Subky Abdul Latif, dalam kad pengenalan dicatit sebagai Ahmad Subki bin Haji Abdul Latif. Lahir pada 28 Julai 1940 di Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, Lekir, Sitiawan dan sekolah swasta Mathodist Afternoon School, Sitiawan dan Mathodist Afternoon School, Pulau Pinang.
Mendapat Diploma Kewartawanan di Projek Latihan Kewartawanan di Kuala Lumpur dan Institute Fur Journalismus, Berlin Barat. Penulis terkenal dengan rencana dan penulis pojok Kumpulan Akbar Utusan Melayu; Pengasas akhbar Suara Rakyat, Suara Merdeka, Watan dan Harakah. Pernah menjadi AJK PAS Pusat 1983 hingga 2006.
Pepatah lama Cina berbunyi andai inginkan kebahagiaan setahun semailah benih andai inginkan kebahagiaan 10 tahun tanamlah pokok dan andai inginkan kebahagiaan 100 tahun didiklah manusia.
Dunia ketiga memperkenalkan konsep dunia berkecuali untuk meredakan ketegangan antara barat dan timur dalam perang dingin. Tetapi tidak memihak atau berkecuali . Tidak memihak selama-lamanya dalam semua perkara namun mesti memihak kepada kebenaran.
Dewan pemuda PAS mengemukakan usul supaya PAS mempelopori konsep kepimpinan ulamak. Usul ini diluluskan oleh muktamar dan menimbulkan kontroversi terutama kepada golongan bukan ulama. Apa peranan mereka dalam parti? Sesuatu yang sukar difahami selepas itu.
Ustaz Fadhil menukar nama jawatan Yang Dipertua PAS kepada Presiden
Winston Churchill menyebut kelayakan seseorang untuk menjadi tokoh politik negara berwibawa
1. Orang itu berupaya memotong cakap orang dan membuat orang terdiam
2. Apabila dia bercakap, orang lain mendengar dan bersetuju dengannya
Subhanallah, setiap kali membaca buku Pak Subky, banyak benar info dan banyak pula sejarah kekuatan, jatuh bangun PAS yang baru diketahui. Semoga Ust. Dato Fadzil Noor yang pulang kepada Allah dengan jasa dan pahala menggunungnya, ditempatkan dalam kalangan orang yang mulia di sisi Allah. Ameen.
Buku ini banyak menceritakan dengan lebih dekat berkenaan Ustaz Fadzil Noor, iaitu presiden PAS sebelum TG Abdul Hadi Awang. Sesuai dibaca untuk orang yang tidak sempat mengetahui apa yang berlaku pada zaman beliau dan pandangan serta tindakan beliau terhadap apa yang berlaku ketika itu.
Antara peristiwa yang diceritakan ialah berkenaan Memali, konfik Afghanistan-Iraq, kes uncle Mat Sabu, regu dengan Haji Yusof Rawa ketika awal-awal zaman kepimpinan ulama', kes DS Anwar Ibrahim, calon wanita untuk pilihan raya, kepimpinan ulama, hak istimewa orang Melayu dll
Sejarah perjalanan hidup beliau diceritakan walaupun buku ini bukanlah buku autobiografi beliau. Bermula lepas universiti Al-Azhar, kemudian menjadi pensyarah UTM, dipecat dari UTM, menjadi timbalan presiden ABIM (DS Anwar Ibrahim menjadi presiden), memangku jawatan presiden ABIM ketika DS Anwar dalam penjara dan seterusnya hinggalah beliau meninggal dunia pada 2002.
Sesudah baca buku ini, aku tidak menyangka bahawa hubungan ustaz Fadzil dengan DS Anwar Ibrahim sangatlah rapat kerana kedua-dua sekali membangunkan ABIM. Ustaz Fadzil menamakan puterinya Muna Izzah manakala Anwar menamakan anaknya Nurul Izzah. Ustaz Fadzil orang yang pertama menggunting rambut Nurul Izzah ketika majlis cukur rambut menggambarkan hubungan yang rapat antara mereka. Ketika DS Anwar dipecat dari Timbalan Perdana Menteri dan UMNO, beliau antara orang yang awal menemui Anwar bagi mendengar sendiri cerita yang sebenar.
Begitu juga dengan peristiwa Memali. Ustaz Ibrahim Libya didakwa di bawah ISA, namun beliau enggan menyerah diri pada pihak polis. Ustaz Fadzil ada berunding dengan polis supaya menggugurkan kes ini. Namun, tidak kesampaian kerana polis menggempur surau dan rumah ustaz Ibrahim Libya menyebabkan beliau dan pengikutnya terkorban. Timbul isu selepas itu. Adakah mereka mati syahid? Menurut pandangan Tuan Guru Haji Omar, mereka adalah syuhada' dan jenazah mereka mestilah diuruskan selayaknya bagi ahli-ahli syuhada'. Ustaz Fadzil bersetuju dengan pendapat itu. Majlis Fatwa Negeri Kedah menghukum mereka sebagai 'syibul bughah' manakala majlis fatwa kebangsaan menghukum mereka sebagai 'bughah'.
Ustaz Fadzil gemar pakai songkok namun ada dalam kalangan ahli PAS tidak menyenangi kerana songkok disinonimkan dengan UMNO. Pendapat ustaz Fadzil menarik. Beliau membangkitkan mengapa orang-orang PAS suka sangat memberikan khazanah dan nilai-nilai orang Melayu kepada UMNO, hingga PAS tidak tinggal apa-apa lagi. Sudahlah negara diberikan kepada UMNO, songkok hitam yang menjadi pakaian bersama orang Melayu pun hendak diberikan kepada UMNO juga. Apa yang tinggal pada PAS kalau semua hendak diberikan kepada UMNO.
Ini adalah bacaan kali kedua saya terhadap kenang-kenangan pada arwah Ustaz Fadzil Noor yang ditulis oleh pak Subky.
Buku ini cuba menyorot beberapa episod penting dalam perkembangan PAS bukan sahaja dari segi penglibatan dalam pilihan raya (isu hubungan dengan bukan Muslim, calon wanita, pembentukan gabungan politik), bahkan beberapa perkembangan antarabangsa yang memberi kesan secara tidak langsung seperti Afghanistan, Iraq dan tak lupa juga tetangga Indonesia.
Penulis banyak menghuraikan dari sudut pemerhati, walaupun dalam banyak perkara penulis adalah sebahagian daripada saksi perkembangan-perkembangan tersebut berlaku. Mungkin atas rasa hormat kepada sosok yang diriwayatkan atau atas sebab kerahsiaan organisasi.
Hebatnya kisah ustaz fadzil, dan penulisan pak subky, banyak perkara boleh dipelajari. Sejarahnya, cara hidupnya, metode dakwah siasahnya. Bacaan kedua ini lebi membuka dari bacaan lama dahulu. Recommended