Alhamdulillah, segala puji bagi Ilahi yang telah memberikan kita dengan nikmat kehidupan yang terlalu rencam, Selawat dan salam buat Rasul mulia yang telah menjadi rahmat kepada seluruh alam. Salam perjuangan kepada seluruh anak-anak muda yang berani berdada dengan kezaliman penguasa di seluruh belahan dunia. Buku ini dituangkan di atas kertas dengan beberapa matlamat walaupun saya merasa sedikit kerdil untuk merakamkan sejarah besar gerakan mahasiswa di negara ini.
Pertamanya, untuk menghimpunkan kembali sejarah mahasiswa di negara ini yang mengalami pasang surut perjuangan, ada suram dan ada kelam dalam kerencahan pelbagai jalur ideology .Setiap dekad mempunyai warna masing-masing yang dilatari dengan peristiwa yang berlaku dalam lingkungan masa tersebut. Dalam dekad 60an, gerakan anak-anank kampus telah mengalami zaman keemasan, disanjung serta dihormati bahkan suara mereka didengar oleh semua pihak. Dasawarsa 70an pula merakamkan sejarah kehebatan gerakan mahasiswa sehingga tercetusnya peristiwa Baling 1974 yang telah membawa penangkapan beramai-ramai aktivis pelajar. Akta Universiti Dan Kolej telah merencatkan aktivisme pelajar sehingga kampus dianggap lesu namun secara senyap pula telah memerkasakan gerakan pelajar Islam sehingga ia menjadi fenomenal pada dekad 80an dan 90an.
Keduanya, ialah untuk mengartikulasi kekuatan dan kelemahan gerakan pelajar di setiap dekad terpilih supaya kita lebih adil dalam menilai sejarah. Ketiganya, sebagai bacaan yang akan menambahkan kepustakaan maklumat aktivis-aktivis pelajar yang sedang berjinak dengan dunia idealisme dan aktivisme kampus yang membahagiakan. Dalam jangkamasa belasan tahun ini sudah ribuan mahasiswa mendengan hujahan saya berkaitan dengan amal islami serta pensejarahan gerakan Islam maka diharap buku ini sebahagian daripada ABM (alat bantu mengajar) saya yang mampu menampung kelompangan maklumat ketika sesi syarahan yang biasanya dihambat waktu yang cemburu buta.
Secara peribadi, keputusan untuk menulis buku ini berkaitan dengan ketidakpuasan saya menatap beberapa tulisan penulis sejarah gerakan kampus yang saya merasakan tidak tepat malah mengelirukan, apatah lagi dalam beberapa peristiwa bantahan awam dalam tempoh masa 1991-2001 yang berlaku di Lembah Kelang, saya terlibat secara langsung walaupun sebagai aktor kerdil mahupun mengurus acara bantahan (sebagai pelajar Universiti dan seterusnya aktivis sosio-politik). Maka saya merasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk merakamkan sejarah yang berlaku dengan pengamatan dan keterlibatan secara langsung.
Akhir sekali buat pembaca budiman, terimakasih, kerana menatap buku ini kerana saya juga seperti Multatuli (penulis Max Haavelar) yang berprinsip ‘aku mahu dibaca’ bahkan lebih jauh mendasar, menulis akan mencerahkan pemikiran, menyihatkan mental , meramaikan teman, melunaskan hutang masa kita yang sentiasa terbuang percuma jika tidak menulis. Buku akan menjadi harta paling berharga disisi manusia yang cintakan ilmu dan keteladanan yang baik, yang paling penting, ianya adalah sebahagian catatan amal kita untuk hari akhirat yang panjang. Moga tulisan ini bisa memanfaatkan kita semua, selamat membaca!
Riduan Mohamad Nor (B.A (Hons) UM. DIP. ED. UM. M.A UKM) berasal dari Besut, Terengganu. Dilahirkan pada 1 Jun 1971. Telah berumahtangga dan kini mempunyai enam orang cahaya mata (Muhammad Jundullah, Muhammad Saiful Islam, Fatin Najwa, Ummu Nusaibah, Muhammad Mujahid, Mujahidah).Mendirikan rumahtangga dengan Norleeza Abdullah (B.A (Hons) UM) pada tahun 1993 ketika sedang menuntut di Universiti Malaya.Beliau dan Norleeza adalah exco Kerohanian Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA).Riduan juga adalah exco Kerohanian Kolej Kediaman Pantai Puri UM . Beliau bergraduat daripada UM pada tahun 1995, pada tahun yang sama merupakan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Lembah Pantai, Setiausaha PAS Cawangan Flat UDA, juga sebagai Imam di surau An Nur, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur. Beliau telah menapak daripada Cawangan sehinggalah ke peringkat Dewan Pusat PAS Pusat, semua pergulatan sosial dan politik secara langsung ini akan dituangkan dalam karyanya ‘Memoir Pemuda”.Melalui wadah perjuangan Islam inilah beliau menghabiskan sebahagian besar umurnya, PAS sebagai Universiti kedua yang memberikan ilmu, mematangkan pengalaman, menajam tahap intelektual, merasai dihargai sebagai manusia, menghirup sejuta satu makna kehidupan dengan kepelbagaian latarbelakang ahli dan kepimpinannya.Melalui wadah Islam inilah Allah memberikan sejuta satu pengalaman berguna baik dengan sisi putih dan hitamnya, insan ini paling gugup dan bergemuruh didepan khalayak namun dengan pantas Allah menukarkan watak ini dengan keberaniaan apabila berdepan dengan audien apabila bergulat di medan jamaah. Beliau adalah pengarang beberapa buah buku antaranya ‘Pertembungan Iman dan Kufur’, ‘Peperangan Rasulullah S.A.W’, ‘Ulama Dalam Sorotan Perjuangan Kemerdekaan’, ‘ Sejarah Pemalsuan Al-Quran’, ‘Ahzab Moden dan Masa Depan Islam’, ‘Penghinaan Terhadap Rasulullah: Implikasi Hukum’, ‘Islam Liberal dan Pluralisme Agama’ dan ‘Memperingati 100 Tahun Hasan Al-Banna’.”Potret Perjuangan Mahasiswa Dalam Cerminan Dekad”, “tajuk-Tajuk Utama Ramadhan’ (bersama dengan Nazri Chik), ‘Sejarah Dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden’, ‘Murtad: Implikasi Hukum Dan Fenomena, ‘Makkal Sakhti:Analisa Pilihanraya 2008, Pengaruh Ikhwanul Muslimin Terhadap PAS, ‘Duka Acheh Luka Kita’, ‘Catatan Pilu Tragedi Gempa Bumi Pakistan’.’Menggenggam Bara’ dan beberapa buah buku lagi termasuk yang belum diterbitkan seperti ‘Panduan Nuqaba’ Ceria’. Beliau merupakan pengkuliah, penceramah, Motivator, menyampaikan kuliah-kuliah ilmu di surau-surau dan masjid-masjid di seluruh tanah air (Masjid KLCC, Masjid Tabung Haji, Masjid Ar Rahman, Masjid Ar rahimah, Masjid Saidina Ali dan ratusan masjid yang lain) dan di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta seperti di Jabatan Kerja Raya (JKR), Maybank, Petronas, Bank Pembangunan Industri, Pejabat Kastam Di Raja Malaysia, Malaysia Airlines System (MAS), Perodua, Pusrawi, Sapura Holding dan banyak lagi. Beliau juga pernah diundang untuk menghadiri program-program pelajar Malaysia di luar negeri antaranya di Jordan, Mesir, Syria, Indonesia dan Jepun. Selain itu, beliau juga selalu diundang untuk menjadi ahli panel forum dan pembentang kertas kerja serta wacana ilmu berkenaan isu-isu agama, sosio-politik, budaya dan sebagainya.Menjadi Pengerusi Front Bertindak Anti Murtad (FORKAD) Beliau juga merupakan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan dengan berwadahkan Muslim Care Malaysia , sebuah NGO yang menggalang kerja-kerja kemanusiaan di dalam dan luar negara. Pernah terlibat di Acheh, Jawa Barat, Cambodia, Jogjakarta, Pakistan, Kashmir dan khemah pelarian Palestin. Semua pengalaman misi kemanusiaan ini akan dituangkan dalam sebuah buku bertajuk ‘Peta Luka Umat Islam’ dan ‘catatan hidup”. Riduan Mohamad Nor dijoloki dengan gelaran Ustaz We@ ustaz Wan (oleh anak-anak murid dan pengikut kuliah), Pok Wan (oleh anak-anak saudara, kaum keluarga), Duang (kawan-kawan rapat dan panggilan zaman remaja).
buku kedua Riduan Mohamad Nor aku baca selepas buku memali. tahniah! sebab mampu buat aku baca lagi hasil tangannya. isi buku ni menarik. isu yang dikupaskan pada aku mmg rare. dapat aku bt perbandingan lantangnya mahasiswa dulu dgn mahasiswa sekarang. kalau buat dokumentari lagi best kot.
dari segi penulisan, pada aku kureng sket. lagi2 part gambar2 dalam buku ni. kejap ada caption kejap x de. kadang2 aku tak tahu pun gambar tu gambar siape dan gambar tentang apa. ini menyebabkan aku kurang bersemangat nak baca. tapi keseluruhannya buku ni ok la. xrugi baca sekurang-kurangnya boleh buka minda kita dgn melihat negara kita dari sudut yang lain.
Buku yang agak membuka mata tentang peranan mahasiswa, dan sejauh mana suara mahasiswa mampu pergi di negara kita (suatu masa dahulu, dan dibandingkan dengan kini).
Menelusuri sejarah aktivisme mahasiswa di Malaysia seawal dekad 60an, sungguh menarik. Ada turun dan naiknya. Dahulu, kampus UM dilihat sebagai tempat bermulanya suara mahasiswa diangkat ke peringkat nasional dan antarabangsa.
Universiti dilihat sebagai tempat melahirkan mahasiswa yang peduli dan cakna tentang rakyat Malaysia. Acara demonstrasi yang pada awalnya dipelopori oleh golongan fahaman sosialis semakin lama mula sebati dengan golongan mahasiswa Islam. Pimpinan mahasiswa yang mendekam di dalam ISA juga seperti perkara biasa. Inilah harga yang perlu dibayar atas kelantangan mereka bersuara.
Terlampau banyak peristiwa yang berlaku sehingga membuatkan saya merasakan "Dahsyat betul hamasah mahasiswa zaman dahulu. Aura mereka luar biasa. Nak periksa final sem pun masih lagi boleh join demonstrasi. Dan berjaya meloloskan diri melalui jalan tikus dari ditangkap FRU. Luar biasa !"
Kerajaan pada waktu itu, mengambil jalan untuk mematahkan perkara ini dari terus berlaku. Maka diwujudkan AUKU. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah antara faktor penyumbang kepada kelesuan gerakan pelajar di negara ini. Kebebasan mengeluarkan pendapat dipasung menyebabkan kesuraman intelektual. Semangat dan idealisme yang ada dalam diri mahasiswa berjaya dikuburkan.
Pentadbiran universiti mengingatkan mahasiswa untuk tidak menghampiri mereka yang berketayap putih dan bertudung labuh bulat. Golongan ini dianggap sebagai pengganas. Begitu hebat sekali strategi kerajaan pada masa itu untuk melahirkan mahasiswa yang tidak bergigi. Maka wujudlah istilah 'Mahasiswa Mandom'.
Kesannya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Memakai ketayap putih di rasa kekok. Tidak mahu dilihat terlampau alim. Dilihat nakal tidak mengapa, jangan dilihat seperti ustaz. Perbincangan lebih berfokus tentang diri sendiri, tiada lagi mengenai keadaan masyarakat. Begitulah hebatnya penangan AUKU, menghasilkan graduan yang tidak mampu berdada dengan kebatilan.
Semoga mahasiswa yang mempunyai pakej kekuatan fizikal, kekuatan mental, kekuatan semangat dan idealisme dapat terus menjadi penyemak imbang kepada kerajaan.
“Dunia adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!”
Satu tulisan yang dapat membuka minda pembaca terutamanya dari kalangan pemuda pemudi bergelar mahasiswa mahasiswi yang kurang arif tentang pergerakan mahasiswa di institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini.
Apa yang dapat dilihat, ada jurang perbezaan yang ketara dalam gerakan mahasiswa kini dan gerakan mahasiswa pada dekad-dekad yang lalu. Antara yang menyebabkan wujud jurang ini adalah perpecahan yang berlaku dalam kalangan mahasiswa sendiri. Ini yang menjadi punca utama kelemahan gerakan pelajar sehingga akhirnya momentum mulai lemah. Jika dibandingkan, mahasiswa kini terdedah kepada pergaduhan dan perselisihan faham dengan lebih mudah. Masing-masing ingin mengutarakan pendapat tetapi ianya berlaku di belakang skrin, menggunakan keyboard tanpa perlu face to face. Ini menambahkan lagi rasa “berani” untuk memperjuangkan ideanya tanpa risiko besar dicemuh apabila ada yang tidak setuju. Sebenarnya ini melemahkan mahasiswa sendiri kerana kurangnya pendedahan terhadap realiti kehidupan yang sebenar. Tanpa kemudahan yang ada di alaf baru ini, mahasiswa dekad yang lalu perlu turun dan berkumpul dalam usaha untuk menyampaikan idea-idea mereka. Pendedahan demi pendedahan telah membina kekuatan bukan sahaja kepada indiviu tetapi kepada kumpulan mereka. Ukhuwah dan persefahaman mereka bertambah kukuh. Sama-sama merasa.
Apapun, gerakan mahasiswa sepanjang kewujudannya telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara.
Moga lahir lebih banyak pemimpin dari denyut nadi rakyat.