Apakah politik daripada kaca mata Islam? Wujudkah demokrasi dalam Islam? Adakah sama demokrasi barat dan demokrasi Islam? Adakah Islam menerima demokrasi sebagai salah satu sistem politik? Bagaimanakah pandangan Islam berkaitan dengan pilihanraya? Ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan.
Apatah lagi politik. Bermula dari era kebangkitan dunia barat,konsep demokrasi diperkenalkan. Namun begitu,sejauh manakah ciri-ciri demokrasi yang dipraktikkan kini selari dengan sistem politik Islam yang bermula di Madinah pada tahun 622 Masihi.
Buku Islam & Demokrasi cuba mengupas konsep dan aplikasi sistem demokrasi dalam Islam. Antara perkara-perkara utama yang dibincangkan di dalam buku ini adalah : politik dalam Islam, Pilihan raya daripada kaca mata Islam, Sistem sekularisme dan demokrasi barat dan demokrasi Islam.
Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Ayah Chik) mendapat pendidikan awal di Rusila, Marang sebelum menjejakkan kaki ke Sekolah Agama Marang. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan agama, bahasa Arab, dan politik daripada ayahandanya sendiri, iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid Rusila.
Selepas itu, Ayah Chik melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi pada tahun 1969–1973 dan berjaya memperoleh Ijazah BA Syariah. Seterusnya, beliau berhasil menggenggam Ijazah MA di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Siyasah Syar‘iyyah selepas berjaya menamatkannya dalam tempoh dua tahun, iaitu dari tahun 1974–1975.
Di samping itu, Ayah Chik juga telah memperoleh Ijazah Sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani pada tahun 1983. Beliau istiqamah mengajar di Masjid Rusila, Marang dan telah mengkhatamkan pengajian Tafsir al-Quran sebanyak dua kali dalam tempoh 40 tahun, bermula dari tahun 1976 sehingga kini.
Berbekalkan laptop peribadi, beliau aktif menulis buku, artikel, khutbah termasuk laman web dan blog. Antara karya beliau adalah Inilah Akidah Islam, Beriman kepada Allah, Beriman kepada Rasul, Beriman kepada Malaikat dan Kitab, Beriman kepada Hari Kiamat, Beriman kepada Qada dan Qadar, Islam dan Demokrasi, Ramadan: Tetamu yang Dirindui, Islam: Adil untuk Semua, Bagaimana Islam Memerintah Negara, dan banyak lagi.
Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.
Saya mengaku bahawa saya tidak arif dalam ilmu politik, walaupun saya mengikuti perkembangan politik tanahair dan antarabangsa. Buku ‘Islam dan Demokrasi’ hasil tangan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang merupakan buku yang memberi pemahaman mendalam kepada saya berkenaan prinsip dan amalan demokrasi yang menjadi pegangan sebahagian besar negara bangsa di seantero alam.
Persoalan apakah politik daripada kaca mata Islam, wujudkah demokrasi dalam Islam, adakah sama demokrasi barat dan demokrasi Islam, adakah Islam menerima demokrasi sebagai salah satu sistem politik dan bagaimanakah pandangan Islam berkaitan dengan pilihan raya terjawab dalam buku ini.
Buku ini juga menghalusi asal usul demokrasi, bagaimana ia mengalami proses evolusi sepanjang sejarah manusia di barat dan dunia Islam serta suatu fakta bahawa Islam menerima sistem politik barat selagi ianya tidak melanggar batas-batas hukum yang telah termaktub.
Penulis berjaya memberi pemahaman kepada saya mengenai islam dan demokrasi. Saya syorkan pelajar dalam jurusan politik Islam supaya mendapatkan buku ini sebagai salah satu buku rujukan kerana kandungannya mencakupi politik barat dan Islam.
Edisi di tangan saya ialah cetakan kedua, 2007. Satu terbitan bermutu dan berani dari PTS Publications & Distributors Sdn Bhd. Tahniah untuk Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dan penerbit.
Ada persamaan antara Islam dan juga Demokrasi, buku itu memaparkan penulisan yang boleh dipraktikkan oleh amalan demokrasi supaya menepati ciri-ciri yang berlandaskan Islam. Jangan mengambil demokrasi secara bulat-bulat yang ditinggalkan oleh penjajah, dan juga jangan meninggalkan demokrasi secara langsung, kerana ada persamaan yang boleh ditambahbaik dalam amalan demokrasi.
Alhamdulillah, kami selaku ahli khidmat Pustaka Permata Ummah (PPU) berhasil menyelesaikan perbincangan terhadap salah satu mahakarya Ayah Chik ini dalam sesi usrah bulanan kami.
Naskhah ini cukup tuntas dan lumat dalam menghuraikan segala teori, perbandingan, mahupun pengamalan antara siasah Islam dengan demokrasi Barat.
Boleh dikatakan, segala persoalan seputar perbahasan politik Islam dan demokrasi Barat dapat ditemukan jawapannya dalam karya ini, umpamanya:
1. Sejarah, konsep, dan prinsip politik Islam dan demokrasi Barat. 2. Kesyumulan politik Islam dan penyelewengan demokrasi Barat. 3. Bagaimana sepatutnya umat Islam menyikapi demokrasi Barat; tidak ekstrem dan tidak liberal. 4. Persamaan dan perbezaan antara politik Islam dengan demokrasi Barat. 5. Mengapa gerakan Islam berijtihad untuk melibatkan diri dalam demokrasi dan pilihan raya di sebalik segala kelemahan dan tekanan.
Buku ini asalnya pertama kali diterbitkan oleh PTS dengan judul yang sama pada tahun 2007 dahulu.
Namun, kami melihat, nilai tambah paling menarik yang ada dalam edisi PPU ini – selain persembahan kandungan yang lebih tersusun, semakan fakta oleh ahli akademik yang berkelayakan, himpunan gambar bersejarah ‘Landskap Demokrasi PAS’, infografik untuk memudahkan lagi kefahaman, serta cetakan kulit keras yang bermutu tinggi – ialah bahagian istimewa ‘Pengalaman PAS dalam Demokrasi di Malaysia’.
Bahagian ini menonjolkan rakaman pengalaman Parti Islam Se-Malaysia (PAS) selama puluhan tahun dalam menegakkan Islam melalui saluran demokrasi secara realiti di bumi Malaysia. Di sini, kita dapat menyaksikan betapa PAS benar-benar istiqamah di atas landasan perjuangan sejak dahulu sehingga kini walau menghadapi pelbagai ragam, rintangan, dan cabaran dalam sistem demokrasi.
Mudah-mudahan, Allah ﷻ senantiasa memberkati dan merahmati Ayah Chik atas karangan beliau yang amat bermanfaat ini. ALlāhumma āmīn.
Walaupun demokrasi bukan berasal daripada Islam, namun mengambil daripada semangat hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa hikmah adalah barang keciciran orang mukmin, dimana sahaja berjumpa dengannya maka orang mukmin adalah yang berhak keatasnya. Islam dan demokrasi mempunyai beberapa persamaan dari segi konsep dan prinsip seperti syura dan kebebasan. Pun begitu, perbezaan yang utama antara Islam dan demokrasi ialah Islam adalah akidah sedangkan demokrasi kosong daripada nilai akidah bahkan memisahkan antara agama dan politik. Secara umumnya terdapat tiga golongan orang Islam berdasarkan penerimaan mereka terhadap konsep demokrasi iaitu :
1)Golongan yang menerima sepenuhnya demokrasi sehingga menggadaikan prinsip Islam seperti terpengaruh dengan idea sekuralisme. 2)Golongan yang menolak terus demokrasi dengan alasan demokrasi bukan berasal dari ajaran Islam. 3)Golongan yang menerima prinsip-prinsip demokrasi yang tidak bertentangan dengan ajaran agama dan membetulkan prinsip-prinsip yang salah dalam demokrasi seperti memberikan kekuasaan yang mutlak kepada rakyat, sedangkan dalam Islam kuasa yang mutlak hanyalah milik Allah SWT.