Kemunculan pelbagai mazhab dan pecahan fahaman akidah dipengaruhi oleh faktor asing daripada prinsip akidah yang sebenar. Walaupun perselisihan ini berlaku di peringkat awal generasi umat Islam namun pegangan pada al-Quran dan sunnah masih kukuh. Al-Quran dan sunnah menjadi sumber asal ajaran Islam dan penyelesaian yang menyelamatkan umat daripada terjebak dalam penyelewengan akidah yang ketara. Generasi al-Salaf as-Soleh juga muncul dengan akidah yang unggul dan mengutamakan ikatan persaudaraan Islam berjaya mengatasi cabaran dalaman dan luaran.
Kini, musuh Islam menentang Islam dari luar dan dalam dengan menumpukan fahaman akidah memberi kesan yang berbahaya. Ia melibatkan fahaman dan kumpulan yang lama diasaskan dan ideologi moden yang wujud pada zaman penjajahan. Ideologi moden dibawa oleh fahaman sekular yang menular ke dalam masyarakat Islam. Kemudian, ia menyadurkan dengan nama Islam lalu mewujudkan fenomena baru yang membahayakan akidah.
Saya kemukakan kajian ringkas ini untuk tatapan pembaca bab Akidah supaya akidah dapat dipelihara dengan sebaiknya. Walau apa jua cabaran yang dihadapi, gerakan pembaharuan akidah dapat menyelamatkan umat Islam dalam bentuk dan ulasan yang pelbagai. Mudah-mudahan, sumbangan ini diterima Allah dan menjadi ilmu yang bermanfaat untuk generasi kini dan seterusnya.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Ayah Chik) mendapat pendidikan awal di Rusila, Marang sebelum menjejakkan kaki ke Sekolah Agama Marang. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan agama, bahasa Arab, dan politik daripada ayahandanya sendiri, iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid Rusila.
Selepas itu, Ayah Chik melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi pada tahun 1969–1973 dan berjaya memperoleh Ijazah BA Syariah. Seterusnya, beliau berhasil menggenggam Ijazah MA di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Siyasah Syar‘iyyah selepas berjaya menamatkannya dalam tempoh dua tahun, iaitu dari tahun 1974–1975.
Di samping itu, Ayah Chik juga telah memperoleh Ijazah Sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani pada tahun 1983. Beliau istiqamah mengajar di Masjid Rusila, Marang dan telah mengkhatamkan pengajian Tafsir al-Quran sebanyak dua kali dalam tempoh 40 tahun, bermula dari tahun 1976 sehingga kini.
Berbekalkan laptop peribadi, beliau aktif menulis buku, artikel, khutbah termasuk laman web dan blog. Antara karya beliau adalah Inilah Akidah Islam, Beriman kepada Allah, Beriman kepada Rasul, Beriman kepada Malaikat dan Kitab, Beriman kepada Hari Kiamat, Beriman kepada Qada dan Qadar, Islam dan Demokrasi, Ramadan: Tetamu yang Dirindui, Islam: Adil untuk Semua, Bagaimana Islam Memerintah Negara, dan banyak lagi.
Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.
Versi asal buku ini adalah dalam tulisan jawi, dengan tajuk "Lahirnya beberapa firqah di kalangan umat islam". Buku ini disyarahkan oleh pengarangnya sendiri dalam pengajian setiap pagi Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu.(Telahpun tamat) Buku ini menyorot secara ringkas tentang perpecahan di kalangan umat Islam hingga lahirnya fahaman yang berbeza.Walaupun ringkas, tetapi sudah cukup untuk menjana kefahaman asas tentang berbagai-berbagai fahaman/mazhab yang wujud di dunia Islam.
Saya pernah membaca versi yang asal dan kandungannya amat baik bagi pemula. Tetapi kali ini saya membaca versi yang telah di revais oleh seorang pelajar. Kandungannya sedikit mengecewakan terutamanya di bahagian ideologi masa kini. Sepatutnya, apabila di revais, ejaan nama, dasar pemikiran dan juga pergerakan perlulah ditambah baik dengan pengetahuan kini tetapi sebaliknya. Saya tetap memberi 4 bintang tetapi untuk versi yang asal. Versi baru, saya tak sanggup memberi bintang padanya. Buku asalnya cukup baik dan bolehlah di dapatkan bagi sesiapa yang mahu memahami cabang pemikiran lain dalam Islam terutamanya bagi penuntut bidang Usuluddin.
Isu akidah tdk blh dicuba-cuba atau diagak-agak. Ia tdk blh dipilih sesuka hati krna ia bergantung pada nasib yg memerlukan petunjuk Allah dan wahyunya.