Lewat perkenalan di ruang skrin alat telekomunikasi canggihit, membibitkan perasaan sayang Qalidah Qaseh terhadap sidia yang digelar B. Qalida Qaseh sendiri sebagai D, nama pengganti dirinya. Hanya SMS sebagai pengantara hubungan mereka. Bagaikan wujud keserasian hinggakan mereka memeterai pertunangan alam siber dgn cara sendiri.
Seperti yang dijanjikan, setelah beberapa bulan barulah mereka bersedia untuk saling bersuara dan bersua muka. Biar bagaimanapun rupa dan bentuk mereka tetap menerima kelebihan dan kelemahan masing-masing. Ternata perjumpaan itu mengeratkan lagi kasih antara mereka.
Namun, kenangan semalam kembali bertamu ketika Qhalida Qaseh bersama temannya Nabil bertemu dgn Tengku Qaisy Iskandar, tidak disangkanya Tengku Qaisy Iskandar sebenarnya adalah B, kekasih dan tunangnya di alam maya.
Saat itu Qhalida Qaseh terkenangkan zaman kanak-kanak mereka. Tengku Qaisy Iskandar sering membuli dan menyuruh Qhalida Qaseh melakukan sesuatu yang tidak disukainya. Disebabkan status yang berbeza Qhalida Qaseh menurut segala kemahuan Tengku Qaisy Iskandar biarpun hatinya terluka. Tengku Qaisy Iskandar merupakan anak majikan ibunya, Puan Maimon merupakan anak majikan ibunya, Puan Maimon yang bekerja sebagai pembantu rumah keluarga kaya Tengku Nazim Shah dan Puan Satirah.
Qhalida Qaseh merasakan seperti dipermainkan. Lalu rasa cinta pada lelaki itu cuba disingkir dan perasaan benci dipupuk. Rasa kasih dan cinta bercampur dendam serta benci yang dibajainya membuat Qhalida Qaseh berasa sedih. Hatinya juga tidak senang tetapi sengaja berbuat tegar dan ego. Tengku Qaisy Iskandar berusaha meleraikan segala kekeliruan dan salah faham demi cintanya terhadap Qhalida Qaseh.
Tetapi darjat keturunan menghalang penyatuan cinta Qhalida Qaseh dan Tengku Qaisy Iskandar. Adakah takdir yang menjurangi kisah mereka? Darjat keturunan? Nama atau kedudukan?
Bukan mudah memadam kenangan semalam, tidak semudah melewati kebahagiaan yang berlalu.
Ramlah Rashid dilahirkan pada 1 Ogos, 1965, di Teluk Sareh Empai, Parit, Perak. Mendapat pendidikan awal di SK Teluk Sareh (1972-1977). Sekolah menengah di SMK Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan, Parit, Perak (1978-1982). Kolej Yayasan Anda (1983-1984). Penjawat awam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) ini menghasilkan pelbagai genre penulisan kreatif seperti puisi, cerpen dan novel.
Bukan mudah memadam kenangan semalam, tidak semudah melewati kebahagiaan yang berlalu.
Kak Chik menukil: Ohhhhhhh...Kak Chik tidak rajin untuk menaip semula blurb kulit belakang kerana ini kali kedua Kak Chik menulis review Qaseh Qaisy. Tadi dah taip, dah siap dan bila nak publish, internet problem dan review Kak Chik terus hilang...huhhuhuhu...jadi untuk tidak hilang idea yang sudah ditaip tadi Kak Chik mahu terus menukil saja...
Kak Chik sudah dapat menelah pengakhiran Qaseh Qaisy apabila membaca sajak pada halaman sebelum muka surat pertama. Sajak itu bagaikan menjadi pembawa angin semilir pada kisah mereka berdua. Namun telahan Kak Chik tidak semudah yang disangka. Memang pengakhiran dapat ditelah tetapi pengolahan jalan cerita langsung tidak Kak Chik terduga.
Ramlah Rashid bagaikan menulis dua rasa dalam karya ini, permulaan yang sudah dapat dimaklumi selepas membaca blurb belakang buku tetapi pada separuh novel ini Kak Chik bagaikan membawa kisah thriller pula. Persoalan demi persoalan yang timbul menaikkan semangat Kak Chik untuk tahu penyudahnya. Adakah bahagia yang bakal direntasi Qaseh-Qaisy atau hempedu yang terpaksa ditelan setelah mereka tega menidakkan larangan orang tua mereka?
Isu darjat dan keturunan yang ditimbulkan pada Kak Chik merupakan kisah biasa-biasa yang sudah biasa Kak Chik baca. Namun, cara dan kontanasi kata yang diolah oleh penulis merupakan satu keunikan untuk Kak Chik terus mengulit Qaseh Qaisy. Kenapa Tengku Nazim terlalu tega sehingga satu-satunya anak lelaki sanggup dibunuh kebahagiaannya? Satu isu yang Kak Chik tertanya kepada perasaan hormat Puan Satirah pada suami yang berdarjat itu bagaikan patuh seorang hamba sehingga bagaikan ada suatu garis yang menghalang perhubungan sebagai suami isteri seperti bergurau senda. Kak Chik terbayang mesti bosankan kalau hidup sebegitu!
Terujaan Kak Chik bagaikan disemarakkan saat rasa bahagia Qaseh dan pada suatu ketika saat Qaseh hilang 'rasa'. Penulis menggarap watak Qaseh yang berlainan sekali. Dalam diam dan tenangnya, masih ada sesuatu yang perlu diteliti oleh seorang lelaki.
Kewujudan watak Tengku Zurin sungguh menambah bebanan pada Kak Chik ketika melewati perhubungannya dengan Tengku Iskandar. Saat-saat tertentu Kak Chik bagaikan hampir putus nafas apabila membaca gerak geri mereka apatah lagi Qaseh yang memang sudah termeterai janji yang halal itu. Watak Tengku Zurin merupakan sesuatu yang tidak Kak Chik terduga begitu. Namun watak pengakhirannya bagi Kak Chik bagaikan angin semilir yang kurang deruannya.
Kepuasan dengan senyuman selepas menutup helaian terakhir novel ini walaupun masih tertanya-tanya bagaimana penerimaan Tengku Nazim dan Puan Satirah terhadap Qaseh? Apa tindakan yang diambil terhadap Roslan. Penutup yang sedikit 'tergesa-gesa' pada pembacaan Kak Chik. Namun begitu semua rasa dapat diselami sepanjang menyusuri kisah Qhalida Qaseh dan Tengku Qaisy Iskandar yang dicorak dalam pelbagai suasana yang tidak terduga dan disangka.
Sebuah cerita yang agak menarik. Plot yang tak terduga boleh berkembang dengan cantik dan menjadi perisa pada jalan cerita ini. Saya kagum dengan cinta Tengku Qaisy Iskandar pada Qhalida Qaseh. Mereka berkahwin di sempadan tanpa pengetahuan keluarga, pada hari yang sama Tengku Iskandar bertunang dengan Tengku Zurin. Genre cinta yang bertemakan kekeluargaan ini memberi impak betapa sayangnya Qaseh pada Puan Maimon, ibunya yang menjadi orang gaji pada keluarga Iskandar. Hormatnya Puan Satirah, bonda Iskandar pada suaminya amat terserlah walaupun dia kasihan pada Iskandar yang dipaksa bertunang dengan Tengku Zurin demi syarat salasiah keluarga. Antara dua darjat sangat ketara pada Tengku Nazim, ayahanda Tengku Iskandar. Pengakhiran cerita pula yang hanging. Nabil ialah bakal suami Tengku Zurin dan cerita tamat begitu saja. Bagaimana kehidupan Zurin di New Zealand sepatutnya diceritakan oleh Zurin selepas kembali ke Malaysia. Bagaimana penerimaan bonda dan ayahanda Iskandar pada Qaseh sebagai menantu mereka? Semua ini tergantung sepi.