12 cerpen Kamil Naim yang cuba menyentuh sisi eksistensial manusia melalui pelbagai bentuk naratif dan suasana dihimpukan dalam kumcer ini.
Kau akan dibawa ke "hujung dunia”, sebuah metafora kepada ruang batin manusia yang sedang melayan nostalgia, kenangan, idea kreatif, cinta dan falsafah. Di sinilah, kata Kamil, manusia mungkin telah sampai ke konklusi evolusi: bebas daripada konflik dan bebanan, tapi tetap bergelut dengan makna dan pilihan. Cerpen - cerpen ni tak bersambung secara linear, tapi diikat oleh satu benang falsafah yang halus - bahawa kehidupan sebenar ialah gabungan sisi baik dan buruk, dan pilihan yang kita buat - menentukan siapa kita sebenarnya.
Watak - watak dalam cerpen ni hadir sebagai bayang - bayang yang melintas dalam ruang naratif. Dorang bukan watak yang dibina dengan latar psikologi yang mendalam, tapi lebih sebagai lambang kepada idea atau emosi tertentu. Ada yang hadir sebagai pencinta yang kecewa, pengembara yang hilang arah, atau individu yang bergelut dengan trauma dan kenangan. Sesuai sebagai bayang - bayang, watak - watak ni ringan dan tak berlapis. Dorang hadir dan pergi tanpa perlu meninggalkan kesan yang mendalam, hanya menjadi alat kepada penyampaian mesej Kamil.
Gaya bahasa dalam buku ini bersifat kontemplatif dan agak puitis, tapi tak tajam. Ada usaha untuk membina suasana yang melankolik dan reflektif, cuma naratifnya aku rasa terhenti di ambang renungan tanpa betul - betul menyelam ke dasar emosi atau pemikiran, contohnya “meledak manapun, bintang tetap mengilau” cuba membawa aku kepada pemahaman bahawa harapan dan makna tetap wujud walau dalam kehancuran, tapi gayanya lebih seperti slogan - tak berapa nak sampai. Kehalusan gaya dan kedalaman falsafahnya masih medium well, belum al dante.
Aku rasa apa yang Kamil cuba ketengahkan ialah tentang pilihan dan takdir. Bahawa dalam kehidupan yang penuh dengan baik dan buruk, manusia tetap perlu memilih, dan pilihan itulah yang membentuk identiti dan makna hidup kita. Cuma temanya tak jelas - latarnya ada, tapi intinya kena gali lagi. Kumcer ini lebih banyak bermain dengan suasana dan emosi, kurang dalam pembinaan konflik atau dilema yang boleh merangsang pemikiran aku.
Jujur aku kata, tak puas. Tengah memacu, tapi tak sampai.
Sesuai untuk pembaca muda yang baru mengenal dunia sastera dan sedang mencari bacaan yang bersifat introspektif dan ringan.
3 / 5 stars