Bila bercakap tentang pendidikan, sememangnya saya bersemangat. Saya mahu lihat pendidikan itu difahami oleh semua orang. Saya tidak mahu orang ramai berasa pendidikan itu hanya di universiti. Hanya di sekolah. Tidak. Pendidikan di rumah juga pendidikan. Tidak perlu tunggu sekolah, sejak kecil lagi pendidikan itu telah bermula. Pendidikan itu di mana-mana saja badan kita bergerak. Ia bukannya bangunan universiti, tetapi pemikiran yang tersingkap di dalamnya. Sama macam kita. Pendidikan bukan di mana kita belajar, tetapi sifat belajar yang ada dalam diri kita. Ya, diri kita. Batang tubuh kita. Kita pilih untuk berpendidikan atau tidak. Kalau kita ada sifat nak belajar, maka itulah sifat orang yang berpendidikan. Belajarlah dengan semua perkara yang sudah terpampang di depan mata. Ada buku, baca. Ada dokumentari tengok. Ada orang cerdik, dengarlah nasihatnya. Ada video ilmiah, layan. Belajar saja dengan apa jua alat yang ada. Dengan proses belajar itulah yang dinamakan sebagai pendidikan.
Buku bertajuk "Semua Orang Adalah Guru Setiap Tempat Adalah Sekolah" tulisan Sadiq Salihoddin ini merupakan buku ke-4 pilihan saya untuk dibaca dari timbunan buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022. Saya sebenarnya teruja untuk membaca buku ini kerana ia menyentuh satu topik yang begitu dekat dengan hati saya, iaitu “belajar sepanjang hayat”. Bagi saya secara peribadi, proses belajar itu merupakan satu proses yang menyeronokkan, bahkan ia merupakan objek yang menjadikan hidup saya terasa “hidup”. Malah jika diberikan rezeki umur, saya mahu menjadi pelajar sepanjang hayat.
Buku ini dimulakan dengan pembentangan perihal falsafah belajar. Belajar merupakan suatu kebolehan asasi manusia, malah ia adalah satu kebolehan yang kritikal untuk survival seorang manusia. Dengan upaya belajar, seorang bayi dapat menguasai skil-skil asas kehidupan seperti mengunyah makanan dan berjalan. Kemudian dia terus belajar, dia belajar untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Belajar memegang, merasa, dan berkomunikasi. Semua ini dilakukan tanpa perlunya bayi tersebut ke sekolah. Oleh itu dapat kita fahami bahawa upaya belajar itu telah tertanam dalam diri kita sejak lahir, tanpa perlu apa-apa bantuan formal. Manusia itu memang secara fitrahnya dilahirkan sebagai makhluk yang belajar.
Antara perkara menarik yang disentuh oleh Sadiq dalam membahaskan persoalan-persoalan pembelajaran dan pendidikan bagi saya adalah perasaan ingin tahu dalam diri manusia atau curiousity. Menurut beliau hal ini merupakan motivasi bagi manusia untuk mengingati satu perkara dalam usahanya memproses informasi. Dalam kata lain, jika kita curious akan sesuatu perkara, kita akan cuba mencarinya dan kemungkinan besar kita akan lebih mampu mengingatinya berbanding satu informasi yang tidak menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri kita. Bagi saya, perasaan ingin tahu ini sememangnya merupakan motivasi besar dalam diri manusia. Kata Carl Sagan, manusia itu memang dilahirkan sebagai wanderer, fitrah kita memang ingin tahu dan ingin memahami, sebab itu manusia meneroka alam, cuba memahami rahsia-rahsianya.
Pembelajaran adalah satu perjalanan untuk kita nikmati, ia bukan satu perlumbaan. Jika kita belajar untuk menikmati ilmu, kita akan menjumpai kebahagiaan dalam perjalanan kita. Menikmati ilmu pengetahuan dan juga menajamkan akal fikiran kita. Sebaliknya jika ia dijadikan perlawanan dan perlumbaan, kenikmatan itu akan hilang, ia akan menjadi satu aktiviti yang kering dari nilai-nilai yang membahagiakan. Pencarian ilmu adalah upaya manusia mengenali diri dan alam, semakin dalam pencariannya, semakin dia sedar bahawa saujana ilmu itu semakin luas terbuka untuknya dan semakin menarik untuk diterokai.
Buku ini saya kira mengangkat satu topik yang malar segar. Isu-isu pendidikan dan pembelajaran bagi saya merupakan isu yang akan senantiasa sahaja relevan. Dan setiap zaman ia wajar disemak dan diulang fikir, agar pendidikan itu bersesuaian dengan keadaan zamannya dan mampu melahirkan generasi yang dapat menyelesaikan masalah yang mendesak di zamannya, bukan menyelak-nyelak persoalan retorik yang sudah ketinggalan zaman. Wajar juga menurut kira saya, timbul wacana-wacana yang agresif, kerana jika kritikan yang diberi longlai sahaja mungkin ia tidak mendapat perhatian sewajarnya. Bagi saya buku ini sedikit sebanyak mengisi wacana yang lompong dalam masyarakat kita hari ini perihal pembelajaran dan pendidikan, untuk itu saya ucapkan tahniah pada Sadiq Salihoddin.
Buku ini terlebih dahulu melampirkan perkara paling utama dalam belajar, yakni Falsafah Belajar itu sendiri. Disusuli dengan Perkembangan Belajar, Krisis Pendidikan, Intelektualisme dan akhir sekali tentang isu yang kian rencam dalam anak muda, Suka Belajar Tapi Tak Suka Sekolah.
Penulis terlebih dahulu membentang falsafah belajar yang perlu menjadi mukadimah sebelum bermulanya perbahasan lebih lanjut tentang belajar, yakni yang terkait dengan ilmu itu sendiri. Bahkan, belajar ini merupakan satu proses yang tiada titik noktahnya bagi seseorang manusia. Proses yang berpanjangan selagi mana ia hidup.
Krisis-krisis dan perdebatan isu yang menjadi buah mulut orang ramai tentang kerelevanan akan universiti. Malah, anak muda terutamanya pada hari ini lebih memilih untuk terus bekerja berbanding menyambung pelajaran mereka di universiti. Hal ini merupakan satu perdebatan dan isu hangat yang sering diperdebatkan yang akan diulang-ulang isunya berkurun-kurun lamanya.
Secara peribadi, pandangan penulis tentang isu memperbanding-bandingkan taraf pendidikan ini seharusnya diberhentikan sangatlah disokong. Mahasiswa di universiti menempelak dan memperlekehkan pelajar di kolej komuniti dan sebaliknya. Ia menjadikan satu kitaran yang akan berlangsung jika budaya memperlekehkan ini tidak diubah.
Melihat akan tajuk, Semua Orang Adalah Guru Semua Tempat Adalah Sekolah boleh diamati bahawa tema besar buku ini adalah ILMU. Ilmu ini boleh didapati di mana-mana tempat, boleh dipelajari dengan sesiapa sama ada dengan membaca ataupun berguru dan boleh ditekuni tanpa mengira waktu. Secara asasnya, buku ini merupakan satu loncatan awal untuk mengetuk minda-minda yang tertawan yang hanya belajar bagi menggapai gred sahaja tanpa mengambil kira kepentingan ilmu dan manfaatnya yang harus dilaburkan.
Idea utama penulis tentang buku ini adalah sebagaimana judulnya. Memang kita tak boleh nafikan bahawa apabila kita belajar di dalam universiti kehidupan, sesiapa sahaja boleh menjadi guru dan di mana-mana sahaja kita boleh belajar.
Berbalik kepada idea utama penulis, buku ini cuba menjelaskan kepada kita tentang maksud sebenar pendidikan.
"Pendidikan bukanlah merujuk kepada bangunan universiti, tetapi pemikiran yang tersingkap di dalamnya".
Terlalu banyak persoalan yang berlegar di dalam kepala saya sepanjang pembacaan buku ini. Kenapa kita belajar? Kenapa kita perlu bersekolah? Kenapa perlu habiskan pembelajaran di universiti? Dan sekarang, sebagai seorang guru, masih timbul persoalan-persoalan ini, "Adakah sistem pendidikan kita sekarang benar-benar menanam kecintaan murid terhadap ilmu? Atau hanya sekadar untuk memenuhi kuota industri? Atau hanya sekadar mengejar berbelas-belas A?
Menjadi seorang guru merupakan satu anugerah terbesar saya di mana, saya juga turut belajar daripada murid-murid. Saya mungkin akan mengajar mereka tentang silibus pendidikan, namun hakikatnya saya juga belajar daripada mereka tentang kehidupan (dan mereka adalah guru saya).
"Kembalikanlah ilmu kepada masyarakat".
Suka untuk saya kongsikan petikan daripada John Dewey "setiap subjek perlu dipelajari sebagai manfaat sosial". Apa yang beliau maksudkan di sini ialah setiap ilmu yang dipelajari wajib digunakan dan dikembalikan kepada masyarakat. Bagaimana kita memanfaatkan ilmu-ilmu yang kita pelajari dalam erti kata untuk berbakti kepada masyarakat dan menyelesaikan masalah dunia sebenar. Dan hal ini mengingatkan saya akan sepotong ayat al-Quran (rujuk surah al-Baqarah:148). Kita maklum bahawa ayat ini menyeru kita untuk saling berbuat kebaikan, dan bukan hanya mengejar manfaat peribadi. Dan kedua-duanya bertemu pada satu titik yang sama iaitu : ilmu yang dipelajari seharusnya diterjemahkan kepada amal yang memberi manfaat kepada orang lain. Menurut Dewey pendidikan perlu mempunyai tujuan sosial. Maka dalam perspektif Islam, tujuan tersebut boleh dipandu oleh konsep fastabiqul khairat iaitu menggunakan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan.
Dan akhirnya saya bersoal jawab, adakah ilmu yang saya ajarkan hanya berakhir di atas kertas peperiksaan, atau menjadi alat yang mendorong murid-murid saya untuk menyumbang kebaikan kepada masyarakat?
Satu renungan untuk saya di tahun baru Muharam, 1448 H!
Pendidikan merupakan isu yang sepatutnya dekat di hati setiap rakyat Malaysia atau penghuni dunia umumnya. Manakan tidak, isu ini adalah isu yang sentiasa memerlukan muhasabah. Justeru, apabila penulis buku ini yang merupakan salah seorang rakan alam maya saya, mula memaklumkan buku ini akan diterbitkan dan dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022, saya tidak melepaskan peluang untuk membeli, membaca dan bertanyakan soalan kepada penulis sendiri untuk bertukar-tukar pendapat dengan beliau. Semoga perbincangan dalam talian dan tulisan resensi ini boleh menjadi penyambung sesi muhasabah ke arah sistem pendidikan Malaysia yang lebih mapan.
Halaman 10 buku ini memperlihatkan satu pengumuman penulis tentang betapa banyaknya orang sudah mengulas isu keagamaan. Jadi, pada peringkat awal, saya menjangkakan beliau mungkin tidak akan menyentuh isu agama, tetapi jangkaan saya meleset. Beliau terus-menerus menyentuh isu agama. Antaranya pada halaman 119,
“Agama sepatutnya lebih menjadikan pelajar terbuka tetapi berprinsip. Bukannya sempit tetapi buta. Buta terhadap ilmu sebenar.”
Maka kami setuju dalam satu isu besar, iaitu, isu pendidikan tidak dapat dipisahkan jauh daripada isu agama. Kerana jika dilihat dalam Islam, ilmu itu diberikan keutamaan.
“Tidak ada istilah ‘habis belajar’ dalam diri manusia. Nak atau tak nak, manusia akan tetap belajar. Belajar sama seperti makan dan minum. Ia bersifat asasi.” (Halaman 12)
Setuju. Pembelajaran itu adalah proses konsisten sehingga mati atau ketika sudah hilang daya intelektual atau tidak mampu lagi mencerna maklumat. Tetapi selagi terdaya, ianya akan terus dilakukan oleh kita semua. Penulis cuba membawa muhasabah dalam kalangan diri pembaca untuk sedar bahawa proses belajar itu tidak sepatutnya diberhentikan setakat di sekolah atau universiti sahaja. Cuma semakin hanyut saya dibawa oleh kata-kata penulis, saya seakan terfikir sesuatu.
“Apa hujah atau point dasar yang penulis cuba ketengahkan?”
Persoalan ini timbul apabila saya lihat kritikan penulis tentang orang yang terlalu mengutamakan gred sehingga ia menjadi motif utama kenapa seseorang itu belajar. Naratif cliché ini dikritik lumat oleh penulis antaranya pada halaman 16 dan 89.
Tidak cukup dengan kritikan terhadap gred, penulis juga mengkritik cara belajar yang gurunya hanya mahu habiskan silibus. Kritikan penulis juga dilontarkan kepada ilmu yang tidak dapat dipraktikkan dalam dunia sebenar. Disebabkan kritikan penulis ini saya lihat terlalu luas, maka soalan yang timbul dalam minda saya itu menjadi semakin besar dan mendasar.
Halaman 31 mula menunjukkan sisi kedua kritikan penulis. Kali ini penulis mengkritik pembelajaran yang hanya ingin membentuk tahu, tetapi tidak berdisiplin dan tidak merujuk banyak sumber.
“Maksud ‘belajar dengan disiplin yang tepat’ ialah mempelajari satu ilmu itu dengan tingkatan-tingkatannya yang tertentu.” (Halaman 31)
Terfikir pula di fikiran saya, di sinilah gunanya silibus, sistem, objektif pembelajaran dan sebagainya. Jadi, kenapa penulis mengkritik silibus sebentar tadi tetapi sekarang menyentuh soal berdisiplin dalam soal menuntut ilmu?
Menjengah halaman 38, penulis kembali menyentuh isu pembelajaran melalui aplikasi atau amali terus di medan pekerjaan. Hal ini relevan untuk sesetengah jenis pekerjaan yang mulia dan penting seperti bertukang, bertani, memasak, membuat kuih dan sebagainya. Tetapi, jika dipanjangkan kepada bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan dan sebagainya, ianya tidak relevan.
Seperkara lagi yang perlu diingat, pada halaman 14, penulis menyatakan seperti berikut:
“Setiap bangkangan, mesti disertakan sekali dengan mekanisme cadangan dan alternatif.”
Jadi, sepanjang saya membaca buku ini, yang saya cuba cari ialah solusi dari penulis sendiri, beserta soalan yang tadinya belum terjawab.
Penulis juga tidak gagal mengkritik relevan atau tidak sesuatu subjek atau sub-subjek diajarkan kepada murid di sekolah, umpamanya Algebra. Kritikan ini dapat dibaca pada halaman 105 dan 106. Saya setuju kerelevanan sesuatu subjek itu perlu dikaji semula dan diselarikan supaya subjek yang diajar itu dapat memenuhi keperluan semasa generasi akan datang. Tidaklah nanti disebabkan tidak pelajari ilmu sains, habis semua pseudoscience diimani tanpa ragu oleh generasi akan datang (jika hal ini berlaku, bencana besar akan melanda umat).
Tetapi pada masa yang sama, tidak boleh dihapuskan silibus sama sekali. Jika terlalu bebas pembelajaran anak-anak di sekolah, besar kemungkinan mereka tidak akan belajar apa-apa subjek dengan kefahaman tuntas dan jitu. Hanya beralasankan kebebasan. Mungkin subjek yang mereka rasakan tidak relevan dan tidak berguna seperti matematik tambahan (differentiation and integration) itu masih belum difahami kegunaannya, bukannya langsung tidak berguna. Sekali lagi saya bersetuju dengan penulis apabila penulis menyatakan kepentingan guru untuk memaklumkan kepada pelajar akan kegunaan informasi atau ilmu dalam subjek yang diajarkan kepada mereka.
Isu intelektual juga disentuh oleh penulis. Peranan intelektual sangat penting dalam mengetengahkan hak marhaen contohnya dalam isu pendidikan untuk orang miskin dan cara menyelesaikan masalah ekonomi dan kemiskinan yang impaknya lebih besar dan akbar dirasai oleh orang miskin di seluruh dunia.
Kata penulis:
“Intelektual sepatutnya berfikir hal-hal masyarakat kebanyakan. Bukan hanya membincangkan perihal kaum elit sahaja. Bukan setakat berdiskusi di hotel lima bintang sahaja. Bukan setakat berbincang hal-hal poligami sahaja. Bincangkan isu-isu yang lebih membumi dan perlu seperti isu kemiskinan, isu perpaduan tanpa rasisme, isu menaikkan pemimpin wibawa dan sebagainya.”
Seratus-peratus saya bersetuju dengan kata-kata penulis pada halaman 124 ini. Jujurnya, asakan untuk menjadikan diri sendiri sebagai seorang cerdik pandai yang berkebolehan menyelesaikan masalah marhaen, semakin terpacu selepas membaca kata-kata penulis ini secara spesifik.
Penulis mula menyentuh berkenaan Autodidak bermula halaman 135. Mulai halaman ini, solusi dan jawapan kepada persoalan awal yang berselirat dalam fikiran saya mula dapat saya ringkaskan kepada satu pernyataan iaitu:
“To have a consistent informal education and to restructure our current formal education system.”
Ternyata sebenarnya penulis cuba membawa kita semua untuk bermuhasabah secara konsisten tentang bagaimana mengkayakan diri sendiri dengan ilmu dari pembelajaran tidak formal secara istiqamah, dan diapit baik oleh pembelajaran formal sejak bangku sekolah hingga ke universiti yang sistem pendidikan formal itu sentiasa diberikan silibus dan nafas baru melalui subjek-subjek yang relevan. Tidaklah menolak semua subjek dan mengajak bebas silibus secara membabi buta kerana hal itu mungkin akan melahirkan lebih banyak himpunan pentaksub teori konspirasi dan ustaz-ustaz kaki goreng anti-ilmu sains ‘yahudi’. Pada masa yang sama, tidaklah silibus itu hanya perlu diajar tanpa dijelaskan fungsi dan bagaimana relevannya setiap subjek yang diajarkan.
Maka jelas untuk saya selaku pembaca, keseimbangan antara pendidikan formal dan tidak formal menjadi naratif utama penulis buku ini. Mungkin ajakan muhasabah ini saya lihat sebagai terlalu abstrak dan terawang-awangan, tetapi saya faham mungkin kritikan awal penulis terhadap sistem pendidikan ini akan disusuli dengan kritikan terperinci tentang kesuluruhan sistem pendidikan merangkumi pembelajaran di bilik darjah dan karenah birokrasi serta beban kerja guru yang memegang amanah memandaikan anak bangsa.
Saya akhiri resensi buku ini dengan nukilan kata-kata penulis pada halaman 146,
“Hari ini sudah jadi pelik dan janggal. Idea ditentang label. Hujah saintifik ditentang dengan teori konspirasi. Dalil ditentang dengan emosi. Kesan daripada ‘budaya’ ini, maka naiklah ‘pakar-pakar’ ilmu yang berbincang hal-hal melangit, bukan membumi. Mendakwa kesesatan, bukan menawarkan solusi. Bergantung kepada mistik dan teori konspirasi, bukan kaedah saintifik dan rasionalisme. Sudah perasan pakar hanya dengan ilmu abstrak, bukan ilmu terperinci. Sibuk tambah bini, bukan tambah idea untuk membasmi kemiskinan.”
Ayuh terus bermuhasabah.
Apakah sumbangan kita untuk membina sistem pendidikan yang terbaik untuk generasi akan datang?
Buku pertama yang berjaya dihabiskan dalam tahun 2024 iaitu buku "Semua orang adalah guru, semua tempat adalah sekolah" karya Sadiq Salihoddin terbitan REPUBLIKBUKU. Untuk orang yang bukan datang daripada keluarga membaca, suka membaca dan yang mahu menjinak-jinak dalam membaca ini adalah satu "kejayaan" yang mengagumkan.
Dua faktor yang mempengaruhi kejayaan ini; (1) minat terhadap tema yang ditulis dalam buku ini iaitu pendidikan dan (2) gaya penulisan yang mudah untuk difahami. Yang no 2 itu paling penting bagi aku dan itu yang mahu aku mempertengahkan dalam penulisan ini. Kita sering membincangkan tentang pentingnya memperibumikan ilmu tapi pernahkan kita membincangkan perihal membumikan ilmu itu sendiri?
Ya, kalau siapa yang pernah menonton filem "Terbaik Dari Langit", ada satu babak antara Bront Palarae dengan seorang mamat ini (aku lupa namanya). Bront Palarae kata macam ini dekat mamat itu, "Kalau kau baca buku, kau tak faham menurut kau siapa bodoh? Kau atau buku?". Sungguh aku baca buku memang sebab aku "bodoh" tapi kalau aku baca pun tetap "bodoh", apa guna membaca itu lagi? Bukankah itu paradoks?
Mungkin juga ini merupakan salah satu mengapa ramai orang tidak membaca. Bukan kerana tidak mahu membaca tapi tidak faham apa yang dibaca sehingga membawa ke hilangnya minat membaca itu sendiri. Maka tidaklah mekar budaya membaca itu sendiri dek kerana banyak penulis dan penerbit yang tinggi melangit dan tidak mahu membumi.
Aku tidak pernah kagum kalau seseorang itu boleh menghabiskan 30 juzuk dalam satu hari. Bagi aku, kalau kau habiskan 30 juzuk dalam masa satu hari tapi kau tidak faham apa yang ingin disampaikan; hikmah atau pengajaran adalah perkara sia-sia. Baik lagi membaca sepotong dua ayat tapi memahami mesej, pengajaran dan hikmah yang ingin disampaikan. Itulah makna "memberi syafaat" yang para asatizah sering tekankan dalam ceramah. Bukannya membaca tapi tidak faham pun apa yang dibacanya dan kelak di akhirat nanti menjelma kitab tersebut memberi syafaat. Itu tahyul namanya.
Begitu jugalah dalam hal buku-buku ilmiah. Tidak pernah aku kagum dengan seseorang yang boleh menghabiskan 10 buku misalnya dalam sebulan tapi tidak memahami apa yang dibacanya. Membaca itu adalah proses pengekstrak maklumat. Kita cuba faham apa yang penulis buku ingin sampaikan tapi bagaimana mahu mengekstrakkannya kalau tidak faham? Tidaklah aku kata membumikan ilmu tersebut sehingga merosakkan bahasa itu sendiri kerana bahasa yang digunakan melambangkan intelektual penggunanya. Cukuplah sekadar menggunakan bahasa standard dan terus maknanya. Tidak perlu berjargon-jargon. Aku boleh katakan buku ini boleh dijadikan contoh penggunaan bahasa yang baik.
Saya kira buku ini amat bagus bukan sahaja untuk para guru, bahkan kepada ibu bapa. Terutamanya kepada yang masih mengharapkan segala pembelajaran dari sekolah dan universiti semata-mata. Malah, untuk masyarakat yang masih menilai kepandaian seseorang berdasarkan nama sekolah,universiti, gred peperiksaan dan bidang ilmu. Sesungguhnya, sudah penat dan muak dengan sentimen begitu.
Penulis merincikan pelbagai karya dan pengarang yang mengkritik tentang dunia pendidikan serta sistem sekolah. Penulisan yang ringkas, berterus-terang dan dapat membuka perbincangan yang lebih mendalam.
Perkara utama yang penulis tekankan dan saya amat amat bersetuju jadikan belajar itu nombor satu. Belajar bukan sahaja di pusat pendidikan dan lapangkan dada kita untuk menerima pelbagai ilmu dari perjalanan kehidupan. Jangan bergantung dan menunggu suap dari autokratik sistem pendidikan sahaja.
Ilmu dan sijil pendidikan bukan untuk mainan status, atau kepentingan diri. Kembalikan ia sebagai sumbangan kepada masyarakat.
Antara buku terbaik terbitan REPUBLIKBUKU. Harus dikatakan begitu, selain ia membawa warna yang lain dari rupa biasa REPUBLIKBUKU yang kelihatan keras dan tegas -melawan dengan buku - dengan tajuknya (yang panjang seperti memiripi tajuk buku panjang ZF Zamir) dan rupa parasnya yang agak minimalis serta layout dalaman yang sememangnya berlainan dengan buku-buku REPUBLIKBUKU yang lain. Itu dari segi luaran.
Dari segi dalaman, penulis seorang yang cuba menjadi 'renaissance man' dalam tafsirannya sendiri mempamerkan buah fikirannya tentang pendidikan. Tokoh-tokoh pendidikan antara yang disebutkan seperti Paulo Freire sampailah kepada William Kamkwamba seorang anak Afrika yang tidak habis belajar kerana faktor kemiskinan tetapi memberi manfaat bukan sedikit kepada orang kampungnya. Idea sebegini mengingatkan pada prakata buku Anti Universiti satu masa dulu.