Usai membaca buku Prof. Azyumardi Azra ini, barulah aku mula tahu untuk menghargai nilai keilmuan ilmuwan Nusantara pada zaman dahulu. Walaupun buku ini pernah disebut-sebut oleh rakanku sebelum ini, namun perasaan bergejolak untuk menyelongkar intipatinya (dan meminjamnya daripada perpustakaan milik Ustaz Hasrizal Jamil) mula membibit setelah beberapa nama ilmuwan Nusantara disebut oleh En. Roslan sewaktu sesi tambahan bersamanya di Kaherah pada beberapa bulan lalu.
Buku ini terdiri daripada lima bab yang tegap dan mampat dengan latar sejarah sebagai akar, teori kedatangan Islam ke Nusantara, latar sosiopolitik yang mempengaruhi era tersebut serta tokoh pembaruan pada abad ke-17 dan abad ke-18.
Di sinilah kita dapat lihat keterkaitan antara ilmuwan agung silam semisal Imam al-Murtadha al-Zabidi yang mengarang kamus Tāj al-‘Arūs min Jawāhir al-Qāmūs, Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ibnu Khaldun, Imam Syihabuddin al-Ramli, Ibn Hajar al-Haythami, Ibn ‘Athaillah, al-Ghazali, Ibn ‘Arabi dan Imam al-Qusyairi dengan ilmuwan agung Nusantara seperti Syeikh Nuruddin al-Raniri (yang agak radikal dalam hal wujudiyyah), Syeikh Hamzah Fansuri, Syeikh Abdul Rauf al-Sinkili, Syeikh Muhammad Yusuf al-Maqassari, Syeikh Nawawi al-Bantani, Tok Kenali dan Hamka.
Disebabkan kupasan yang enak dan rujukan yang "berwarna-warni", sewaktu bacaanku tiba pada sepertiga buku, barulah aku perasan bahawa ini adalah tesis Ph.D. beliau. Banyak rujukan bertauliah dalam ranah keilmuan yang digunakan oleh penulis seperti tulisan R.O. Winstedt, al-Attas, Hamka, Joseph Schacht, George Makdisi, Muhammad Mustafa Azami, Fazlur Rahman dan A.J. Arberry ditambah pula dengan peta minda hubungan guru-murid-kenalan atau sanad bagi setiap tokoh menambahkan lagi kelazatan ekspedisi pembacaan ini.
Buku ini boleh diibaratkan persis "kunci" bagi memahami akar sejarah dan rantaian keilmuan ilmuwan Nusantara serta sentuhan terhadap beberapa perbahasan sentral seputar fiqh, hadis, kalam dan tasawwuf oleh tokoh-tokoh tersebut dengan adunan nama-nama kitab yang cukup kaya dan berbagai-bagai.