Kelas projek pelajarnya bermacam-macam ragam. Penyanyi popular, ketua samseng, si kembar pembuli, si gadis ayu, si pemidato dan ramai lagi. Mereka dibenci oleh hampir seluruh warga kolej yang lain dan digelar 4 Jahanam. Merekalah pelajar paling nakal dan mungkin paling corot. Namun, kedatangan guru baharu dengan nama yang tidak glamor mengubah segala-galanya.
Buku ini tidak boleh dilepaskan apabila anda sudah memulakan pembacaan. Walaupun tidak mencapai tahap kelakar maut, tetapi buku ini memang cukup mencuit hati. Boleh dikatakan setiap patah perkataan yang diucap oleh Cikgu Olan membuatkan saya mahu tergelak. Lawak selamba. Malah kadang-kadang saya merasakan, saya tidak tercuit hati 100% oleh watak Cikgu Olan tetapi lebih kepada gaya berbahasa yang digunakan oleh penulis itu yang menarik hati pembaca. Kata orang, bahasa orang muda.
Melihatkan kepada tajuk buku pun kita sudah boleh mengagak buku ini mesti hasil inspirasi dari Great Teacher Onizuka (GTO). Secara tidak langsung, jalan ceritanya pun sudah boleh diteka juga iaitu mesti mengisahkan seorang guru dan mempunyai anak-anak murid yang amat nakal. Akhirnya guru ini, dengan pendekatan yang berbeza berbanding guru-guru lain, telah berjaya mengubah anak-anak muridnya menjadi budak baik.
Walaupun jalan ceritanya sudah boleh ditebak, saya yakin Guru Terhebat Olan akan ditulis dengan cara yang berbeza. Tetapi, alasan untuk mengetahui kelainan buku ini dengan Great Teacher Onizuka, bukanlah alasan yang kuat kenapa saya membeli Guru Terhebat Olan. Ia bermula dari kisah kawan saya, Kak Min, yang mahu mencari buku untuk adiknya. Guru Terhebat Olan menarik perhatian Kak Min dan dia meminta pendapat saya tentang buku ini. Saya lalu menjawab lebih kurang begini, "Saya tidak pasti bagaimana fikrah penulis dan tidak boleh menjamin apa-apa tentang tulisannya". Lalu Kak Min meletak semula buku ini di rak buku. Beberapa hari kemudian saya membeli Guru Terhebat Olan dengan niat "mengaudit isi buku".
Setakat ini saya sudah membaca 2 buah fiksyen yang melibatkan profession guru sebagai watak utamanya. Dahulu saya pernah membaca fiksyen Guru Arkitek Bangsa karya Mya Marja. Saya suka buku itu kerana saya boleh mengetahui banyak informasi tentang kerjaya sebagai seorang guru. Ini pula buku kedua cerita tentang guru juga. Guru Terhebat Olan (GTO) berbeza berbanding Guru Arkitek Bangsa kerana mesej utama buku ini bukan tentang kerjaya seorang guru tetapi tentang pendekatan. Walaupun Guru Terhebat Olan cenderung dibayangi oleh Great Teacher Onizuka, namun ia memiliki perbezaan dan kelebihan tersendiri. Ia lebih Islami dan lebih Malaysia!
GTO mengisahkan seorang guru yang bernama Olan yang baru ditukarkan ke Kolej Bistara. Di sekolah baru itu, dia ditugaskan menjadi guru kelas untuk Tingkatan 4 Jaya yang juga sinonim dengan panggilan 4 Jahanam. Pelajar-pelajar di kelas ini bukan sahaja nakal tetapi mereka juga kurang pandai dari segi akademik. Justeru itu, Cikgu Olan tidak boleh menangani mereka dengan cara biasa. Pendekatan yang berbeza harus dibuat. Pendekatan itu pula tidak boleh terburu-buru tetapi peringkat demi peringkat. Cikgu Olan perlu tunjukkan yang dia bukan seperti guru-guru lain. Dia bukan datang sebagai pembenci tetapi sebagai seorang pendidik.
Di dalam novel ini, penulis memetik isu-isu biasa yang melanda remaja seperti rokok, buli dan hedonisme. Penulis tidak menampilkan watak Cikgu Olan sebagai penghukum dan cepat-cepat mengharapkan perubahan. Cikgu Olan ditampilkan sebagai seorang yang sangat mesra, penghibur dan memahami. Kadang-kadang, Cikgu Olan kelihatan selalu berkompromi dengan anak-anak muridnya. Menubuhkan kelab papan selaju (skateboard), menyembunyikan rokok daripada warden yang terjumpa di kocek baju anak muridnya dan pelbagai lagi langkah bertolak ansur yang diambil oleh Cikgu Olan.
Dari situ, Cikgu Olan mendekati anak-anak muridnya sedikit demi sedikit. Afli, Saiful, Hilmi dan Kumar didekati melalui kelab papan selaju. Dia bukan sahaja bertindak sebagai pelatih tetapi kawan yang sentiasa mengajak kepada perkara kebaikan. Aman dan Amin merasakan terhutang budi melalui peristiwa kantoi rokok dengan Cikgu Olan. Cikgu Olan tidak memarahi mereka tetapi menjelaskan kenapa merokok itu tidak boleh. Begitu juga dengan pelajar-pelajar lain. Mereka didekati dan cuba difahami masalah mereka.
Pelajar Tingkatan 4 Jaya memiliki bahasa mereka tersendiri. Kenakalan adalah hasil terjemahan tidak puas hati, marah, memberontak dan kesedihan. Cikgu Olan membantu mereka dengan memberikan solusi, alternatif dan saluran yang betul. Mereka bukan berubah kerana Cikgu Olan tetapi mereka berubah atas kesedaran sendiri. Cikgu Olan bukan cikgu di dalam kelas sahaja yang hanya membantu menyelesaikan masalah pelajaran sekolah. Tetapi Cikgu Olan juga cikgu di luar kelas yang membantu mereka menyelesaikan masalah pelajaran kehidupan.
Buku ini mengingatkan kita yang tugas seorang guru bukan sahaja mengajar apa yang akan diuji menerusi kertas peperiksaan. Ini kerana seorang guru bukan berhadapan dengan robot tetapi manusia. Skop kerjaya seorang guru lebih besar kerana mereka merupakan pendidik manusia menjadi manusia. Kerja-kerja mendidik manusia tidak akan mampu dilakukan tanpa bantuan Dia yang menguasai para hambaNya. Berapa banyak para guru yang bangun malam berdoa dan mengharapkan kebaikan untuk anak didiknya. Itulah yang Cikgu Olan lakukan. Marathon qiammulail tiap-tiap malam dan sedekah agar Allah melembutkan hati pelajar-pelajarnya.
Kita memerlukan guru-guru yang ikhlas mengajar untuk melahirkan anak-anak murid yang menjadi manusia. Kita juga memerlukan murid-murid yang ikhlas belajar untuk melahirkan ilmu yang berkah. Mudah-mudahan dengan ilmu yang berkah itu, Allah swt memberikan kebaikan buat kita umat Muhammad saw.
Judul novel ini menggamit bayangan selekeh (atau tampan, kata gadis-gadis) Takashi Sorimachi yang membawa watak Onizuka dalam siri drama/komik Jepun popular Great Teacher Onizuka ke minda saya.
Namun bermula sahaja bacaan, saya bersyukur tiada langsung wajah Eikichi Onizuka yang selekeh dan pervert itu tetapi hadir tersendiri Olan bin Ngadiman- Guru Terhebat Olan yang menepati adab sopan 183 perkara perlembagaan negara.
Tidak percaya sila baca. Secara bersahaja penulisnya mengingatkan perkara 152 perlembagaan negara =D
Novel ini ditulis humor, santai dengan gaya bahasa ranggi- bahasa remaja sesuai dengan sasaran khalayaknya. Namun kandungannya tetap relevan dibaca remaja senja seperti saya bahkan setiap lapisan masyarakat jua. Lantaran terselit benih-benih mutiara ilmu dan info yang mewajarkan novel ini dibaca.
Saya tidak mahu membunuh elemen suspens membaca GTO. Sekian sahaja reviu saya. Disyorkan dan selamat Membaca!
Terima kasih Tuan AD Mirzai! Tulisan anda fantastik menghiburkan.
Sekilas melihat tajuknya, terbayang cerita Great Teacher Onizuka (GTO), Premis cerita juga lebih kurang sama, budak-budak makal! Namun persamaannya terhenti di situ, penulis berjaya menjadikan Cikgu Olan sebagai guru yang tidak berputus asa, begitu juga sama otai dengan pelajarnya, malahan Cikgu Olan pernah samseng lebih dari mereka. Hebat tak hebat, Cikgu Olan ada samseng bernama Man Toya!
Cerita bermula dengan Olan yang dipindahkan dari Sabah ke Semenanjung dan ibarat bulan jatuh ke riba, dia ditempatkan di sebuah SBP yang terkenal. Sekolah Bandar Bistara! Olan adalah guru yang mengajar di kawasan pedalaman yang kini perlu menangani karenah anak muridnya yang nakal, kelasnya digelar kelas projek, kononnya kementerian menukar dasar untuk mengambil pelajar corot dan dijadikan projek di sekolah berasarama (realitinya tidak mungkin sebegitu, mana mungkin SBP ternama ingin mencorotkan keputusan mereka bukan?) Cerita yang diolah seperti memberikan harapan bahawa yang carik dan rapuh itu masih boleh diperbaiki, tidak semua yang bebal akan bebal selamanya.
Cerita Olan mengingatkan pada guru saya di sekolah suatu ketika dahulu, mereka yang sabar mengajar despite the mishaps that happen in school during that time. Jangan main-main walaupun sekolah saya terbaik dari segi akademik, malahan ter- itu meleret kepada yang lain, dewan sekolah saya pernah dibakar!
Barangkali kalau saya jadi guru di sekolah lama saya, mungkin boleh putus fius jadinya, tetapi sekolah itu yang mengajar saya jadi manusia, memperkenalkan saya dengan usrah, rintihan solat malam, tadarus al-Quran.
Membaca cerita Olan, saya tergeletek tertawa dengan caranya menangani anak muridnya. Sakinah yang memakai subang berderet, Ringgo samseng sekolah, Aman & Amin kembar samseng, Saleha yang dibuai mimpi cinta monyet. Namun saya yakin dan pasti kekuatan Olan adalah kerana dia berusaha dan berdoa. Itulah yang benar.
Buku ini membawa kisah yang sangat2 tipikal;sekumpulan murid bermasalah yang didatangi seorang guru yang cuba menggubah mereka agar menjadi lebih baik. Seperti tajuk buku ini, GTO, ideanya seakan dicedok dari drama Jepun iaitu Great Teacher Onizuka (GTO). Sebagai peminat drama dari negara matahari terbit itu, saya berpendapat bahawa kisahnya seakan-akan sama dengan drama 'Gachibaka' tetapi telah diadun dengan nilai Kemelayuan, agama Islam & sistem pendidikan Malaysia. Satu taktik yang selalu digunakan bagi menutup persamaan antara yang asli & yang telah diperbaharui. Penulis harus lebih kreatif membawa kisah yang segar dan bukan yang boleh disamakan dengan idea dari mana2 pihak. Bahasa yang digunakan sangat mengikut piawaan tatabahasa Bahasa Melayu, terkadang ia sangat 'baku', tidak sempoi & pelik. Contohnya, perbualan antara 2 lelaki, di dunia sekarang, sangat jarang menggunakan kata ganti diri 'saya-awak', 'aku-engkau' lebih natural. Namun, ia satu percubaan yang baik bagi memartabatkan lagi bahasa kebangsaan. Kritikan2 pedas dari penuis untuk keadaan negara, baik dari segi agama, politik & ekonomi boleh dijadikan sebagai contoh kepada penulis2 lain agar lebih berani untuk bersuara dalam penulisan mereka.
GTO - Great Teacher Onizuka GTO - Guru Terhebat Olan
Kisah adaptasi yang sama cuma watak dan suasana yang berbeza, Gaya penceritaan yang santai dan pendedahan kisah kisah remaja bandar masa kini.walaupun dibayangi GTO asal namun penulis berjaya membentuk watak utama selari dengan adat dan budaya kita rakyat malaysia. banyak pengajaran yang boleh pembaca ambil dari kisah kisah yang disampaikan penulis.
bila tengok perkataan 'GTO', mulalah terbayang drama jepun great teacher onizuka. tapi guru terhebat olan ini mempunyai jalan ceritanya sendiri, dengan wataknya cikgu olan yang memang sempoi habis.
Kali pertama dan terakhir baca novel ini mungkin pada tahun 2009 atau 2010.
Kisah perjalanan seorang guru yang ditugaskan di sebuah sekolah berasrama penuh, seterusnya diamanahkan sebagai guru kelas bagi kelas tercorot di sekolah itu. Rata-rata pelajarnya merupakan individu yang bermasalah, samseng dan dibenci oleh guru-guru yang lain.
Guru Terhebat Olan (GTO) mungkin diolah ideanya berpandukan drama Jepun yang bertajuk Great Teacher Onizuka (GTO). Boleh juga tontoh drama Jepun yang bertajuk Gokusen. Idea dan konsep yang sama. Guru ditugaskan untuk menguruskan masalah pelajar-pelajar yang sering mendatangkan masalah dan memberontak.
Ketabahan dan kasih sayang seorang guru akhirnya berhasil mengubah mentaliti dan persepsi warga sekolah tersebut. Pelbagai masalah dirungkai satu persatu.
1. Afli yang tidak tahu solat. 2. Kembar Aman dan Amin bersama Ringgo yang sering membuli dan merokok. 3. Sakinah yang terlibat dengan kumpulan penyanyi rock dan tidak menutup aurat. 4. Saleha yang bertudung tetapi tak jaga solat dan terlibat dengan kaki perempuan. 5. Sikap ego dan kejahatan Cikgu Rosman
Keypoint penting yang ada pada Cikgu Olan ialah kebergantungannya pada Allah. Solat malam tidak pernah ditinggalkan dan sujud syukur sebagai manifestasi kesyukuran.
"Sakinah, saya pun dahulu seperti kamu. Tengok sahajalah skil gitar saya. Setakat Art tu bila-bila masa saya mampu kalahkan. Tetapi selepas itu, saya jadi seperti kamu juga. Saya bingung. Ternyata muzik dan dunia hiburan yang ada kini banyak dipengaruhi unsur hedonis. Saya mencari dan terus mencari lagi. Akhirnya saya jumpa ini." kata Cikgu Olan. Tangan menghulur MP3 player model lama.