Kali ini Ilham Hamdani membawa pembaca ke bumi Canberra. Bersama Ikmal Hakimi, banyak sekali sisi hidup Hakimi yang boleh diambil pengajaran. Saya suka sekali dengan gaya bahasa penulis. Meskipun saya rasa tidak layak untuk mengulas hasil karyanya. Saya anggapkan sahaja tulisan saya ini sekadar mengingat kembali apa yang dibaca.
Ikmal Hakimi, seorang lulusan kejuruteraan dari The Australian National University (ANU) yang kini bekerja di kedutaan Malaysia di Canberra. Terkandas setahun sewaktu pengajiannya akibat masalah teknikal di mana namanya keciciran sedangkan dia telah mendaftar. Namun atas bantuan pihak berkenaan di situ dapatlah Hakimi menamatkan pengajiannya walaupun dia begitu marah dan kecewa dengan pihak universiti yang tidak mempedulikan rayuannya. Keputusannya yang cemerlang selama pengajian di situ tidak juga melembutkan hati pihak universiti menimbang kemasukannya pada semester tersebut.
Ditambah pula dengan penghinaan yang diterima dari papa kekasihnya menyebabkan Hakimi semakin tidak senang hati lalu membuat keputusan nekad kembali ke bumi Canberra. Adakah kerana sebal tidak berjaya dalam berpuluh-puluh temuduga di Malaysia atau marahkan papa Nia Suraya? Entahlah, itu alasan sahaja baginya untuk 'melarikan' diri ke sana.
Kegemarannya dengan kamera dan fotografi sedikit sebanyak membuat saya teruja kerana ini merupakan pengetahuan baru buat saya :) Segala macam jenis kamera yang disebut membuatkan saya bertanya kepada 'Pakcik Google' jenis-jenis kamera tersebut ;)
Perkenalannya dengan Makcik Marwa dan Izzudin al-Qassam yang berasal dari Palestin benar-benar menggugah jiwanya. Hakimi pernah tersungkur akibat terputusnya kasihnya dengan Nia Suraya maka dia meletakkan kesalahan tersebut kepada orang lain dan itu menjadi tiket baginya melakukan maksiat. Berpeleseran di hujung minggu, meminum arak, meninggalkan solat..ah, terlalu pahit untuk dikenangnya.
Melalui dua insan istimewa ini Hakimi kembali menjejak dirinya yang dahulu malah semakin bertambah baik. Nasihat-nasihat Makcik Marwa dan kecekalan Izzudin al-Qassam membuatkan dia malu dan bersemangat dalam mengubah diri menjadi lebih baik. Bagaimana Izzudin yang lumpuh serta buta mata kiri dapat memberi sumbangan kepada Islam hanya dengan menggunakan alam maya untuk mengajar anak-anak muridnya di serata dunia, memberi kuliah secara maya kepada pelajar-pelajarnya dan sentiasa menggali khazanah ilmu para ilmuwan dan ulama terdahulu lalu disampaikan di dalam blognya menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami.
Hakimi semakin melazimi qiamullail dan solat berjemaah. Dia yakin akan janji-janji Allah yang sentiasa memaafkan kesalahan hamba-hamba-Nya.
Dalam pada itu tidak kurang juga konflik yang melanda dirinya. Kehadiran diplomat baru yang datang berkursus ke Canberra membuatkan dia terpempam. Nia Suraya, PTD yang baru dihantar berkursus di sini yang akhirnya terlibat dalam satu kes yang mengancam nyawanya secara halus ingin menyambung kembali hubungan mereka dahulu. Namun Melissa juga tidak boleh diendahkan. Bukan hanya gadis itu yang berharap malah ibu dan abangnya telah terang-terangan menyatakan hasrat bahawa Hakimi sahajalah yang sesuai untuk Melissa. Siapakah yang dipilih Hakimi?.
Kes Nia Suraya walaupun sangat berat tetapi saya kira ia tidak begitu menonjol di dalam buku ini. Memang kronologi cerita itu ada tetapi mungkin saya lebih berharap agar nampak unsur saspen atau thriller di sini. (Agaknya saya ini banyak terpengaruh dengan buku thriller yang lain. Heh...)
Secara keseluruhan saya beri 4.5 * untuk buku ini. Sangat menarik dan bermaklumat. Oh ya, saya suka juga dengan penggunaan 'daku' dan 'dikau' oleh Nia dan Hakimi. Unik.
Usai membaca novel ini beberapa minit yang lalu. Sekarang, tahulah saya, siapakah gadis bertudung biru, seperti yang tertera pada gambar di muka hadapan novel. Yang lelaki itu tentunya Ikmal Hakimi. Cuma gadis ayu itu pada mulanya mengelirukan.
Ringkas saja komen saya: "Carilah cinta Tuhan, nescaya kamu akan bertemu dengan cinta hamba"
Buku yang bagus!Pada mulanya saya hanya membaca separuh hati kerana beranggapan buku ini hanya salah satu cerita islami klise yang berlambak di pasaran tetapi saya lupa yang penulisnya ialah Ilham Hamdani, pemenang anugerah sastera perdana Malaysia. Ternyata sangkaan saya meleset kerana jalan ceritanya sungguh kemas, menyentuh hati hingga kering air mata saya semasa menghayati stp bait huruf. Tuhan mentakdirkan saya untuk membaca buku ini mungkin kerana keadaan hati yang sedang galau, remuk redam, gelisah, tertekan dan segala macam keserabutan. Ternyata kisah Hakimi, Makcik Marwa dan Izzudin Al-Qassam menyusup indah dalam jiwa dan menerbitkan keinsafan yang sungguh-sungguh. Saya mendapat banyak nasihat usai membaca buku ini. Salah satunya ialah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk memperoleh redha Allah dan kedua, carilah cinta Tuhan dengan sungguh-sungguh dan kita akan bertemu dengan cinta hambaNya. Tuhan,banyak sekali nikmatnya membaca buku ini!
Carilah cinta Tuhan, nescaya kemudiannya kamu akan bertemu dengan cinta hamba.
Cinta yang hamba-Nya yang manakah yang paling layak ku pugar, justeru di hujungnya akan ku peroleh cinta dunia dan cinta akhirat (page 455)
Novel yang ada isinya, bukan sekadar novel kosong yang membicarakan dari A-Z tentang cinta murahan. Vinta manusia yang tidak kenal Pencipta itu adalah cinta murahan.
Cerita yang membuatkan aku berfikir. Betapa peluang itu tidak datang buat kali kedua. Ya, mungkin peluang itu ada, tapi tidak sehebat peluang pertama. Hargailah cinta sebelum ia menghilang.
Garaplah cinta berlandaskan syariat, bukan hanya nafsu semata. Kerana nafsu itu hanya bisa memakan dirimu.
Novel yang sarat dengan penggunaan bahasa yang agak sastera bagi saya. Susunan bahasanya cukup indah. Lantunan kata yang menusuk sukma gitu!
Jujur, novel ni cuma diambil secara rawak dari rak buku di kedai.Cuma mengisi kekosongan kuota dua buku bagi setiap cuti semester.
Jujur juga. Tertarik dengan perkataan pemenang hadiah sastera pada muka hadapan novel.Lagipun dah lama tak membaca bahasa-bahasa berunsur sastera. Kebelakangan, banyak memilih novel yang bahasanya lebih santai. Ya, perlukan masa sedikit untuk menghadam baris-baris ayat dalam novel ni.
Pencarian cinta Tuhan. Watak mak cik Marwa dan Izzudin al-Qassam dalam novel ni bukan sahaja berjaya mendidik watak Hakimi, tetapi secara tidak langsung mendidik watak pembaca.
Paling terkesan dengan bahagian Hakimi menguruskan jenazah Izzudin al-Qassam.
Sebuah kisah yang sungguh sempurna, membuatkan jantungku berdegup laju, mampu menggetarkan seluruh jiwaku yang lesu. Kisah ini penuh dengan ayat-ayat yang dapat memujuk dan mengajak pembaca untuk kembali kepada Tuhan pencipta manusia dengan cara yang cukup lembut, halus dan terus meresap ke hatiku yang paling dalam. Kisah yang bisa membuatkan kita merasa segar, tenang dan damai. Aku akui 'Carilah Cinta Tuhan, kamu akan bertemu cinta hamba.'
Buku yg santai, dpt dihabiskan dgn sekali bacaan. Terpengaruh dgn muka depan buku yg menyatakan ianya memenangi anugerah perdana menteri. Agak sedikit kecewa apabila sudah membacanya kerana mungkin meletakkan jangkaan yg agak tinggi.
mgambarkan bumi australia...permulaan bg sy kurg menrikk tp..blm blm tgk akhir..hehheheeh...dah brakhir...carilah cintaNYA,kamu akan bertemu cinta hambanya
Selepas Hidayah Cinta, kugagahkan diri membaca novel karya Ilham Hamdani yang kedua, Bara Cinta Canberra. Kali ini berlatarkan Canberra, Australia.
Watak Hakimi yang membawa diri setelah putus cinta dan kehilangan ibu tersayang. Berkelulusan 'engineering' tapi bekerja sebagai kerani di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Australia.
"Kecewa dengan cinta manusia, tapi dia tinggalkan Tuhan."
Hampir 2 tahun dia tidak solat. Sehinggakan sahabat serumahnya, juga sahabat yang paling rapat, seorang ateis, Moy Yoke Keong, menegurnya. "Aku dapat melihat kau, antara dua Hakimi, dahulu dan sekarang."
"Maaf cakap, kenapa semakin jarang aku lihat kau sembahyang sekarang? Sejak kau datang ke sini semula, aku lihat kau berlainan sekali..."
"Kau jangan menjadi seorang lagi Moy Yoke Keong yang tidak tahu apa itu agama. Aku harap kau kuat, cuma sedikit tersasar waktu ini. Aku doakan kau lekas-lekas kembali kepada Ikmal Hakimi yang aku kenali dahulu. Periang, tetapi kuat agama."
Hakimi masih begitu. Masih degil. Masih ego. Sehingga dia bertemu Mak Cik Marwa, seorang warga Palestin, yang cekal dan tabah bekerja mencari rezeki, meskipun dia seorang yang berkerusi roda. Mak Cik Marwa banyak mengajar dia kembali mencari Tuhan. Saat dia kembali diuji dengan parut yang kembali bernanah setelah kekasih hatinya yang lama datang ke Australia, menagih kasih dan simpati.
"Carilah cinta Tuhan, kau akan berjumpa cinta hamba."
Hakimi tetap begitu. Ya, hatinya tersentuh dengan nasihat Mak Cik Marwa. Tapi dia masih tidak punya kekuatan untuk kembali mencari Tuhan. Sehinggalah Allah menyelamatkannya dari kemalangan maut. Allah memberikannya peluang kedua.
Akhirnya dia kembali meletakkan pengharapan pada Tuhan Yang Maha Esa. Allah mengurniakan dia saat untuk mengenali Izzuddin Al Qasam, anak saudara Mak Cik Marwa, seorang pejuang Palestin yang tidak pernah putus asa.
"... saya mahu awak membantu untuk terus memperjuangkan persoalan Palestin. Kerana perjuangan Palestin bukan untuk orang Palestin sahaja, Hakimi. Perjuangan melepaskan Palestin adalah perjuangan seluruh umat Islam. Kerana tanah Palestin itu ialah rumah Islam yang ketiga termulia..."
Dalam mencari cinta Tuhan, dia juga diuji dengan dua cinta. Cinta Nia Suraya yang kembali menagih perhatiannya. Juga cinta Melissa (adik Moy Yoke Keong) yang inginkan dia sebagai Imamnya.
Krisis masalah Nia Suraya yang berhadapan dengan penyangak dadah. Pemergian Izzudin Al Qasam. Kedua-duanya menjadikan dia terduduk. Namun kali ini dia tidak tewas. Kerana dia meletakkan pengharapan dan memohon pertolongan daripada Allah. Solat malam sudah menjadi rutin harian.
Melissa semakin hari semakin mendalami tentang Islam.
"Hakimi, perlukah kita menghabiskan sesuatu pembacaan kita itu sesegera mungkin? Saya kira, bukankah membaca sambil berfikir dan menilai kebenarannya adalah lebih banyak faedahnya. Kadang-kadang saya pelik dengan sesetengah golongan pembaca. Bangga mereka bercerita.. oh, bulan ini aku sudah membaca sekian-sekian banyak buku, majalah atau bahan bacaan. Alangkah bagusnya kalau mereka juga menghitungkan.. eh, sudah berapa banyak perubahan yang aku lakukam bertitik tolak dari pembacaan aku tadi. Seorang hukamak pernah menyebut begini, 'Rugilah hidup manusia jika tidak menjadi pembaca. Rugilah pembaca jika dia tidak berubah dengan pembacaannya. Dan rugilah orang yang berubah jika dia tidak beristiqamah dengan perubahannya.'"
Antara, Nia Suraya dan Melissa (akhirnya Maryam), siapakah yang cinta hamba yang diraih oleh Hakimi, setelah cinta Tuhannya?