Jump to ratings and reviews
Rate this book

Hussain Bin Ali: Syahid di Karbala

Rate this book
Padang pasir Karbala sudah mula sunyi. Kini hanya tinggal Husain sendirian melawan musuh-musuhnya. Pertempuran itu agak jauh dari kawasan khemah. Dia tidak mahu kaum keluarganya melihat bagaimana dia akan dibunuh. Dentingan pedangnya tidak pernah sunyi menewaskan musuh yang mara menyerang. Pasukan musuh kucar-kacir dibuatnya. Ketangkasan dan keberanian Husain sangat luar biasa.

Tidak cukup dengan itu, diadakan pula pertarungan satu lawan satu. Namun, mereka bukanlah tandingan Husain. Seorang demi seorang gugur menyembah bumi. Biarpun puluhan musuh berduyun-duyun datang meluru, akan ditangkisnya sehingga tiada seorang pun yang hidup. Tubuh musuh yang tewas bergelimpangan menjadi korban hentaman pedangnya.

383 pages, Paperback

Published January 1, 2022

2 people are currently reading
4 people want to read

About the author

Abdul Latip Talib

124 books292 followers
Abdul Latip Talib, penulis kelahiran Negeri Sembilan ini sedang mengukir nama di persada sastera tanah air. Dilahirkan di Kg. Ulu Seperi, Rembau, Negeri Sembilan mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1990 dalam pelbagai genre; skrip drama TV, cerpen, puisi, dan novel. Sejak itu karyanya banyak meraih hadiah seperti Sayembara Cerpen Berunsur Islam, Hadiah Sastera Utusan, Sayembara Cerpen Perpaduan, dan Anugerah Sastera Negeri Sembilan.

Novel Randau Ruai memenangi hadiah pertama Peraduan Menulis Sastera dan Budaya Sarawak manakala novel remaja Beraraklah Awan Pilu memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005.

Penulis ini telah menghasilkan novel pahlawan Islam Salahudin Ayubi, Khalid Walid, Ikramah Abu Jahal, dan Tariq Ziyad. Kesemuanya diterbitkan oleh PTS.

Ratings & Reviews

What do you think?
Rate this book

Friends & Following

Create a free account to discover what your friends think of this book!

Community Reviews

5 stars
4 (100%)
4 stars
0 (0%)
3 stars
0 (0%)
2 stars
0 (0%)
1 star
0 (0%)
Displaying 1 - 2 of 2 reviews
Profile Image for Mohd Noor.
45 reviews
September 14, 2025
Novel HUSAIN BIN ALI : SYAHID DI KARBALA.
Bilangan Halaman : 383 Halaman.
Mula Dibaca : Sabtu, 13 Julai 2024.
Tamat Dibaca : Khamis, 25 Julai 2024.

Beberapa tahun lalu, aku pernah menghadiri sebuah pameran replika pedang Saidina Husain R.A. Jika dilihat pada saiz dan rekaan pedang tersebut, aku dapat merasakan bahawa pasti Saidina Husain R.A merupakan seorang pahlawan gagah perkasa dan seperti itu juga yang digambarkan melalui novel tulisan Pak Latip ini.

Novel dibuka dengan kisah pernikahan Saidina Ali R.A dengan Fatimah Az-Zahra R.A, puteri kesayangan Rasulullah SAW. Kelahiran Saidina Husain R.A disambut dengan begitu gembira oleh Nabi SAW tetapi pada masa yang sama, Baginda sangat sedih kerana Malaikat Jibril A.S mengkhabarkan kepada Baginda bahawa Saidina Husain R.A akan dibunuh oleh puak pengkhianat di tanah Karbala.

Keluarga Saidina Ali R.A menjalani kehidupan yang serba sederhana. Saidina Hasan R.A dan Saidina Husain R.A membesar dengan akhlak yang sangat terpuji kerana mendapat didikan langsung dari insan-insan yang sangat mulia iaitu Rasulullah SAW, Saidina Ali R.A dan Fatimah Az-Zahra R.A. Kedua-dua putera Saidina Ali R.A ini gigih menimba ilmu agama sejak dari kecil, sering mengikut Nabi SAW bersolat dan turut dilatih dengan ilmu berpedang dan memanah.

Antara mereka berdua, Saidina Hasan R.A lebih lunak, bertimbang rasa, cintakan kedamaian dan mahu fokus kepada pengembangan dakwah serta ilmu, beliau tidak berminat dengan pertelingkahan politik yang remeh. Nabi SAW pernah bersabda bahawa Saidina Hasan R.A akan mendamaikan dua pihak yang bertelingkah. Saidina Husain R.A pula seorang pejuang yang gagah berani di medan perang, persis bapa dan datuknya.

Tragedi pembunuhan Saidina Uthman R.A angkara tohmahan palsu mencetuskan rangkaian fitnah yang panjang dalam sejarah Islam hingga tercetusnya Perang Jamal dan Perang Siffin yang mengorbankan beberapa Sahabat R.A seperti Zubair Al-Awwam R.A, Talhah Bin Ubaidillah R.A dan Ammar Bin Yasir R.A. Ada juga Sahabat R.A yang mengambil langkah berkecuali dalam konflik ini seperti Saad Bin Abi Waqqas R.A.

Selepas Saidina Ali R.A meninggal dunia akibat dibunuh Abdul Rahman Bin Muljam, umat Islam memilih Saidina Hasan R.A sebagai Khalifah seterusnya tetapi tidak lama selepas itu, beliau menyerahkan jawatan Khalifah kepada Muawiyah R.A demi menamatkan sengketa umat Islam dari berlarutan.

Kematian Saidina Hasan R.A menimbulkan tanda tanya pada waktu itu, siapa yang tergamak meracun cucu kesayangan Nabi SAW ini? Walaupun ada khabar angin yang menyebut beberapa nama, tidak perlu kita berteka-teki kerana Saidina Hasan R.A sendiri tidak pernah memberitahu siapa yang menganiaya beliau.

Pelantikan Yazid sebagai Khalifah sebelum Muawiyah R.A meninggal dunia tidak dipersetujui oleh sebahagian umat Islam termasuklah Saidina Husain R.A dan Abdullah Bin Zubair R.A yang tidak memberi baiat kepada Yazid Bin Muawiyah. Sebelum ini, sistem pemilihan Khalifah berdasarkan sistem musyawarah tetapi pelantikan Yazid menandakan bermulanya sistem pemerintahan secara monarki dalam sejarah Islam.

Yazid memaksa Saidina Husain R.A membaiat dirinya sebagai Khalifah walau dengan cara memerintahkan Gabenor Madinah memenggal kepala Saidina Husain R.A jika ingkar. Atas faktor keselamatan, beliau dan seluruh ahli keluarganya berpindah ke Mekah. Rakyat Kufah yang juga tidak membaiat Yazid menghantar ribuan surat kepada Saidina Husain R.A supaya datang ke Kufah untuk dibaiat oleh rakyat Kufah.

Saidina Husain R.A menghantar sepupunya, Muslim Bin Aqil untuk menyiasat situasi sebenar yang berlaku di Kufah. Yazid pula menggantikan Nu'man Bin Basyir dengan Ubaidillah Bin Ziyad yang terkenal dengan kekerasan dan kekejaman sebagai Gabenor Kufah yang baru untuk menangani isu keingkaran rakyat Kufah membaiat Yazid. Setibanya Muslim tiba di Kufah, beliau berlindung di salah sebuah rumah pembesar dan akhirnya perkara ini sampai ke pengetahuan Ubaidillah.

Bukan seorang yang diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh sang gabenor ini atas justifikasi melindungi Muslim Bin Aqil. kemudian Muslim sendiri memimpin pasukan pejuang menyerang istana gabenor untuk membela kematian insan-insan yang dibunuh Ubaidillah.

Ketika kemenangan hampir nemihak kepada pasukan Muslim, Ubaidillah menggunakan kelicikannya memperdaya pasukan Muslim bahawa kononnya tentera bantuan dari Syam sedang berarak ke Kufah. Pasukan pimpinan Muslim berundur dan akhirnya meninggalkan Muslim berjuang seorang diri hingga akhirnya beliau syahid dibunuh Ubaidillah yang turut mengancam untuk menghukum sesiapa yang berani menentangnya malah kaum lelaki ditawarkan habuan dunia dalam jumlah yang banyak untuk menyertai Ubaidillah memerangi Saidina Husain R.A.

Ubaidillah mengarahkan Umar Bin Saad mengetuai pasukan tentera untuk berhadapan dengan Saidina Husain R.A. Selepas ditawarkan habuan sebagai Gabenor jika berjaya menyelesaikan misi, Umar pun bersetuju. Umar ini anak kepada Sahabat Nabi SAW iaitu Saad Bin Abi Waqqas R.A.

Walaupun dibantah para Sahabat R.A, Saidina Husain R.A tetap dengan keputusannya untuk bergerak ke Kufah bersama lebih 70 orang Ahlul Bait. Di tengah perjalanan, beliau mendapat maklumat bahawa Muslim telah dibunuh dan berwaspada dengan warga Kufah. Perjalanan mereka memasuki Kufah disekat dan mereka dikepung oleh bala tentera Bani Umayyah pimpinan Umar Bin Saad di sebuah kawasan padang pasir yang luas bernama Karbala.

Selepas diberikan beberapa pilihan, Saidina Husain memilih untuk tidak meneruskan perjalanan memasuki Kufah. Tetapi ada seorang lelaki berhati syaitan bernama Syamr Bin Dzil Zausyan yang menjadi batu api dan menyucuk jarum halus supaya Ubaidillah tidak menarik kembali arahan supaya memerangi Saidina Husain R.A. Maka, tentera Bani Umayyah mengepung kawasan Karbala, menyekat semua laluan keluar termasuklah Sungai Furat agar rombongan Saidina Husain R.A putus bekalan air.

Pertempuran tidak dapat dielakkan. Saidina Husain R.A mengarahkan penggalian parit di sekeliling kawasan khemah mereka dan pada malam 10 Muharram 61 Hijrah, mereka semua beribadat, berdoa serta bermunajat kepada Allah.

Pada pagi 10 Muharram 61 Hijrah, kedua-dua pasukan sudah bersiap sedia untuk bertempur. Sekitar 70 orang yang setia dengan Saidina Husain R.A yang turut disertai sekumpulan lelaki dari Bani Asad yang menyusup keluar dari Kufah akan berhadapan ribuan tentera Bani Umayyah. Sebelum bertempur, Saidina Husain R.A berkhutbah kepada tentera Bani Umayyah yang menggetarkan hati sebilangan dari mereka.

Sejurus selepas itu, Al-Hurr Bin Yazid dari tentera Bani Umayyah keluar dari barisan untuk menyertai Saidina Husain R.A. Al-Hurr adalah pejuang pertama yang bertempur bagi pihak Saidina Husain R.A memerangi bekas pasukannya sendiri. Beliau turut disertai oleh anaknya hingga kedua-duanya gugur syahid.

Barisan pejuang yang membela Saidina Husain R.A disertai oleh adik-beradik beliau, Abbas, Abdullah, Uthman dan Jaafar. Anak beliau, Ali Akbar dan anak saudara beliau iaitu anak Saidina Hasan R.A, Qasim Bin Hasan turut sama berjuang. Kesemuanya handal bertarung hinggakan ramai tentera Bani Umayyah yang tumbang di tangan mereka.

Bertempur di tengah padang pasir ditambah dengan cuaca panas yang terik membuatkan para pejuang kehausan. Anak-anak kecil turut menangis kerana dahagakan air. Sebenarnya tentera Bani Umayyah menawarkan air kepada para pejuang dengan syarat mereka membaiah Yazid sebagai Khalifah tetapi sudah pastinya mereka yang setia dengan Saidina Husain R.A enggan. Sedang yang lain bertempur di medang perang, Abbas bin Ali menyerang tentera musuh yang mengawal ketat Sungai Furat untuk mendapatkan bekalan air. Setelah bertarung habis-habisan, beliau gugur syahid.

Seorang demi seorang pejuang gugur syahid, tinggal Saidina Husain R.A seorang diri bertarung dengan garang menumbangkan musuh yang ramai. Mereka berasa gerun melihat kepahlawanan dan ketangkasan Saidina Husain R.A. Bukan sedikit kecederaan di tubuh beliau akibat tebasan pedang, hujaman lembing dan anak panah. Si syaitan Syamr Bin Dzil Dzausyan yang bacul tidak berani bertarung kerana sedar dirinya tidak setanding dengan cucu Nabi SAW itu.

Akhirnya, seorang lelaki bernama Sinan Bin Anas memenggal kepala Saidina Husain R.A malah tubuhnya dipijak-pijak sehingga hancur. Tidak cukup dengan itu, segala persalinan di tubuh beliau dirampas tentera Bani Umayyah.

Mereka semua syahid tanpa diberi walau seteguk air. Anak Saidina Husain R.A yang masih bayi iaitu Ali Asygar turut dibunuh. Kepala-kepala para pejuang diambil dan dibawa kepada gabenor untuk ditukarkan dengan habuan dunia. Jasad-jasad para syuhada' kemudiannya dikebumikan oleh sekumpulan lelaki dari Bani Asad.

Rombongan Ahlul Bait yang masih hidup iaitu Ali Zainal Abidin, anak Saidina Husain R.A, Zainab, adik beliau dan yang lain ditahan sebagai tawanan. Mereka dibawa ke kota Kufah kemudian dibawa ke Syam menghadap Yazid manakala kepala Saidina Husain R.A ditancapkan di atas tombak sebelum dibawa ke hadapan Yazid.

Perjalanan Ahlul Bait ke Kufah hingga menghadap Yazid di Syam menyaksikan dialog yang panjang dan menghibakan, para Ahlul Bait dilayan dengan biadap dan mereka ditahan dalam tempoh yang lama dan kemudiannya dibebaskan untuk pulang ke Madinah.

Saidina Husain R.A menganggap Yazid tidak layak menjadi pemimpin. Perjuangan beliau mahu mengembalikan sistem musyawarah dalam memilih pemimpin seperti mana yang diamalkan di zaman Khulafa' Ar-Rasyidin. Tragedi Karbala menjadi penanda sebuah detik hitam di awal pemerintahan Bani Umayyah selepas pemergian Muawiyah Bin Abi Sufyan R.A. Kekejaman tentera Bani Umayyah pada masa itu tidak terhenti setakat Tragedi Karbala, tetapi ada lagi peristiwa hitam yang menimpa warga Madinah dan Mekah hingga terbunuhnya Abdullah bin Zubair R.A selang lebih kurang 10 tahun kemudian.

Seperti biasa, rekaan kulit novel Pak Latip memang cantik dan font tulisannya lebih besar berbanding novel beliau yang pernah aku baca sebelum ini. Font tulisan yang besar lebih memudahkan pembacaan dan mata aku tidak cepat penat ketika menghayati setiap babak serta barisan dialog dalam novel ini.

Jika sebelum ini ada pihak yang mengatakan novel-novel Pak Latip sekadar meromantiskan sejarah, cubalah baca novel ini. Dengan tulisan yang 'seberani' ini, aku yakin penulis memiliki akses kepada rujukan yang pelbagai cuma aku tidak pasti mengapa senarai sumber rujukan tidak disertakan sekali di dalam novel ini.

Moga Allah laknat mereka yang menganiaya Saidina Husain R.A dan rombongan yang taat setia dengan beliau.

Didiklah diri dan keluarga kita mencintai Rasulullah SAW, para Ahlul Bait dan para Sahabat. Moga kita dikumpulkan bersama mereka di syurga nanti, Aamiin.
Profile Image for Su Zainudi.
185 reviews
October 15, 2024
Sedih sangat baca buku ni. Tahniah buat Pak Latip kerana berjaya menghasilkan buku ini tanpa mengundang rasa jemu untuk menghabiskannya.
Displaying 1 - 2 of 2 reviews