Ini merupakan kitab Tafsir kedua yang berjaya saya khatamkan dan sejujurnya ia memang mencabar serta memakan masa yang lama untuk menghabiskan pembacaan ini.
Secara keseluruhannya, penulisan dalam tafsir ini adalah baik dan ringan . Orang-orang awam boleh jadikannya sebagai rujukan/panduan untuk mentadabbur Quran bersama keluarga, secara sendiri , memberikan tazkirah ringkas, membuat kajian , penyelidikan serta apa-apa tugasan yang berkaitan. Akan tetapi, perlu diingatkan kitab tafsir ini adalah terjemahan ringkas daripada kitab asalnya dan sekiranya pembaca perlukan lagi perincian mendalam dalam satu-satu surah tersebut... perlu rujuk kitab tafsir yang mempunyai huraian penuh dan lengkap.
Surah-surah yang terkandung dalam Jilid 3 ini ialah Al-Maidah, Al-An'aam, Al-A'raaf dan Al-Anfaal. Antara sinopsis/isi-isi kandungan untuk kesemua surah tersebut adalah seperti berikut:
AL-MAIDAH - Hukum makanan yang dihalalkan dan diharamkan. - Sikap Yahudi dan Nasrani terhadap orang Islam - Kisah Nabi Isa dan pengikutnya. - Peringatan Allah SWT supaya meninggalkan amalan Arab jahiliyah; larangan-larangan terhadap pertanyaan-pertanyaan yang mengakibatkan kesempitan dalam agama.
AL-AN'AAM - Larangan mencaci maki patung berhala kaum musyrik kerana mereka akan membalas makian kepada Allah. - Kepalsuan kepercayaan orang2 Musyrik dan keingkaran mereka terhadap hari kiamat. - Kisah Nabi Ibrahim membimbing kaumnya ke jalan tauhid. - Tentangan kaum musyrikin untuk melemahkan rasul.
AL-A'RAAF - Nabi Musa berbicara dengan Allah dan tentang 'melihat Allah'. - Kisah Nabi Adam dengan iblis. - Manusia adalah khalifah Allah di atas muka bumi. - Allah menguji manusia dengan kekayaan dan kemiskinan.
AL-ANFAAL - Soal harta rampasan perang, suasana peperangan Badar dan larangan melarikan diri dari perang. - Sentiasa berzikir kepada Allah ketika menghadapi musuh. - Kerjasama antara golongan Muhajirin dan Ansar. - Allah menyeksa dan memberi azab yang pedih bagi mereka yang memusuhi agama-Nya.