MAT SOM
Dah tahun 2016 barulah nak baca komik ni, padahal sudah terbit tahun 1989 lagi. Berlatar belakangkan tahun 80-an, mengisahkan Mat Som anak kelahiran Tanjung Malim yang bekerja sebagai penulis sambilan di sebuah syarikat akhbar di Kuala Lumpur.
Konflik bermula saat dia menerima surat dari ayahandanya yang meminta dia berkahwin dengan teman sepermainannya, Wan Faridah.
“Ini zaman microchip, mana ada lagi anak yang berkahwin dengan pilihan keluarga.”
Kisah Mat Som ini diselang-selikan dengan ingatan kisah zaman kanak-kanaknya. Dia mengimbau kenangan ketika bermain dengan Wan Faridah dan abang-abangnya, gambaran ketika kecilnya adalah Wan Faridah seorang budak perempuan gemuk dan seringkali berhingus. Padanlah Mat Som tak mahu!
Keinginan Mat Som menolak cadangan bapanya terhenti apabila buat pertama kali dalam hidupnya, sewaktu berumur 28 tahun, dia pergi ke tempat kerja bapanya di sebuah kapal korek (aku sendiri tak tahu kerja apa di kapal korek ni).
Jalan cerita dalam komik ini mungkin biasa-biasa saja, tapi babak di dalamnya yang lebih menarik perhatian. Babak di mana Mat Som menjelaskan bahawa pendapatan bulanannya masih tidak tetap, dan bulan itu, beliau masih belum juga dapat apa apa. Kemudian dia pergi ke kedai pajak gadai, menggadai jamnya untuk harga RM15 supaya beliau boleh makan pada hari itu.
Babak yang agak lucu juga apabila Leman hendak menumpangkan Mat Som menaiki kereta secondhand yang baru dibelinya. Kereta itu tidak hidup rupanya kerana bateri kereta itu jatuh dan sudah berada di belakang kereta itu.
Oleh kerana Mat Som itu seorang penulis, dia biasa bergaul dengan golongan penyair. Dan di dalam buku ini aku rasa, adanya kemunculan Pyanhabib. Terdapat beberapa buah puisi yang diselitkan di dalam buku ini, tetapi untuk buku versi Bahasa Inggeris, ianya kedengaran pelik sedikit (ah kenapa aku pergi beli versi ini hari tu).
Adakah Mat Som berkahwin dengan Wan Faridah ? Itu kena baca sendirilah !
p/s: lebih baik baca versi Bahasa Melayu kerana sajak dan puisinya lebih mudah difahami