Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Ayah Chik) mendapat pendidikan awal di Rusila, Marang sebelum menjejakkan kaki ke Sekolah Agama Marang. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan agama, bahasa Arab, dan politik daripada ayahandanya sendiri, iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid Rusila.
Selepas itu, Ayah Chik melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah, Arab Saudi pada tahun 1969–1973 dan berjaya memperoleh Ijazah BA Syariah. Seterusnya, beliau berhasil menggenggam Ijazah MA di Universiti al-Azhar, Mesir dalam pengkhususan Siyasah Syar‘iyyah selepas berjaya menamatkannya dalam tempoh dua tahun, iaitu dari tahun 1974–1975.
Di samping itu, Ayah Chik juga telah memperoleh Ijazah Sanad daripada Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani pada tahun 1983. Beliau istiqamah mengajar di Masjid Rusila, Marang dan telah mengkhatamkan pengajian Tafsir al-Quran sebanyak dua kali dalam tempoh 40 tahun, bermula dari tahun 1976 sehingga kini.
Berbekalkan laptop peribadi, beliau aktif menulis buku, artikel, khutbah termasuk laman web dan blog. Antara karya beliau adalah Inilah Akidah Islam, Beriman kepada Allah, Beriman kepada Rasul, Beriman kepada Malaikat dan Kitab, Beriman kepada Hari Kiamat, Beriman kepada Qada dan Qadar, Islam dan Demokrasi, Ramadan: Tetamu yang Dirindui, Islam: Adil untuk Semua, Bagaimana Islam Memerintah Negara, dan banyak lagi.
Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Sultan Mahmud Terengganu (SSMT) yang membawa gelaran Dato' Seri oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-39.
Bismillah. Sejak dahulu sehingga hari ini, antara fitnah panjang yang selalu diulang-ulang terhadap sosok tubuh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ialah beliau acap kali dituduh sebagai pencetus fenomena takfir (kafir-mengkafir) yang dikaitkan dengan ‘Amanat Haji Hadi’, walhal hakikatnya, Tuan Guru ialah seorang penentang tegar fenomena takfir dan fenomena penghinaan terhadap hukum Allah SWT.
Semenjak negara-negara umat Islam memperoleh kemerdekaan lagi, wujudnya sekelompok masyarakat Islam jahil yang menghina hukum Islam secara terbuka, malah ada yang menunjukkan sikap negatif terhadap sebarang usaha penerapan Islam. Maka, timbullah reaksi balas daripada satu lagi kelompok, iaitu mengkafirkan mereka yang menghina Islam dan hukum-hakam Islam. Inilah suasana sebenar yang ada pada ketika itu.
Fenomena takfir ini bukan sahaja berlaku di negara kita, bahkan sebenarnya telah bermula di negara-negara lain seperti negara Arab dengan timbulnya kelompok ekstrem (tashaddud) dan kelompok yang bermudah-mudah (tasāhul) dalam pelaksanaan Islam. Keadaan ini membawa kepada munculnya aliran-aliran yang bersikap keras terhadap pelaksanaan undang-undang Islam. Pada masa yang sama, ada juga yang bermudah-mudah sehingga mengabaikan kewajipan melaksanakan syariat Islam.
Alhamdulillah, Tuan Guru hadir pada masa yang tepat untuk mengharmonikan dua jalur yang keras ini, malah beliau telah diminta sendiri oleh Almarhum Dato’ Haji Mohd Asri Haji Muda, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ketika itu supaya menulis satu kertas kerja khusus bagi menyelesaikan kemelut tersebut.
Akhirnya, pada tahun 1978, meluncurlah satu kertas kerja bertajuk ‘Batas-batas Iman dan Kufur’. Kemudian, pada tahun 1982, kertas kerja ini dibukukan oleh pihak Pustaka Damai dengan judul yang serupa. Namun, entah bagaimana, pada tahun 1983, tiba-tiba ‘Amanat Haji Hadi’ pula disebarkan dan sengaja dikaitkan dengan kafir-mengkafir, sedangkan Tuan Gurulah yang berusaha meredakan fenomena tidak sihat tersebut pada masa itu.
Maka, Tuan Guru tidak cukup sekadar berhenti di situ. Pada tahun 1984, ‘Batas-batas Iman dan Kufur’ dipanjangkan lagi syarahannya, lalu dijenamakan semula sebagai ‘Muqaddimah Aqidah Muslimin’ dan diterbitkan oleh Penerbitan Gedung Ummah. Setelah itu, Tuan Guru mengarang pula ‘Siri Aqidah Muslimin’ yang menyentuh keenam-enam rukun iman dengan lima naskhah buku terbitan Pustaka Aman Press seperti berikut:
• 1988 – Beriman kepada Allah • 1989 – Beriman kepada Rasul • 1990 – Beriman kepada Malaikat dan Kitabullah • 1991 – Beriman kepada Hari Akhirat • 1991 – Beriman kepada Qada’ dan Qadar
Allahuakbar, begitu sekali kegigihan Tuan Guru demi memelihara aqidah umat Islam sehingga beliau menulis bertubi-tubi perihal aqidah, agar tiada penghinaan terhadap soal Islam dan juga tidak bermudah-mudah mengeluarkan orang daripada Islam!
Hari ini, kita sudah dapat melihat dan merasai sendiri bahawa tiada lagi kelompok yang secara jelas menghina hukum-hakam Islam, terutamanya hudud dan juga bermudah-mudah dalam mengkafirkan orang. Di sini menunjukkan, kesedaran umat Islam pada ketika dan saat ini sudah semakin baik dan tidak lagi bermudah-mudah, sama ada dalam isu penghinaan terhadap Islam ataupun takfir.
Hal ini merupakan suatu ni‘mat yang sungguh besar dan sangat-sangat perlu kita syukuri, berkat kasih sayang ulama’ pewaris anbiya’ yang ghīrah (cemburu) tidak mahu melihat umat Rasulullah SAW terus-terusan dalam kejahilan. Tuan Guru mendepani zaman yang memecahbelahkan umat dengan merungkaikan kekeliruan (radd al-shubuhāt) dan sekali gus berjaya membetulkan kefahaman (taṣḥīḥ al-mafāhim) sehingga semua memahami perkara dasar dari sudut aqidah Islam.
Kini, kita menghadapi cabaran yang lebih hebat dari sudut dakwah apabila munculnya golongan yang cuba menentang Islam secara halus melalui strategi serangan pemikiran dengan menimbulkan fenomena tashkīk (keraguan) terhadap Islam. Sudah pasti, perkara ini menuntut perjuangan yang lebih serius dalam meneguhkan iman umat Islam bagi mendepani realiti semasa yang lebih mencabar.
Maka, tidak peliklah mengapa apabila Dr. Mohd Zuhdi Marsuki bertanya Tuan Guru semasa Majlis Syarahan Perdana Ulama’ Negarawan dan Pelancaran Yayasan Permata Ummah (YPU) pada 17 Julai 2022 di Hotel Everly, Putrajaya – dalam banyak-banyak buku karangan Tuan Guru, manakah buku yang paling dekat dan paling meninggalkan kesan kepada Tuan Guru secara peribadi –, Tuan Guru menjawab bahawa ‘Muqaddimah Aqidah Muslimin’ inilah bukunya.
Atas faktor itu, alhamdulillah, kami daripada Pustaka Permata Ummah (PPU) sangat berbesar hati mengambil inisiatif untuk menerbitkan kembali ‘Ensiklopedia Aqidah Muslimin’ secara lengkap dan sempurna dengan terbitan yang lebih segar dan malar hijau. Kami memilih untuk bermula dengan ‘Muqaddimah Aqidah Muslimin’, kelak akan disusuli dengan keenam-enam siri rukun iman. Sebelum ini, kami telah berhasil menerbitkan semula Sejarah Mazhab Aqidah dan Firqah Umat Islam yang melengkapkan rangkuman siri penulisan aqidah Tuan Guru.
Keadaan ini setelah kami melihat betapa bernilainya karya ini bagi Tuan Guru secara peribadi dan betapa berharganya manfaat buat seluruh masyarakat terus dapat disebarluaskan dan dikekalkan, khususnya dalam bab pemeliharaan aqidah yang sejahtera dan bersih daripada segala kekufuran, penyelewengan, mahupun pelampauan. Hal ini demikian kerana, aqidahlah yang menjadi tunjang dalam kehidupan seseorang Muslim, penyebab kepada penerimaan amal soleh, serta penyelamat kepada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.
Untuk itu, kami dengan rendah diri sangat berterima kasih atas segala doa, sokongan, dan dukungan yang tidak berbelah bahagi daripada kalian selaku pembaca setia kami yang budiman! Mudah-mudahan, Allah mengganjari kita dengan sebaik-baik pembalasan atas setiap usaha kita bersama. Amin Allahumma amin.
Bermula talaqi atas talian pada 3/12/2024 dan berakhir 10/12/2024 dengan Tok Guru.
Tok Guru banyak cerita tentang perbincangan antara Imam Syafie dan Imam Ahmad tentang orang tak solat jadi kafir.
Tok Guru juga cerita pasal ulama maliki Abu Bakar alBaqillaani jumpa Rom. Berhujah dengan paderi kenapa muslim boleh menikah dengan wanita ahli kitab. Manakala lelaki ahli kitab tak boleh menikah dengan muslimah. Dijawab bahawa kami muslim percaya dengan nabi isa dan nabi musa sebab tu boleh menikah sedangkan kamu tak percaya dengan nabi Muhammad saw sebab tu tak boleh nikah.