Nama sesebuah bandar, negeri dan negara menyimpan pelbagai kisah menarik, sama ada yang berunsur sejarah atau lagenda. Malah, nama-nama itu menyimpan pelbagai warna kehidupan sesebuah masyarakat, kebudayaan sesuatu bangsa dan peradaban sesebuah negara. Tiga belas buah negeri yang merangkumkan nama Malaysia, mempunyai kisah sejarah dan unsur lagendanya sendiri, yang jika disingkap kembali dapat memaparkan betapa kayanya unsur kehidupan, kebudayaan dan peradaban masyarakatnya melalui liku-liku peredaran zaman silam hingga ke hari ini. Ia dapat dijadikan renungan para pelajar dan orang-orang dewasa betapa proses putaran sejarah dapat membimbing generasi seterusnya menghadapai cabaran zaman dengan penuh yakin dan berani. Asal-Usul Negeri-Negeri di Malaysia menghidangkan maklumat sejarah dan lagenda yang telah mewarnai kehidupan silam negara ini dalam prespektif yang cukup menarik dan istimewa.
Pertama kali aku membaca buku yang ditulis oleh Zakiah Hanum. Nama beliau sangat terkenal di dalam bidang sejarah dan juga pentadbiran awam kerana beliau adalah Ketua Pengarah Arkib Negara yang pertama dan beliau juga merupakan wanita pertama yang mengetuai jabatan kerajaan di Malaysia. Buku ini sangatlah mengasyikkan sehingga aku habis membacanya dalam masa sehari sahaja.
Buku ini menceritakan tentang sejarah bagaimana nama sebuah negeri di Malaysia wujud tetapi secara ringkas. Ada juga beliau menceritakan sedikit sejarah kesultanan atau raja di dalam negeri-negeri tersebut. Walaupun buku ini hanya menceritakan sejarah secara ringkas dan dasar, namun isi dan fakta dalam buku ini sangat lah berguna untuk rujukan. Di akhir buku ini juga penulis menyediakan ringkasan biografi penulis-penulis yang telah dirujuk oleh beliau dalam membuat buku ini.