Apakah tanggungjawab kita sebagai khalifah? Sudah tentu banyak tanggungjawab yang kita ada. Buku ini mengupas satu aspek dari kekhalifahan, iaitu dari sudut perkahwinan.
Jalan ceritanya bermula dengan kisah Imran tatkala dia seorang remaja dilamun cinta dengan seorang gadis bernama Laila. Suatu kemalangan menyedarkannya dan membuatnya berfikir semula tentang erti kehidupan dan tanggungjawabnya sebagai khalifah. Penulis berjaya memaparkan bagaimana ilmu dan pengalaman hidup mematangkan Imran. Apa yang menarik ialah penulis tidak mengetepikan kepentingan menggunakan teknologi sebagai wadah untuk berdakwah.
Buku ini bukan sahaja menyelitkan panduan tentang bercinta, merisik dan hal-hal berumahtangga dalam Islam tetapi juga hal-hal lain seperti anasir-anasir jahat yang cuba merosakkan akidah umat Islam dan pergolakan di timur tengah. Meskipun sarat dengan ilmu, ia berjaya dipaparkan dengan cara santai dan tidak membosankan.
A. Ubaidillah Alias adalah anak kelahiran Cabang 3 Pendek, Kota Bharu. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Dewan Beta. Meneruskan pelajaran di peringkat SPM dan STAM di Maahad Tahfiz Al-Quran, Pulai Condong. Turut melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma Qiraat di Darul Quran, JAKIM, Kuala Kubu Bharu. Seterusnya berjaya mendapat ijazah (Hons) dalam jurusan Usuluddin, Syukbah Tafsir di Universiti Al-Azhar Kaherah. Kini bekerja sebagai Pegawai Tadbir Negeri Kelantan.
Benar apa yang diperkatakan didalam buku ini, masyarakat muda kini terlalu mengikut budaya barat dalam memilih jodoh. Perlunya ada couple, berdating dan pelbagai lagi, semua ini tidak berlandaskan syariat Islam yang sebenarnya. Seperti Imran, kini saya juga berusaha menjadi sepertinya, tidak terlalu mengikut hawa nafsu. Berserah pada Allah, dan mohon jika ada jodoh, kami pasti akan bertemu dan bersama semula. Dan jika kita perhatikan, kadang-kadang kita akan menjadi seperti Laila, tidak sanggup bertahan dan bersabar walaupun Allah telah menjanjikan kita untuknya, tidak betah untuk bersabar dan terlalu mengikut perasaan yang akhirnya timbul rasa menyesal. Mudah-mudahan jika ramai anak muda yang membaca novel ini, pastinya perspektif mereka mengenai cinta dan percintaan akan berubah. Berubah ke arah yang lebih baik.
Saya rasa buku ini sesuai untuk dibaca oleh remaja zaman sekarang untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi tentang percintaan/perkahwinan dari sudut Islam.
I really think I benefited a lot from this book. Many issues were brought up. I also liked the fact that stories were integrated into the advice given to someone in the book. =)
Kekuatan buku ini ialah ia membentangkan pelbagai ilmu dalam cara yang menarik, tanpa merosakkan jalan ceritanya. Bahasa yang digunakan juga indah, terutamanya puisi-puisi yang ditulis Imran, watak utama dalam cerita ini. Cuma adegan-adegan cinta remaja yang terdapat pada bab-bab awal membosankan sedikit (kerana secara peribadi, saya tak suka adegan-adegan sedemikian) sehingga hampir-hampir saya mahu berhenti membaca buku tersebut pada mulanya. Namun, saya bertahan juga dan rasanya tidak rugi saya teruskan.
Sekiranya anda berminat untuk membaca pandangan penulis tentang percintaan, merisik, mencari jodoh dalam islam atau sedikit ilmu tentang perbandingan agama, punca rosaknya keimanan remaja hari ini dan isu konflik di negara Arab dalam cara yang lebih menyeronokkan, bacalah buku ini.
Kisah yang bukan sahaja mampu menyentuh dan melentur setiap hati dan jiwa malah dapat membuka minda para gadis dan teruna di luar sana supaya menghadam kisah ini untuk dijadikan sebagai contoh dan pengajaran dan memahami obligasi sebenar sebagai khalifah.