Buku ini merupakan buku pertama di dalam siri 'A Guided Tour'. Siri buku ini merupakan buku yang dikategorikan di dalam 'bukan fiksyen' (non-fiction). Di dalam buku ini,penulisnya,Tom Clancy,mengajak pembaca untuk menerokai dunia kapal selam,terutamanya kapal selam penyerang berkuasa nuklear (di dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Nuclear Attack Submarine dengan singkatan,SSN). Terdapat dua buah kapal selam yang dijadikan contoh iaitu kapal selam jenis 688I yang diberi nama USS Miami (kelas Los-Angeles) dan kapal selam kelas 'T' iaitu HMS Triumph. Masing-masing merupakan kapal selam penyerang nuklear buatan Amerika Syarikat dan British.
Selain meneliti apa yang terdapat di dalam kedua-dua kapal selam tersebut,para pembaca juga didedahkan dengan pelbagai maklumat sejarah dan teknikal yang berkaitan dengan penciptaan,latihan,pengoperasian dan peperangan kapal selam. Maklumat-maklumat teknikal kedua-dua buah kapal selam juga dipersembahkan kepada pembaca. Ini merangkumi peralatan-peralatan yang digunakan di dalam sesebuah kapal selam penyerang nuklear seperti sonar,sistem persenjataan,sistem pendorongan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Untuk menambahkan kefahaman para pembaca mengenai bagaimana sesebuah kapal selam penyerang berkuasa nuklear beroperasi ketika di dalam peperangan,penulis turut memperuntukkan sebuah bab khusus yang membincangkan perkara tersebut. Dengan menggunakan senario-senario operasi rekaan,penulis menerangkan bagaimana kapal selam penyerang nuklear mampu diaturgerakkan untuk menjayakan misi-misi yang mampu dilaksanakan oleh sesebuah kapal selam itu.
Dari segi bahasa,bahasa Inggeris yang digunakan agak mudah untuk difahami dan tidak kompleks. Tidak dinafikan,terdapat beberapa istilah ketenteraan yang digunakan. Namun,perkara ini bukanlah satu masalah yang besar kerana penulis menyediakan sebuah jadual glosari khusus di akhir buku ini untuk menerangkan kepada pembaca maksud-maksud istilah tersebut. Gambar-gambar juga disediakan oleh penulis untuk membantu pembaca mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai subjek-subjek yang dibincangkan.
Namun demikian,saya juga mendapati terdapat beberapa kekurangan di dalam buku ini. Kekurangan-kekurangan tersebut saya senaraikan seperti di bawah ini:
1) Penulis menerangkan dengan agak terperinci mengenai kapal selam USS Miami,tetapi agak kurang memberikan penjelasan yang sama kepada kapal selam HMS Triumph. Hal ini dapat dilihat apabila dibandingkan tahap ketelitian penerangan antara kedua-dua buah kapal selam. Sebagai contoh,penulis memberikan penjelasan yang panjang lebar mengenai senjata torpedo Mark 48 ADCAP (Advance Capability) yang dibawa oleh USS Miami. Manakala,apabila membincangkan torpedo yang digunakan oleh HMS Triumph iaitu torpedo Tigerfish dan Spearfish,hanya beberapa perenggan sahaja digunakan untuk penerangan.
2) Penggunaan dan pemilihan USS Miami dan HMS Triumph sebagai contoh juga saya dapati bertindih (redundant). Tidak dinafikan,kedua-dua kapal selam berbeza negara penggunanya. Namun,saya berpendapat,apa salahnya sekiranya penulis membincangkan juga kapal selam peluru berpandu balistik nuklear (Nuclear Ballistic Missile Submarine atau SSBN). Tidak kira sama ada dari Amerika Syarikat (kelas Ohio) atau British (kelas 'V'),sudah tentu akan membuatkan buku ini tambah menarik. Bukan itu sahaja,pembaca akan mendapat 'bonus' kerana dapat mengetahui maklumat-maklumat penting mengenai kedua-dua jenis kapal selam di dalam sebuah buku. Walaupun kedua-dua jenis kapal selam tersebut mempunyai kuasa pendorongan yang sama (nuklear),tetapi masing-masing mempunyai peranan dan cara beroperasi yang berlainan antara satu sama lain. Yakni,gantikan perbincangan mengenai salah satu antara USS Miami atau HMS Triumph dengan mana-mana kapal selam peluru berpandu balistik nuklear dari kedua-dua negara di atas.
3) Kekurangan ketiga juga berkaitan dengan kekurangan kedua,iaitu bertindih. Kedua-dua kapal selam yang diperbincangkan sebenarnya hampir sama keupayaannya dari pelbagai segi. Hal ini kerana kedua-dua kapal selam itu dicipta di negara Barat atau NATO (North Atlantic Treaty Organization). Tambahan pula,sebagai sekutu rapat,terdapatnya persamaan teknologi kerana kedua-dua negara,Amerika Syarikat dan British,berkongsi kepakaran dan teknologi untuk membantu antara satu sama lain dalam penghasilan kapal selam penyerang nuklear. Mungkin adalah baik sekiranya salah satu perbincangan kapal selam digantikan dengan perbincangan mengenai kapal selam jenis yang sama tetapi buatan USSR (United Socialist Soviet Republics)/Rusia,yang merupakan musuh Amerika Syarikat dan NATO ketika era Perang Dingin dahulu. Namun begitu,saya memahami perkara ini sukar dilakukan mungkin kerana kesukaran penulis sendiri untuk melakukan kajian akibat kekangan-kekangan dan sekatan-sekatan tertentu. Tambahan pula,penerbitan asal buku ini adalah pada tahun 1993 dan Perang Dingin baru sahaja berakhir. Jadi,atas faktor ini mungkin menyebabkan kesukaran penulis mendapatkan maklumat yang berkaitan dan meneliti sendiri kapal selam penyerang nuklear milik Rusia secara peribadi atas sebab-sebab keselamatan dan kerahsiaan.
Walau bagaimanapun,buku ini tetap menarik untuk dibaca,terutamanya kepada mereka yang berminat dengan kapal selam. Maklumat-maklumat yang dipaparkan adalah sangat berinformasi dan agak lengkap. Namun begitu,perlu ditegaskan di sini bahawa maklumat-maklumat yang dipaparkan di dalam buku ini masih tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditetapkan oleh pihak tentera dan kerajaan Amerika Syarikat. Hal ini dilakukan untuk memastikan rahsia-rahsia keupayaan sebenar negara tersebut terpelihara dan tidak terdedah kepada musuh. Selain itu,terdapat juga maklumat-maklumat yang sudah lapuk (outdated)(buku ini sudah berusia 19 tahun). Namun demikian,nilai dan mutu buku ini masih tidak terjejas terutamanya dari sudut pengetahuan dan sejarah pengoperasian kapal selam penyerang nuklear. Malah,buku ini merupakan antara buku terbaik yang dihasilkan yang membincangkan mengenai kapal selam penyerang nuklear.