Cinta ini menolak hukum alam. Seperti cuba mencampurkan air dengan minyak, mempersahabatkan malaikat dengan syaitan, menyatukan kehidupan dan kematian. Cinta ini cinta yang mustahil.
“Puteri Silfia... kita hamba Tuhan yang sama tetapi dunia kita berbeza...” Azmi merenung mata puteri kayangan di depannya. Di mata Azmi, Silfia amat cantik. Meski bersayap dan bertanduk kecil.
Sampai ke tahap manakah seseorang sanggup berkorban untuk cinta? Sesetengah orang mungkin sanggup kehilangan segala-galanya untuk cinta. Dan mungkin ada yang sanggup merenangi lautan api untuk cinta. Tapi berapa ramai yang sanggup berkelana ke dunia dimensi lain demi cinta?
Untuk cinta Azmi sanggup ke dunia jin! Kerana persahabatan pula tiga siswa USM sanggup ke sana untuk menyelamatkan Azmi dan terperangkap di medan yuda! Tapi bagaimanakah kesudahan perang antara dua bangsa jin itu?
* * *
Sebuah roman percintaan luar biasa, dipersembahkan dengan cara yang tersendiri oleh XARINE!
Yuda di Padang Maya adalah sebuah novel fantasi karya Khairi Mohd, novelis fantasi & seram Melayu yang paling aku kagumi. Ceritanya berkisarkan Azmi, seorang pemuda yang sejak kecil lagi selalu terdengar suara misteri. Suara tu selalu membantunya menyelesaikan pelbagai jenis masalah, termasuk mendapatkan 10A untuknya dalam SPM.
Suara itu wujud even lepas Azmi dah besar, yang akhirnya membawanya ke dunia jinn. Plot menjadi lebih tegang apabila Azmi diculik dan dibawa ke Naruka, sebuah dunia parallel yang dihuni oleh jinn. Di sini, dia diberikan tubuh baru dan mula menjalani hidup sebagai seorang, eh bukan, seekor jinn, yang mencabar identitinya sebagai manusia.
Novel ini meneroka tema identiti, pengorbanan, dan garis yang kabur antara dunia manusia dan alam ghaib, termasuk konsep cinta terlarang tahap dewa, apabila Azmi jatuh cinta dengan seorang puteri jinn bernama Silfia. Jalan ceritanya penuh dengan aksi, ketegangan, dan kedalaman emosi, menjadikannya bacaan susah nak berhenti bagi peminat fantasi dan fiksyen supernatural seperti aku.
Secara peribadi, novel ini menawarkan suatu pengalaman membaca yang sangat fresh dan unik sebab ia menggabungkan unsur - unsur fantasi dengan kedalaman emosi dan wacana mengenai identiti yang jarang ditemui dalam karya - karya fantasi konvensional. Salah satu kekuatan utama novel ini adalah world building-nya yang begitu teliti dan imaginatif. Naruka, dunia parallel yang dihuni oleh jinn, digambarkan dengan begitu hidup dan detail, menjadikan ia mudah untuk aku terlibat secara emosi dan visual dalam penceritaan. Kemampuan Tuan Khairi mencipta suasana yang begitu memukau sekali lagi menunjukkan kemahiran penulisan yang tinggi.
Tema identiti yang diteroka dalam novel ini juga merupakan satu aspek yang menarik bagi aku. Azmi menghadapi krisis identiti yang teruk apabila dia diberi tubuh baru dan mula menjalani kehidupan sebagai seekor ke seorang jinn, ah lantaklah. Persoalan mengenai apa yang menjadikan seseorang itu manusia atau jinn, serta batasan dan keterbukaan identiti, diteroka dengan cara yang memaksa kita untuk merenung lebih jauh tentang realiti dan ghaib.
Selain itu, hubungan cinta antara dua makhluk - antara Azmi dan Silfia, menambah lapisan emosi yang mendalam kepada cerita. Cinta dorang ini bukan sahaja memperlihatkan dinamika hubungan yang kompleks, tetapi juga memaparkan tema pengorbanan dan penerimaan. Kepekaan Tuan Khairi dalam mengendalikan perkembangan watak - watak ini tanpa jatuh ke dalam klise romantik harus dipuji melambung - lambung.
Dari sudut naratif, novel ini berjaya mengekalkan ketegangan dan misteri sepanjang cerita. Aku seolah - olah dibawa masuk dalam satu pengembaraan yang penuh dengan aksi dan kejutan, menjadikan setiap babak umpama satu pengembaraan baru yang menyegarkan. Gaya penulisan yang penuh dengan metafora dan simbolisme menambah kedalaman dan dimensi kepada cerita, menjadikannya lebih daripada sekadar kisah fantasi biasa.
Namun, perlu diakui bahawa ada beberapa bahagian dalam novel ini yang dirasakan terlalu berat bagi pembaca yang tidak biasa dengan wacana sastera tinggi. Penggunaan bahasa yang kaya dan metafora yang kompleks memerlukan kemahiran bahasa yang lebih tinggi dan refleksi, yang bagi aku, mungkin akan menjadi cabaran bagi pembaca muda khususnya.
Overall, Puas! Ini adalah sebuah novel yang highly recommended bagi mereka yang mencari novel fantasi Melayu yang berkualiti dan penuh dengan kedalaman emosi serta intelektual.
Antara novel fantasi tempatan TERBAIK aku pernah baca!
Azmi, seorang lelaki yang sering mendengar suara halus sejak kecil. Suara itu banyak membantu menyelesaikan masalah kampung: lembu yang hilang, mayat yang tersorok & paling best suara itu bagitau jawapan untuk SPM! Azmi dapat 10A dengan bantuan suara misteri itu!
Tetapi Azmi tak mahu semua itu. Maka dia lari membawa diri ke USM Pulau Pinang. Entah kerana permainan takdir, di sana Azmi tetap terlibat dengan masalah paranormal. Bermula dengan masalah rasukan mahasiswi akhirnya membarah sehingga dia masuk ke alam jin!
Benda yang paling WOW dengan novel ini adalah penulis berjaya memudahkan hukum fizik yang rumit untuk menjelaskan binaan semesta (worldbuilding) alam Jin! Disebabkan Jin adalah perkara ghaib yang terhijab dari pengetahuan manusia, maka novelis bijak mencipta fantasinya sendiri sekaligus menjawab soalan: bagaimana & adakah Jin juga hidup seperti manusia?
Percubaan bijak (bahkan berani!) saudara novelis menggunakan logik sains untuk menerangkan hakikat kewujudan Jin memang 💯💯
Siapa pernah baca Kasyaf (FIXI), ketahuilalah bahawa Yuda di Padang Maya adalah prekuel novel Kasyaf. Kemudian disusuli sekuelnya, Ranea.
Fantasi + fiksyen sains + seram (separuh pertama novel). Memang cukup perencah!
Kisah Azmi, anak Dukun Harun yang 'didampingi teman misteri' sejak kecil hingga sukses dalam SPM. Setelah dapat masuk USM, dia mengenali tiga sahabat, Amsyar, Riduan dan Zamsari yang menyewa di rumah lama milik keluarga Makcik Mastura yang penuh misteri gara-gara perbuatan sihir Halim. Mereka berempat diminta menyelamatkan Makcik Mastura yang diculik jin. Konflik semakin kalut bila Azmi juga turut diculik oleh jin dan bermulanya pengembaraan tiga sahabat melawan hukum alam masuk ke alam jin untuk menyelamatkan Azmi dan Makcik Mastura.
Ini ialah buku kedua kegemaran saya selepas Jaja & Din tulisan kak Noor Suraya :) Buku bergenre ala-ala 'seram-sains fiksyen' ini memerlukan imaginasi dan konsentrasi tinggi terutama bila dah masuk babak Alam Jin. Apapun memandangkan saya ini bercitarasa pelik, maka tak sukar bagi saya untuk 'menghadam' buku yang lain dari yang lain ini :) dan kalau boleh, memang saya nak rekemen semua kawan-kawan untuk baca buku ini, memang menarik :)
Sudah lama saya tinggalkan pembacaan karya-karya fantasi. Kali terakhir barangkali karya Ahmad Patria Abdullah - Legenda Numerius. Saya belum rasa terpanggil untuk menyentuh novel-novel sai-fai PTS walaupun sebahagian besarnya sudah berada di dalam rak-untuk-dibaca.
Secara umumnya, novel ini menggabungkan fiksyen sains, fantasi dan unsur seram (yang tidak keterlaluan) di dalam satu novel. Dunia jin dinyatakan di dalam bentuk fantasi kerana kita sendiri tidak mungkin sampai ke alam itu, tanpa izin Allah. Namun, hakikat kewujudan jin dan manusia itu mampu diterangkan melalui penerangan mengikut logik sains dan akal. Ini suatu bahagian yang baik dan menarik.
Elemen fantasinya juga ada banyak percubaan untuk keluar daripada fantasi barat walaupun masih ada beberapa pengaruh Tolkein, Ahmad Patria.
Gaya bahasa Xarine boleh dikatakan baik dan mungkin dia mendapat editor yang agak baik. Namun, Xarine kurang berhati-hati apabila memilih gaya bahasa setiap watak. Adakalanya, watak jin bercakap seperti manusia sedangkan perwatakannya haruslah dibezakan.
Ada beberapa tempat yang cuba diselitkan dengan comic relief. Walaupun dilihat sebagai kelakar dan bersahaja, namun, saya tidak berapa setuju dengan 'lawak bodoh' yang sangat bertentangan dengan percubaan menghasilkan novel fantasi yang boleh menjadi lebih baik ini. Percayalah, novel ini masih mampu memukau pembaca tanpa beberapa 'lawak bodoh' seperti Ustaz yang terkentut pada waktu yang sangat cemas atau jin tua berusia beribu tahun yang digambarkan penuh dengan wisdom, tiba-tiba 'gatal' apabila terpandang jin wanita muda yang melintasinya. Mungkin ini bukan ruang yang baik untuk mempermainkan emosi pembaca. Terlalu keanak-anakan.
Selain daripada hal bahasa dan perwatakan, novel ini berjaya mengikat saya membaca. Saya suka 'berada' di dalam novel yang baik, selama yang mungkin. Rasa ingin tahu dibina dengan baik dan ini barangkali disebabkan oleh bab-bab yang pendek yang secara tidak langsung menjadi penyelak halaman yang pantas.
Rasa mcm dah lama tak baca buku sains fiksyen. Bg org macam aku yg tak brapa baca kisah seram atau sains fiksyen mungkin tak pandang sangat buku ni. Tapi once started aku tak boleh stop. Kisahnya dlm rentak laju dan tak der slow down slow down. Once dh baca kita akan teruja nak tau ke mana hala tuju cerita ni, di mana penghujungnya.
Kisah ini tentang Azmi. Remaja lepasan spm yg menyambung pelajaran ke USM. takdirnya menunggu di situ. Setibanya di sana pengalaman penuh adventure menantinya. Sebelum ini pun hidupnya ada adventure yg tersendiri. Dia ada seorg 'teman' misteri yg membantunya menyelesaikan misteri2 kehilangan orang atau barang. Tetapi di USM, temannya itu seperti menghilangkan diri. Sebelum ni Azmi tak penah 'memanggil' 'teman'nya itu, 'teman'nya itu akan datang sendiri memberitahu perkara2 yg orang lain tak tahu. Tetapi kali ini apabila diseru pun 'teman'nya itu tidak muncul.
USM juga menemukan Azmi dgn Amsyar, Zamsari dan Riduan. Tiga sahabat yg akrab yg semakin menyenangi Azmi. Tiga sahabat yg baru menyewa di sebuah rumah lama rupa2nya turut menjejakkan kaki ke situasi yg tidak pernah terjangkau dek akal. Bermula dgn kejadian Riduan dirasuk, saat2 selepas itu menjadi sangat mendebarkan dan menyeramkan.
Azmi yg semakin menyenangi Balqis turut cuba membantu Balqis mencari ibunya, Mastura yg diculik, kebetulan pula selari dgn misteri yg menimpa tiga sahabat. Arissa sibuta yg ada 'peneman' juga mebuat kita bertambah seram, tambah2 pula si Azmi boleh nampak rupa 'peneman' Arissa. Arissa kata kalau dia nampak penemannya tu seorg yg jelita, maksudnya 'dia' suka Azmi. Taktau la kalau tak suka dia jadi rupa apa. tak nak fikir. hehe. Bukan sebarang org yg menculik Mastura. Org yg sahabatnya adalah jin dan roh mastura telah dibawa pergi ke alam jin.
Sebenarnya Mastura ni roh kandungannya pernah diculik jin suatu masa dahulu dan roh anaknya masuk ke tubuh puteri di alam jin yg sekrg sudah menjangkau umur 17thn. Sifat semulajadi manusia dlm diri Puteri Silfia membuat dia penuh dgn rasa ingin tahu. Dia melintas ke dunia jin mencari Azmi dan 'teman'nya. Dia menyamar sbg Balqis dan berhubung dgn Azmi. Perkenalan singkat mereka menimbulkan perasaan terlarang antara manusia dan jin.
Semasa merancang utk memasuki dunia paralel jin, Azmi terlebih dahulu diculik masuk ke Naruka dan roh nya dimasukkan dlm tubuh spesis ciptaan jin yg akan jadi lebih hebat apabila didiami roh manusia. minda kemanusiaan Azmi semakin ditelan nafsu jin.
Tiga sahabat yg takut2 berani akhirnya bersetuju melawan hukum alam masuk ke alam jin demi menyelamatkan dua roh manusia yg terperangkap di sana. tubuh yg dihuni amsyar dan riduan sangat jelik dan hodoh manakala Zamsari masuk ke tubuh jin yg paling hensem sekali. seronok la Zamsari yg selama ini tak der la hensem sangat akhirnya dpt merasa jadi hensem dan dua sahabatnya yg kacak jadi sangat hodoh.
Kehadiran mereka sebenarnya amat diperlukan di alam jin utk membantu askar2 jin Islam memenangi sebuah peperangan jin. Mereka bertiga sebenarnya ada power yg sgt hebat tapi mereka sendiri tidak tahu mcm mana nak menggunakannya. Pak Yusuf seorg jin tua yg penuh ilmu berjaya memotivasikan mereka utk membantu. Mereka bukan saja membantu askar jin Islam malah mereka juga dapat membebaskan roh Azmi.
sejujurnya aku lebih suka cerita ni sebelum diorang masuk ke alam jin. ceritanya lebih menusuk kalbu dan terasa sgt real.
biler masuk ke alam jin tu mmg la byk benda yg science fiksyen tetapi cara Xarine menjelaskan mistik itu dgn menggunakan fakta sains membuat kita faham dgn logik dunia jin ciptaannya. hmm buat aku teringat kat Dana Scully yg selalu mengeluarkan fakta sains apabila berdepan dengan kejadian mistik.
aku teringin nak baca cara amsyar yg dijadikan puppet oleh alex utk membunuh halim di alam jin. bagaimana caranya? sedar2 jer kepala halim dah tergolek di tanah.
kisah alex dan arissa pun tidak diceritakan sepenuhnya. yg kita tahu arissa buta kerana mempertahankan alex.
gambaran rupa makhluk2 di alam jin diceritakan xarine dgn vivid sekali tapi bayangan yg muncul dlm kepala aku adalah watak2 yg penah aku tengok dlm citer2 science fiksyen. mungkin sbb minda aku ni tak creative sangat hehe. bentuk2 fizikal watak byk mengingatkan aku kepada watak2 dlm starwars, lord of the rings dan hitch hiker's guide to the galaxy. Mgkin sebab ada watak2 yg aku cam dan kenal tu yg membuat pembacaan aku jadi fun.
aku bukanlah penggemar novel science fiksyen tapi aku sangat suka filem science fiction. watak pak yusuf tu macam lawak la pulak. bila aku membayangkan wajah pak yusuf mesti kuar wajah Yoda (master jedi dlm starwars) mixed dgn sastrawan negara pak A Samad Said. Cara penceritaan Xarine spt menggalakkan aku membayangkan apa yg diceritanya dan rupa watak ciptaannya. Sangat tidak boring bila melayan novel ini. Kisah di alam jin tak seram langsung tetapi kisah sebelum masuk ke alam jin tu sangat2 menyeramkan.
Kadang2 bila fikir balik, apa fungsi Amsyar, Zamsari dan Riduan? mgkin semata2 utk mengalahkan Halim yg semakin powerful di alam jin. tupun hanya setelah dijadikan puppet oleh Alex, barulah dpt mengalahkan Halim.
Azmi? diorg tak diperlukan utk menyelamatkan Azmi dari terus menjadi Oggur yg ganas, Silfia handled it well. Cerita ini serius, selitan dialog atau adegan komedi secara tiba2 kadang2 kelihatan janggal tapi berjaya membuat pembaca ketawa. Novel yg memerlukan konsentrasi tinggi utk betul2 berada dlm dunia Yuda di Padang Maya. Kalau dlm novel biasa dia sebut Seremban atau Ipoh, kita tau la agak kat mana, ni kalau dia sebut Tranta atau Naruka, kita kena selak peta la yg Xarine sertakan dlm novel ni :)
Suatu masa dulu aku susah nak bayangkan ada jin yg baik sbb aku dari kecik asyik dengar 'sebaik baik jin adalah sejahat-jahat manusia', petikan sebuah hadis dhaif yg tidak berbukti kebenarannya. Bila dah pandai pakai otak dan menghayati ayat al-Quran maka percayalah jin tu wujud dan Allah pernah berfirman dalam surah al-Dzariyaat, ayat 56:"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu".
kita tak tau rupa alam jin tu macam mana tapi Xarine mempunyai cara tersendiri membayangkannya dan menzahirkannya dalam bentuk sci-fi yang menarik. tahniah buat penulis :)
novel ala pengembaraan. pengembaraan ke dunia jin. penuh adventure.
azmi ke dunia jin. rakan-rakannya cuba membawa kembali azmi ke dunia nyata.
overall suka dengan gaya dan jalan cerita. tak bosan dan ada unsur suspens membuatkan kau pada satu saat rasa macam time tu jugak nak habiskan baca dan tahu ending dia macam mana.
Naskah yang sangat menarik dan engaging 👍👍. Cerita yang unik, asli dan laras bahasa yang bagus. Banyak diselitkan lawak, dalam masa yang sama diselitkan mesej yang menginsafkan. Suka konsep perbandingan antara dua dunia, juga konsep persepsi yang diterangkan dengan sangat baik.
Aku mengulang baca novel ini gara2 Kasyaf (FIXI) yang ku beli...Novel yang berkisarkan kepada alam jin di mana Riduan, Amsyar & Zamsari di tugaskan untuk menyelamatkan Azmi & Mak Cik Mastura di Alam Jin dengan bantuan Pak Karim & Arissa (OKU yg buta)...Watak Azmi & Arissa sedikit berbeza dengan watak2 lain kerana mereka mempunyai pendamping di kalangan Jin...Ada dendam lama antara Halim, Mastura & Iskandar sehingga melibatkan Azmi, Riduan, Amsyar & Zamsari...
Uniknya novel ini, ia mengandungi 2 PROLOG, ketika di Alam Jin & Manusia...malahan novel ini di bahagikan kepada 3 Buku:-
Buku 1 ; Alam Manusia, Bagaimana perkenalan Azmi dengan Riduan, Amsyar, Zamsari & Balqis akan di ceritakan di dalam alam ini...perkenalan Azmi dengan Balqis, Riduan yang kena rasuk & kemalangan yang berlaku merupakan satu perancangan seekor Jin...
Buku 2; Alam Jin Di sini penulis menceritakan perihal Jin yang pelbagai jenis,(Alfrit, Alfus & Sunghoir)... bentuk muka bumi & konflik yang berlaku...perkenalan dengan Jin Tua iaitu Pak Yusuf yang menerangkan bagaimana proses kewujudan manusia di alam jin di terangkan secara terperinci...watak Pak Yusuf sedikit kelakar dengan keletahnya...sekurang2nya proses pembacaan tidaklah di beratkan dengan info2 mengenai Alam Jin sahaja...
Buku 3; Kembali semula ke Alam Manusia... Segala konflik telah di selesaikan walaupun ada yang terkorban di Alam Jin...Jeng3X
Penamatnya tidaklah tergantung, cuma ada beberapa plot yg nampak samar2 dalam penceritaan penulis...sebagai contoh, Alex dgn Arissa..apakah yg berlaku sebenarnya? & Apakah yang terjadi kepada Siluma & Munsyik di tinggalkan secara misteri kepada pembaca...
Idea & gambaran penulis mengenai Alam Jin bg aku sebagai pembaca..Terbaikkk!!! Malahan gaya bahasanya mudah di fahami & novel ini juga di sertakan ilustrasi bergambar mengenai susuk badan Jin bersama2 denngan peta muka bumi mereka agar pembaca dapat memahami dengan lebih jelas...
Bagi yang menggemari genre fantasi seram barangkali...bolehlah memulakan pencarian membaca novel ini...
~review yg lalu~
buku nie pula berkisar mengenai 3 orang rakan yang cuba untuk menyelamatkan Azmi di alam jin...pada mulanya mereka di tugaskan untuk menyelamatkam Mastura, mak Balqis..tp secara tiba2 Azmi telah di culik & di bawa ke alam jin...
buat permulaan aku agak susah sikit nak hadam nma2 jin & mengenali karektor masing2...terpaksa belek2 muka surat yg lps utk rujukan...mungkin di sbbkan pembacaan aku banyak gangguan kot...bg sesiapa yg pernah membaca karya SERUNAI FAQIR..mungkin boleh layan cerita ni...
penulis juga ada melukis watak2 jin tersebut untuk pemahaman kita & di sertakan dgn peta jajahan alam jin...
suka sgt cerita ni....ala2 narnia versi islamik...
Yuda Di padang Maya...karya pertama saya baca dari penulis ini.
Yuda menurut kamus dewan bermaksud perang/peperangan, mengisahkan tentang tiga sahabat karib Amsyar, Zamsari dan Ridzuan yang mengembara ke alam ghaib untuk menyelamatkan kawan yang baru mereka kenali Azmi dan mak cik Mastura yang diculik jin..Siluma yang mahu menguasai Tranta bagi memonopoli laluan perdagangan arak terbesar di arod.Usaha tiga sahabat ini dibantu Silfia, jasadnya berketurunan jin Alfrit tetapi rohnya manusia dan Alexander Al-Mansuri berketurunan jin Alfus.
tamat jua pembacaan novel ni. bukan sebab tak menarik, tapi sebab sibuk dan saya kena menghayati cerita ni betul2. nama2 jin yang diguna kan mcm susah juga nak sebut,huhu.. tapi saya sukakan kesah pengembaraan di alam jin ni. kalau saya nak review, memang panjanb berjela. tak kisahlah saya lambat baca novel ni pun, tapi syukur dpt juga baca kisah yg menarik ni. cuma penjelasan banyak. kadang2 rasa nak skip bacaan.
"Amsyar, apabila anta melihat manusia lain dalam kesusahan, dizalimi dan berbuat maksiat, apa yang terdetik pertama kali dalam hati anta itu, anta ikutlah. fikiran-fikiran yang datang selepas itu adalah tipu daya syaitan yang dibisikkan untuk anta membatalkan niat baik anta." (review yg ringkas..sja ambk petikan yg bt ak terkesan utk dkongsi).
Buku Yuda di Padang Maya oleh Xarine a.k.a Khairi Mohd
INGAT! KITA TIDAK BERSENDIRIAN...
Cerita ini dibuka dengan dua alam berbeza yang masing-masing punya kisah tersendiri. Prolognya memberi hint kepada konflik yang akhirnya menghubungkan kedua-dua dunia. Menariknya, musuh dalam cerita ini menggunakan bantuan dari dunia lain demi kepentingannya.
Sebagai pembaca, bila punca sebenar didedahkan, aku jadi serba salah untuk menyokong pihak mana. Yang awal memisahkan pun boleh bikin sakit hati, tapi dalam masa yang sama, kejahatan yang dilakukan oleh Mr. H jelas salah. Ada juga elemen tentang syaitan yang tidak pernah berhenti menyesatkan anak cucu Adam.
Penulis berjaya mencipta dunia mistik yang segar, penuh peperangan dan konflik, sambil menyelitkan unsur dakwah tentang Islam. Aksi ada, walaupun tidak terlalu banyak, tapi cukup untuk menggerakkan jalan cerita. Aku juga rasa watak-watak dari alam lain ini sebenarnya cerminan sifat manusia sendiri.
Ada elemen seram mistik yang kuat—rumah mereka menjadi laluan ke alam lain, sebab itu ia diganggu. Lebih menyayat, rumah itu juga saksi peristiwa kematian tuan rumah dan kehilangan zuriat mereka. Soal hidup mati anak itu—korang kena baca sendiri sampai habis.
Kesimpulannya, buku ini memang menarik untuk dibaca—penuh dunia mistik, mesej tersirat, dan kisah yang buat kita berfikir.
Naskah ni satu universe dengan Kasyaf dan Ranea. Bagi aku Kasyaf boleh berdiri sendiri. Tapi sambungannya Ranea tu, sebelum baca mungkin elok baca dahulu naskah ni. Barulah perjalanan yang dilalui dalam Ranea tu akan lagi menarik dan difahami.
Naskah ni ada kelemahannya. Pertama, format. Tapi itu mungkin format pada zaman terbitnya buku ni. Kedua, memang sebab cuai. Hahaha. Jelas nyata. Tapi sikit je lah kekurangan tu, tak menjejaskan isi cerita langsung. Maka bagi aku, naskah ni tetap 5 ⭐
Best! Buku kedua dari penulis yang saya baca. Suka sangat world-building dia... Sampai kadang-kadang rasa termasuk dalam dunia tu. Should I read Kasyaf and Ranea, too?
Khairi Mohd, antara penulis yang berjaya membuat aku terlompat-lompat ketika membaca.
Tak terlalu kompleks, dan tidaklah terlalu santai. Kisahnya pula sungguh berbeza jikalau nak dibandingkan dengan lambakan novel-novel yang tersedia di setiap rak kedai buku.
bismillahirrahmnirrahim buku ni saya jadikan bahan bacaan semasa inggu oientasi dua minggu yang lepas. ape yang sya dapat dari buku ni adalah ilmu. enough said,this book is worth to read =D