Jump to ratings and reviews
Rate this book

Di Bawah Teduhan Kisah Zulqarnain A.S.

Rate this book
Kepimpinan yang sebenar bukanlah sekadar memimpin untuk mengejar pertambahan duit dan keuntungan, bahkan kepimpinan itu bermaksud membangunkan potensi tersembunyi dalam diri orang yang di bawahnya meskipun mereka sendiri tidak menyedari potensi ini. Tembok kukuh akhirnya terbina dengan tenaga kerja rakyat tempatan yang selama ini buta potensi dan tidak menyedari bahawa mereka punya kekuatan dan aset untuk menghadapi apa jua bahaya di hadapan dengan kekuatan mereka sendiri. Mujurlah Zulqarnain AS hadir menyelia, membimbing, mengatur arahan, menegur dan menyusun mereka dengan penuh berkesan. Baginda hadir sebagai rahmat daripada tuhan buat penduduk antara dua pergunungan. Terima kasih buat cahaya daripada al Kahfi dan kisah kepimpinan daripada Al Quran.

Karya ini tidak berhasrat untuk membahaskan Zulqarnain dari aspek “siapa, bila, di mana” melainkan sekadar yang dipersembahkan al-Quran sahaja. Karya sederhana penuh infografik berusaha ke arah membisikkan beberapa kaedah-kaedah penting dalam tadabbur al-Quran seperti mentafsirkan ayat dengan ayat, hikmah penamaan surah, hikmah kalimah yang tidak berulang (al-fara’id), hikmah susunan kisah, kehalusan bahasa dan banyak lagi. Selamat membaca siri kedua “Di Bawah Teduhan” inshaallah !

Sebuah karya yang berusaha menjadikan 15 karakter kepimpinan Zulqarnain sebagai “cermin pandang belakang” untuk para pendakwah, pemimpin dan pencinta perubahan menelitinya. Menyahut seruan al-Quran sendiri agar memposisikan kisah Zulqarnain dengan kerangka “zikra” (peringatan), moga karya ini menyebabkan anda tidak sekali-kali meninggalkan surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat dan sekaligus beroleh salah satu cahaya darinya iaitu cahaya ketika diberi kuasa dan pengaruh (influencer) yang besar.

217 pages, Paperback

Published May 1, 2022

1 person is currently reading
14 people want to read

About the author

Muhammad Syaari Ab. Rahman

32 books121 followers
Anak kelahiran Tumpat, Kelantan merupakan Jurulatih Utama (Principal Trainer) sepenuh masa di syarikat milik beliau sendiri, Ibrah Paradigm Training & Consultancy. Syarikat tersebut diwujudkan sejak Mei 2011.

Beliau merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Tafsir al-Quran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian Sarjana beliau bertajuk “Aplikasi Ilmu Munasabah dalam Kisah Nabi Ibrahim a.s.” dan bercita-cita untuk menjadi ahli akademik dan pakar dalam tafsir maudhuie al-Quran.

Beliau telah mendirikan rumah tangga selama hampir 8 tahun dengan Puan Nurul Suhadah Haji Shuib dan kini dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Fatihah Wajihah dan Aqeel Muhtadi al-Fatih.

Beliau mula menggilap potensi dirinya dalam bidang kepemimpinan dan kejurulatihan sejak di bangku Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Beliau kini berpengalaman lebih dari 6 tahun dalam dunia latihan dan motivasi selain merupakan ahli berdaftar di bawah Pertubuhan Perunding Latihan Dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN).

Antara rancangan televisyen yang pernah menjemput beliau sebagai panel ialah TV3 dalam rancangan “Positif”, Astro Oasis dalam rancangan “Salam Muslim” dan TV Al- Hijrah dalam segmen “Assalamualaikum”. Ustaz Syaari juga merupakan panel tetap selama 4 tahun sejak tahun 2012 hingga 2016 di segmen “Ibrah” Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm.

Beliau merupakan jurulatih bertauliah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan sijil tauliah bernombor TTT 3891.

Terkini, beliau sedang menggembleng tenaga pakar-pakar dan sarjana- sarjana Tafsir di seluruh Malaysia untuk berbakti kepada Ibrah Institute Centre of Tadabbur yang akan menjadi pusat pembelajaran interaktif dan moden kepada ilmu tafsir dan takwil al-Quran.

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
10 (71%)
4 stars
4 (28%)
3 stars
0 (0%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 3 of 3 reviews
Profile Image for Book Surgeon.
19 reviews2 followers
January 4, 2024
Resensi Buku Bertulis – Di Bawah Teduhan Kisah Zulqarnain A.S., tulisan Ustaz Syaari Abdul Rahman, terbitan Paradigma Ibrah Sdn. Bhd.

Dalam kegusaran melihat kegawatan umat Islam yang dibedil saban hari, sambil hanya dapat disaksikan oleh sebahagian besar umat Islam yang lain, saya mencari sebuah kisah atau sosok tubuh untuk mengambil kekuatan dan memujuk diri bahawa di akhir kegelapan, adanya cahaya menanti. Justeru, apabila kelihatan sebuah buku yang telah lama dibeli ketika PBAKL 2022 masih berdiri tersusun, belum dibaca dan dihayati kandungannya, saya tidak menanti lama untuk terus mulakan pembacaan.

Permulaan buku ini sudah cukup mantap, ketika frasa ‘Purnama Peradaban Islam’ digunakan di halaman 8, dalam kata pengantar oleh Dr Mokhammad Yahya, terlebih mantap lagi apabila beliau menggariskan bahawa 3 kisah sebelum kisah Zulqarnain membawakan unsur Iman (Ashabul Kahf), Harta/Mal (kisah pemilik kebun) dan Ilmu (Kisah Nabi Musa bertemu Khidir), lalu menyatakan bahawa dalam kisah Zulqarnain, unsur Al-Tamkin dan sabab dianugerahkan kepada Zulqarnain.

“Al-Tamkin ialah segala hal yang memungkinkan dan menjadikan boleh dan mampu.” (Halaman 8)

Kenapa saya katakan mantap? Kerana 4 unsur inilah yang saya rasakan amat perlu untuk saya, dan amat perlu untuk umat Islam bangkit di akhir zaman, istimewa lagi kerana surah al-Kahf sangat sinonim dengan akhir zaman, dajjal dan bagaimana berhadapan dengan fitnahnya yang amat besar.

Pun begitu, keterujaan saya dalam membaca buku ini agak tercalar disebabkan kesilapan terjemahan yang berlaku di halaman 25, 59, 155 dan 159 dalam buku ini. Saya maklum bahawa beberapa kesalahan sudah diketahui dan diambil cakna oleh pihak penulis dan penerbit, namun, saya rasakan kesalahan ini amat perlu dielakkan kerana ini bukanlah kali pertama saya dan orang lain mengetengahkan kesalahan seperti ini, bukan sahaja untuk buku Zulqarnain, tetapi untuk buku-buku bertajuk lain tulisan Ustaz Syaari Abdul Rahman, hafizahullah.

Penulis di halaman 33 menyatakan bahawa surah al-Kahf membawakan 3 kisah utama, yang pada saya, jika maksud penulis ialah menyatakan memang hanya 3 kisah sahaja yang dibawa oleh surah al-Kahf, merupakan sebuah kesalahan. Mungkin kesilapan kecil daripada penulis, kerana di halaman 103, penulis sendiri menyatakan bahawa:

“Dengan merujuk kepada tiga kisah yang disebutkan sebelum kisah Zulqarnain a.s. akan membantu kita untuk membina kefahaman yang lebih mendalam terhadap makna sababan.” (Halaman 103)

Sejujurnya, umum mengetahui bahawa dalam surah al-Kahf, 4 kisah menjadi fokus utama. Iaitu kisah pemuda gua, kisah pemilik dua kebun, kisah pertemuan Nabi Musa dan Nabi Khidir dan kisah Zulqarnain. Maka saya fikir, mungkin jika benar hanya ada 3 kisah yang difokuskan dalam surah al-Kahf, mungkin saya tidak mempunyai maklumat yang lebih mendalam tentang kisah mana yang digabungkan menjadi satu dengan kisah yang lain.

Halaman 39 mengajarkan saya bahawa jika seseorang itu mengaku diri sebagai seorang nabi, maka, kita wajar bertanyakan soalan-soalan tertentu kepada orang itu, seperti Nabi Muhammad S.A.W yang mengaku diri sebagai nabi, ditanyakan soalan demi soalan untuk mengesahkan bahawa baginda ialah sebenar-benar nabi akhir zaman, dan bukan penipu pendusta yang hanya bikin cerita.

“Jika Baginda mempunyai jawapan terhadap persoalan-persoalan tersebut, maka Baginda ialah nabi yang diutuskan oleh Allah SWT.” (Halaman 39).

Hal ini perlu dititikberatkan dalam dunia Islam hari ini, dek kerana secara peribadi saya pernah membaca tulisan seorang manusia yang mengatakan ada nabi pada zaman sekarang, selepas Nabi Muhammad S.A.W, walhal dalam pesan baginda dan wahyu Allah S.W.T, telah nyata bahawa baginda ialah nabi yang terakhir, tiada nabi selepas Nabi Muhammad S.A.W. Maka jika kita bertemu individu yang mendakwa hal-hal dusta seperti adanya nabi pada zaman ini, maka, kita perlu banjiri soalan-soalan dan pertikaian kepada individu dan kumpulan seperti ini, sehingga mereka buktikan kebodohan mereka sendiri.

Buku ini juga menyinggung kedangkalan cara pandang mundur iaitu “Menunggu Imam Mahdi”.

“Tabiat hanya goyang kaki menunggu ketibaan Imam Mahdi atau Nabi Isa a.s. tidak akan menyelesaikan masalah kita. Kita mesti bersedia menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah yang datang, bukannya menunggu penyelamat dari langit mahupun mengharapkan sebuah keajaiban agar segala masalah yang dihadapi hilang serta-merta.” (Halaman 168)

Saya sangat bersetuju dengan penulis dalam isu ini. Sungguhpun saya akui, menjadi pencetus penyelesaian kepada masalah umat, amat sukar dibandingkan dengan hanya menunggu penyelamat akhir zaman untuk muncul. Kerana, usaha untuk mencipta penyelesaian memerlukan kesungguhan, kecekalan dalam melangkah kecil-kecilan saban hari, sebelum menuai kejayaan di akhir perjalanan yang panjang.

“Usaha menjemput kemenangan berskala besar memerlukan usaha melakukan sesuatu berskala kecil.” (Halaman 68)

Sudah tentu menunggu Imam Mahdi itu lebih mudah berbanding berlumus tungkus menggembleng tenaga saban hari dan bersabar menunggu usaha kita akhirnya membuahkan hasil. Tetapi, untuk orang yang melihat bahawa berusaha biar sedikit, jauh lebih bermanfaat daripada hanya berpeluk tubuh menunggu, maka dengan segala kekurangan dan kedhaifan yang ada, kaki mereka akan terus melangkah dengan penuh tawakal dan pengharapan kepada Allah S.W.T agar usaha mereka dipandang dan diberikan ganjaran oleh-Nya kelak.

Sungguhpun begitu, saya tidak nafikan bahawa jika kita berada dalam keadaan lemah umpama pemuda gua yang dizalimi oleh penguasa zalim, tidak ada pilihan melainkan melarikan diri, menunggu di dalam gua sehingga akhirnya penguasa tersebut tumbang dengan tentera Allah yang bernama ‘masa’.

“Peredaran masa lah yang memenangkan pemuda al-Kahfi.” (Halaman 81)

Satu masalah dan kritikan terbesar saya untuk buku hebat ini ialah ketika penulis kerap kali menggunakan perkataan “barangkali” dalam usaha beliau mentadabbur ayat-ayat berkenaan Zulqarnain.

Halaman 67 menunjukkan dua kali penulis menyebut tentang kebarangkalian.

“Bermula dengan arah mendatar barangkali mengisyaratkan hubungan sesama manusia yang menjadi perhatian besar Zulqarnain a.s.”

“Berakhir dengan arah menegak barangkali mengisyaratkan hubungan dengan Allah sepenuhnya selepas hubungan manusia disempurnakan menerusi pembinaan tembok besi bersalut tembaga.”

Perkara yang sama juga berlaku di halaman 123,

“Bagi merealisasikan risalah yang mulia itu, Zulqarnain a.s. barangkali telah menggiatkan pusat-pusat ibadah serta menggerakkan para ulama agar misi tauhid dapat disebarkan secara intensif dan berakar umbi sehingga menembusi setiap penjuru tempat di hentian yang pertama ini.”

Kebarangkalian yang seterusnya ditulis di halaman 158,

“Barangkali, Zulqarnain a.s. melakukan kajian terhadap pemerintahan Nabi Daud a.s. kerana beliau pasti merangka strategi demi merealisasikan sebuah kekuasaan yang stabil berdasarkan model pemimpin-pemimpin terdahulu sebelumnya.” (Halaman 158)

Tanpa menafikan bahawa kebarangkalian yang ditulis oleh penulis ini, hanya kebarangkalian dan tidaklah penulis memaksa atau mewajibkan pembaca beriman dengan kebarangkalian yang beliau tuliskan, satu soalan yang timbul dalam fikiran saya sebagai pembaca ialah bagaimana penulis boleh tampil dengan semua kebarangkalian ini? Selain itu, saya juga berharap agar dalam penulisan yang akan datang, penulis dapat setidaknya memberikan rujukan tulisan daripada ulama yang lain, jika rujukan itu yang menjadi sandaran penulis untuk tampil dengan kebarangkalian yang disebutkan. Hal ini kerana, orang awam seperti saya ingin setidaknya untuk memahami proses tadabbur yang dilalui oleh penulis supaya penghayatan tadabbur penulis itu dapat difahami barang sedikit.

Hal yang kurang lebih serupa juga berlaku di halaman 117,

“…mampu menjaga emosi, rasional dan berlemah lembut (talatthuf) ketika berkomunikasi dengan masyarakat yang sudah melalui peredaran zaman.”

Persoalan dan kritikan saya di sini ialah bagaimana salah seorang pemuda gua boleh mempunyai cara fikir dan kemampuan yang disebutkan penulis terhadap masyarakat yang sudah melalui peredaran zaman, sedangkan, mereka tidak tahu bahawa 309 tahun sudah berlalu? Mereka hanya tahu bahawa ratusan tahun sudah berlalu, apabila salah seorang daripada mereka keluar untuk membeli makanan di luar, jadi bagaimana salah seorang daripada mereka itu menyiapkan diri untuk berhadapan dengan masyarakat yang sudah melalui peredaran zaman? Tidak masuk di akal saya. Saya amat perlukan pedoman daripada penulis dalam hal ini.

Sepertimana yang sudah saya tuliskan dalam beberapa resensi sebelum ini, tidak kira betapa besar atau pedas kritikan saya kepada buku yang ditulis oleh penulis, tidaklah kritikan saya ini memadamkan semua kebaikan yang dihasilkan daripada penulisan beliau.

Antara mesej ibrah yang paling besar dapat saya fahami sebagai penutup resensi kali ini, ialah di halaman 153,

“Persis tamadun yang mengecap kemajuan di tempat terbenamnya matahari yang diselubungi kegelapan, dunia hari ini juga sedang mengecap kemajuan namun tenat dalam kemalapan cahaya tauhid. Kemajuan dan barat tidak dapat dipisahkan, namun mereka menolak aspek ketuhanan dalam kehidupan.”

“Sebaliknya, cahaya matahari menyinari para penduduk di kawasan timur iaitu tempat terbitnya matahari. Namun, cahaya yang menyinari itu tidak mampu membangkitkan mereka untuk menguruskan khazanah alam.”

Dua perenggan yang membawa ibrah ‘timur-barat’ ini mengandungi seruan untuk mengimbangkan kejayaan dunia dan akhirat. Kerana sesungguhnya dunia dan akhirat perlu dikejar serentak. Kejayaan dan kehebatan pengurusan keduniaan perlu dikecapi oleh orang beriman, pada masa yang sama, meyakini bahawa sehebat-hebat dunia ini hanyalah sandiwara dan permainan jika dibandingkan dengan akhirat yang kekal abadi. Namun, tidaklah hakikat bahawa akhirat lebih utama itu membuatkan orang beriman membuang dunia sehingga usaha mengurus-tadbir dengan baik dipandang enteng dan tidak penting. Keseimbangan yang cuba dihuraikan oleh penulis melalui ibrah ‘timur-barat’ ini, amat cantik dan saya kira wajar diketengahkan untuk semua pembaca budiman.

Wallahua’lam.

#BookSurgeon
#AnalyzeScrutinizeCriticize
#CreatingCriticalReaders
#DiBawahTeduhanKisahZulqarnain

Yang Benar,

Talhah Wasabi.
Salah seorang Book Surgeon.

1602
3/1/2024
This entire review has been hidden because of spoilers.
Profile Image for Wan Asma Wan Omar.
82 reviews
February 26, 2024
Penulisan ustaz shaari sentiasa memberi pemahaman baru dalam mentadabbur al quran.Ibrah yang di bawa dlm surah al kahfi sangat luas dari seorang pemimpin yang berwibawa,kisah hamba Allah yg soleh yang ditidurkan dan juga kisah Nabi Musa dan Nabi Khadir.Ada persamaan antara 3 kisah ini yang Allah hendak sampaikan kepada kita.
Profile Image for Siti Nur Izzati.
142 reviews2 followers
November 26, 2024
Baca buku ni utk dapat ibrah kepimpinan dari sosok Zulqarnain. Guna potensi yg ada utk kebaikan sekeliling.
Displaying 1 - 3 of 3 reviews

Can't find what you're looking for?

Get help and learn more about the design.