Awal membaca buku ini, sejujurnya aku hanya ingin mengambil pengajaran-pengajaran hidup. Itu ekspektasi aku terhadap buku ini.
Namun tidak terjangka pengajarannya bukan sekadar nilai-nilai murni, malah aku dapati lebih separuh daripada kisahnya berkisar tentang hikmat dalam politik. Kisah Rasulullah sebagai diplomat yang mengalah dalam perjanjian demi kelebihan yang lain, kisah manusia yang sanggup membuang aset negara hanya demi mengekalkan kekuasaan dan lain-lain.
Memandangkan buku ini tulisan Hamka tentunya laras bahasanya agak klasik, walaupun dalam versi terjemahan. Semestinya, terjemahan akan cuba mengekalkan nilai estetik yang dibawa oleh penulis asal. Ada ketika aku perlu baca dua tiga kali supaya tidak terputus kesinambungan pemahaman aku dari ayat ke ayat.
Oleh sebab itu, walaupun di Goodreads, beberapa review menyatakan dapat habis dengan cepat, aku sebaliknya.
Laras bahasa dan penceritaan yang sedikit berat menyebabkan aku habiskan masa yang lama untuk menghabiskan buku ini. Setiap kalinya, aku ditemani highlighter untuk mudahkan aku memahami mesej penting dalam cerita. Membaca buku ini umpama membaca naskhah rujukan tentang satira politik; hairan sekali kisah dulu dalam buku ini seperti tercermin semula pada dekad ini. Subhanallah.
Pengajarannya? Amat banyak. Antaranya pesanan yang diterima Harun Ar-Rasyid; cintailah mereka yang dipimpin dan janganlah sesekali membenci mereka. Juga sifat orang terdahulu yang gemar mencari nasihat walaupun sudah bertakhta. Buku ini turut mengirim pesanan; orang yang dilihat berpangkat dan berbahagia, kadangkala dicemburui tetapi sebenarnya merekalah yang paling menderita. Ini hanya sedikit. Banyak lagi, kalau kau mahu mengkaji.
79 mukasurat untuk 10 cerita, amat nipis, namun sangat berat dan mendalam kupasannya untuk kita ambil ibrah bersama. Ayuh!