Hassan Basri - si jejaka Melayu, menemui sebuah buku usang milik datuknya yang menganduingi catatan harian Tun Cempaka.
Sepanjang Tun Hassan Perwira mengajar pantun Melayu kepada seorang wanita Inggeris, Tun Cempaka berada bersama dan merakamkan detik itu dalam Jurnal. Khadija, si gadis berdarah campuran, mewarisi buku nendanya ; koleksi pantun-pantun Melayu yang diterjemah ke bahasa Inggeris - mereka menggelarkanya Terjemahan.
Kedua-dua naskhah itu merupakan benang takdir yang terputus ketika Perang Bendahara Pahang, sebelum bertaut semula saat Hassan Basri dan Khadija berganding tenaga demi sayembara pantun.
Warisnya Kalbu ialah novel Sri Rahayu Mohd Yusop yang pernah memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007.
Nama penulis: SRI RAHAYU MOHD YUSOP Nama penuh: Sri Rahayu binti Mohd Yusop Tempat lahir: Tanjong Karang, Selangor Tarikh lahir: 18 Jun 1976 Pendidikan awal: Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9, Tanjong Karang dari (1983-1988). Pendidikan Menengah: Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor (1989 -1993). Pendidikan Lanjut: Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras; University of Otago, New Zealand dan Dunedin College of Education, New Zealand (1994-1999) Karier: Guru Bahasa Inggeris di SMK Dato' Harun, Tanjong Karang (2000 - 2003), SMK Pandan Jaya, Ampang (2004-2020).
Hasil kerja yang telah diterbitkan:
1. 'Bukan Legasi Lalang' (Utusan Publications & Distributors, 2001)) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000, Hadiah Sastera Perdana 2000/2001 bagi kategori Novel Remaja. 2. 'Merdekakan Cinta Ratna' (Utusan Publications & Distributors, 2003) - memenangi tempat ketiga kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2002. 3. 'Odisi Tanah Kencana' (Utusan Publications & Distributors, 2007) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. 4. 'Warisnya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2008) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. 5. 'Kasih Nan Agung' (Utusan Publications & DIstributors, 2009) - memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008. 6. 'Impuls/Roh' (Utusan Publications & Distributors, 2010) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. 7. 'Bimasakti Menari' (Utusan Publications & Distributors, 2011) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010, Kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, teks Komponen Sastera (KOMSAS) subjek Bahasa Malaysia Tingkatan 5 bermula dari tahun 2016 di sekolah-sekolah menengah di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka. 8.'Rimba Jiwa' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi tempat ketiga Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011. 9. 'Equilibria' (Utusan Publications & Distributors, 2012) - memenangi Sayembara Penulisan Fiksyen Sains & Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada tahun 2012, Anugerah Buku Negara bagi kategori Fiksyen Sains & Teknologi pada tahun 2013. 10. 'Qalam Kalbu' (ITBM, 2013) - memenangi Sayembara Penulisan Novel-Cerpen-Puisi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia - Berita Harian - PENA Musim Pertama pada tahun 2014, Kategori Karya Umum (Buku) dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013. 11. 'Transgenik Sifar' (Utusan Publications & Distributor, 2015) - memenangi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Ketiga pada tahun 2015. 12. 'Empunya Kalbu' (Utusan Publications & Distributors, 2016) - memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015, Hadiah Sastera Perdana 2015/2016 bagi Kategori Novel Remaja. 13. 'Kronikel Empat Bahtera: Puteri Naga Tiberius' (Penerbit X, 2017) - novel pertama beliau yang terbit di luar sayembara. 14. 'Farewell, Elsinore' (Legasi Oakheart, 2018) - novel Bahasa Inggeris pertama. 15. 'Selendang Merah Balukhali' (Utusan Publications & Distributors, 2019) - memenangi tempat pertama Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2017. 16. 'ALGOJO' (Fixi, 2020) - memenangi hadiah utama Sayembara FIXI Musim Kedua. 17. 'Belati Cinta Zulaikha' (Utusan Publications & Distributors, 2004) - memenangi Hadiah Eceran Kategori Cerpen Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 bagi cerpen 'Reeves, Cormack dan Semak'.
Saya sempat bertanya kepada novelisnya, @sri_rahayu_mohd_yusop, adakah Perang Bendahara Pahang ini sebuah fiksyen atau peristiwa sebenar?
Jawapannya: Ya, ia sejarah sebenar!
Tinggal ia tak pernah diperkatakan. Tidak diajar di sekolah, bahkan sumber yang ada untuk mengetahui tentang perang yang dilupakan hanyalah senaskhah buku.
Perang Bendahara Pahang adalah epik sebenar yang diluput zaman.
Entah kerana sejarah ditulis oleh orang yang menang, atau ada hal² lain yang menyebabkan ia dilupai orang.
Saya pertama kali membaca Warisnya Kalbu ini sewaktu rehat di perpustakaan sekolah 9 tahun yang lalu.
Benar, ia sebuah novel lama yang diterbitkan semula oleh @inibukujiwa
Kerana kita percaya, novel yang bagus, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Pantun adalah bukti kegeniusan & ketelitian leluhur kita. Bayangkan, dengan tengok buah cempedak di luar pagar sahaja, atau melihat 2-3 kucing berlari, nenek moyang kita boleh mencipta budaya lisan yang beratus tahun (bahkan mungkin beribu tahun) usianya!
Bacalah Warisnya Kalbu. Moga² anda dapat mengenali, apa ertinya menjadi Melayu
Saya bukanlah orang yang pandai dalam sastera. Sungguhpun pernah mengambil subjek minor dalam Pengajian Melayu ketika di maktab perguruan dahulu saya masih tidak mampu memahirkan diri dalam puisi, pantun, sajak dan lain-lain. Sangat cemburu dan kagum dengan kebolehan para pensyarah dan rakan yang mempunyai bakat dan kefasihan dalam bidang ini.
Jauh pula saya mengimbau kenangan ;) Sebenarnya ada kaitan sedikit dengan tema novel ini.
Karya Sri Rahayu ini merupakan hasil penulis yang pertama saya baca. Sebelum ini hanya membaca ulasan dari pembaca lain.
Saya terpegun dengan tema pantun yang melatari novel ini. Terbahagi kepada dua masa dan zaman. Namun tema pantun diangkat sebagai fokus utama.
Hassan Basri dan ayahnya mengemas koleksi buku arwah datuk yang baru meninggal dunia. Dalam banyak-banyak timbunan buku itu, Hassan tertarik dengan sebuah buku berikat reben dan isi kandungannya bertulis tangan. Lantas diminta izin dari ayahnya untuk menyimpan buku tersebut.
Buku tersebut merupakan catatan peribadi atau jurnal seseorang bernama Tun Cempaka mengenai kehidupan sehariannya yang secara tidak langsung mencatatkan beberapa siri peristiwa bersejarah yang berlaku di tempatnya ketika itu iaitu dalam era Perang Bendahara di Pahang.
Dalam masa yang sama Hassan bersama beberapa orang pelajar di sekolah menyertai pemilihan pasukan pemantun sekolah dan hanya empat orang sahaja yang akan terpilih. Melihat kemantapan berpantun Hassan, dia terpilih bersama 3 lagi pelajar yang lain.
Apa yang mengejutkan ialah Khadija (salah seorang pemantun sekolah) juga mempunyai naskah jurnal yang hampir sama dengan Hasan. Namun isi kandungannya adalah terjemahan pantun dalam bahasa inggeris semata-mata dan tiada catatan peribadi seperti pada Hassan. Misteri.
Banyak yang saya pelajari mengenai pantun dari buku ini.
- Pantun itu ibarat wadah bagi orang Melayu mengungkapkan fikiran dan hati budinya tentang makna kehidupan, kelakuan manusia dan hubungan manusia dengan alam kelilingnya.
- Pantun dilihat pada keratnya. Ada dua, empat, enam, lapan, sepuluh, dua belas dan empat belas. Pantun biasanya genap. Tidak ganjil.
- Sanjak ; ragam bunyi yang sama padan (istilah baru yang diketahui)
Dalam jurnal yang dimiliki Hassan, Tun Cempaka menceritakan kakandanya mengajar pantun melayu kepada anak saudara gabenor bernama Katherine. Namun catatan itu tidak tamat kerana ceritanya tergantung.
Hassan dan rakan-rakan meminta bantuan guru sejarah sekolah bagi merungkai misteri ini.
Apa pun, kepentingan memelihara khazanah ilmu bangsa melayu dilihat penting dalam mengekalkan warisan bangsa yang baik untuk generasi seterusnya. Wallahualam.
Sebuah karya klasik yang sempurna dari semua segi! This is a masterpiece! Well done kak Sri!
Kita diajarkan tentang pantun yang menjadi sebahagian daripada identiti kaum Melayu. Pantun yang boleh juga digunapakai sebagai senjata ketika berperang mulut, ketika memendamkan perasaan, ketika melahirkan perasaan sayang, ketika membuakkan kemarahan sekalipun!
Untuk berhibur jenaka, bersenda gurau, dalam memberi nasihat dan teguran secara berkias di dalam sindiran-sindiran halus. Tentang sanjak berpantun, tentang rima dan ritma. Apa itu pembayang, sampiran, maksud? Ahh segalanya begitu exclusive di mata pena Kak Sri!
Jujur, ini adalah sebuah mahakarya yang sempurna. Walau ada sedikit isu di dalam yang saya kurang bersetuju tetapi dalam konteks ini kita perlu letakkan diri kita di dalam zaman itu, situasi itu, dan rasakan sendiri dilema watak-watak itu sebagaimana perih mereka rasakan.
Saya sedikit emotional dikala menghabiskan naskah ini kerana saya dapat rasa kepedihan yang dirasakan oleh watak Katherine. Segala remuk redam itu seperti tiada penghujung malah kekal sehingga ke akhirnya. Dunia sememangnya kejam dan tidak adil tetapi itu bukan penyudah buat kita semua bukan? Apa yang penting legasi yang ditinggalkan walau hanya sebuah buku yang ditoreh dengan rasa cinta dan pengorbanan.
Ketika berlangsungnya perlawanan pantun, nafas naik turun tidak berhenti. Seolah-olah saya sendiri berada di dalam dewan menyaksikan betapa sengitnya perlawanan berbalas pantun. It is so powerful and inspiring!
Buat kak Sri, terima kasih, terima kasih, terima kasih. This is a masterpiece! Muah Ciked!
Manisnya si gadis iri rupawan. Ketawa mengilai hilangkan rawan; Kakanda menulis berhenti jangan, Permata bernilai masa hadapan.
I really, truly, love any books by Sri Rahayu Mohd Yusop. She is just so eloquent, her writing style is oh so elegant. Timeless masterpiece. Love love love this novel and other novels by the same author.
Sekali lagi, buku akak penulis tak pernah menghampakan! Sebelum ni, Kirah memang peminat siri kronikel empat bahtera, kali ni penulisnya bawa kita main pusing-pusing ke tanah air kita sendiri pulak.
Buku ni berkisarkan pantun. Memang satu buku, pantunlah hala tuju utamanya. Dan dalam buku ni, ada 2 setting masa; zaman sekarang dan zaman dulu kala.
Hassan Basri, dia mewarisi Jurnal milik datuknya yang berisi coretan Tun Cempaka mengenai kehidupan dia, abangnya Tun Hassan Perwira dan perempuan Inggeris bernama Katherine.
Khadija pula mewarisi buku Terjemahan, pantun Melayu yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris.
Bersama-sama dengan Hassan Basri, mereka menuntut dan mengupas ilmu tentang pantun dan 'pantang larangnya'. Juga menyelami kehidupan Tun Cempaka dan keluarganya yang berada di zaman Perang Saudara Pahang.
Overall, Warisnya Kalbu ni buku first yang memecahkan reading slump Kirah yang dah bermula dari bulan 12 hari tu lagi. Terima kasih, kak 🥹. Akhirnya, kita punya 'penyakit' dah makin sihat!
Kirah recommend cerita ni untuk sesiapa yang sukakan sejarah, adat Melayu, ilmu dan pantun! Tak ada percintaan dalam buku ni, tapi dia bawakan kita bercinta dengan seni pantun!
Buku yang mengangkat tinggi nilai Melayu melalui pantun. Latar belakang ceritanya melalui dua zaman, iaitu era sebelum dan selepas kemerdekaan. Watak dalam kedua-dua era menghadapi cabaran berbeza bagi melindungi identiti mereka sebagai Melayu dan Islam, namun semuanya dia bawah satu induk yang sama — penjajahan. Satu adalah dari sudut fizikal seperti peperangan dan kuasa manakala lagi satu adalah dari sudut pemikiran dan cara hidup.
Pantun-pantun dalam novel ini mengujakan saya. Terutamanya bila diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan kualiti yang hampir sama. Hebat!
Sayangnya plot terasa seperti mendatar. Kurang menyeronokkan. Mungkin sebab bab yang berselang-seli zamannya menyebabkan perasaan saya di bab sebelumnya terbantut. Bila sampai sambungan untuk tanda tanya tadi, rasa itu sudah pudar. Pelajaran yang disampaikan tentang pantun pula adakalanya agak berjela-jela dan membosankan.
Saya masih suka nilai-nilai yang dibawa. Pada saya ini buku yang baik untuk dibaca.
Sebuah karya yang membincangkan falsafah pantun, dan kepentingannya di kalangan masyarakat Melayu. Menggunakan gaya penceritaan dua zaman. Di zaman Kolonial Inggeris; mengisahkan tentang Tun Cempaka yang menemani abangnya, Tun Hasan Perwira mengajar pantun kepada seorang gadis Inggeris bernama Katherine Cavenagh. Berlatar-belakangkan peristiwa Perang Bendahara Pahang.
Di zaman moden; mengisahkan tentang Hassan Basri (yang mewarisi buku catatan Tun Cempaka), Khadija (yang mewarisi buku terjemahan pantun Katherine), dan dua orang lagi rakan mereka yang akan mewakili sekolah mereka dalam pertandingan sayembara pantun. Mereka berempat cuba merungkaikan kisah Tun Cempaka, Tun Hasan Perwira, dan Katherine Cavenagh.
Sebuah karya yang ditulis dengan bahasa yang indah. Wajarlah karya ini memenangi tempat pertama dalam Pertandingan Novel Remaja, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007...
Membaca naskhah-naskhah Sri Rahayu sering membuatkan saya jatuh cinta kembali terhadap sastera dan sejarah Melayu. Sebelum ini Bukan Legasi Lalang telah meletakkan saya di sebuah lembah pemikiran yang menuntut saya untuk menilai semula nilai-nilai daripada kisah klasik Tuah dan Jebat, dan kali ini, penulis membuatkan saya jatuh cinta pula kepada warisan pantun Melayu!
Tun Cempaka Cucuk Sanggul dan lenggok bahasa yang digunakan sudah cukup untuk memaparkan peribadi beliau sungguhpun setiap sisi penulisannya cuma berkisarkan catatan mengenai kakandanya yang mengajar seni pantun Melayu kepada anak saudara gabenor Inggeris.
Lembut dalam menikam, berhikmah dalam membidas. Sungguh, karya ini membuatkan saya mula memandang seni pantun Melayu dari satu sudut yang lebih tinggi!
Justeru pada hemat saya, Warisnya Kalbu merupakan sebuah karya yang sangat wajar dibaca oleh anak-anak muda masa kini.
Warisnya Kalbu selayaknya memenangi tempat pertama Novel Remaja Hadiah Sastera Utusan 2007. Sisipan pantun dan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris antara kekuatan karya ini. Juga lorong-lorong sejarah yang dilalui watak-watak Hasan Basri dan Khadija mengubah cara mereka melihat dunia silam Hasan Perwira dan Katherine Cavenaugh. Bagai ada aruhan magnet, saya menghabiskan buku ini dalam masa 2 hari. Saya membaca edisi 2022 yang diterbitkan oleh Jiwa.
Ya Tuhan menarik sangat cerita ini. Hanya dengan menggunakan pantun sebagai pemangkin cerita, penulis berjaya menjadikan karya ini sebuah karya yang ada jiwa. Dengan lenggok bahasa yang sedap dibaca, jalan cerita yang lain daripada yang lain membuatkan karya setebal 100+ halaman ini sekejap sahaja untuk dihadam. Tahniah penulis untuk penghasilan karya ini.
Menyedarkan diri ini untuk lebih menghargai seni warisan Melayu iaitu pantun dan membaca/mencari lebih banyak sejarah-sejarah yang berlaku di Tanah Melayu.
Tidaklah ku tahu wujud Perang Saudara Pahang walaupun aku sendiri ada darah Pahang!!!
Dan dalam buku ini juga aku belajar banyak tentang seni berpantun. Memerlukan akal yang tajam dan kegeniusan luar biasa.
Membaca naskah ini seakan-akan mempelajari cara penulisan pantun yang benar daripada seorang guru yang amat memahami dan mahir tentang konteks pantun Melayu.
Agak tertanya-tanya tentang kesahihan sejarah Pahang yang diangkat sebagai motif penceritaan naskah ini - sehingga dirungkai dengan penemuan kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang dikaitkan dengan sejarah yang diketengahkan dalam naskah ini.
NOTA : Menarik!! Ada vibe membaca naskah Penulis Yang Disayangi Tuhan - Baharuddin Bekri sewaktu menghadamkan naskah ini. Seolah-olah kita tenggelam dalam bacaan sambil mempelajari sesuatu (diajar) daripadanya.
NOTA TAMBAHAN (Kemaskini) : Saya ada mengambil subjek Kesusateraan Melayu sewaktu zaman persekolahan. Naskah ini mengingatkan kembali kepada ilmu - ilmu yang telah diperturunkan oleh guru sastera saya. Antara teks menarik yang boleh dirujuk adalah naskah berjudul Lukisan Zaman oleh Rahman Shaari. Kandungannya turut menerangkan serba sedikit pengenalan berhubung pantun Melayu.
4/5 🌟 tentang keunggulan pantun sebagai hasil ciptaan bangsa melayu sambil di latarnya, sejarah epik Pahang dari tahun 1857 hingga 1963 diungkai satu demi satu. banyak ilmu pantun, dari segi struktur, sampiran, maksud, sanjak (terma baru belajar) dan banyak lagi. menarik untuk buku yang hanya mempunyai 157 muka surat tapi berjaya buat saya rasa puas. oh ya, hujung-hujung tu sedih sikit sob sob
Lps habis membaca, buku ni perihal usaha anak-anak muda untuk memartabatkan warisan pantun agar tak lekang dek panas, tak lekang dek hujan, selain memartabatkan Bahasa Melayu itu sendiri.
Buku ni membawa genre Historical Fiction (ada selit terkait era Penjajahan or lebih dlm lagi Perang Saudara Pahang), membawa elemen Keagamaan (Islam) untuk kisah yg tercoret dlm Jurnal Tun Cempaka.
Warisnya Kalbu ni mengisahkan tentang Hasan Basri yg baru kehilangan Datuknya, penemuan antara Jurnal milik arwah Datuk dengan Hassan Basri ini membawa kpd kisah catatan Tun Cempaka bersama saudaranya Tun Hassan Perwira beserta seisi Kisah Negeri Pahang yang dijajah dan perang saudara demi merebut kuasa. Hasan ni ahli pasukan pantun sekolah bersama Khadija saya anggap istimewa yg mempunyai buku terjemahan pantun dlm Bahasa Inggeris yg terkait dengan Jurnal Tun Cempaka. Mereka berdua bersama Xian Rong dan Ruhana telah merungkai dan belajar ilmu pantun based on Jurnal dan terjemahan pantun itu.
Penulisan cerita menarik perhatian, dengan penulis selang selikan antara bab, kisah Hassan Basri di masa kini dengan kisah catatan jurnal Tun Cempaka. Contoh bab 2 psl Hassan Basri,setelah itu bab 3 mengenai isi jurnal.
Tidak disangkakan ada juga orang Barat yang meminati seni Pantun yang sangat istimewa dan sarat dengan pelbagai isi. Kesempurnaan pada pantun tidak akan tercapai namun kesenian yg ada pada pantun menunjukkan betapa org Melayu dahulu cermat dalam penggunaan kata dan ucapan.
Keseluruhannya, buku ni membawa diri ni untuk lebih menghargai kesenian pantun dan penggunaan bahasa Melayu yg baik.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Membaca Warisnya Kalbu membuatkan saya terasa seperti pulang ke zaman kanak-kanak, di mana ketika itu saya ralit membaca artikel yang ditulis oleh Kusyi Hirdan sambil berbaring di atas sofa. Nyaman.
Bab-bab di dalam novel ini berselang-seli antara kisah Hassan dan Khadija(masa kini)serta nukilan Cempaka (masa lampau).Daripada novel ini, kita dapat belajar bahawa bukanlah debat semata-mata yang menunjukkan kebijaksanaan seseorang individu dalam berfikir, malahan pantun juga merupakan bukti kebitaraan orang Melayu.
Apa yang saya suka dalam novel ini?
-Tun Cempaka membahasakan dirinya sebagai 'kita' dalam jurnalnya. Perkara ini menunjukkan kelembutan seorang Melayu dalam bicaranya, kesopanan dalam tingkah lakunya.
-Saya dapat menambah banyak ilmu pengetahuan tentang pantun. Sebagai seorang yang mudah teruja dengan keindahan bahasa bangsa saya, saya rasa maklumat ini disampaikan dengan cara yang paling santai. Antara kalimat Tun Hassan Perwira yang lekat dalam ingatan saya adalah" wujudnya hubungan ghaib antara sampiran dengan maksud".
Saya juga dapat belajar tentang kaedah pemurnian pantun yang sebelum ini tak pernah saya ketahui melalui kalimat "Keutamaan bersanjak tidak melebihi keutamaan maksud.Sanjak dan maksud bergerak seiringan. " Ah, indah.
-Sejarah! Jujurnya, saya tak pernah tahu tentang Perang Bendahara Pahang. Tapi, saya suka dengan apa yang diselitkan dalam naskhah ini;meskipun pada akhirnya Wan Ahmad berjaya menewaskan Paduka Tun Mutakhir, tetaplah orang Melayu Pahang taat terhadap pemerintah baru mereka;menunjukkan kesetiaan tak berbelah bahagi seorang Melayu akan pemerintahnya.
Lepas habis baca novel ini, terus sahaja saya cari maklumat tentang Perang Bendahara Pahang di Google. Walaupun tak banyak maklumat yang saya dapat di Wikipedia, tetapi cukuplah untuk 'membayar' rasa ingin tahu itu. Haha.
Sekalung tahniah saya ucapkan buat Kak Sri atas karya ini!
"Seni warisan kita ni (pantun) bukti kegeniusan Melayu!" -Hassan Basri-
Novel ini mengisahkan tentang Hassan Basri, seorang pelajar sekolah menengah yang telah menjumpai sebuah buku lama milik datuknya dan Cempaka yang turut memiliki sebuah buku lama yang diwarisi daripada neneknya yang di dalam buku tersebut terdapat koleksi pantun-pantun yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris. Mereka berdua telah memanfaatkan buku lama yang mereka miliki itu dalam membuat persediaan pertandingan sayembara pantun bagi mewakili sekolah mereka.
Di dalam garis masa yang berbeza pula, novel ini turut mengisahkan tentang Tun Cempaka yang telah menulis jurnal berkaitan perjalanan abangnya Tun Hassan Perwira yang mengajar pantun kepada seorang wanita Inggeris serta serba sedikit tentang orang Melayu yang ingin mempertahankan tanah air mereka daripada dijajah kuasa asing.
Penulisan yang sangat kemas! Sedap sangat dibaca. Sejujurnya ini pertama kali saya membaca karya Puan Sri Rahayu dan ianya sangat tidak mengecewakan! Pertama kali juga saya membaca cerita yang berlapis. Tidak berserabut dan sangat mudah saya untuk memahami kedua-dua kisah tersebut. Saya sebenarnya tidak puas membaca novel ini. Saya mengharapkan kalau boleh novel ini akan panjang lagi kerana terlalu seronok sehingga sedih untuk menghabiskan novel ini.
Saya pasti akan mencari karya Puan Sri Rahayu lagi pada masa akan datang.
Warisnya Kalbu mengangkat seni warisan orang Melayu yang sudah jarang-jarang di dengar iaitu seni Pantun. Ia masih ada di sela-sela manusia, namun tidak ramai yang tahu sebenar-benar nya perihal seni warisan "Pantun" ini.
Bagaimana cara menghasilkan karya pantun ini, susun atur perkataan nya, pembayang nya, juga makna nya sangat penting untuk diteliti kerana itulah bunga-bunga yang mengindahkan karya pantun itu sendiri.
Dengan laras bahasa yang teratur, juga susunan plot yang menarik, naskhah ini sangat menarik dan indah untuk dibaca. Terbayang-bayang suasana yang klasik dengan nama wataknya, juga deskripsi suasana juga objek di dalamnya.
Selain alur cerita yang menarik, banyak ilmu yang boleh diambil.
Dengar-dengar sekarang sudah ada Trilogi Kalbu. (Warisnya Kalbu, Qalam Kalbu, Empunya Kalbu). Semuanya perihal seni orang Melayu.
Bahan bacaan sebegini yang harus diangkat, banyak baiknya. Pemikiran juga semakin meluas❤️
1. Sedapnya baca patah susunan ayat yang digunakan. Senang untuk dibaca, tahu-tahu tak sampai tiga jam, dah habis baca.
2. Macam best je belajar pantun dengan Tun Hassan. Suka prinsip dia. Lepas tu sentiasa cakap berkias (terutama masa berpantun), nampak macam orang zaman dulu memang kena handal baca maksud tersirat, tersurat etc (walaupun bukan berpantun).
3. Ada lima quotes yang saya suka, salah satunya masa Tun Hassan nak tegur/marah Cecil yang biadap tu. Puasnya baca. Padan muka Cecil.
4. Endingnya macam susun kepingan puzzle, dan puas hati bila dapat cantumkan semua kepingan puzzle tu.
Bacaan fiksyen sejarah (historical fiction) yang dilembarkan melalui tema pantun. Diselang-seli antara dua zaman, si pembaca dan dibaca. Menerapkan unsur kehidupan Islam sebagai prinsip moral yang diketengahkan.
Ia berakhir dengan persoalan yang akan dirungkai pada buku seterusnya.
Bacaan yang agak ringan, sesuai untuk remaja. Cara percakapan para remaja bersekolahnya agak...tidak seperti yang saya bayangkan ketika zaman remaja saya, maka kurang penghayatan saya disitu. Namun mungkin juga kerana mereka adalah dalam kalangan bijak pandai.
Buku pertama dalam trilogi Kalbu garapan Pn. Sri Rahayu Mohd Yusop.
Novel kedua Sri Rahayu yang aku baca selepas Bukan Legasi Lalang. Novel nya membuat aku tersedar tentang indahnya Melayu, WK berkisar tentang pantun.
Zaman mak dulu-dulu mereka belajar bagaimana nak buat pantun yang baik. Sekarang ada lagi ke sekolah kita mengajarkan pantun? Pantun semasa kenduri? Hish...
Kalaulah perasaan Katherine & abang Tun Cempaka dalam novel ini dikembangkan lagi pasti best gilerr hihi. Mungkin akan diadaptasi jadi drama bersiri mungkin...
Pantun dalam bahasa Inggeris, baca novel ini, menggagumkan!
Deram derum ombak di laut, Sampan karam di kolam Mawar, Jika belum ajal dan maut, Racun ditelan jadi penawar
Tun Cempaka, Anak orang kaya berlapan.
.....................………………
Maka dengan ini, tamatlah sudah perjalanan saya melalui lorong lorong sejarah. Baru saya tahu nilai sebenar pantun , ia adalah milik mutlak bangsa Melayu. Akhir kata, Ingin sekali saya menjadi Tun Cempaka.
Hanya 159 mukasurat, namun cerita ini berjaya menyimpul hujung cerita dua titik masa yang berlainan dengan cukup kemas. Not many can do that, but Sri Rahayu did it really well.
Sri Rahayu Mohd Yusop adalah nama yang sentiasa muncul sebagai pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan pada awal pembabitan beliau dalam bidang penulisan.
Warisnya Kalbu adalah sebuah karya yang mengangkat martabat warisan sastera Melayu melalui medium yang jarang diberi perhatian serius dalam naratif kontemporari: pantun. Ia dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama dalam Pertandingan Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. Walaupun dipakej sebagai sebuah novel remaja, ia sebenarnya adalah sebuah manifestasi pascakolonial yang mengangkat keunggulan lokaliti dan peribumi dalam menghadapi bayangan budaya Barat yang amat dominan.
Novel ini berpusat pada Hassan Basri, seorang pelajar Melayu yang menemui sebuah jurnal usang milik datuknya - dalamnya mengandungi catatan harian Tun Cempaka, anak Orang Kaya Berlapan dari Pahang. Jurnal itu merakamkan detik - detik Tun Hassan Perwira mengajar pantun kepada seorang wanita Inggeris bernama Katherine. Sementara Khadija, seorang gadis kacukan Inggeris - Melayu pula, mewarisi naskhah terjemahan yang mengandungi pantun - pantun Melayu dalam bahasa Inggeris. Kedua - dua naskhah ini, yang terputus benang takdirnya akibat Perang Bendahara Pahang, kembali bertaut apabila Hassan dan Khadija berganding bahu untuk menyertai sayembara pantun di sekolah mereka.
Hassan Basri adalah seorang pemuda yang berjiwa halus, berakar kuat pada warisan budaya dan sejarah bangsanya. Dia berani menentang arus pemodenan yang sering memperlekehkan nilai tradisi. Khadija pula adalah simbol pertembungan dua dunia - Barat dan Timur - dia memilih untuk menyelami akar Melayu yang diwarisi secara tidak langsung. Dinamika antara Hassan dan Khadija selain romantik, juga mencerminkan dialog budaya yang kompleks dan penuh ketegangan.
Sri Rahayu menggunakan gaya bahasa yang kaya dengan metafora, alusi sejarah, dan keindahan puisi tradisional. Pantun bukan sahaja menjadi elemen naratif, tapi juga struktur estetik yang menyulam makna dan emosi. Dialog para watak sering diselitkan dengan pantun, menjadikan pembacaan suatu pengalaman naratif yang memberi penghayatan seni. Sri Rahayu juga bijak menggunakan teknik intertekstualiti melalui jurnal dan terjemahan sebagai medium naratif yang merentas masa dan ruang, menghubungkan sejarah dengan masa kini.
Novel ni sarat dengan pemikiran pascakolonial yang mengangkat suara peribumi dalam menentang hegemoni Barat. Ia menolak imej perkasa Barat yang sering mendominasi naratif sejarah dan budaya, dengan menampilkan kebijaksanaan Melayu sebagai warisan yang bukan sahaja relevan tapi unggul. Pantun, sebagai bentuk puisi tradisional, dijadikan simbol ketahanan budaya dan intelektualisme Melayu yang tak tunduk kepada arus globalisasi. Ia juga menyentuh mesej tentang identiti, warisan, dan tanggungjawab generasi muda dalam melestarikan budaya.
Ini adalah karya yang mengangkat martabat sastera Melayu dalam bentuk yang segar dan berani. Selain menggabungkan sejarah, puisi, dan naratif kontemporari dengan baik, aku salute keberanian Sri Rahayu untuk menjadikan pantun sebagai teras naratif, ini satu tindakan sastera yang radikal dan penting. Aku cukup suka karya yang menjadikan sejarah sebagai sesuatu yang hidup dan relevan, bukan sekadar latar atau nostalgia.
Dalam dunia penerbitan buku yang aku rasa agak kelam sebab terperangkap antara romantisme dan realisme, buku ini telah membuka jalan baru yang berani dan bermakna. Novel ini bukan sahaja waris kepada kalbu Hassan dan Khadija, tetapi juga kalbu aku sebagai seorang pencinta sastera.