Perempuan yang berbudi bukanlah bererti mereka yang sentiasa berkorban dan memberi.
Perempuan-perempuan ini; Berimpian tinggi dalam membesarkan anak, di samping sibuk menguruskan keluarga. Sepertimana ibu Maryam.
Perempuan-perempuan ini; Bekerja bersungguh-sungguh untuk memberi manfaat kepada orang lain, namun tetap menjaga kehormatan dan kemuliaan diri. Sepertimana dua perempuan Madyan.
Perempuan-perempuan ini; Berani membuat keputusan dengan fikiran yang jelas dan kritikal, dalam memimpin dan mempengaruhi masyarakat di luar sana. Sepertimana Pemaisuri Saba’.
Melalui buku ini, Ustaz Syaari Ab Rahman dan Puan Nurul Suhadah Shuib membawakan kisah-kisah perempuan dalam al-Quran yang berbudi dalam pelbagai aspek dan relung kehidupan. Diharapkan melalui kisah-kisah ini, perempuan masa kini lebih yakin dan percaya bahawa setiap apa yang diusahakan mereka itu sesuatu yang bermakna di sisi Allah SWT.
Anak kelahiran Tumpat, Kelantan merupakan Jurulatih Utama (Principal Trainer) sepenuh masa di syarikat milik beliau sendiri, Ibrah Paradigm Training & Consultancy. Syarikat tersebut diwujudkan sejak Mei 2011.
Beliau merupakan Graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Sastera Arab dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan kini sedang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Tafsir al-Quran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian Sarjana beliau bertajuk “Aplikasi Ilmu Munasabah dalam Kisah Nabi Ibrahim a.s.” dan bercita-cita untuk menjadi ahli akademik dan pakar dalam tafsir maudhuie al-Quran.
Beliau telah mendirikan rumah tangga selama hampir 8 tahun dengan Puan Nurul Suhadah Haji Shuib dan kini dikurniakan dua orang cahaya mata bernama Fatihah Wajihah dan Aqeel Muhtadi al-Fatih.
Beliau mula menggilap potensi dirinya dalam bidang kepemimpinan dan kejurulatihan sejak di bangku Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Beliau kini berpengalaman lebih dari 6 tahun dalam dunia latihan dan motivasi selain merupakan ahli berdaftar di bawah Pertubuhan Perunding Latihan Dan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN).
Antara rancangan televisyen yang pernah menjemput beliau sebagai panel ialah TV3 dalam rancangan “Positif”, Astro Oasis dalam rancangan “Salam Muslim” dan TV Al- Hijrah dalam segmen “Assalamualaikum”. Ustaz Syaari juga merupakan panel tetap selama 4 tahun sejak tahun 2012 hingga 2016 di segmen “Ibrah” Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM.fm.
Beliau merupakan jurulatih bertauliah di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dengan sijil tauliah bernombor TTT 3891.
Terkini, beliau sedang menggembleng tenaga pakar-pakar dan sarjana- sarjana Tafsir di seluruh Malaysia untuk berbakti kepada Ibrah Institute Centre of Tadabbur yang akan menjadi pusat pembelajaran interaktif dan moden kepada ilmu tafsir dan takwil al-Quran.
Buku-buku Tuan Syaari Ab Rahman memang menjadi koleksi yang wajib baca bagi Dija, terutamanya buku-buku yang membantu kita tadabbur ayat-ayat Al-Quran. Gaya penulisan Tuan Syaari bila kita baca, seolah-olah macam kita sedang menghadiri kelas siri tadabbur beliau. 😂 Mudah difahami dan mudah untuk kita salin nota. Dija dah pernah baca buku Perempuan yang Baik-Baik dalam Al-Quran dan Keluarga yang Setia Menyayangi dalam Al-Quran. Buku Lelaki yang Hebat-Hebat dalam Al-Quran pun dah ada, cuma belum dibaca. Bila dapat tahu buku ni bakal terbit, hasil tulisan Tuan Syaari bersama-sama isterinya pula tu, Puan Nurul Suhadah, terus 'aim' akan beli!
⭐ ISI KANDUNGAN Secara ringkasnya, menerusi buku ini, kita akan ambil iktibar dari tokoh-tokoh wanita yang disebut dalam Al-Quran menggunakan formula SPIES, iaitu; 1. Social/sosial: Wanita Madyan 2. Physical/fizikal: Malikatu Saba' 3. Intellectual/intelektual: Khaulah dan Ummu Kulthum 4. Emotional/emosi: Kakak Musa AS 5. Spiritual: Maryam dan ibu Maryam
Seperti yang dikatakan oleh Puan Nurul Suhadah, "Buku ini bukan hanya untuk wanita tetapi untuk semua yang mahu untuk memahami tentang perjuangan wanita dan warga sekelilingnya dalam agama."
⏳ YA/TIDAK PASTINYA YA! Nak tunggu kita baca satu per satu tafsir, cari ibrah dari tokoh-tokoh wanita untuk dicontohi, macam lambat lagi. Kadang-kadang, nak suruh baca buku sirah pun, belum tentu dapat dihabiskan. Inikan pula nak ulas dan buat huraian dari setiap tokoh. Entahkan kenal atau tidak tokoh-tokoh wanita tu? Jadinya, eloklah kita baca buku ni yang dah disusun elok dan dihuraikan satu per satu pengajaran yang kita boleh ambil. Tak rugi!
Menjadi wanita di zaman serba moden dan penuh dengan tekanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Mendepani cabaran yang pelbagai memerlukan ilmu, kekuatan dan keberanian yang mantap. Sebagai wanita kita perlu memahami keutamaan tanggungjawab dan peranan kita. Yang paling penting adalah memahami dan mematuhi apa yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah kerana walaupun zaman berubah, apa yang ditetapkan oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah akan kekal relevan sampai bila-bila.
Buku ini untuk siapa? : Khusus buat para wanita yang sedang kepenatan emosi mengharungi rutin harian samada sebagai seorang anak, isteri, ibu, kakak, adik dan jawatan-jawatan lain yang disandang dalam kerjaya.
Buku ini juga buat kita semua– yang sedang mencari motivasi dari wanita-wanita hebat dalam al-Quran yang Tuhan sebutkan dan hadiahkan buat kita untuk dijadikan rujukan serta inspirasi menjalani kehidupan.
Telusuri kisah-kisah mengagumkan ibu Maryam (isteri Imran) sebagai teladan buat para isteri suri rumah dan ibu tunggal masa kini. Sikapnya yang melazimi lafaz 'wallahu'alam' serta konsistensi dalam beribadah wajar disemaikan semula kepada ibu-ibu hari ini.
Kisah keberanian dan kebijaksanaan Khawlah (isteri Aus bin al-Samit) juga perlu didendangkan dengan lebih meluas agar lebih ramai wanita berkualiti dapat dilahirkan melalui 'ibrah perwatakannya ketika berkomunikasi dengan Rasulullah SAW tentang bekas suaminya serta kehikmahan bicaranya saat berbahas menuntut jawapan pada kemusykilan status dirinya (hukum Zihar).
Tidak lupa juga kisah Ummu Kulthum yang mengembara 400-500km mengetuai delegasi wanita dari Mekah ke Madinah sehingga mendapat penghargaan dari langit sebagai "allatu amanat" dan "mukminat".
Dan sudah tentu, kisah 3 wanita dalam surah al-Qasas menjadikan kandungan buku ini semakin menarik. Mengapa agaknya Allah SWT membuka surah ini dengan cerita keganasan penjajah dan penjenayah perang, tetapi diselitkan kisah 3 wanita itu? Kenalah baca sendiri buku ini.
Sudah tentu, pembelajaran dari kisah wanita-wanita Madyan yang bertemu dengan Nabi Musa AS dan mengajarkan beliau hal-hal tentang mengembala kambing antara satu lagi kupasan baru yang "mind blowing" untuk pembaca iktibarkan kisahnya.
Banyak lagi kupasan menarik tentang wanita-wanita ini diceritakan secara terperinci lalu dibawakan sudut pandang terkini agar pembaca rasa lebih dekat dan faham bagaimana al-Quran ini sebenarnya begitu akrab dengan kisah seharian kita; sentiasa ada ruang pembelajaran jika kita lalui cara yang betul mentadabburnya.
Tuntasnya, saya simpulkan kepuasan membaca naskhah ini melalui pesan di halaman 151:
"... tidak wajar sekadar menjadi wanita yang hanya mengambil tahu tentang cerita wanita sahaja. Sedangkan ada cerita lelaki yang boleh menjadi sumber kekuatan kepada wanita. Sebagaimana lelaki, jangan hanya memfokuskan pada cerita nabi atau tokoh lelaki sahaja kerana dalam cerita-cerita tokoh wanita itu sendiri ada sisi yang boleh menegur dan memberi pengajaran."
-Perempuan-Perempuan Berbudi Dalam Al-Quran -Muhammad Syaari Ab. Rahman, Nurul Shuhadah Shuib
Buku setebal 280+ halaman ini akan membawa kita menelurusi kisah para wanita dari pelbagai lapisan kehidupan sama ada yang dari atas sehinggalah yang berdarjat hamba. Penulis bagi saya sehabis baik menggunakan lenggok bahasa yang ringkas untuk menarik minat membaca terutama buku non-fiksi seperti ini.
Sebelum ini, kita sekadar mendengar kisah kisah wanita pada dasarnya sahaja. Namun, dalam buku ini diceritakan dengan lebih dalam supaya kita sebagai pembaca memperoleh nilai yang boleh dijadikan sebagai panduan hidup pada hari ini. Tahniah buat penulis atas penghasilan karya Islamik ini.
“Adakah sesuatu yang salah jika suami belajar daripada isteri? Adakah salah jika seorang lelaki belajar daripada wanita?”
Persoalan yang Ust. Syaari kemukakan ini akan membuka mata-mata masyarakat untuk lebih menerima yang sememangnya pendidikan daripada wanita itu juga penting. Kata Hamka dalam buku beliau, Akhlaqul Karimah, “Hidup bukan untuk diri sendiri saja. Oleh kerana itu, untuk mengekalkan hubungan manusia, masyarakat sangat perlu saling menjaga— jangan ada anggota yang mati tanpa sebab. Diri tidak boleh dikorbankan, kecuali untuk kepentingan bersama, mempertahankan agama, dan tanah air.” Jadi, belajar sesuatu daripada wanita itu bukan suatu kesalahan. Belajarlah dengan mereka atas ‘kepakaran’ yang mereka miliki.
Dalam buku ini, Ust Syaari & Nurul Suhadah selaku isteri beliau, mengenalkan kita dengan beberapa sosok wanita yang diceritakan secara tersurat mahupun tersirat dalam Al-Quran. Antaranya ialah;
- Ibu Maryam AS - Khawlah bint Tha’labah - Ummu Kulthum bint Uqbah - Kakak Musa AS - Wanita Madyan - Isteri al-Aziz - Permaisuri Saba’
Kata mereka, Allah SWT telah menciptakan seorang perempuan dengan segenap kemampuan untuk mencapai 5 bentuk kecerdasan seorang manusia iaitu kecerdasan sosial, fizikal, intelektual, emosi dan spiritual (SPIES). Dapat dikelaskan bahawasanya kita boleh memahami kisah-kisah wanita dalam Al-Quran ini melalui pelbagai sudut, antaranya:
- Sudut sosial — cerita tentang wanita Madyan - Sudut fizikal (khususnya tentang hal ehwal negara) — cerita tentang Malikatu Saba’ (Pemerintah kerajaan Saba’) - Sudut intelektual — cerita tentang sang isteri yang menegakkan kebenaran, iaitu Khawlah binti Tha’labah dan Ummu Kulthum binti Uqbah - Sudut emosi — cerita tentang kakak Musa AS (tokoh keberanian) - Sudut spiritual — cerita tentang ibu Maryam AS
Wanita-wanita ini mempamerkan kisah daripada aspek kekeluargaan (ibu Maryam AS), pendidikan (Khawlah & Ummu Kulthum), organisasi (kakak Musa AS), kerjaya (wanita Madyan), pengaruh—influencer (isteri al-Aziz) dan kekuasaan (Permaisuri Saba’). It’s either you’re a housewife or working women, both important. Suri rumah adalah sebuah pekerjaan yang tampak ringan tapi sebenarnya berat. Jadi suri rumah bukan hanya sekadar menjaga luaran tapi juga dalaman. Pengetahuan psikologi perlu dilazimi oleh semua ibu untuk mengenalpasti dan memahami kecerdasan anak-anak kerana membina generasi baru adalah daripada rumah terlebih dahulu. Membangun, mendidik anak, mengurus rumah tangga; semua ini merupakan pekerjaan membina modal insan. Kita membina pelaburan sumber manusia untuk jangka masa panjang kepada negara. Kata Hamka, “Perempuan adalah tiang negara. Jika perempuannya baik, baiklah negara dan jika mereka bobrok, bobrok pula negara.” Begitu juga dengan wanita yang berkerjaya. Kepakaran lelaki dan perempuan berbeza-beza, maka hargailah dan beri peluang kepada wanita yang memiliki kepakaran tertentu kerana Allah SWT telah menetapkan ada bahagian untuk lelaki dan ada bahagian untuk perempuan. Lelaki tak boleh kaut semua, begitu juga dengan perempuan.
Buku ini memberikan inspirasi dan ibrah kepada perempuan zaman kini untuk menjadikan hidup mereka lebih bermakna. Ia menekankan keinginan untuk menjadi solehah dan berbuat baik kepada orang di sekeliling kita, sambil meneliti tokoh-tokoh wanita dalam Al-Quran sebagai sumber inspirasi.
Ustaz Syaari dan Nurul Shuhadah Shuib menghurai kisah-kisah tokoh wanita seperti Ibu Maryam yang bercita-cita tinggi dalam mengurus rumah tangga, Khawlah dan Ummu Kulthum binti Uqbah yang berani menuntut ilmu, serta dua perempuan Madyan yang menjaga kemuliaan diri ketika bekerja. Buku ini juga mengupas tentang Permaisuri Saba’ yang berfikir kritis dalam memimpin negara.
Buku ini terbahagi kepada enam bahagian yang memfokuskan setiap watak wanita yang disebutkan. Bahagian-bahagian ini termasuk:
1. Wanita Berkeluarga (Kisah Ibu Maryam) 2. Wanita Berpendidikan (Kisah Khawlah dan Ummu Kulthum) 3. Wanita Berkerjaya (Kisah Dua Wanita Madyan) 4. Wanita Berpersatuan (Kakak Nabi Musa AS) 5. Wanita Bersosial dan Berpengaruh (Kisah Isteri Al-Aziz dan Wanita-wanita Mesir) 6. Wanita Berkuasa (Kisah Permaisuri Saba’)
Dengan penyusunan yang sistematik, buku ini mengajak para perempuan untuk mengambil pengajaran dari kisah-kisah wanita hebat dalam Al-Quran, memperkukuh peranan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.
Jika kita masih lagi tercari-cari jawapan bagaimana untuk menjadi perempuan yang berkualiti tinggi dalam setiap tanggungjawab yang dipikul, buku ini ada jawapannya. Kita akan melihat buku ini sebagai tuntunan bagaimana untuk menjadi perempuan yang bererti dalam setiap aspek kehidupan walau apa jua bidang diceburi dan juga dalam kerangka syariat yang diredai.
Jika ingin menjadi wanita yang hebat berkeluarga, kita boleh jadikan kisah Ibu Maryam sebagai teladan. Jika ingin menjadi wanita yang amanah dalam bekerjaya, terdapat kisah dua orang wanita Madyan yang direkodkan dalam al-Quran. Jika ingin menjadi wanita yang berpendidikan, kita boleh telusuri kisah Khawlah dan Ummu Kulthum yang amat memartabatkan ilmu. Jika ingin mengambil ibrah daripada wanita yang berpengaruh, kita ada kisah daripada isteri Al-Aziz dan juga wanita yang berkuasa iaitu kisah permaisuri Saba’ yang berhadapan dengan Nabi Sulaiman AS.
Gabungan dan kupasan antara dua orang penulis mengenai kisah-kisah perempuan di dalam al-Quran dan dikaitkan dengan isu semasa amat memberi kesan dan mengubah cara pandang saya kepada pemerkasaan wanita dalam Islam. Kefahaman dalam agama begitu penting untuk dipupuk agar dapat mengelakkan diri kita daripada tergolong dalam dua ekstremis iaitu golongan yang terlalu menghalang kebebasan kaum wanita sehingga menzalimi dan golongan yang terlalu radikal menuntut kebebasan sehingga melanggar syariat-Nya.
Siapa pun kita dan apa jua bidang yang kita ceburi, kita tidak sendiri. Kisah-kisah yang dirakamkan dalam al-Quran sudah ada sebagai peneman, rujukan dan sebagai kekuatan untuk kita melangkah agar menjadi wanita yang sentiasa memperbaiki diri.
Menarik buku ini sebab sumber kupasan adalah bersandarkan kisah enam wanita yang disebut di dalam al-Quran. Khawlah & Ummu Kulthum sebagai wanita berpendidikan; dua wanita Madyan sebagai wanita bekerjaya; kakak Nabi Musa AS sebagai wanita berorganisasi; isteri al-Aziz sebagai wanita bersosial; dan Permaisuri Saba' sebagai wanita berkepimpinan. Refleksi dan pengajaran daripada semua kisah dikaitkan dengan isu-isu terkini yang bukan menjadi bahan bacaan wanita sahaja tetapi pembaca lelaki juga. Saya juga sugar apabila isu pemerkasaan keluarga diangkat lebih utama berbanding pemerkasaan wanita, kerana setiap ahli dalam keluarga perlu diperkasakan dengan ilmu dan mengamalkan ilmu tersebut untuk kesejahteraan keluarga.
"Yang menjadi perhatian Allah bukan jantina, tetapi sifat takwa."
Pengisian menarik dengan pencerahan yang jelas. Ketara ilmu penulis-penulis yang menerangkan perkataan spesifik yang digunakan dalam bahasa Arab dan maknanya berdasarkan konteks di dalam al-Quran. Perempuan-perempuan yang diketengahkan termasuklah figura Wanita yang sering diceritakan dalam Islam seperti isteri Firaun, Asiyah, wanita-wanita Madyan, Zulaikha, Mariam dan sebagainya.
Penulis jugak menceritakan latar belakang ayat yang amat berguna terutama untuk pembaca muda atau yang pertama kali mendengar tadabbur ayat-ayat yang dikongsikan. Pengajaran dari setiap ayat ini juga menyampaikan ciri-ciri wanita yang digalakkan di dalam Islam, dan juga adil dari segi hukum-hakam Islam mengenai hak lelaki dan perempuan.
Kadang-kadang kita alpa dengan nikmatnya dunia sehingga kita tidak melihat lebih jauh hingga ke akhirat.Wanita di dalam islam telah diangkat darjat oleh Allah dan setanding dengan pasangannya iaitu lelaki.Usah berduka lara andai kita ini suri rumah tangga tapi itu lebih hebat dari seorang wanita yang bekerja,masing-masing mempunyai peranan masing-masing dengan izin Allah dan melalui keterbatasan yang diredhai olehNya
koleksi kisah-kisah wanita yang diceritakan dalam Al-Quran. Banyak kisah yang ustaz kongsikan yang sebelum ni jarang kita diceritan antaranya, ummu kalthum, permaisuri saba' dan perempuan madyan. Ustaz kaitkan kisah2 wanita ni dengan apa yang terjadi masa kini mengikut tugas wanita masing2 contohnya wanita yang berkerjaya, wanita surirumah, seorang ibu dan pemimpin.
Love this book because it took me to the story from the Quran as if i was in the situation. The authors’ explanations for each story were splendid and easy to follow for someone that never binge reading religious related books before.
habis juga! this book was slow to me at first but the last 2 stories on isteri Al-Aziz and Permaisuri Saba’ were amazing and new to me. Tons of values that I could extract from this book🌷