Bagus sekiranya dijadikan bahan tazkirah - ringkas tetapi boleh dikatakan cukup untuk menjentik fikiran pembaca. Buku ini tidak bermaksud memberi segala-galanya tetapi merupakan satu permulaan ke arah perjalanan hidup pembaca sendiri. Menggalakkan pembaca mencari lebih lagi informasi dan ilmu bermula dengan idea yang ditonjolkan dalam buku ini. Sesuai dengan tajuknya, 'KEMBARA Hamba Mencari Cahaya'. Juga sesuai dengan gaya penulis yang seakan berdialog dengan pembaca, serta menggunakan kata-kata pujukan, ajakan dan teguran seperti sedang berbicara dua mata. Ini aspek yang saya suka dengan Hilal.
Juga, saya suka sekiranya Hilal boleh tambahkan lebih lagi perkongsian pengalaman dan bicara-bicara hikmah yang dikutipnya sepanjang persekolahan atau pembelajarannya di universiti. Tentu artikelnya bakal memberi gambaran dan konteks yang lebih mudah difahami. Kalau diselitkan lebih banyak analogi pun tidak kurang bagusnya. Dalam buku ini elemen-elemen tersebut ada cuma saya mahukan lebih lagi.
Saya fikir buku ini boleh diperbaiki sekiranya semua hadis diletakkan perawinya (ada yang diletakkan, ada yang tidak) dan kalau boleh dapat dijelaskan sedikit sesetengah tokoh yang disebutkan (pembaca mungkin tak tahu, siapa mereka terutama nama2 yang jarang didengari). Kemudian, susunan artikel masih boleh diperbaiki. Contohnya bahagian cinta, dalam artikel-artikel tersebut ada beberapa yang hampir sama isinya, jadi mungkin boleh disatukan dalam satu artikel sahaja. Meskipun begitu mungkin pecahan-pecahan ini ada fokusnya yang tertentu, memandangkan artikel-artikel ini berasal dari blog penulis. Tidaklah terlalu memberi kesan tetapi jika diperbaiki mungkin dapat mempertingkatkan kualiti isi. Penggunaan perkataan juga harus lebih teliti contohnya 'merengkuh' digunakan untuk memberi maksud menolak atau menepis tetapi maksud sebenar rengkuh ialah menarik untuk mendekat (bukan menolak untuk menjauh). Juga ayat al-Quran ada yang typo dari segi surah dan ayat yang berbeza.
Apapun, keseluruhannya, masih cukup baik, terutamanya buat antara buku terawal yang ditulis oleh Hilal.
Selamat membaca :)