Novel Nisah Haron, yang bercerita tentang Profesor Madya Dr. Ainur Mustika, wanita elit yang mengharapkan nyalaan lentera cinta dalam hatinya.
Dia mengakui, tidak lengkap hidupnya tanpa suami di sisi, namun pada sisi lain hatinya, dia bertanya, adakah ia benar kini? Pada saat cinta semakin mendekat, hatinya pula semakin berkicau dengan pertanyaan-peranyaan apakah akhir sebuah cinta, dan bermulalah dilema Ainur Mustika.
Novel yang beralur manis, digarap dengan diksi yang bertenaga, disambung-sambung rangkaian kata-kata dinamik, dan jauh ke dasarnya, memberikan pembelajaran tentang cinta dan teladan.
Born in Seremban, Negeri Sembilan on 20 April 1973, Nisah Haron has been writing as a hobby since 1988. She has written forty short stories, five novels, essays and a few poems published in local literary magazine and newspaper.
Nisah Haron had her legal education from National University of Malaysia and graduated in 1997. She also obtained her LL.M from the same instition in 2006. She practised as an advocate and solicitor as well as a syarie counsel for eight years before becoming a full-time writer in 2006. She advocates on the copyright awareness among writers and publishers. Nisah has also written a copyright book for laymen entitled "Karya Kita Hak Kita - Panduan Hak Cipta" (Al-Ameen Serve Holdings, 2008).
Her works has been received my awards including Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan and many others. Recently, she won first place in Hadiah Sastera Berunsur Islam with her winning short-story, “Aset Istiqamah”.
Her personal blog is www.annyss.blogspot.com, or join her on Facebook "Nisah Haron - Pengarang".
Betul kata Faisal Tehrani, "Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam 'wilayahnya' menerusi buku ini. Ternyata cinta, seni dan undang-undang sangat mesra saling berkait antara satu sama lain di dalam kehidupan.
Saya kira penulis berjaya menyampaikan 3 elemen itu kepada para pembaca. Saya sendiri kurang pasti apakah mesej tunggal sebenar yang penulis mahu sampaikan menerusi Lentera Mustika untuk menjadi bekal-bekalan kepada pembaca : cinta kepada warisan seni melayu?, faham perundangan? atau memaknai hubungan hati antara lelaki dan perempuan?, kerana semua mesej-mesej itu seimbang disampaikan. Apa yang pasti, buat diri saya, ketika saya mengakhiri halaman-halaman terakhir Lentera Mustika, ternyata bukan ketiga-tiga perkara itu menguasai pemikiran saya tetapi lebih condong kepada soal memandang kehidupan dengan lebih baik. Mungkin disebabkan itu saya mengakhiri buku ini dengan air mata walaupun cerita tidak diakhiri dengan kesedihan.
Lentera Mustika ialah sebuah cerita cinta. Cinta kepada yang berlainan jantina. Cinta kepada ilmu dan seni. Cinta kepada perjuangan. Segala cinta itu diadun dan dimeriahkan menerusi buku ini dengan perantaraan watak utamanya, Professor Madya Ainur Mustika, lambang wanita yang masih kurang berjaya kerana belum berkahwin lagi walau usia sudah 30 tahun lebih. Itulah yang dianggap orang-orang kampungnya. Tetapi, biarlah apa orang kata kerana perkahwinan itu bukan dilakukan semata-mata kerana mahu senyapkan mulut orang sahaja.
Bukan tidak ada orang yang mahu mendekati professor pantun ini. Zul Farhan bekas anak muridnya juga menaruh perasaan. Rozario, rakan sekerja pun sebegitu. Tetapi, entah kenapa, hatinya dirasai masih dimiliki oleh Syed Amirul Hakim. Seorang lelaki yang mempunyai minat, cita-cita dan cara pemikiran yang sama dengannya. Kerap kali bayangan lelaki itu muncul di hadapannya. Cincin di jari manis yang diberikan oleh lelaki tanah seberang itu masih tidak dibuang walaupun dia tahu perhubungan tersebut tidak boleh diteruskan lagi. Mungkin boleh diteruskan jikalau dia mahu meneruskannnya. Ini ditambah-tambah lagi dengan desakan demi desakan daripada Syed Amirul sehingga sanggup datang ke Malaysia.
Tetapi akhirnya Professor Mustika membuat keputusan yang berbeza. Perjumpaan dengan Syed Amirul Hakim yang mewakili Indonesia secara kebetulan di Shanghai semakin membuatkan hatinya yakin. Emir Johan ialah jawapan istikharah Ainur Mustika. Muktamad.
Kadang-kadang saya terfikir juga, mungkinkah ada sequel kedua untuk Lentera Mustika yang akan menyambungkan semula ikatan hati antara Syed Amirul Hakim dengan Ainur Mustika. Jikalau Mustika kehilangan nakhoda, dia akan menggantikannya dan dia masih lagi menunggu di tebing Sungai Musi. Itu janji Syed Amirul Hakim.
Agak tidak adil jikalau Lentera Mustika hanya difahami dari sudut hubungan cinta Professor Mustika sahaja kerana hakikatnya Lentera Mustika bukanlah novel cerita cinta seperti yang difahami. Memang ada cerita cinta dan cerita itu memang mewarnai keseluruhan novel ini. Dan sempat juga saya untuk tidak menyetujui beberapa perkara di dalam novel ini terutamanya yang bersangkut paut dengan hubungan lelaki dan perempuan. Tidak banyak tetapi oleh kerana saya menggambarkan watak Professor Mustika sebagai watak orang suci, jadi secara tidak langsung, pemikiran saya diarah untuk turut sangat berharap yang dia akan seperti malaikat juga, bersih tanpa sebarang kesilapan. Atau mungkin juga kerana saya mempunyai cara berfikir yang berbeza dari sudut tersebut, maka itu boleh juga menjadi penyumbang kenapa saya tidak bersetuju.
Berbalik kepada isu tadi, di sebalik cerita cinta yang mewarnai Lentera Mustika, secara hakikat saya suka mengganggap penulis sebenarnya mahu memperjuangkan sastera khususnya pantun, seloka, puisi dan gurindam melalui karyanya ini. Mesej itulah yang begitu menebal dicanang sana-sini dari halaman pertama sehinggalah halaman terakhir. Pada mulanya, saya juga agak sedikit janggal, "ala sedikit-sedikit pantun, tidak pantun, seloka, tidak seloka, gurindam, entah macam mana saya mahu bezakannya". Tetapi sehingga habis pembacaan, tanpa disedari, persepsi saya terhadap seni warisan melayu itu bertukar. Daripada anggapan awal yang mengatakannya sungguh leceh, bertukar menjadi lebih positif dan "oh, sungguh indah rupanya!.
Tampak lebih berwawasan apabila Professor Ainur Mustika mahu memperjuangan pemahaman seni sastera ini dari sudut berbeza. Baginya, perjuangan bukan setakat di bilik kuliah sahaja. Disiplin ilmu tersebut bukan milik mutlak orang sastera sahaja. Apa salahnya jikalau ia diperkembangkan melalui jalan ilmu undang-undang. Tidaklah jauh jarak pemisah antara dua disiplin ilmu itu, sastera dan undang-undang. Hanya kita yang suka mengasingkannya seperti mana yang dibuat oleh penjajah dahulu. Seperti mana realitinya Hukum Kanun Melaka dan Tajus Salatin yang diperlakukan sebagai karya klasik sastera dan bukannya karya undang-undang Kesultanan Melayu Melaka.
Maka dengan misi berkobar-kobar itu, Professor Ainur Mustika mahu membuat perubahan. Dia mahu menjadi pencetus. Dia mahu setiap daripada kita harus keluar dari kepompong dan pemikiran lama. Dia bercita-cita mahu menyesuaikan sastera mengikut arus moden. Kalau songket dan batik boleh diselarikan dengan peredaran zaman, tidak mustahil bukan untuk pantun, seloka, gurindam, nazam dan pelbagai lagi warisan seni Melayu yang semakin dipinggirkan ini.
Perjuangan inilah yang membawanya terbang ke Shanghai. Bergabung dengan Badariah, seorang pensyarah undang-undang. Mereka bercakap tentang hak cipta terhadap karya klasik. Professor Mustika mahu melihat sejauh mana undang-undang boleh mempertahankan warisan seni itu seperti pantun, syair, gurindam dan lain-lain. Walaupun seminar di Shanghai adalah khusus untuk pengamal undang-undang, namun Professor Mustika sentiasa percaya yang dia tidak harus terikat dengan satu disiplin ilmu sahaja. Dia harus memberi peluang kepada diri sendiri untuk melebarkan disiplin ilmunya. Ternyata bukan satu kesalahan menggabungkan dua ilmu tersebut malah ia tidak boleh dipisahkan. Bak kata Professor Mustika , "Warisan budaya tidak ditinggalkan, namun cara berubah mengikut takah kemajuan".
Namun begitu, setiap kali saya sedikit demi sedikit semakin mesra dengan perjuangan memartabatkan seni warisan Melayu itu, saya seringkali ditarik untuk menyelusuri kehidupan Professor Mustika. Sebab itu, sejak dari awal-awal lagi saya katakan, di halaman-halaman terakhir, bekalan terakhir yang saya perolehi dari Lentera Mustika ialah soal memandang kehidupan dengan lebih baik.
Memetik kata-kata kehidupan yang ditulis oleh penulis, hidup ini banyak persimpangannya. Setiap persimpangan itu memiliki takdir yang berbeza. Kehidupan adalah untuk diiisi bukan untuk ditangisi walau di hadapan adalah sebuah kematian. Apabila kita berfikir seperti itu, maka setiap hari kita akan hidup dengan penuh bererti agar kehidupan di dunia itu nanti dapat menjadi jambatan untuk kehidupan yang satu lagi. Hiduplah dengan sepenuh cinta dan kasih sayang. Belajarlah bersyukur pada setiap kehidupan.
Ainur Mustika bukanlah lilin yang membakar dirinya untuk kebahagiaan orang lain tetapi seolah-olah seperti lentera yang menerangi kehidupan orang-orang yang berada di dalam sinarannya. Baru saya faham kenapa tajuknya Lentera Mustika!
Tertarik benar dengan pantun yang dinukilkan. Untuk saya yang kurang ilmu tentang bidang ini, nyata memberi ilmu baharu.
Ainur Mustika seorang profesor dalam bidang pantun benar-benar menghayatinya dalam kehidupan. Menarik sekali apabila digandingkan dengan bidang undang-undang. Satu mesej yang bukan biasa-biasa ditonjolkan.
Puan penulis menggunakan kepakarannya dalam bidang undang-undang serta minat terhadap sastera Melayu diadun dalam Lentera Mustika. Terbaik.
Lentera Mustika dekat di hari saya kerana saya minat Anisah Haron, saya alumnus UKM, pemandangan ke luar dari tingkap bilik Ainur Mistika, banggunan pejabat, bilik mesyuarat, perpustakaan, semuanya saya beh bayangkan kerana kebanyakan dari 4 tahun belajar di UKM dulu, masa saya tertumkah di kawasan tersebut. Juga, saya telah bekerja di UKM lebih 24 tahun, boleh bayangkan suasana mesyuarat, pandangan pensyarah terhadap pelajar dan terhadap pengurusan Universiti. Juga, saya suka baca prosa yang dilakonkan oleh peguam.
Lentera Mustika bagi saya ditulis dengan teliti oleh seorang penulis yang mementingkan kualiti dalam segala hal. Saya suka pantun-pantun yang dipilih, mendamaikan. Ainur Mustika, wanita tegas pendirian sebagai pendidik mahupun sebagai pencinta. Saya nampak sifat 'mementingkan citarasa sendiri'. Mungkin Ainur Mustika punyai cukup ketokohan dan sokongan memotivasikan segala aksi dirinya. Adakah Ainur Mustika bagi anda seorang yang boleh di angkat sebagai icon pendidik berkaliber? Emir Johan, biarpun lebih menyengat butir bicaranya, bagi saya seorang yang lebih menyenangkan dengan tampak lelaki tenang peguam berkaliber. Mungkin disebabkan umur yang lebih matang dan pengalaman yang lebih luas bertemu orang pelbagai kisah.
Ada lagi yang ingin saya tulis. Mungkin nanti sambung.
Judul buku: Lentera Mustika Penulis: Nisah Haron Terbitan: Bibliolit Cetakan / Tahun terbitan: Cetakan pertama / 2022 Tempoh baca: 24/6/2022 – 30/06/2022
Ulasan: Suka saya mengkategorikan novel ini sebagai novel cinta dewasa. Ia dewasa dari segi binaan bahasa dan perwatakan watak di dalamnya. Malah, yang menjadikan ia berbeza dengan novel cinta lain adalah pembangunan pantun dan gurindam yang menyambut pembaca di muka pintu setiap babak ceritanya.
Ia kisah perjuangan cinta Ainur Mustika. Cinta kepada pantun, khazanah bangsa yang semakin terkubur. Cinta kepada pria yang juga mencintai tetapi terlalu jauh untuk direalisasi dalam hubungan berikatan perkahwinan.
Olahan cerita ini sangat manis. Lebih manis bila ‘pick-up line’ watak dalam bentuk pantun yang halus bahasa, bila dibaca rasa tersipu dengan makna.
Membaca Lentera Mustika, membuatkan kita jatuh cinta. Bukan dengan hero di dalamnya, tetapi dengan khazanah bangsa – pantun, gurindam dan seloka. Masya-Allah, andai tidak wujud buku sebegini, tidak terpandang akan apa yang kita sedia miliki. Mahalnya bahasa pantun. Mahalnya makna berlapis yang disusun. Rasa macam nak kata pada bangsa luar, “Kau, hado?”
Walaupun cerita ini ditulis menggunakan bahasa Melayu yang tersusun, yang elok letak atur tatabahasa, pemilihan kata sempurna tanpa singkatan apatah lagi slanga moden yang mencalar bahasa, namun emosi di dalamnya tidak lari sama sekali. Masih terasa manis, bila sang watak mengayat. Masih terasa pedih, bila babak pengkhianatan dinaikkan. Masih terasa sedih bila rasa cinta terpaksa dikesampingkan. Malah, masih terasa pedih bila dalam selimut bahagia yang terbentang, ada duri yang tersimpan.
Konflik cinta tak kesampaian adalah konflik klise. Begitu juga dengan kecurangan pasangan. Namun, cara lerainya yang berbeza menjadikan Lentera Mustika istimewa. Peleraiannya sesuatu yang rasional di dunia realiti untuk kita ambil peduli. Konflik yang dinaikkan, walaupun mengganggu emosi watak, malah emosi pembaca, tetapi ia terlerai dengan cara yang bijaksana. Penulis meletakkan timbangan suasana dalam akal yang bekerja. Membantu watak menyelak air mata duka untuk melihat jalan penyelesaiannya. Mendahulukan akal berbanding emosi. Memberi fungsi kepada watak utama menjadi hero dalam cara yang lebih bermaruah. Akal sebagai senjata, ilmu sebagai perisai menentang watak yang asalnya putih, kemudian tergelincir masuk ke garisan hitam tak ketahuan.
Watak-wataknya mempunyai persamaan dan keserasian dalam memperjuangkan pantun dan gurindam. Digerakkan dengan satu perjuangan memartabatkan pantun sebagai khazanah bangsa. Mengekal dan mengangkat pantun di pentas antarabangsa.
Bila saja lihat muka depannya, tentu terlintas yang novel ini kisah anak dara tua yang lanjut usia sedang mencari cinta, mungkin.Balik belakangnya, memang sah.
Awal-awal halaman lagi pengarangnya, Nisah Haron memperlihat akan itu,
''Saya tahu, saya ini seperti menangguk bayangan bulan di dalam air tapi saya tetap tidak mahu kalah dalam perjuangan ini. Saya tahu, saya juga punya peluang yang sama.'' Rayu lelaki bernama Rozario.
''Usia kita mungkin berbeza, Dr. Mustika. Tapi kematangan seseorang bukan terletak pada usia. Memang benar, Dr Mustika pernah mengajar saya sebelum ini tapi itu dulu. Kini saya bekas murid. Peluang yang saya buka ini bukanlah hanya mengikut selera ataupun nafsu. Saya mahu jadi pelindung guru saya yang telah banyak mencurah bakti. '' Zul Farhan pula datang menawar.
Mungkin bagi pembaca yang belum pernah membaca mana-mana karya Nisah sebelum ini pasti akan: alah, ini kisah main rebut-rebut cinta lagi.
Tenang, jangan cepat menghukum. Cuba belek, cuba baca, cuba belek lagi dan baca lagi. Oh, Nisah;
Pokok pandan di kaki bukit, Bertentang dengan pokok paku, Rosak pandan kerana penyakit, Rosak bangsa kerana laku.
Benar, rosak bangsa kerana laku. ----bersambung----
Lentera Mustika Membaca buku ini sebetulnya memberi kesan tersendiri, banyak sisi ilmu yang dipermudahkan. Setidak-tidaknya saya ingat satu dua pantun yang ditulis di dalamnya. Tidak salah atau keterlaluan jika saya katakan karya ini bersifat evergreen. Gaya pengolahannya menarik di samping pembahagian bab demi bab yang penuh dengan kesinambungan dan kejutan. Pastinya mungkin inilah kelebihan sebuah novel yang ditulis secara bersiri dan dipersembahkan dalam majalah bulanan seperti Aniqah. Kisahnya berkait seorang pensyarah sastera Prof. Madya Ainur Mustika; seorang professional yang termasuk dalam kalangan andartu. Kisah cintanya diolah dengan tidak terlalu mengikut konsep naratif cinta biasa dalam novel popular atau novel cinta remaja. Dia memang diminati oleh beberapa orang pemuda. Seorang rakan sejawat di sebuah uniersitas Indonesia Syed Amirul Hakim, Zul Farhan bekas pelajar dan Rozario, juga bekas pelajar. Suatu hari dia menemani Dahlia menguruskan urusan pembelian rumah. Sejak detik itulah dia mula mengenali Emir Johan. Lelaki ini sebenarnya seorang dua setelah kematian isterinya dalam kemalangan jalan raya. Dia mempunyai seorang anak susuan bernama Eli Jazlina atau E-jay. Kebetulan pula dia mempunyai minat yang mendalam terhadap sastera. Kesamaan citarasa ini menjadikan mereka dekat dan memiliki pemikiran yang sama terutama dalam bidang kesusasteraan. Ketika Ainur Mustika dan Badariah menyertai persidangan sastera antarabangsa di Beijing, Emir Johan menghulur bantuan kewangan sebagai sokongannya. Pun begitu, dia tidak sekali-kali mensyaratkan apa-apa sebagai imbal balas. Ainur Mustika menghadapi dilema, serba salah dibuatnya. Saya tidak akan resensikan novel ini seperti biasa-biasa saya tulis untuk novel lain. Mengapa saya kata boleh mengingat satu pantun? Pertama sekali tentulah kerana ilmunya. Walau pun pantun itu ringkas, tetapi pembayangnya membuat saya tertanya-tanya. Ada satu pantun yang dicipta melibatkan pandan. Dan dikatakan pandan itu berduri. Ya, saya tidak pernah jumpa speasis pandan berduri, dan kerana itulah otak saya bergerak untuk mencari-cari benarkah ada satu speasis pandan berduri? Bukan sekadar pandan itu sebetulnya, tetapi dua baris terakhir dalam rangkap pantun itu yang masuk ke dalam diri. Hendaklah baik menjaga badan, Dalam badan ada diri. Novel ini boleh dikelaskan sebagai novel Islami kerana pendekatannya. Dalam memperihalkan perhubungan antara Ainur Mustika dengan lelaki-lelaki yang meminatinya, digarap dengan penuh santun. Malahan ada juga penyelesaian mengikut kaedah Islam yang dititipkan seperti persoalan walimah, wasiat, hibah dan pusaka. Benarlah jika dikatakan tema berat dan besar telah berjaya diketengahkan dengan baik, ringkas dan mudah difahami. Selain daripada itu, terdapat satu lagi tema penting yang dimasukkan dalam Lentera Mustika ini. Memang kebanyakan daripada kita tidak peka terhadapnya. Namun begitu, di tangan bekas peguam ini perkara itu dirungkai dengan baik sekali. Sisi perundangan yang ditekankan dalam novel ini mengajak pembaca memahami aspek harta intelek untuk karya khususnya karya tradisional. Jarang-jarang penulis mengangkat persoalan ini di mana-mana. Sehingga sedikit persoalan yang dibangkitkan ini, menggerakkan pula minda saya mendapatkan sebuah lagi buku yang menghurai dengan panjang lebar tentang hak cipta. Berbalik kepada jalan cerita novel ini, akhirnya Ainur Mustika berkahwin dengan Emir Johan. Tetapi pengakhirannya tergantung pada detik mereka mengecapi kebahagian yang dikejutkan dengan berita penyakit Emir Johan. Penulis tidak menggantung keadaan itu di sini. Bagi saya tidak ada masalah kerana beberapa hal yang ingin disampaikan sudah berjaya masuk ke dalam pemikiran pembaca. Kebergantungan itu boleh jadi sebagai titik yang mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi dalam novel lain pula. Kemungkinan juga, akan terdapat kembar kepada novel ini yang akan membincangkan persoalan kehidupan ibu tunggal. Misalnya. Dan sekali lagi saya tegaskan, karya ini layak dikelaskan sebagai karya evergreen dan tidak sia-sia anda memilikinya.
Kuda hitam pelana kain, Bunga seganda di dalam dulang, Niatku tidak pada yang lain, Hanya pada tuan seorang.
Pertama kali aku dicadangkan oleh Sis Adhan untuk menghalusi karya penulis ini. Tanpa teragak-agak bila bersua dengan novelnya aku gapai dan beli ;D
Membawa kita pada kisah Prof. Madya Dr. Ainur Mustika [Ainur:]; seorang Pensyarah Kesusasteraan Tradisonal Melayu. Jarang sungguh watak diberi ‘kerja’ seperti ini. Jadi permulaannya saja sudah berjaya menarik aku untuk terus membacanya.
Ainur wanita lewat 30-an yang masih belum berkahwin. Dibayangi oleh 3 orang lelaki iaitu Syed Amirul Hakim, Rozario dan ZulFarhan yang punya kredibiliti tersendiri. Ketiga-tiga lelaki ini sering menghantui gerak langkah Ainur tetapi yang paling besar kesannya pastilah Syed Amirul Hakim.
Ainur pernah jatuh hati pada Syed Amirul Hakim. Namun sayangnya tak berpanjangan bila keluarga Syed Amirul Hakim menolak kehadiran Ainur. Mereka mahukan menantu yang bergelar “Sharifah”. Kasihan! Cinta dua darjat yang tidak kesampaian. Ainur rela mengundur diri.
Takdir menemukan Ainur dengan Emir Johan [Emir:], seorang peguam yang mempunyai firma guamannya sendiri. Sikap Emir yang amat berminat dengan prosa tradisonal mengusik hati Ainur. Malah kesanggupan Emir menaja pemergian Ainur ke Shanghai untuk pembentangan kertas kerja berkaitan kesasteraan Melayu tidak dapat dilupakan. Tanpa disedari baik Ainur dan Emir, masing-masing sudah pun menyimpan rasa.
Dan cerita seterusnya membawa kita kepada kesungguhan Ainur memartabatkan budaya yang dah lama kita biarkan. Selain itu ada terselit mengenai kepentingan menulis wasiat. Penulis juga ‘menasihati’ pembacanya tentang sikap masyarakat Melayu yang terlalu mengikut adat. Kalau mahu mengahwinkan anak, sanggup bergolok-gadai janji acaranya grand.
Ah! Kisah cinta beginilah yang saya suka. Tahniah buat Puan Nisah Haron kerana berjaya menerapkan beberapa unsur sekaligus ke dalam novel ini.
Adakala orang kurang suka dengan gaya bahasa sastera yang indah dan dikatakan bertele-tele. Tapi bagi saya, kalau penulis bijak menggunakannya, bukan sekadar nilai estetik yang bakal dinikmati.
Ibarat penulis Lentera Mustika, alang-alang pandai bermain bahasa, dikhabarkan watak wanita utamanya dengan saksama, indah rupa dan bijaksana pula. Bukan seperti watak tertentu dalam cerita cinta, asyik bermenung dan berangan sahaja, mengenang si jejaka kacak tak tentu hala tanpa mengira si dia itu jelmaan bukan manusia.
Inilah kisah cinta yang penuh makna, nasihat, sindiran diselit jua, buat pengingat para pembaca, agar tak hanyut dibuai gelora rasa.
Seronok membaca buku ini. Banyak ilmu yang dikongsi, dari hal-hal seperti hukum faraid, hak cipta dan harta sepencarian, kepada hal-hal kesusasteraan seperti pantun dan gurindam. Apa yang Nisah Haron berjaya lakukan ialah menyelitkan ilmu pengetahuan ini sedikit demi sedikit agar pembaca tidak bosan dan ilmu itu dapat difahami dengan lebih mudah. Setiap bab pula dimulakan dengan pantun yang indah. Jangan salah sangka, kekuatan novel ini bukan pada ilmu pengetahuan yang dikongsi sahaja. Kisah cinta Islami sebagai latarbelakang utama juga dilakarkan dengan menarik sekali. Jangan lepaskan peluang untuk membaca buku ini.
Lama juga masa yang diambil untuk membaca novel ini. Hampir dua bulan. Sebenarnya, bagi saya, permulaan cerita yang sangat boring, menyebabkan pembacaan yang sangat lembab. Rasa malas nak habiskan. Bila sampai pertengahan, konflik tu tiba-tiba datang. Membuatkan mata tak nak lepas dari pembacaan hinggalah habis. Boringnya bukan apa. Cuma kurang faham dengan prosa tradisional yang terlalu sastera dan beberapa sistem perundangan yang terlalu strict. Apapun, buku ini emang best. Sangat menarik bagi saya kerana ada kelainan. Sangat lain. Untuk ulasan saya lebih lanjut, sila rujuk blog.
Yang menariknya, pantun. Rupanya, indah juga pantun Melayu kita ya...;)
Sebagai seorang yang sangat jarang membaca buku yang ada rangkap pantun, saya menggemari buku ini! Bukan saja menekankan tentang kepentingan menghargai pantun, syair, gurindam, seloka, nazam dan lain-lain, tapi buku ini juga menekankan tentang hubungan sesama manusia. Watak Ainur Mustika, bagi saya sangat membuka mata saya untuk lebih menghargai Sastera Melayu. Emir Johan, haih mna nak cari Emir Johan dalam kehidupan sebenar ni ye? Hahhaha yang penting saya suka buku ini!
Membaca ayat pertama oleh Juliana Es Mohamed Munawir, seorang pustakawan merangkap pembaca novel ini, menjadikan saya resah sama ada saya patut meneruskan pembacaan novel ini atau tidak. Tetapi ayat seterusnya:
“Namun, bukan matlamat utama penulisnya membuai pembaca dengan keasyikan tidak berhaluan. Cinta dalam Lentera Mustika adalah cinta pada agama, cinta pada warisan, cinta pada alam, cinta pada ilmu dan ya, semestinya juga cinta sesama manusia…”
Telah memberikan perspektif yang mengujakan untuk saya mengambil sikap meneruskan pembacaan novel ini.
Ini merupakan novel ketiga kak Nisah Haron yang saya baca. Seakan-akan ada tarikan untuk saya perlahan-lahan mencari dan membaca karya-karya beliau, satu persatu. Karya-karya beliau, setakat yang saya baca, seperti Mencari Locus Standi, Tawarikh Cinta dan yang ini, Lentera Mustika, serta himpunan cerpen dalam Cinta Kuriang Rindu Oedipus; hampir semuanya membawa mesej penting mengenai warisan dan makna diri yang perlu diketahui, dijaga dan diwarisi oleh anak muda masani. Saya fikir, jika pembacanya seorang dewasa, ia pasti menggamit kenangan lampau kerana garapan kreatif karya-karya kak Nisah seolah-olah menjadi jambatan antara warisan budaya sedari dahulu dan zaman kini yang sarat dengan semangat ‘dunia tanpa sempadan’, globalisasi, dan gaya hidup baharu.
Karya ini saya perolehi secara tidak sengaja di pusat sumber Perbadanan Kota Buku. Sedang saya membelek-belek satu persatu buku-buku yang ada di rak, terpandang nama Nisah Haron dengan tajuk karya yang belum pernah saya baca. Lalu saya ambil dan membuat bacaan sepintas lalu. Pandangan pertama: menarik dan ia ditulis oleh penulis yang saya kenal hasil-hasil karyanya.
Tetapi, saya ada sedikit masalah dengan karya ini. Muka hadapannya yang kelihatan agak feminin melalui hiasan warna dan gambarnya, menjadikan saya malu-malu kucing bila membacanya di dalam LRT. Mungkin kerana diri saya sendiri yang agak tidak meminati sebahagian besar novel-novel popular yang hampa nilai di luar sana. Memang perlu diakui, muka depan sesebuah karya sedikit sebanyak memberi kesan kepada seorang pembaca yang agak maskulin seperti saya!
Lentera Mustika merupakan sebuah karya pre-kual kepada Mencari Locus Standi (MLS). Dalam novel MLS, Eliza Jasmin yang merupakan anak kepada Emir Johan, menjadi watak utama di dalam MLS. Akan tetapi, dalam Lentera Mustika (LM), Ibu tiri E-Jay (nama panggilan bagi Eliza Jasmin), iaitu Dr. Ainur Mustika, adalah watak pemasaknya. LM adalah cerita mengenai Ainur Mustika yang merupakan seorang pensyarah di sebuah Universiti Awam (UA), mengajar subjek Puisi Tradisional, bukan sekadar seorang pensyarah biasa. Beliau digambarkan sebagai seorang pensyarah yang berusaha memperjuangkan ilmu pengetahuan yang ada padanya.
Mustika, yang belum berkahwin, sedang digilai 3 orang pemuda iaitu Syed Amirul Hakim (pensyarah di institusi pengajian tinggi di Indonesia, Zul Farhan (bekas pelajarnya sendiri) dan Rozario (rakan sekerjanya di fakulti yang sama). Syed Amirul Hakim seperti gila bayang, kerana sanggup berulang kali bertemu dengan Mustika dan menyatakan hasrat untuk berkahwin sedangkan, dia maklum bahawa hubungan mereka tidak direstui oleh kedua orang tuanya. Menurut Mustika, kerana perbezaan taraf; Ainur Mustika bukan dari golongan Syed-Sharifah.
Selain watak 3 jejaka yang gagal menawan hati Mustika, turut diceritakan sahabat karib Mustika, iaitu Kak Dahlia yang merupakan seorang kerani di fakulti Ainur Mustika bertugas. Melalui Kak Dahlialah, akhirnya nanti, Mustika bertemu jodoh dengan Emir Johan, seorang peguam.
Siapa sangka, hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah, kehidupan bahagia yang menjadi idaman setiap pasangan, kadang-kala tidak lepas dari dilanda ujian. Begitulah yang berlaku kepada Kak Dahlia, apabila suaminya ‘buat hal’ dengan menyatakan kemahuannya mahu berkahwin lagi satu. Oleh kerana rasa bimbang, Kak Dahlia meminta nasihat dan pandangan Emir Johan berkaitan dengan harta sepencarian dan wasiat. Melalui nasib Kak Dahlia ini nanti, pembaca akan dibawa bersama untuk lebih mengetahui mengenai asas-asas ilmu pengetahuan pengurusan harta pusaka seperti konsep dan aplikasi hibah, wasiat dan faraid.
Selain Kak Dahlia, Dr. Badariah juga merupakan watak penting dalam karya ini. Melalui persahabatan antara Mustika dan Badariah ini, wacana mengenai hak harta intelek dikembangkan dan kepentingan kajian rentas disiplin dibincangkan.
Watak Jasmarina mula masuk apabila Mustika menerima SMS yang menghendakinya balik ke kampung kerana ada urusan yang perlu dibincangkan. Rupa-rupanya, Jasmarina, sepupu Mustika, ingin melangsungkan perkahwinan. Oleh kerana itu, emaknya (Mak long Mustika), mahu berbincang untuk menjual ruamh pusaka arwah maknya bagi membiayai kos perkahwinan Jasmarina. Watak ini akhirnya nanti akan berkembang dengan perkenalan Jas dengan Zul Farhan dan sinergi mereka membentuk perniagaan dalam sektor makanan, seterusnya mereka bertemu jodoh!
Ada juga watak-watak lain yang mewarnai keseluruhan cerita seperti Dr Lazim, suami Kak Dahlia, beberapa orang pelajar UA yang dikritik Mustika dan watak lain-lain.
Seperti di perenggan-perenggan awal tulisan ini, kepentingan menjaga warisan adalah tema yang menjadi pasak novel ini. Kepentingan untuk menghidupkan kembali amalan berpantun dan bersyair, diceritakan dengan bersahaja oleh pengarang, yang turut diselang selikan dengan rangkap-rangkap pantun yang dipetik melalui:
“Kumpulan Pantun Melayu, Kurik Kundi Merah Saga, Ungkapan Tradisional Melayu Riau dan Tunjuk Ajar Melayu dan pantun-pantun tradisional lisan yang tidak didokumenkan kecuali pantun-pantun yang dinyatakan penciptanya (Tenas Effendy dan Nisah Haron)”
Selain pesanan kepentingan menjaga warisan, kekuatan watak dan perwatakan adalah suatu yang berjaya ditonjolkan oleh pengarang. Kekuatan perwatakan bagi setiap watak, terutamanya watak-watak penting, adalah suatu yang amat menarik perhatian saya untuk kekal terus membaca sehingga noktah terakhir pada muka surat 407. Walau bagaimanapun, ada ketikanya, membaca karya ini sedikit meletihkan. Boleh jadi kerana ia agak panjang, manakala 3 watak yang menggilai Mustika itu sudah diketahui akhirnya apabila bila mereka semua gagal dan pemenangnya adalah Emir Johan. Oleh sebab itu, saya kira, agak sedikit janggal dan seperti ada yang tidak kena apabila Mustika menjadi mudah boleh menerima Emir Johan.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, novel ini wajar dijadikan bacaan remaja, selepas membaca Mencari Locus Standi. Banyak perkara asas kehidupan yang pengarang cuba susun di dalam karya ini, paling tidak sebagai pembuka mata buat remaja yang semakin menjengah usia dewasa.
Indah dan luar biasa. Itu yang boleh saya katakan tentang novel Lentera Mustika. Isi mengenai dunia puisi tradisional, undang - undang dan perkahwinan disulam baik sekali. Baris penulisan pula kemas dan sangat sedap dibaca tanpa banyak pinjaman kosa kata luar. Novel ini boleh jadi rujukan kepada penulis baru yang menginginkan karya yang cemerlang.
Pun begitu, saya tidak dapat nafikan perasaan terganggu dengan keadaan plot cerita yang perlahan dan "selamat". Isi bagus namun ceritanya harus juga menarik perhatian. Jujur ada halaman yang saya pandang begitu sahaja. Dan ada kesalahan hadis Rasulullah yang saya fikir diambil ringan pula gayanya. _____________________ Bagi mereka yang mencintai puisi tradisional, moden mahupun bahan sastera. Novel ini boleh dijadikan sandaran, apatah lagi untuk kita yang mungkin dikategorikan sebagai pembaca umum. Puan Nisah Haron, bijak meletakkan bait pantun pada permulaan bab. Membuatkan saya tertanya-tanya dan akhirnya sedikit-sebanyak memberi gambaran tentang makna pantun tersebut.
Sebenarnya novel ini merupakan novel "imbas kembali" untuk Mencari Locus Standi. Jadi saya sudah dapat menganggak tentang status Ainur Mustika, Emir Johan dan Eliza Jasmin. Saya fikir saya akan rugi.
Namun bila mengetahui hakikat yang berlaku pada mereka. Terasa sampai sebak didada untuk bab-bab penghabisan. Ditambah pula bacaan saya dihayati bersama alunan Getaran Jiwa, P. Ramlee. Pena pengarang memang bisa menggetarkan jiwa saya. Semoga kita semua dapat menjadi lentera kepada setiap insan.
Novel ini bermula dengan agak perlahan. Tentang Profesor Madya Dr. Ainur Mustika, seorang pensyarah kursus Persuratan Melayu. Tentang penyelidikan beliau bersama pensyarah Fakulti Undang-undang. Tentang cinta Dr Ainur Mustika.
Novel ini memaparkan latar universiti sebagai tempat Dr Ainur Mustika menjadi pensyarah. Latar ini diceritakan dengan terperinci sekali. Babak-babak yang terjadi di sini semuanya terasa hidup. Konflik serta tanggungjawab pensyarah diadun dengan sangat menarik, sekaligus memberi pencerahan tentang kerjaya pensyarah serta realiti yang harus dihadapi, bukan kuliah semata-mata.
Latar tempat lain - Shanghai, turut dipaparkan dengan begitu terang dan jelas melalui dialog serta penceritaan yang sangat berkesan.
Novel ini mendidik pembaca untuk lebih mengenali prosa Melayu. Walaupun hanya membaca (bukan mendengar langsung), Sekurang-kurangnya pembaca tahu bahawa pantun, nazam, sajak dan gurindam berbeza daripada beberapa segi.
Penulis turut memberikan banyak input yang sangat bermanfaat berkenaan hak-hak penulis, hibah, harta pusaka dan wasiat. Ilmu ini dimasukkan melalui watak dan babak sampingan namun terjalin baik dengan perjalanan kisah watak utama.
Tuntasnya, novel ini sarat dengan ilmu-ilmu berkaitan persuratan Melayu serta undang-undang, berjalan seiring dengan kisah cinta Ainur Mustika sehinggalah ke akhir halaman, membuatkan pembaca belajar menghargai ilmu, juga pasangan masing-masing.
Ainul Mustika. Wah, serasa kerdil betul diri ini bila baca naskhah yang diselang seli pantun, gurindam, syair, seloka dan nazam. Indah. Berkali-kali saya kagum dengan gaya penulisan beliau yang sarat dengan puisi tradisional. Hujung-hujung tu sedih pula bila tahu hayat Emir Johan bakal tak panjang. Looking forward for another masterpiece from this author!
Kalau roboh kota Melaka Sayang selasih di dalam puan Kalau sungguh bagai dikata Rasa nak mati dipangku tuan
Hmm.. dari segi bahasa, memang tinggi. Dari segi cerita, kurang menawan hati saya. Secara kasar, semua watak amat ‘sopan santun’. Tiada mixture. Kecuali mungkin Kak Dahl sorang..
Satu pembacaan yang melekakan. Saya bukan peminat kisah cinta tapi saya suka bila susunan jalan cerita hampir selalu diakhiri dengan bab tergantung dan ditaburkan dengan rangkap pantun yang menghiburkan. Elemen perundangan juga diselitkan dengan cara yang mudah difahami serta boleh menjadi pengetahuan baru kepada pembaca. Saya juga suka akan watak sampingan seperti Kak Dahlia yang pada mulanya membawa unsur kelucuan menemani cerita dilema cinta watak utama.
Wanita berpendirian tegas seperti Mustika harus dicontohi. Jelas dengan apa yang dikehendaki dalam perjalanan hidup beliau. Tidah mudah mengalah dan menegaskan wanita bukan golongan yang lemah.