperti depresi dan “Obsessive Compulsive Disorder” (OCD).
Menariknya, penulis membawakan ayat dalam Surah al-Imran,
وسارعوٓا إلى مغفرةٍ من ربكم وجنةٍ عرضُها السمواتُ والأرضُ أُعدت للمتقين (133) الذين يُنفقون في السّرآء و الضّرآء والكَظمين الغيظَ والعافينَ عن الناس والله يُحب المحسنين (134) والذين إذا فعلوا فَحشةً أو ظلموٓا أنفسَهم ذكروا اللهَ فاستغفَروا لِذنوبهم ومن يغفرُ الذنوبَ إلا الله ولم يُصِرُّوا على ما فعلوا وهم يَعلمون (135)
ketika merawat pesakit depresi (setelah rawatan fizikal terhadap penyakit itu gagal) dan impaknya pesakit itu menangis selepasnya dan sembuh. Ketua Unit Psikoterapi di tempat itu, Dr. Habib, kemudiannya berkata kepada Prof. Malik Badri bahawa sudah tiga tahun naskhah al-Quran terdapat di rak pejabatnya, tetapi dia langsung tidak pernah terlintas untuk mengambilnya dan menggunakannya sebagai alat terapi!
Kisah kedua pula adalah apabila penulis menggunakan pendekatan memberikan kefahaman dan mengadakan soal jawab ketika ingin merawat pesakit OCD. Pesakit itu pada asalnya sering mengumpulkan kertas sampah selain mengambil masa yang lama untuk berwudhu’ dan solat kerana berasa waswas. Penulis mengajak pesakit untuk solat berjemaah bersama-sama dan menyatakan bahawa tanggungjawab bacaan ketika solat itu kemudiannya akan terpundak pada imam. Lalu pesakit itu tidak kembali kepada tabiat lamanya semula selepas itu.
Prof. Malik Badri percaya bahawa tidak semua teori Barat itu perlu diruntuhkan dan ditolak secara total kerana ianya telah menjalar dan menyerap dalam kehidupan dunia moden pada hari ini, tetapi setiap ahli psikologi Muslim perlu kritis dalam memahami teori tersebut serta bijak dalam menyaring dan menyepadukan konsep-teras ajaran psikologi Islam ke dalam ilmu tersebut seperti yang terpamer pada sosok Ibn Sina (psikoterapi dan psikiatri), Ibn Khaldun (sosiologi dan psikologi sosial), Ibn Sirin (tafsir mimpi), al-Ghazali dan al-Muhasibi (kajian personaliti).
Pada hari ini, kita dapat lihat terdapat banyak projek yang cuba mengintegrasikan antara unsur ruhani dan jasmani ini seperti projek dan model māristan yang cuba dihidupkan oleh Dr. Rania Awaad di wad psikiatri di Hospital Stanford, Amerika Syarikat. Di sini, pesakit turut dibawa kepada unsur-unsur ketenangan alam, keharmonian bunyi dan keindahan seni lukisan dalam sesi terapi.
Kata Dr. Rania sewaktu syarahan umumnya di HUKM beberapa minggu lalu, beliau membawa model “bio-psycho-socio-spiritual”, keseimbangan di dalamnya serta penekanan terhadap dua komponen psikiatri iaitu “milieu” dan “aftercare”, bukan sekadar merawat simptom sahaja. Beliau mengambil kata-kata Salman al-Farisi mengenai hak badan terhadap Tuhan, keluarga dan diri selain peri penting keseimbangan antara minda, jasad dan ruh. Kisah al-Razi meletakkan daging di pelbagai bandar untuk melihat daging mana yang paling lambat rosak (supaya hospital dapat dibina di sana) juga turut dikongsikan serta beliau menyarankan buku “Masalih al-Abdan wa al-Anfus” oleh Abu Zayd al-Balkhi selain buku “The Dilemma of Muslim Psychologists” ini untuk bacaan lanjut.
Dalam praktis kesihatan awam pula, para pegawai perubatan tidak dapat lari daripada menjumpai pesakit yang menemui jalan buntu setelah pemeriksaan demi pemeriksaan fizikal dilakukan kerana dalam sesetengah kes, akhirnya ia perlu diselesaikan melalui jalan spiritual dan metafizikal dek kerana fitrah insan itu sendiri yang terdiri daripada unsur ruhani dan jasmani. Hikmah ciptaan Tuhan itu sendiri berpasang-pasangan: ruh-jasad, malam-siang, langit-bumi, syurga-neraka, kebaikan-kejahatan, benar-dusta, dosa-pahala, lelaki-wanita, cytosine-guanine, adenine-thymine, systole-diastole, RNA-DNA dan chromosome X-chromosome Y.
Saya menyarankan buku “al-Ruh wa al-Jasad” oleh Dr. Mustafa Mahmud, “Bayan al-Farq baina al-Sadr wa al-Qalb wa al-Fu’ad wa al-Lubb” oleh al-Hakim al-Tirmizi, “Meaning and Experience of Happiness in Islam” dan “The Nature of Man and the Psychology of the Human Soul” oleh Prof. al-Attas untuk bacaan yang lebih mendalam mengenai konsep, peranan dan hubungkait antara unsur ruhani dan jasmani ini.
——
*Terjemahan terbitan IIUM Press ini sedikit pejal dan janggal pada sebahagian perenggan tetapi ianya tidaklah mencacatkan keseluruhan pemahaman dan pengalaman pembacaan.