Senjakala adalah kisah kegigihan Kinto, seorang pemburu tua yang turun berburu selama lebih daripada seratus hari. Kinto ingin mendapatkan daging rusa untuk anak perawannya yang sakit. Di dalam novel ini dilukiskan kecekalan hati seorang manusia yang tidak mahu menerima kekalahan, tentang harga diri dan kasih sayang. Ia juga mencakup hubungan manusia dengan Tuhannya, alam dan sesama manusia. Di atas segala-galanya tersimpan falsafah tentang proses pencarian diri, tentang kewujudan kita yang perlu menerima kekalahan bersandarkan kesedaran pada keagungan Tuhan. Cinta yang patah dengan segala macam kompleksitinya, rendah diri seorang lelaki dengan rindu dan cintanya yang tak sampai, juga terungkap dalam novel ini.
Indah bahasa buku ni. Sedap dibaca. Walaupun aku merasa agak bosan beberapa ketika kerana perjalanan cerita yang perlahan dan penuh melankolik. Tetapi, banyak ilmu tentang hutan yang boleh kita pelajari memandangkan 70% buku ini berlangsung di hutan. Yang menariknya, baru aku tau asal usul mabuk kepayang setelah membaca novel klasik ini.
Sebuah novel yang penuh emosi. Senjakala adalah hikayat kegigihan dan ketabahan.
Kinto, seorang pemburu tua yang turun berburu di hutan selama 100 hari demi menunaikan permintaan anak perawannya, daging rusa.
Perasaannya seusai menamatkan novel ini agak senafas dengan sewaktu membaca Seorang Tua di Kaki Gunung. Semacam emosi "depressed", suram, malap mecaliti segenap ruang jiwa.
Kita dibawa merasai bersama perasaan seorang tua. Setiap imbas kembali, getusan hati, monolog dalaman, konflik jiwa dilukis begitu baik. Seolah-olah kitalah Kinto pemburu cekal, yang tidak mahu mengalah itu.
Kinto beberapa kali berdepan kegagalan sepanjang ekspedisi perburuannya.Bermacam cara dan strategi diambil untuk mendapatkan daging rusa yang dihajati.
Bertarung dengan alam satu hal. Berperang dengan hati berbaur antara sangsi dan percaya juga satu perkara. Di saat dia hendak mengalah, segera bayangan Noor yang mengidam daging rusa menjelma lantas menghadirkan kekuatan untuk terus memburu.
Ada beberapa bahagian yang saya tak berapa gemar (atas kecenderungan peribadi), seperti babak di mana Noor dan Aman melayari kisah cinta zaman muda mereka, tetapi keseluruhannya baik dan wajar diberi penghargaan.
Aku fikir, banyak novel kita dulu berkisar kesepian seorang lelaki tua: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Seorang Tua di Kaki Gunung, Tunggul-tunggul Gerigis dan lain-lain. Senjakala termasuk dalam ni juga. Mungkin ni trend masa tu. Aku tak kisah malah sangat menghargainya. Idea mungkin identical tapi kebolehan menulis akan membezakan kualiti satu-satu karya. Bagi aku, semua karya yang aku sebut kat atas tadi memang terbaik walaupun ideanya hampir sama. Aku tetap rasa patah hati bila selesai baca setiap satu buku, tapi aku rasa Senjakala ni memang patahkan hati aku dengan agak teruk walaupun ada beberapa bab yang aku fikir kurang menarik, seperti kisah percintaan Noor dengan Aman yang diimbas kembali. Lain daripada tu, best.
Buku ni aku baca 20 tahun yang lalu, pinjam senior punya..sampai sekarang ingat tajuknya, pegi berburu dlm hutan. Tapi keseluruhan jalan cerita dah lupa..nak juga baca lagi
Judul buku: Senjakala Penulis: Baharuddin Kahar Terbitan: DBP Tahun terbit: 2015 / Cetakan ketujuh Jumlah muka surat: 254 Tarikh baca: 13 Oct ~ 24 Oct 2021
Ulasan: Sebuah novel di antara seratus buku wajib baca Malaysia. Dengan kisah seorang tua bernama Kinto yang mengharungi hari-hari tuanya dengan 'kehidupan' yang hilang dan akan hilang.
Secara zahiriah, cerita ini mengisahkan Kinto yang sewaktu mudanya seorang pemburu hebat, masih ingin berburu di usia tua. Bukan kerana ingin mencabar ketuaannya, tetapi kerana kasih seorang bapa kepada satu-satunya anak gadis yang dikhabarkan oleh doktor, tidak akan panjang umurnya dek kerana penyakit seakan leukimia.
Noor, anak gadisnya telah teringinkan daging rusa. Maka, Kinto berusaha untuk mendapatkannya dengan segala daya usaha, kudrat tua dan ilmu hutan miliknya. Walau berdepan sakit lutut yang teramat, Kinto teruskan. Berhari, malah berbulan dia keluar masuk hutan. Segenap ceruk yang diketahui ada binatang bernama rusa itu, dia pergi.
Novel ini, perkembangan plotnya agak perlahan. Sebagaimana keadaan tua Kinto, sebegitu juga penulisan novel ini bergerak. Perlahan. Mengengsot. Perlu sabar dalam meladeni bacaannya. Yang membuatkan kesetiaan dalam membacanya adalah bahasa garapannya yang cukup indah. Metafora dan personifikasi bertemakan alam membuatkan novel ini sewajarnya diangkat menjadi di antara seratus novel wajib baca Malaysia. Malah, satu lagi sebab yang membuatkan ralit baca adalah ilmu hutan yang dihidangkan.
Melalui 'Senjakala', kita mengenal jenis-jenis tumbuhan. Yang melata, yang menjalar dan yang boleh dimakan untuk menyambung nyawa ketika sumber makanan lain kita tak punya. Malah, sumber air daripada akar pokok yang diminum setiap kali haus menggorok tekak.
Nyata, dengan ilmu, manusia hidup. Kinto, membuktikan. Tanpa bekal daripada rumah, dia mampu mandiri di hutan bertemankan ketuaan dan keuzuran.
‘Senjakala’, turut mengenalkan kita akan jenis-jenis haiwan, habitat mereka, dan sikap haiwan itu sendiri.
Contohnya, pada muka surat 207, ada disebut tentang ikan tengas daun dan ikan temoleh. Pertama kali saya mendengar dan membaca tentang nama ikan ini. Langsung saya Google untuk melihat rupanya. Juga mengetahui lebih lanjut tentangnya.
Pada muka surat 225 ada diceritakan akan sifat beruang beranak kecil yang gemar menyusun ranting-ranting patah dan dedaunan. Membentuk seakan pagar melingkari belukar. Seolah-olah kubu bagi melindungi anaknya.
Pada halaman 243, ada diceritakan tentang bunga ara yang berbau. Diceritakan juga tentang buah ara yang digemari oleh burung punai, rusa dan kijang. Dan, buah ara merah paling digemari oleh haiwan-haiwan ini berbanding buah ara kuning.
Juga tentang pokok dan buah kepayang. Sifatnya yang menjalar dan buahnya seakan buah labu. Dengan warna kuning kemerah-merahan. Buah yang tidak boleh dimakan kerana sifatnya memabukkan. Kemungkinan, inilah asal perkataan 'mabuk kepayang'. Daripada buah kepayang yang bersifat memabukkan.
Ilmu hutan bagaimana mengesan dan menjejaki rusa juga diceritakan. Ada beberapa cara: 1) menyuluh (mencari seperti biasa) 2) mengepung bukit dengan menggunakan khidmat anjing pemburu 3) menggunakan daun yang dimainkan di mulut sehingga menerbitkan bunyi lengkingan seakan suara rusa betina 4) menghendap di sira 5) menunggu di ran
Cerita ini, semakin jauh ia menyeret kita ke dalam hutan, dan menyelimuti akal kita dengan ketuaan dan keuzuran Kinto, semakin kita menyerapi kehidupan. Bagaimana pencarian rusa itu sebenarnya hanyalah kulit yang menutupi pencarian diri seorang manusia. Bukan hanya Kinto yang mencari, tetapi kita sebagai hamba.
Kinto yang sebelum ini lemah dan seakan tidak reda akan pemergian isteri tercinta, Dasima, mulai reda bila kelelahan pencarian rusa itu menemukan dia dengan hakikat hidupnya. Pencarian rusa, menemukan dia dengan sahabat lama dalam kalangan orang asli Temiar, Batin Itam.
Kita sedia maklum bahawa tidak mudah untuk mendekati masyarakat orang asli yang pemalu, apatah lagi untuk mendapatkan kepercayaan daripada mereka akibat perbezaan budaya dan keterasingan. Tetapi, bila sudah dapat, sudah erat, nyawa pun sanggup mereka serahkan. Kinto menemui kegemilangan dirinya melalui rasa hormat masyarakat orang asli Temiar. Pertolongan Kinto yang satu, dipegang kuat oleh mereka. Hidup, jika berbudi, ikhlas memberi … orang ingat sampai mati. Tiada apa yang diperlukan oleh seorang manusia yang hilang diri, bila masih ada orang mengingati akan kegemilangan dia suatu waktu dulu walaupun kini, dia sudah tidak mampu.
Pencarian rusa, menemukan dia dengan kenangan. Pencarian rusa, menemukan dia dengan kesungguhan dan erti pengorbanan walaupun dia tidak pasti akan capaian pengorbanan itu lagi. Lelah membuatkan dia reda akan apa jua aturan Tuhan. Dalam kesunyian dan keseorangan di hutan itulah dia menemui keredaan. Allah ilhamkan dia dengan mimpi. Allah ilhamkan dia dengan kejadian yang melelahkan. Dengan rasa kemanusiaan yang tinggi melalui penerimaan sebuah kekalahan pada saingan.
Saya tertarik dengan satu frasa yang diucapkan Kinto:
‘Alangkah daifnya jika kita menjadi tua. Dan betapa lebih daif pula bila seorang tua tiba-tiba kehilangan arah.’
Ya, frasa ini diucapkan oleh Kinto ketika dia sesat dan hilang arah di dalam hutan. Tetapi, bila diteliti, ia juga membawa maksud tersirat yang bobot dengan isi.
Seorang tua, jika masih tidak mendekatkan diri dengan agama, dengan ibadah, dengan suruhan Tuhan, dia itu satu kedaifan dalam usia yang hampir dijemput Tuhan. Sangat kasihan kerana masih tidak jumpa ‘jalan’ menuju Tuhan. Masih hanyut dengan dunia. Masih sesat di penghujung usia. Sangat menakutkan jika kita sendiri berada pada keadaan tersebut dalam kehidupan kita. Usia lanjut, tapi masih tidak nampak akhirat wujud.
Serapan rasa di akhir cerita, yang membuatkan cerita ini ‘sesuatu’. Maksud tersirat di sebalik perburuan membuatkan ia perlu dibaca dengan sabar sebagaimana yang dikatakan oleh Kinto pada beberapa halaman, yang salah satunya ada di halaman 229. Kata Kinto:
“Ah … berapa kali hendak kukata? Ketuaan itu juga istimewa, ia memberikan kita bijaksana dan sabar.”
Ketuaan itu memberkan kita bijaksana dan sabar. Sabar. Memang biasanya di usia tua, kita lebih sabar. Maka, sabarlah juga ketika menelusuri bacaan kerana kita semakin tua. Tua yang bijaksana.
Senjakala, sebuah novel tentang kekeluargaan, sebuah kisah yang memaparkan kegigihan, semangat dan kekuatan seorang ayah untuk mencapai hajat anak perempuannya.
Novel ini mengisahkan tentang seorang pemburu tua yang berusaha untuk memenuhi keinginan anaknya untuk merasa daging rusa. Keiginan yang dianggap sebagai permintaan terakhir anaknya yang sakit.
Novel berkisarkan hutan sebagai latar tempat. Banyak panduan-panduan ketika berada di dalam hutan diceritakan di dalam novel ini menjadikan ia menarik untuk di baca. Novel ini juga diselitkan dengan kisah-kisah percintaan dikalangan watak-watak yang ada di dalam novel ini.
Novel ini cuba membawa pembaca untuk menghayati kecekalan dan ketabahan seorang ayah yang berusaha untuk memenuhi keinginan seorang anak. Seorang ayah sanggup melakukan apa yang terdaya untuk memberi kegembiraan kepada anak-anaknya.
antara novel Melayu terbaik dalam memperlihatkan hubungan luhur antara bapa-anak-alam. Watak utama seorang lelaki tua bekas seorang pemburu ulung pada zaman mudanya, dengan anak perempuan yang mempunyai penyakit leukimia. Si anak mengidam makan daging rusa. Dan bapanya dalam kudrat yang tinggal sisa cuba memenuhi keinginan anak tunggal nya yang tunggu masa nak mati. Berhari hari dia berusaha menjejak rusa dengan penuh kepayahan. tapi bila dia berjaya memperolehnya, anak perempuan yang dikasihi nya sudah pun meninggal dunia. Sangat mengharukan dengan latar suasana kampung dan hutan rimba. TERBAIK! aku bagi 5 bintang.
buku ni banyak menunjuk ajar peqa cara nak survive dalam hutan selain nilai ketabahan seorang bapak yang nak menunaikan hajat terakhir anak permpuannya yang menghidap penyakit kronik. selain itu kesedihan seorang pencinta dalan diamyang mana kalau tak salah peqa sepupu dak pompuan ni memang dah lama syok kat dia, tapi dia tak sempat nak ucapkannya, dak pompuan tu dah meninggal dunia dan sama jugak terjadik kat bapak dia yang tak sempat nak capai hajat anak dia yang nak makan daging kijang tu... sedih dan sayup saja masa dia sampai kat rumah....cerita ni memang seronok.
Sedihnya. Kenapa sedih sangat perjalanan hidup seorang Kinto. Selepas kematian isteri tersayang, Kinto membawa diri bersama Noor yang masih bayi. Dia berusaha melepaskan diri dari kongkongan kehidupan bongkak yang berpotensi menambah musuh dan mencambahkan cemburu orang, mahu menikmati keindahan hidup bersama sang anak, meraih kerehatan untuk melalui hari-hari tuanya dengan tenang, Kinto kehilangan, lagi dan lagi. Bukan sebarang orang boleh melepasi begitu banyak dugaan dan dapat menarik nafas tenang dengan lafaz, "Aku cuba menerimanya" .
Kinto, seorang pemburu tua, turun ke hutan selama lebih 100 hari demi memenuhi hajat anak daranya, Noor, yang mengidamkan daging rusa. Noor ni sakit tenat, jadi permintaan itu menjadi pendorong utama Kinto untuk kembali ke hutan walaupun usia dan tubuhnya dah tak sekuat dulu.
Novel ini sebuah alegori tentang pencarian diri, pengorbanan, dan penerimaan terhadap takdir. Sepanjang dalam hutan, Kinto berdepan dengan macam - macam cabaran - dari keuzuran fizikal, kesunyian, sehinggalah konflik batin yang meruntun jiwa.
Ceritanya agak simple, tapi setiap langkah Kinto, di bawah pena Baharuddin Kahar, membawa aku lebih dekat kepada makna kehidupan yang sebenar.
Aku tersentuh dengan Kinto - dia seorang ayah yang sederhana tapi penyayang, dia dah berusia tapi enggan tunduk kepada cabaran. Dia pencari makna dalam kelelahan dan kesunyian. Noor pula, tak banyak muncul dalam novel ni, tapi menjadi pusat emosi yang menggerakkan naratif.
Yang paling menariknya tentang buku kecil ini bagi aku, adalah hubungan antara Kinto dan masyarakat orang asli Temiar, terutama Batin Itam. Aku suka nilai - nilai kemanusiaan yang tulen - tentang kepercayaan, penghormatan dan persaudaraan yang melangkaui sempadan budaya. Disulam dengan gaya bahasa yang puitis, dengan penggunaan metafora alam yang kaya - ia berjaya menjerat aku ke dalam naratif hutan yang hidup dan bernafas, dengan rahsia dan hikmah yang hanya dapat difahami oleh orang yang sabar dan bijaksana.
Aku tak tahu nak berasa sayu dan sedih kerana Noor meninggal sebelum sempat makan daging rusa,atau sedih mengenangkan Kinto yang bakal bersendirian selepas ini dengan rasa sebersalah dan juga hilang maruahnya dalam perburuan terakhir. Pengakhiran seperti ini cukup menghantui pemikiran aku, mungkin kerana penulisannya yang betul betul menyentuh emosi. Senjakala meruntun jiwa, dalam masa yang sama menguatkan semangat pembaca. Membaca bagaimana Kinto berjuang melaksanakan pemburuan terakhir di kala sedang dikhianat oleh tubuhnya akibat penuaan, memberi semangat secara tidak langsung kepada kita sebagai pembaca untuk tetap berjuang dengan kehidupan yang ya,penuh dengan ketidakadilan dan penindasan. Ya,pada akhirnya bukan rusa yang sebenarnya dikejar,namun kepuasan dapat berbakti kepada yang tercinta itu yang cuba diraih dan dinikmati oleh Kinto sebelum habis umurnya.
This entire review has been hidden because of spoilers.
Novel ini mempunyai nilai yang cukup mendalam. 1989 aku mula membacanya dan kesannya telah meresap ke jiwa hingga menjadikan aku seperti sekarang...x pasti sama ada novel ni masih ada lagi atau tidak.. Rasa nak membacanya semula.
This is literally my mom's books tapiii serius tak menyesal baca! Nilai kekeluargaan yang sangat kuat ada diterapkan di dalam buku, bagaimana seorang ayah yang begitu menyayangi anak perempuannya. Dia sanggup memenuhi permintaan anaknya demi melihat anaknya bahagia.