Dari mana Rashid Bulan mendapat nama? Siapa Sepiah mata smokey? Kenapa abah dia buat tandas? Stingarden adalah himpunan fiksyen dan separa fiksyen juga tidak pasti fiksyen atau bukan fiksyen. Entri-entri yang pernah atau belum pernah disiarkan menerusi blog Sinaganaga, pemenang pelbagai anugerah weblog tempatan. Pandangannya di dalam melihat dunia kadang-kala dari arah yang tidak kita sangka. Dalam duka hidup, dia nampak sinar kelucuan, dalam kelucuan, dia nampak sinar kelucuan. Stingarden ubat untuk hati-hati yang resah, tidak kisah sesiapapun.
Stingarden adalah himpunan entri-entri nukilan Sinaganaga yang pernah disiarkan menerusi blog beliau www.sinaganaga.blogspot.com. Blogger yang memenangi pelbagai anugerah ini mencatatkan riwayat kehidupan manusia dalam sisi yang orang lain tidak terfikir nak pandang pun. Kerana apa salahnya berlucu dalam duka, dan berlucu dalam lucu.
KUMPULAN entri blog ini patut diharamkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Stingarden ibarat membongkar kubur yang sebelum ini ditimbus, dikambus dan dihembus kesannya supaya setinggan yang ‘dibunuh’ oleh kemodenan mati tidak bernisan.
Namun, Sinaganaga menyelongkar liang lahad setinggan itu, lalu mencampak-campakkan cebisan rangka setinggan di seluruh wilayah yang kini dicacak-cacak oleh bangunan dengan nama yang sangat asing.
Ini adalah statement politik Sinaganaga yang sekian lama menjadi seorang yang setia kepada syarikatnya. Sinaganaga adalah sekian ramai watak yang tumbuh daripada kesan fenomena semua-orang-boleh-jadi-penulis-asalkan-ada-blog. Fenomena itu melahirkan manusia dengan topeng birokrat yang setia tetapi berhati jalang. Atau nakal. Boleh jadi berahi.
Dan lahirlah Sinaganaga. Kemudian lahir pula Stingarden. DBKL di sebalik kesibukan mereka menjaga tempat awam daripada dikerumuni manusia (ini menyebabkan kita perlu mendekonstruksi kembali makna tempat awam), perlu berhati-hati dengan karya yang nakal begini.
Apa akan jadi pada suatu hari nanti bangunan yang namanya tergeliat untuk kita sebut, rupa-rupanya adalah tapak setinggan yang memancutkan segala jenis fiil perangai dan masalah manusia setinggan?
Ia adalah ingatan kita kenapa pada dekad 1970-an dan 1980-an, setinggan tumbuh betul-betul seperti cendawan selepas hujan. Mengapa Perdana Menteri ketika itu, Tun Razak Hussin ‘memejamkan mata’ kepada penghijrahan beramai-ramai orang Melayu ke kota raya Kuala Lumpur ini?
Kerana buku Stingarden ini akan menyebabkan pembaca berfikir pula; mengapa orang setinggan yang rata-ratanya Melayu ‘dihalau’ atau ‘diarah berpindah’ atau ‘diberikan rumah baru’ atau apa-apa saja istilahnya daripada perkampungan setinggan sehingga tapak asal itu kemudian dibangunkan dengan menara yang tinggi-tinggi tetapi tidak mampu dimiliki penduduk asal atau anak mereka atau cucu mereka.
Pembaca yang berfikir, pasti menggoda fikiran mereka selepas membaca buku ini.
Namun, Stingarden tidaklah sempurna. Nama pun setinggan. Saya lebih selesa dengan anekdot dan fragmen kisah masyarakat setinggan. Ia lebih real dan berjiwa, manakala cubaan Sinaganaga untuk menulis cerpen dengan latar setinggan agak kurang menjadi.
Stingarden lebih menjadi dalam keadaan kontot dan semacam tidak selesai. Inikan setinggan!
DBKL, sila ambil perhatian. Buku ini sangat berbahaya. Cukup berbahaya kepada keghairahan membina banngunan besar dengan nama asing.
Kerana Stingarden mengingatkan Kuala Lumpur, kita punya; Kuala Lumpur, kota setinggan!
Gara-gara mengemas buku untuk dijual saya terjumpa blook comel ini. Lama tersorok rupanya. :P
Himpunan kisah dan entri yang dicedok dari blog Sinaganaga. Kisah-kisah tentang seputar kehidupan penulis di kawasan setinggan. Memang cukup menghiburkan walau ada ketikanya terselit juga sindiran halus berhubung isu-isu semasa yang tak pernah 'luput' ditelan waktu.
Memang kena sangat buku ni dengan mood membaca saya yang macam kapal karam sekarang ni.
Jujurnya saya mula mengenali Sol-jah setelah membaca salah satu blook terbitan mereka dan turut menyedari ke'otai'an mereka selepas itu. Hihi. Tapi lepas kebangkitan media sosial lain sekarang ni entahkan masih wujud atau tidak blog mereka ini, kan? :)
Buku comel ini masih dipinjam daripada Kak Ummu. Thanks sis ;)) Tak pasti sama ada ini dikira blook atau tidak, tapi sudah dinyatakan yang ini projek eksperimen oleh PTS ;D
Ok, mari kita mulakan. Stingarden adalah koleksi tulisan Sinaganaga yang pernah ada di dalam blognya. Agak-agaknya kalau aku kumpul resensiku ni dan bukukan ada orang nak beli tak? Eh! *tetiba* kih5
Jujurnya aku tak baca tulisan Sinaganaga dalam blognya kerana aku lebih menjurus pada karya-karya novel online, malah berkecimpung [cewahhhhh!] dalam blook pun pada awal tahun lepas :D Jadi, aku tiada kayu pengukur apabila menelaah tulisan blogger terkenal itu. Cuma kalau dibandingkan dengan Ayah Kita Bos, ya aku lebih suka dengan yang ini.
Ia himpunan kisah mereka yang tinggal di kawasan setinggan di Kuala Lumpur. Kisah yang mungkin kita sendiri pernah atau tak pernah laluinya. Dan tiap-tiap kisah itu dilakar dengan cara yang mudah. Santai, kelakar dan terasa hidup. Aku suka bila penulis bawa aku kepada kenangan permainan kanak-kanak. Siapa yang tak main kombat kan? kih5 Cuma aku tak berapa suka bila tiba di bahagian akhirnya. Politikus *wink*
Manusia itu ada pelbagai ragam. Melayu itu ada banyak helah :P Hidup kita mungkin kelihatannya sama saja. Sama berjuang untuk mahu kekal bernafas, tetapi apa dan bagaimana kita berjuang itu sudah pasti lain perjalanannya buat kita semua.
He knows the rules. Rules are meant to be broken [page 144]. Wise word mister! ngeh3
Terhibur membacanya. Awalan kisah, cukup menggeletek perasaan. Aku tertawa membacanya, sungguh, apa yang diceritakan Sinaganaga benar-benar dapat ku gambarkan. Sinaganaga sudah lama bertapak di KL, aku juga anak kelahiran Kuala Lumpur. Tulisannya santai, namun di sebalik segalanya tersirat pengajaran - maka kau kena menafsir bacaan tersebut, bukan sekadar bacaan semata-mata.
Sebenarnya aku mengimpikan Sinaganaga menceritakan lagi kehidupannya semasa berumah di stingarden itulah, kerana itulah memori yang perlu dirakam dan seringkali lupus dari ingatan. Ya, mungkin buku ini bukan untuk semua orang. Tulisannya menjentik perasaanku, sungguh aku dapat menghubungkan segala peristiwa di dalamnya kerana walaupun aku bukan dibesarkan di kawasan setinggan, tetapi aku tahu Kuala Lumpur itu gambaran Sinaganaga.
Barangkali mungkin patut ditambah, zaman aku membesar dahulu 1. Klinik Thambi merupakan klinik perbidanan tersohor di KL dahulu 2. Dulu hendak ke Ulu Klang bukannya mudah, perlu melalui jalan kampung 3. Kompleks Pertama itu benar-benar tersohor zaman dahulu.
Aku tidak mampu memberikan 4 bintang, kerana kurasakan tulisannya sedikit mendatar di tengah cerita. Bagiku, mungkin entri Sinaganaga perlu disusun supaya aliran jalan ceritanya menjadi lebih menarik
Aku tak berapa kenal Sinaganaga ni tapi kenal lah juga. Dia memang tak kenal aku. Aku pernah dengar dia borak tapi bukanlah dia borak dengan aku. Dia borak dengan kawan aku. Cara dia borak guna intonasi dan gaya yang bagi aku menarik. Jadi, aku baca buku ni dengan bayangkan Sinaganaga sendiri bercerita pada aku. Penceritaan akan jadi lebih menarik.
Stingarden bercerita tentang setinggan pinggir bandar. Ceritanya ringan, berjenaka, sinis dan sarka. Sesuai untuk bacaan umum.
Kisah-kisah tentang penulis dan keluarga beliau serta jiran tetangga tak lupa juga sahabat handai dirangkumkan dalam blook ini. Dari blog dijadikan buku. Ada kisah yang lucu... Ada juga yang suam suam... Ada juga yang menjentik akal fikiran. Kadangkala ada kisah yang sinikal. Tiga bintang sahaja sebab tak seperti yang aku jangka dan harapkan. Tak apalah...
Lepas habis baca buku ni, tengok balik muka depan sudut atas kanan kau, automatik dalam hati kau, it's obvious, bro! ha ha ha. tapi aku banyak imagine Zombi Kampung Pisang baca buku ni. mungkin sebab aku tak pernah duduk stingarden nor kuala lumpur. itu sahaja imaginasi kampung dengan nama penduduk yang pelbagai yang aku ada.
Sinaganaga mempunyai satu style penulisannya yang tersendiri. Dan ini membuatkan buku ini bukan seperti buku-buku lain. Ada cerita yang ok, ada cerita yang agak bosan. Dan aku mengharapkan lebih sebenarnya.
Saya beli dan baca buku ini di 'majlis' Kuala Lumpur Writers and Readers Festival 2012 (KLWRF). Nak habiskan masa menunggu waktu petang. Pendek sahaja buku ini. Sekali hadap boleh habis.