Falsafah Ketuhanan - HAMKA
Seingat saya, saya sudah pernah membaca buku Falsafah Ketuhanan tulisan HAMKA ini lama dahulu. Zaman saya mengumpul dan membaca semua buku Hamka. Malah saya ada edisi cetakan Pustaka Dini untuk buku ini di pustaka kami di rumah Gombak.
Selepas Jejak Tarbiah mengeluarkan edisi baru buku ini, saya beli lagi. Dan saya baca lagi buku ini sekali lagi.
Sejujurnya, saya mula membaca buku ini selepas semalaman tidak dapat tidur malam selepas menonton filem JOKER. Saya mahu mencari ‘sesuatu’ dan akhirnya buku ini menjadi pilihan. Ternyata, pilihan yang sangat tepat untuk saya.
Ramai sudah mengulas filem JOKER dari pelbagai sudut. Sudut psikologi, masalah mental, sudut parenting, sudut ekonomi dan kasta kelas, sudut konflik peribadi mahupun sehingga tatacara mengurus negara.
Walaupun mungkin sangatlah ‘klise’ ataupun mungkin ada yang mengangapnya sangat tidak tepat apabila nak kaitkan Joker ini dengan agama dan Tuhan.
Tetapi, izinkanlah saya mahu memandang dari sudut ini. Jika tidak pun untuk si Joker itu, tetapi untuk kita. Khususnya untuk saya.
Falsafah Ketuhanan Hamka adalah antara buku non-fiksyen seterusnya yang menyebabkan saya mengalirkan airmata di akhirnya. Mungkin kerana terlalu menghayati, mungkin juga kerana saya sendiri yang terlalu beremosi.
Tetapi, memang berbeza buku yang kita baca dengan tujuan, berbanding buku yang kita baca hanya untuk suka-suka, mengisi masa.
Hamka mengulas buku ini dengan sangat bersahaja walaupun sebenarnya membahaskan persoalan yang sangat berat. Susunan bab agak tersusun, bermula dari persoalan manusia dan agama, alam falsafah, iman, akal dan taklid, tentang hidup, tasawuf, dan kemudiannya mula membicarakan tentang Allah, Wujud, dan sifat-sifat Allah yang terpilih.
"Seluruh kemanusiaan adalah dari satu kekeluargaan. Fitrah mereka senantiasa mencari hubungan dengan Yang Menjadikannya ; sampai manusia berjumpa, sampai manusia menyerah (Islam)".
Setiap nukilan HAMKA seolah-olah sedang berbicara dengan hati kita yang paling dalam. Ada masa mengetuk lembut, ada masa terasa seperti ditampar-tampar dan dihenyak-henyak.
Banyak sekali petikan kata-kata menarik yang dinukilkan oleh HAMKA, sehingga penuh tagging saya pada buku ini.
Bab yang paling saya suka dalam buku ini ialah bab 'Kepercayaan Kepada Tuhan dan Filsuf". Dalam bab ini HAMKA ada menukilkan petikan kata beberapa orang filsuf terkenal seperti Herschel, Socrates, Herbert Spencer, Camile Falamarion dan lain-lain dan membahaskan secara ringkas beberapa persoalan falsafah dan agama. Ternyata, ilmu dan persoalan-persoalan mendalam dalam berfikir, bukanlah suatu masalah sekiranya menggunakan metod dan jalan yang betul.
"Bertambah luasnya ilmu pengetahuan dan hasil penyelidikan manusia, pada hakikatnya bukan menambah jauh dari Allah, melainkan menambah terbukanya gerbang iman".
Namun, buku ini bukanlah buku yang membahaskan tentang tauhid dan aqidah secara mendalam. Saya telah membaca Aqaid Al Nasafiyyah dan juga Al Iqtisad fi al-I'qtiqad karangan Imam Al Ghazali, maka buku HAMKA ini jauhlah berbeza dari sudut perbahasan yang mendalam itu.
Namun, buku ini saya kira antara pengenalan yang sangat baik untuk mereka yang mungkin mahu mengenali Islam dan juga agama itu sendiri. Juga untuk mereka yang sudah beragama, namun mahu memperdalamkan lagi hakikat beragama itu.
Kalau Joker ada di sini, saya akan hadiahkan beliau buku ini.